29 Februari 2016

29 Februari 2008 : Presiden PAS Sedia Berdebat Untuk Pertahan Manifesto PRU Ke-12

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

PADA hari ini dalam tahun 2008, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam isu Manifesto PAS semasa kempen Pilihan Raya Umum 2008. Sebelum ini, pemimpin tertinggi Umno itu mendakwa Manifesto PAS yang bertema 'Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih Menuju Negara Berkebajikan' sebagai buruk dan bakal memufliskan negara.

Pilihan Raya Umum Ke-12 ini diadakan ekoran pembubaran Parlimen pada 13 Februari 2008, diikuti oleh penamaan calon pada 24 Februari 2008 dan pembuangan undi dibuat pada 8 Mac 2008 dengan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN dipertandingkan. PAS yang bersekutu dengan PKR di bawah Barisan Alternatif (BA) telah melancarkan manifesto 'Menuju Negara Berkebajikan' yang mengandungi 12 teras utama setebal 36 muka surat. Ia dilancarkan oleh Presiden PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 21 Februari 2008.

12 teras Manifesto PAS ini ialah Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih; Pengurusan Kejayaan Negara; Jaminan Keselamatan Nyawa; Kehormatan dan Harta Benda Dengan Membanteras Jenayah; Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan dan Jaminan Perkhidmtan Kesihatan Rakyat; Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta; Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra Rakyat; Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita; Memajukan Industri Pertanian; Dasar, Etika dan Amalan Media Adil, Bersih dan Demokratik; dan Pemeliharaan Alam Sekitar.

Ketika mengulas manifesto ini, para pemimpin Umno telah mendakwa ia adalah satu manifesto yang tidak baik untuk negara. Antara kritikan mereka ialah tentang cadangan PAS untuk meningkatkan subsidi petrol dan menyediakan pendidikan percuma. Ekoran serangan pemimpin Umno ini, pada 28 Februari 2008, PAS telah mencabar Umno untuk berdebat dalam isu manifesto ini yang bertujuan untuk membolehkan rakyat menilai dengan matang manifesto kedua-dua parti. Pada 29 Februari 2008, Presiden PAS dan timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa telah menyatakan kesediaan mereka untuk berdebat masing-masing dengan Pak Lah dan Datuk Seri Mohd Najib Razak di mana-mana sahaja dengan cadangan tarikh 4 Mac 2008 untuk Timbalan Presiden dan 5 Mac 2008 untuk Presiden kedua-dua parti. Pemimpin Umno walau bagaimanapun tidak memberi respon terhadap cabaran ini.

28 Februari 2016

28 Februari 1998 : ADUN Tendong Dari Semangat 46 Sertai PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1998, ADUN Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) kawasan Tendong, Cikgu Hussein Ahmad telah mengumumkan penyertaan beliau ke dalam PAS setelah partinya dibubarkan dan pimpinan utamanya menyertai semula Umno pada 8 Oktober 1996. Krisis hubungan PAS -PMS46 yang tercetus selepas Pilihan Raya Umum 1995 telah memecahkan kerjasama PAS-APU apabila pemimpin PMS46 Kelantan berterusan menyerang Kerajaan Negeri sehingga tiga ADUN-nya menyatakan keinginan menyertai PAS.

Tiga wakil rakyat tersebut ialah anggota Exco, Kapten (B) Mohd Noor Ahmad (Pulai Chondong), Cikgu Haji Nordin Yaakub (Kelaburan) dan Cikgu Haji Hussein Ahmad (Tendong). Walau bagaimanapun, ADUN Pulai Chondong telah meninggal dunia pada 4 Disember 1996 sebelum sempat menyertai PAS, sedangkan ADUN Kelaburan telah menyertai PAS pada 19 Julai 1997, sekali gus membolehkan beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu pada 10 September 1997 dan terus kekal sebagai ADUN PAS sehingga 2004.

Perubahan politik di Kelantan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1995 bukan sahaja menyebabkan pembubaran PMS46 pada 6 Oktober 1996 yang diikuti oleh penyertaan mereka ke dalam Umno pada 8 Oktober 1996, tetapi turut menyebab anggota Exco Kerajaan Kelantan dari PMS46 terpaksa meletakkan jawatan pada 9 Disember 1996 dan diikuti oleh kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Pulai Chondong pada 7 Januari 1997 di mana PAS berjaya merampas semula kerusi yang dahulunya diwakili oleh PMS46. Pada 27 Mei 1997, empat wakil rakyat PAS telah dilantik sebagai anggota Exco menggantikan wakil dari parti serpihan Umno yang dibubarkan itu.

Pembubaran PMS46 untuk menyertai Umno menjadi lebih malang apabila Majlis Tertinggi Umno pada 28 November 1997 hanya menerima 10,000 sahaja daripada 120,000 permohonan bekas ahli PMS46 untuk menyertai semula parti itu. Pembubaran PMS46 inilah yang menyebab bekas-bekas wakil rakyat mereka memilih menyertai PAS, bukannya membawa lari kerusi yang dimenangi atas tiket PMS46 untuk mengkhianati parti mereka dengan menyertai PAS. Apabila PMS46 dibubarkan, tiga bekas ADUN-nya melihat menyertai PAS lebih baik dari menyertai semula Umno.

Cikgu Hussein Ahmad yang menjadi ADUN Tendong semenjak 1995 dengan mengalahkan calon BN, Mohd Yaman Mohamad dengan majoriti 587 undi telah mengisytiharkan penyertaannya ke dalam PAS pada 28 Februari 1998. Menghargai komitmen beliau terhadap perjuangan Islam, pada 2 September 1990, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu berkuat kuasa mulai 1 Januari 1999 hingga 30 Jun 2000 sebelum diganti oleh Haji Ramli Abu Bakar. Beliau terus istiqamah bersama PAS sehingga meninggal dunia pada 2008.

27 Februari 2016

27 Februari 1964 : Tuan Guru Haji Yaakub Berangan Ditahan ISA

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, ahli Dewan Ulamak PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Yaakub Ishak atau lebih terkenal dengan gelaran Tok Guru Haji Kob Berangan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas tuduhan memecahbelahkan masyarakat melalui fatwa kafir-mengkafir. Tuan Guru Haji Yaakub yang juga Mudir Pondok Berangan, Tumpat telah dituduh mengkafirkan orang-orang Perikatan atas sebab berkongsi dengan orang kafir dalam urusan politik tanpa mengikut kaedah kerjasama politik yang ditetapkan oleh syariat sehingga timbul masalah redha atau walak kepada kekafiran.

Tuan Guru Haji Yaakub yang dilahirkan di Kampung Kelong, Tumpat pada 1912 telah mendapat pendidikan agama di bawah bimbingan beberapa ulamak termasyhur di Kelantan dan Pattani sebelum beliau membuka Pondok Berangan pada 1942. Antara guru-guru beliau ialah Tok Selehor, Tok Guru Dala, Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol, Tuan Guru Haji Ali Solahuddin Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman dan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir Ahmad Bunut Payung yang merupakan ulamak-ulamak terbilang di Tanah Melayu pada separuh pertama abad ke-20. Mengiktiraf keilmuan Tuan Guru Haji Yaakub ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah melantik beliau menggotai Majlis Ulamak MAIK, iaitu badan ulamak tertinggi di Kelantan.

Isu kafir-mengkafir telah timbul di Kelantan pada 6 Ogos 1963 ekoran huraian Tuan Guru Haji Umar Daud berkaitan masalah mengangkat dan meredhai orang kafir menjadi pemimpin ketika menafsirkan ayat 44, 45 dan 47 Surah al-Maidah. Menurut Tuan Guru Haji Umar, kerjasama politik dengan orang kafir yang membawa walak dan keredhaan bukan sahaja dihukumkan haram, tetapi boleh merosakan aqidah. Ekoran dari ulasan yang dikatakan 'fatwa' ini, beberapa ulamak PAS termasuk Tuan Guru Haji Umar telah ditahan ISA pada 9 November 1963.

Turut ditahan ISA ialah Tuan Guru Haji Mohd Nor Abdullah Teliar, Tuan Guru Haji Daud Othman Kubang Pak Amin, Tuan Guru Haji Sulaiman Omar (Tok Ayah Pak Man) Simpang Tiga Berangan, Ustaz Nik Abdullah Arshad Panchor dan Tuan Guru Haji Che Hassan Ismail Lemal, selain beberapa pemimpin PAS seperti Haji Saufi Idris (Adun Kota Bharu Timur) dan Che Ismail Che Abdullah atas tuduhan "menimbulkan huru-hara di kalangan orang ramai.".

Tuan Guru Haji Yaakub yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Tumpat telah ditahan ISA pada 27 Februari 1964 atas tuduhan yang sama dan dibebaskan pada 24 Disember 1964 setelah ditahan selama 10 bulan. Kenyataan Tuan Guru Haji Yaakub ketika dalam soal-siasat polis telah digunakan oleh KDN dalam kertas putih bertajuk 'Ancaman Kepada Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara' yang diterbitkan pada 8 November 1984 untuk mengaitkan PAS dengan isu kafir-mengkafir.

Walaupun menerima tekanan hebat sepanjang menjadi tahanan politik, Tuan Guru Haji Yaakub bukan sahaja terus istiqamah bersama perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS sehingga akhir hayatnya pada 3 Mac 1990, tetapi salah seorang anaknya, Ustaz Dato' Haji Ahmad Yaakub telah menjadi pemimpin kanan PAS selaku Timbalan Mursyidul Am PAS, bekas Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Kini, putera beliau itu adalah Menteri Besar Kelantan menggantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 2013.

26 Februari 2016

26 Februari 1991 : PAS Setuju Kajian Menyeluruh Undang-undang Kelantan Untuk Laksanakan Syariah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1991, Jawatankuasa Pemandu Kerajaan PAS Kelantan telah mengambil persetujuan supaya satu kajian yang menyeluruh di buat ke atas semua undang-undang yang ada di Kelantan untuk meneliti ruang-ruang perlaksanaan syariat di negeri ini setelah ia diperintah oleh PAS semenjak 21 Oktober 1990. Isu perlaksanaan syariat merupakan isu utama di Kelantan ketika ini kerana PAS telah memasukkan janjinya dalam manifesto bertajuk 'Membangunkan Bersama Islam' dalam Pilihan Raya Umum 1990.

Manifesto PAS itu telah menyatakan bahawa PAS akan "menegak dan melaksanakan Islam sebagai ad-Diin dan menjalankan pentadbiran secara adil dan saksama untuk kesejahteraan semua rakyat berdasarkan prinsip al-Quran dan Sunnah" dan PAS akan "menjadikan syariat Islam sebagai sumber perundangan tertinggi negara." Secara khusus di Kelantan, manifesto PAS Negeri yang juga bertajuk 'Membangun Bersama Islam' turut menjanjikan perlaksanaan syariat, perundangan dan kehakiman Islam, meminda Perlembagaan Negeri selaras dengan Islam dan melaksanakan dasar dan peraturan Islam dalam pemerintahan.

Ekoran kejayaan PAS membentuk kerajaan pada 21 Oktober 1990, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 3 November 1990 telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Dr Daeng Sanusi Mariok, Cikgu Mustafa Ali, Ustaz Azizan Abdul Razak, Ustaz Nik Abdullah Arshad, Haji Wan Mutalib Embong dan Ustaz Abdul Halim Arshat yang berperanan merancang, menasihat dan mengawasi pentadbiran Kelantan.

Jawatankuasa Pemandu ini kemudiannya pada 30 November 1990 telah menubuhkan pula lima jawatankuasa lain bagi melaksanakan tugas-tugas tersebut iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Hubungan, Bantuan dan Kepakaran; Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat; Jawatankuasa Pengesan Pentadbiran Negeri; Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi; serta Jawatankuasa Perancangan, Pendidikan dan Latihan.

Salah satu jawatankuasa terpenting ialah Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang ditugaskan untuk menyemak semua undang-undang di Kelantan, meminda dan menyediakan undang-undang sedia ada dengan syariat dan menggubal undang-undang berasaskan syariat di Kelantan. Pada peringkat awal ini Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar tidak memberi fokus kepada perlaksanaan undang-undang syariat, sebaliknya mengambil pendekatan menerapkan Islam secara berperingkat-peringkat.

Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan kemudiannya pada 26 Februari memutuskan supaya kajian menyeluruh dibuat ke atas semua undang-undang yang ada di Kelantan dalam rangka untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah termasuk hudud. Hasil kajian ini dan penggubalan yang dibuat, pada 24 November 1993, Kerajaan PAS Kelantan berjaya membentangkan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan II di Dewan Undangan Negeri.

25 Februari 2016

25 Februari 1971 : PAS Terpaksa Sokong Pindaan Perlembagaan Bagi Menghidupkan Demokrasi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1971, PAS telah memilih untuk menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menyekat beberapa kebebasan rakyat. Ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari 1971 sebagai satu syarat untuk membolehkan demokrasi dihidupkan semula selepas tragedi 13 Mei 1969. PAS pada prinsipnya menentang pindaan ini, tetapi memandang penggantungan Parlimen semenjak 1969 mempunyai akibat yang lebih buruk dari pindaan Perlembagaan yang menyekat beberapa kebebasan rakyat. 

Akibat dari isu perkauman dan tragedi berdarah pada 1969, sebuah pentadbiran Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk pada 17 Mei 1969 dan seluruh aktiviti politik, termasuk Parlimen telah digantung. Pada 30 Ogos 1970, penggantungan ini ditarik balik serentak dengan perisytiharan Rukun Negara, dan diikuti oleh pewartaan pindaan Akta Hasutan 1948 untuk menghalang sesiapa juga mempersoalkan secara terbuka tentang soal kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu dan kedaulatan Raja-raja Melayu.

Lanjutan dari itu, pada 23 Februari 1971, Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein telah membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 1971 yang bertujuan untuk "menyekat perbincangan awam ke atas perkara-perkara sensitif supaya demokrasi berparlimen dapat berjalan lancar" dan "untuk membetulkan dengan undang-undang beberapa perkara yang tidak seimbang di kalangan kaum." Pindaan ini akan menyekat rakyat, termasuk wakil rakyat di Parlimen dan DUN dari mempersoalkan perkara kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kedaulatan Raja-raja.

PAS pada 23 Februari 1971 telah mengambil pendirian bahawa tindakan kerajaan adalah tidak betul dan tidak tepat dalam memperbaiki kekusutan politik negara ketika itu. PAS juga mengarahkan Ahli-ahli Parlimennya untuk mengecam dan mendedahkan segala kelemahan dasar Perikatan tetapi semua Ahli Parlimen PAS mesti menyokong akta tersebut. Sokongan ini semata-mata untuk membolehkan demokrasi berparlimen berjalan semula di negara ini.

Rang Undang-undang ini diluluskan pada 25 Februari 1971 dengan sokongan 126 Ahli Parlimen, termasuk 12 wakil PAS, sedangkan wakil DAP dan PPP menentangnya. Menurut Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, bahawa PAS "terpaksa membayar dengan harga yang mahal untuk kembali kepada parliamentary democracy." Pimpinan PAS telah menyampaikan teguran PAS kepada Kerajaan Perikatan di Dewan Rakyat pada 24 Februari 1971 sebelum menyokongnya pada 25 Februari 1971.

24 Februari 2016

24 Februari 1973 : PAS Luluskan Pindaan Perlembagaan PAS Tonjolkan Identiti Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1973, Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang digubal oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). Pindaan ini dibuat atas arahan RoS yang mahu semua parti politik tidak menjadikan perkara sensitif sebagai perjuangan mereka. Menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, PAS dianggap memperjuangkan isu sensitif iaitu agama (Islam) dan perkauman (ketuanan Melayu).

Walaupun PAS menolak anggapan sebegini, PAS telah mematuhi arahan dari RoS supaya PAS meminda perlembagaannya sebelum 30 Jun 1971 bagi mengelakkan tindakan undang-undang. PAS menjelaskan bahawa 'Melayu' tiada dalam perlembagaannya, sedangkan perjuangan ketuanan Melayu telah berakhir dengan kekalahan usul PAS di Dewan Rakyat. Manakala soal Islam pula, ia tidak menyentuh perkara yang berada di bawah kuasa Raja-raja, sebaliknya ia adalah konsep perjuangan Islam sebagai dasar politik bernegara.

Mengambil kesempatan dari arahan ini, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 pada 18-20 Jun 1971 telah meminda nama dan bendera PAS, selain memperkemaskan dasar dan tujuan perjuangannya ke arah yang lebih Islamik. Elemen utama yang diluluskan RoS dalam pindaan ini ialah:

i. Nama PAS ditukar dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kepada Parti Islam Se-Malaysia;
ii. Dasar PAS dipertegaskan iaitu Islam;
iii. Bendera PAS ialah Sang Saka Merah Putih dengan bulatan hijau di hujung atas sebelah kiri tanpa tulisan "Allah Muhammad";
iv. Lambang PAS bertukar dari Bulan Bintang kepada bulatan putih berlatar belakang empat segi tepat hijau;
v. Semua unsur ke-Melayuan diganti dengan ke-Islaman; dan
vi. Tujuan PAS dipertegaskan iaitu "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.".

Disebabkan pindaan ini, PAS terpaksa tidak lagi menggunakan bendera dan pingat yang tertulis "Allah Muhammad" serta juga lambang Bulan Bintang. PAS bersetuju supaya kedua-dua elemen yang dicegah oleh kerajaan ini akan digunakan semula oleh PAS "setelah PAS memerintah Malaysia." Pindaan yang asalnya digubal pada 18-20 Jun 1971 ini sebenarnya telah mengalami beberapa kali ubah suai mengikut kehendak RoS sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 14 Jun 1972 menyusun semula beberapa perkara, sebelum ia sekali lagi di bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Jun 1972. Setelah memenuhi semua ketetapan RoS, pada 24 Februari 1973 pendaftar telah meluluskan Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang lebih menonjolkan identiti ke-Islaman berbanding ke-Melayuan.

23 Februari 2016

23 Februari 2012 : PAS Pertegas Peranan Bai'ah Dalam Perjuangan Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2012, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan peranan dan kepentingan baiah dalam menjamin kesetiaan kepada perjuangan Islam. Mursyidul Am PAS itu mengulas kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pada 21 Februari 2012 dan juga komentar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pada 22 Februari 2012, bahawa PAS mewajibkan ahli-ahli dan pimpinannya berbaiah kepada Allah dan Rasul serta kepatuhan kepada rukun berjamaah, bukannya untuk menimbulkan taksub kepada pemimpin.

Isu baiah ini timbul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 kerana perhatian PAS terhadap kesetiaan calon-calonnya setelah Kerajaan PR Perak dijatuhkan pada 5 Februari 2009 akibat pengkhianatan wakil rakyat PKR dan DAP. Presiden PAS dilaporkan telah memberi ingatan kepada bakal-bakal calon PAS bahawa semua calon PAS dalam pilihan raya akan datang mesti berbaiah untuk mengelakkan mereka menyeleweng dari dasar, cara dan matlamat Islam. Menurut Presiden PAS itu, calon yang melanggar baiah setelah menang pilihan raya "akan celaka dunia dan akhirat.".

Penegasan Presiden PAS ini mempunyai kaitan dengan pengalaman PAS sebelum ini di mana wakil rakyat PAS pernah diculik dan mengkhianati parti pada 1961 di Terengganu dan 1967 di Kelantan. Pada 1983, serpihan PAS, Hamim telah membawa lari kerusi Parlimen dan DUN milik PAS. Pengalaman pahit ini berulang pada 5 Februari 2009, apabila Kerajaan PR Perak dijatuhkan secara tidak demokratik.

Ketika mengulas kejatuhan Kerajaan PR Perak, Tuan Guru Haji Abdul Hadi pada 23 Februari 2009 telah menyebutkan tentang kekuatan PAS dalam krisis politik Perak itu ialah kerana adanya baiah. "Adun-adun PAS berbaiah kepada Allah, sekiranya mereka menipu, khianat dan menyeleweng, mereka akan dilaknat oleh Allah, para malaikat dan sekalian pelaknat." Atas kesedaran pentingnya baiah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, maka persoalan baiah dipertegaskan semula kepada ahli-ahli PAS.

Mengulas penegasan Presiden PAS ini, Tun Dr Mahathir pada 22 Februari 2012 telah menolak keperluan baiah yang dianggapnya boleh menimbulkan taksub kepada pemimpin. Turut memberi pandangan serupa ialah Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jaya, Pengerusi Ilmu dan Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Menolak semua tanggapan ini, Mursyidul Am PAS telah menjelaskan bahawa baiah adalah janji setia calon dengan Allah dalam menegakkan Islam.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato' Harun Taib pada 23 Februari 2012 telah menyifat baiah yang diamalkan PAS adalah bertepatan dengan syarak. Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali pula pada hari yang sama menjelaskan bahawa baiah menjadi amalan PAS dalam mengekalkan kesetiaan wakil rakyatnya. Ketua Penerangan PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man pula menjelaskan bahawa baiah PAS adalah digubal oleh ulamak-ulamak. Manakala Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakub turut menolak pandangan Dr Mahathir.

Di sebalik kebimbangan Presiden PAS terhadap pengkhianatan calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang berlangsung pada 2013, sehingga beliau mempertegaskan kesan 'celaka' dan 'laknat' jika melanggar baiah ini, selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor pada 4-6 Jun 2015, tujuh orang Ahli Parlimen dan lima orang Adun PAS telah melanggar baiah ini dengan menyertai parti lain.

22 Februari 2016

22 Februari 1990 : Mahkamah Halang Penggunaan Nama PAS Oleh Kumpulan Islah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang Kumpulan Islah dari menyalahgunakan perkataan "PAS" dalam program-program mereka. Kumpulan Islah adalah sebuah kumpulan serpihan PAS yang wujud semenjak awal 1989 ekoran strategi politik PAS membentuk kerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46. Mereka menolak kerjasama ini kerana menganggap Umno adalah sebuah parti yang sesat, sedangkan PAS melihat Umno sebagai sasaran dakwah mereka.

Semenjak awal 1989, Kumpulan Islah telah menimbulkan masalah kepada PAS sehingga diberi amaran oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 26 Februari 1989, diikuti oleh campur tangan PAS Pusat pada 12 April 1989. Bahkan, ketika perlantikan Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan Sesi 1989-1991, mereka yang terlibat dengan kumpulan ini telah digugurkan.

Pada 7 Ogos 1989, satu muzakarah telah dibuat oleh Kumpulan Islah dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS di Rusila, tetapi gagal mengubah sikap mereka, sehingga akhirnya menjadi kes tatatertib parti pada 1 September 1989 dan diikuti oleh surat tunjuk sebab kepada mereka pada 5 November 1989. Pada 26 November 1989, tiga orang pemimpin Kumpulan Islah telah dipecat dari PAS, sebelum perlucutan semua jawatan oleh PAS Kelantan terhadap beberapa ahli PAS yang terlibat.

Sebagai tindak balas terhadap tindakan PAS, Kumpulan Islah telah mengadakan beberapa perhimpunan dan program atas nama PAS, tetapi untuk menyerang dan mengkritik PAS secara terbuka, kononnya atas nama islah (pembaikan) terhadap PAS. Antara program yang diatur oleh mereka ialah 'Seminar Panduan Dasar PAS' yang hendak dilangsungkan pada 23 Februari 1990.

PAS Pusat pada 18 Februari 1990 telah bersetuju supaya tindakan mahkamah diambil ke atas kumpulan serpihan yang menyalahgunakan simbol-simbol PAS seperti nama PAS, logo PAS dan juga nama pimpinan PAS yang telah mati untuk kepentingan politik mereka. Ekoran itu, PAS Kelantan telah membawa kes ini ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu melalui peguamnya, Dato' Abdul Halim Mohamed bagi mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang Kumpulan Islah menyalahgunakan nama PAS dalam program mereka.

Pada 22 Februari 1990, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Idris Yusof, telah mengeluarkan perintah untuk menghalang penggunaan nama PAS oleh Kumpulan Islah dalam semua kegiatannya. Setelah itu, Kumpulan Islah tidak dapat lagi menyalahgunakan nama PAS walaupun pada ketika tertentu mereka dikenali juga sebagai PAS 51.

21 Februari 2016

21 Februari 1950 : Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Luluskan Lapan Resolusi

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1950, Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya telah diadakan di Kelab Melayu Muar, Bandar Maharani, Johor dengan dianjurkan oleh Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Persidangan ini diadakan hasil dari desakan beberapa pihak termasuk Majlis Agama Islam Hilir Perak yang mahu isu-isu agama dirundingkan segera selepas runtuhnya gerakan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol ekoran penguatkuasaan Ordinan Darurat 1948.

Menyedari desakan ini, Jawatankuasa Kerja Agung Umno telah mengarahkan Bahagian Agama dan Pelajarannya supaya mengadakan persidangan ulamak yang melibatkan Cawangan-cawangan Bahagian Agama dan Pelajaran Umno, Majlis-majlis Agama, Jabatan-jabatan Agama serta pertubuhan-pertubuhan agama dari seluruh Malaya. Sebuah Jawatankuasa Perlaksana telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Haji Mohd Noah Omar dari Johor.

Persidangan ini kemudiannya disertai oleh perwakilan dari seluruh Malaya dan berlangsung selama dua hari iaitu pada 21-22 Februari 1950 dengan dibuka oleh Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar. Persidangan ini kemudiannya telah mengambil lapan ketetapan, yang terpenting ialah untuk "mengadakan majlis perhubungan mengandungi ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua majlis agama bagi merundingkan perkara-perkara agama yang mengenai orang Islam supaya perjalanan hal ehwal agama dapat disamakan di seluruh Tanah Melayu." Tujuh resolusi lain ialah berkaitan:

i. Penubuhan Kolej Islam Malaya;
ii. Pengurangan cukai haji dan penyediaan tempat layanan yang baik untuk jemaah haji;
iii. Penyelarasa tarikh permulaan puasa dan hari raya di seluruh Tanah Melayu;
iv. Mewujudkan kerjasama dengan Jam'iyatul Dakwatul Islamiyah bagi meluaskan seruan Islam;
v. Mewujudkan Jabatan Agama Islam di Pulau Pinang dan Melaka;
vi. Mewujudkan derma pelajaran tinggi agama bagi pelajar agama yang belajar di luar negeri; dan
vii. Mewujudkan sekolah agama petang di setiap Sekolah Melayu.

Kegagalan Umno melaksanakan seluruh resolusi ini kemudiannya menimbulkan desakan baru dari para ulamak sehingga Umno pada 30 Jun 1951 bersetuju menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya Kedua pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur. Dalam persidangan kedua ini, para ulamak yang membincangkan isu penyelarasan pentadbiran agama, telah mengambil ketetapan untuk menubuhkan persatuannya sendiri setelah menyedari kegagalan Umno dalam membela agama, dan persatuan ini dinamakan Persatuan Ulamak Se-Malaya yang terpisah daripada Umno. Pada 24 November 1951, persatuan ini dikenali sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

20 Februari 2016

20 Februari 2010 : Konvokesyen ILHAM Ke-10 Dilangsungkan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2010, Institut Latihan Kepemimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (ILHAM) telah mengadakan Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 di Ball Room TJ Mart Saleng, Kulai, Johor di mana 30 orang graduan telah menerima Diploma Kepemimpinan Islam (DKI). Majlis penyampaian diploma ini telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Pengarah ILHAM Johor, Ustaz Atan Gombang dalam sekapur sirehnya berharap para graduan dapat menyumbangkan ilmu yang diperolehi untuk memperjuangkan Islam di negara ini. Ketika merasmikan konvokesyen ini, Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menegaskan bahawa ilmu adalah sangat penting dalam menggerakkan perjuangan Islam di mana PAS adalah satu jamaah yang sangat sinonim dengan ilmu. Beliau berharap semua ahli PAS terus menambahkan ilmu bagi melengkapkan diri dalam menghadapi perjuangan yang semakin mencabar ini. Sementara itu, Pengarah ILHAM Pusat, Dr Asiah Ali berkata, budaya pendidikan dan ilmu mesti diterapkan secara serius dalam PAS, dan atas dasar itu ILHAM memainkan peranan untuk mengisi ilmu dan mempertingkatkan tarbiyah ahli-ahli PAS.

ILHAM yang ditubuhkan pada 1994 oleh Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat adalah sebuah institusi Latihan ahli-ahli PAS bagi mencapai sasaran untuk "mengulamakkan intelektual dan mengintelektualkan ulamak." Semenjak ditubuhkan, ILHAM telah mengadakan Seminar Kebangsaan Penggubalan Modul Kefahaman dan Visi dengan meluluskan 15 modul pada 26 November 1996, sebelum menawarkan kursus-kursus jangka pendek tentang kefahaman dan visi (ILKV) dan pengurusan organisasi (ILPO), selain menawarkan program diploma secara jarak jauh semenjak 1995. Pada mulanya menawarkan Diploma Tasawur Islam (DTI) pada 1995, diikuti oleh DKI pada 2008, sebelum dilanjutkan kepada Diploma Lanjutan Kepemimpinan Islam (DLKI) mulai 2011.

Sepanjang sejarah perkembangan ILHAM, ia telah dipimpin oleh beberapa orang tokoh iaitu Ustaz Dr Zulkifli Yusof (1994-1996 dan 1999-2004), Dr Shaaree Endut (Pemangku 1996-1999), Dr Yaacob Yusof (Pemangku 2004-2007), Ustaz Idris Ahmad (2007-2009) dan kini dipimpin oleh Dr Asiah Ali sejak 2009. Pada masa ini, ILHAM telah beroperasi di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamed (KUIZM) di Taman Melewar. Sehingga kini, ILHAM telah mengadakan 12 kali konvokesyen dengan terakhirnya pada 9 Mei 2015 di KUIZM.

19 Februari 2016

19 Februari 2011 : Bob Lokman Sertai PAS di Himpunan Pemuda 30K Di Kedah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2011, selebriti terkenal, Bob Lokman atau Mohd Hakim Lokman telah mengisytihar penyertaannya ke dalam PAS sempena program Himpunan 30K Pemuda PAS di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut. Himpunan ini diadakan sebagai lanjutan daripada kejayaan Himpunan 15K Pemuda PAS di Kelantan sebelumnya, iaitu himpunan-himpunan Pemuda PAS dalam rangka persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Bob Lokman, seorang pelakon komedi, pengkritik seni, pengacara, penulis lirik, pencipta lagu, pengurus artis dan pelakon terkenal adalah cicit kepada ulamak termasyhur, Tok Kenali. Beliau terkenal dengan lagu-lagu ciptaannya seperti Isabella dan Taman Rashidah Utama yang popular pada 1980-an. Bob Lokman adalah lepasan SMKA Maahad Hamidiyah, Kajang merupakan anak saudara kepada Ustaz Mawardi Ahmad, bekas Adun PAS Lundang, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan. Beliau yang dilahirkan dalam tahun 1961 di Kubang Kerian telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang juga Menteri Besar Kedah.

Program Himpunan 30K Pemuda PAS ini telah bermula di sebelah pagi pada 19 Februari 2011 dengan perasmian oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan, yang diikuti oleh sesi Motivasi Pilihan Raya Pemuda dan acara-acara lain, sebelum ditutup oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Pada sebelah malam, satu program Munajat Perdana yang dipimpin oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diadakan sebelum satu Ceramah Perdana yang membariskan pimpinan utama PAS.

Ketika merasmikan himpunan ini, Ustaz Azizan telah memuji semangat juang Pemuda PAS dalam mempertahankan kerajaan-kerajaan PR, terutama Kerajaan Kedah dan Kelantan yang dipimpin oleh PAS. Beliau sangat bersyukur kerana pemimpin terdahulu berjaya melahirkan para pejuangan muda PAS sebagai benih-benih untuk melanjutkan perjuangan PAS pada masa akan datang. Sementara itu, Bob Lokman dalam kenyataannya berkata, beliau menyertai PAS setelah melihat adanya masalah dalam sistem kehidupan beliau, terutama kegagalan beliau mendidik anak- anak dalam sistem sekular. Bagi beliau, menyertai PAS adalah pilihan terbaik kerana dapat berjuang menegakkan Islam sebagai satu kewajipan.

18 Februari 2016

18 Februari 1981 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Pertegaskan Tolak Kerjasama PAS Dengan DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan sikapnya yang tidak bersetuju dengan cadangan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda supaya PAS bekerjasama dengan DAP dalam Pilihan Raya Umum 1982. Dalam satu kenyataan Ketua Dewan Ulamak PAS pada 14 Februari 1981, bahawa beliau menentang cadangan kerjasama PAS-DAP ini kerana ia boleh menggugat aqidah ahli-ahli PAS ekoran dasar sekular yang anti negara Islam yang menjadi dasar DAP.

Bagi menjelaskan ketegasan beliau dalam soal ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS jika cadangan tersebut diteruskan oleh Dato' Mohd Asri. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bimbang sekiranya ada pimpinan dan ahli PAS yang membelakangkan dasar Islam PAS kerana terpengaruh dengan perjuangan DAP. Beliau menyatakan tindakannya menentang cadangan tersebut, termasuk mahu meletakkan jawatan itu adalah semata-mata untuk memastikan "pengikut-pengikut PAS tidak terpesong dari aqidah Islam," kerana perbuatan tunduk kepada parti yang menentang Islam akan memberi kesan terhadap kemurnian aqidah.

Isu ini berbangkit ekoran kenyataan Dato' Mohd Asri pada 29 Januari 1981 berkait dengan strategi PAS untuk bekerjasama dengan DAP, tetapi pandangan Yang Dipertua Agung PAS itu telah ditentang hebat oleh ahli-ahli PAS di Terengganu dan Kelantan. PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai pesuruhjaya adalah antara yang paling lantang menentang kerjasama ini. Hal ini berlaku kerana semenjak 1979 isu politik aqidah ini telah berbangkit, terutama setelah PAS Kelantan dan Terengganu melalui buku "Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS" telah menggariskan tiga sebab yang merosakan aqidah dalam politik, termasuk memisahkan agama dengan kehidupan atau sekular.

Turut menyokong pendirian Ketua Dewan Ulamak PAS tentang bahaya kerjasama politik PAS-DAP ini ialah Dewan Pemuda PAS Pusat yang dipimpin oleh Cikgu Mustafa Ali. Pada 5 Februari 1981, media massa melaporkan terdapat 53 buah ranting (cawangan) PAS mungkin dibubarkan kerana membantah hasrat Dato' Mohd Asri tersebut. Turut bersuara ialah Pesuruhjaya PAS Pahang, Mohd Rushdie Ariff yang menyokong pendirian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan mendesak Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan jika ingin meneruskan kerjasama dengan DAP. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 18 Februari 1981 berkata, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli PAS untuk menentukan kedudukannya setelah beliau mempertegaskan sikapnya ini.

17 Februari 2016

17 Februari 1991 : Kerajaan PAS Kelantan Perkenalkan Waktu Kerja Pendek Di Bulan Ramadhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1991, Kerajaan PAS Kelantan telah melakukan satu lagi pembaharuan pentadbiran dengan memperkenalkan waktu kerja pendek pada bulan Ramadhan dari waktu pulang biasa jam 4.45 petang kepada jam 3.30 petang. Pembaharuan ini adalah satu langkah awal ke arah perlaksanaan syariat melalui pengukuhan sistem kekeluargaan dan menerapkan budaya berjimat-cermat di kalangan rakyat.

Pengenalan sistem waktu kerja yang baru ini adalah untuk menerapkan budaya ke-Islaman dalam masyarakat terutama dalam menuju perlaksanaan syariat secara menyeluruh tetapi bertahap-tahap. Kerajaan PAS Kelantan melihat bahawa pengukuhan sistem kekeluargaan melalui waktu rehat yang lebih lama untuk isteri yang bekerja, memakan masakan ibu, melayan suami di rumah dan berbuka puasa bersama keluarga adalah sangat penting dalam mencapai matlamat tersebut.

Semenjak PAS menguasai Kelantan pada 21 Oktober 1990, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memperkenalkan penerapan Islam secara berperingkat-peringkat antara 1990 hingga akhir 1991, antaranya:

i. Larangan wanita bekerja malam;
ii. Larangan wanita menyertai tilawah al-Quran;
iii. Menutup premises judi;
iv. Mewajibkan kakitangan wanita di sektor kerajaan dan swasta menutup aurat;
v. Pinjaman kereta tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan;
vi. Mengharamkan makyong, menora dan dikir barat;
vii. Menubuhkan Tabung Serambi Mekah;
viii. Melantik penghulu tanpa mukim untuk bukan Islam;
ix. Memperkenalkan budaya gotong-royong;
x. Larangan wanita menyertai pertunjukan pentas; dan
xi. Memindahkan wang kerajaan ke Bank Islam.

Tindakan Kerajaan PAS memulakan perlaksanaan Islam dengan perkara-perkara kecil ini adalah untuk mewujudkan suasana kondusif ke arah perlaksanaan kanun jenayah syariah, tetapi dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tindakan tidak bersungguh-sungguh PAS dalam melaksanakan syariat. Sebenarnya, dalam masa yang sama, Kerajaan PAS Kelantan telah turut menggerakkan usaha-usaha ke arah perlaksanaan syariat sehingga berjaya menggubal Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan pada 24 November 1993.

16 Februari 2016

16 Februari 1995 : Parti Serpihan Timbul Hasil Tidak Puas Hati Sebilangan Pimpinan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1995, bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh, Cikgu Musa Salleh telah mendaftarkan parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) sebagai sebuah parti serpihan PAS kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan PAS Kelantan yang dikatakan tidak melaksanakan hudud dengan segera. Semenjak awal 1991, beberapa pimpinan PAS dari kelompok ini telah mempersoalkan kewibawaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan kerana kononnya lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dalam pentadbiran daripada melaksanakan undang-undang jenayah syariah.

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 telah mempertegaskan bahawa hudud akan dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat-peringkat, bukannya dengan tergesa-gesa. Dalam pada itu, pada 7 November 1992, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah berjaya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS, sebelum ia dibentangkan di DUN Kelantan pada 24 November 1993. Walau bagaimanapun Cikgu Musa mendakwa PAS tidak mampu mentadbir secara Islam kerana kegagalan menyegerakan perlaksanaan hudud ini.

Ekoran dari rasa tidak puas hati dengan pendekatan bertahap yang dibuat oleh Kerajaan PAS dalam perlaksanaan hukum jenayah syariah ini, pada 5 Februari 1992, Cikgu Musa yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh telah bertindak keluar dari PAS, tetapi gagal menarik ahli-ahli PAS bersama beliau. Pada 13 Julai 1994 beliau mengumumkan penubuhan parti baru serpihan PAS, AKIM yang hanya disertai oleh ahli-ahli keluarga dan pengikut tegarnya sahaja.

AKIM yang hanya berjaya didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 16 Februari 1995 telah dipimpin oleh Cikgu Musa (1995-1998), Mohd Din Nizam Din (1998-1999), Muhammad Yusof (1999-2002), Hanafi Mamat (2002-2009) dan Zakaria Salleh (2009-2010). Pada 15 Disember 2010, parti ini telah diambil alih oleh kumpulan serpihan PKR yang diketuai oleh Dato' Zaid Ibrahim, bekas Naib Presiden PKR, lalu ditukar nama kepada parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA).

KITA yang dilancarkan secara rasmi oleh Dato' Zaid pada 19 Januari 2011 di Kuala Lumpur tidak pernah aktif, sehinggalah muncul kenyataan Dato' Dr Mujahid Yusof, Pengerusi Jawatankuasa Interim Gerakan Harapan Baru (GHB) yang disiarkan oleh The Malaysian Insider pada 31 Julai 2015, bahawa kumpulan serpihan PAS itu akan mengambil alih parti KITA dan menukar namanya kepada Democratic Islamic Party (DIP) pada 31 Ogos 2015. Namun begitu, Setiausaha Pusat KITA, Azmi Othman telah menafikan tindakan GHB, kerana menurut semakan beliau di RoS pada 19 Ogos 2015 mendapati ada pihak yang telah memalsukan maklumat untuk mengambil alih KITA dan diserahkan kepada GHB. Satu laporan polis dibuat di Kajang kerana pemalsuan ini, dan GHB terpaksa mengambil alih Parti Pekerja Malaysia (PPM).

15 Februari 2016

15 Februari 1989 : Haji Yusof Rawa Meletakkan Jawatan Yang Dipertua Agung PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi atau lebih dikenali sebagai Pak Yusof Rawa telah meletakkan jawatan beliau sebagai pemimpin utama PAS yang dipegang sejak 23 Oktober 1982. Pengumuman perletakan jawatan yang dibuat di Pulau Pinang ini telah sekali gus membolehkan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor memangku jawatan utama PAS tersebut.

Pak Yusof Rawa memaklumkan bahawa beliau bertindak demikian kerana keuzurannya, tetapi kekal sebagai Mursyidul Am PAS. Pak Yusof Rawa yang dilahirkan di Lebuh Aceh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922 telah mendapat pendidikan Sekolah Melayu sebelum memasuki sekolah Inggeris, Penang Free School dan akhirnya mengikuti pengajian agama di Mekah. Beliau yang mendapat Diploma Takhasus Deeni dari Maahad al-Falah, Mekah telah turut mendapat Diploma Perniagaan dari Bennete College, Sheffield, United Kingdom. Pada peringkat awal beliau terlibat dalam perniagaan di Mekah dan Mesir, sebelum mengambil alih perniagaan ayahnya di Pulau Pinang pada 1947, selain turut memberi khidmat sebagai Pengerusi Badan Tadbir Madrasah al-Mashoor. Beliau merupakan pengasas dan Bendahari Kehormat pertama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang pada 1952.

Pak Yusof Rawa yang telah terpengaruh dengan gerakan Ikhwanul Muslimun di Mekah telah menyertai PAS pada 1952. Pada 1959, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, selain turut menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS beberapa kali antara1956 sehingga 1979.

Ketika krisis kepemimpinan PAS tercetus pada akhir 1970-an, Pak Yusof Rawa telah dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS (1979-1981), sebelum dipilih pula sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (1981-1983). Ekoran perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 23 Oktober 1982, beliau telah Pemangku jawatan tersebut. Pada 1983, beliau dipilih secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS sehingga beliau meletakkan jawatan pada 15 Februari 1989.

Selain menjadi pemimpin utama PAS, Pak Yusof Rawa pernah mengejutkan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum 1969 apabila beliau mengalah Dr Mahathir Mohamed. Pada 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Utama, sebelum dihantar ke Tehran pada 1976 sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran, Afghanistan dan Turki sehingga 1979. Beliau yang pernah menjadi Konsulat Iraq di Pulau Pinang pada 1960-an dan Ketua Delagasi Malaysia ke Taiwan pada 1972, pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1973.

Pak Yusof Rawa juga terkenal kerana menerbitkan majalah reformis, al-Islah pada 1960-an dan 1970-an. Beliau juga telah menghasil Tafsir ar-Rawi Juz Amma, selain menulis buku-buku teks sekolah agama. Dengan segala pengalamannya, pada 10 November 1987 beliau dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama sehingga 1994. Beliau yang pernah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 1992 telah memilih untuk terus istiqamah bersama perjuangan PAS sehingga akhir hayatnya pada 28 April 2000.

14 Februari 2016

14 Februari 1965 : PAS Tolak Dakwaan Terlibat Merancang Kerajaan Dalam Buangan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1965, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menolak dakwaan Naib Yang Dipertua Agungnya yang ditahan ISA, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani bahawa PAS terlibat merancang penubuhan kerajaan dalam buangan di luar negara. Menyesali pengakuan yang dibuat oleh Dato' Raja Mohd Hanifah pada 13 Februari 1965 ini, PAS menganggap semua pengakuan itu sebagai tindakan peribadi Naib Yang Dipertua Agungnya tanpa pengetahuan parti, sedangkan PAS tidak pernah berniat dan merancang untuk membelakangi Perlembagaan negara.

Dato' Raja Mohd Hanifah telah ditahan ISA pada 25 Januari 1965, empat hari sebelum Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin al-Helmy ditahan. Mereka dituduh merancang kegiatan subversif untuk menguasai negara ini secara tidak demokratik. Di sebalik penafian Dr Burhanuddin al-Helmy tentang penglibatannya, Dato' Raja Mohd Hanifah telah membuat pengakuan suka rela pada 13 Februari 1965 yang telah disiarkan di radio dan televisyen bersama Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), pemimpin Parti Buruh.

Ketika membuat pengakuan yang turut ditayangkan di Parlimen pada 5 Mac 1965 ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu telah mendakwa bahawa PAS telah menerima sejumlah wang daripada agen Indonesia untuk Pilihan Raya Umum 1964; telah menghantar enam Pemuda untuk 'berlatih' di Indonesia; dan telah merundingkan dengan Indonesia di Tokyo untuk menubuhkan sebuah kerajaan dalam buangan di luar negara. PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan memperjuangkan Melayu Raya telah dituduh menyokong Indonesia dalam isu Konfrantasi Indonesia ketika itu.

Mengulas tentang pengakuan Dato' Raja Mohd Hanifah ini, bekas Menteri Kabinet yang juga Presiden National Convention Party (NCP), Abdul Aziz Ishak yang turut ditahan ISA, telah menjelaskan bahawa beliau diberitahu oleh Dato' Raja Mohd Hanifah yang semua kegiatan subversif itu adalah tindakan peribadi beliau tanpa pengetahuan PAS, dan beliau terpaksa membuat pengakuan sebegitu kerana dijamin akan mendapat pembebasan segera.

Memandangkan PAS tidak terlibat dalam kegiatan subversif seperti yang didakwa ini, PAS bukan sahaja menyesali tindakan Naib Yang Dipertua Agungnya ini, tetapi turut menafikannya pada 14 Februari 1965, yang disusuli oleh penjelasan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah kepada semua Cawangan PAS melalui pekeliling parti pada 7 Mac 1965 tentang pengakuan tersebut.

13 Februari 2016

13 Februari 2012 : PAS Desak Anwar Ibrahim Tarik Kenyataan Sokong Israel

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2012, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memaklumkan kepada media massa bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian yang PAS tidak mengiktiraf negara haram Israel dan mendesak Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya menarik balik kenyataannya yang menyokong konsep penyelesaian dua negara, satu negara untuk rakyat Palestin dan satu negara untuk Yahudi Zionis, Israel. Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian ini ekoran satu berita yang disiarkan oleh Wall Street Journal (WSJ) bahawa Dato' Seri Anwar menyokong usaha penyelesaian dua negara untuk menjaga keselamatan Israel.

Ekoran laporan WSJ ini, para pemimpin Umno telah membuat kritikan dan kecaman terhadap Dato' Seri Anwar yang dilihat mengikut jejak langkah Barat dalam isu Israel ini. Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya pada 11 Februari 2012 menegaskan bahawa PAS menolak formula penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik Asia Barat. PAS berpegang bahawa haram menerima kewujudan negara haram ini. Para pemimpin Umno pula mendakwa kenyataan itu memalukan negara dan umat Islam.

Kenyataan Dato' Seri Anwar ini telah mendapat komen negatif yang meluas daripada ahli-ahli politik semenjak akhir Januari 2012 lagi, yang bukan sahaja telah memberikan kesan buruk kepada imej umat Islam dan negara, tetapi juga kepada pakatan pembangkang. Atas sebab kenyataan Dato' Seri Anwar yang kemudiannya didakwa oleh beliau sebagai dimanipulasikan, Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil pendirian untuk mendesak Dato' Seri Anwar agar menarik balik kenyataannya atau jika ia tidak benar, beliau perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ untuk membersihkan nama beliau.

PAS berpegang dengan prinsip bahawa Palestin adalah hak umat Islam dan haram menerima kewujudan negara haram Israel itu. Menurut Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz, keselamatan Israel bukan menjadi tanggungjawab umat Islam atau orag Arab, tetapi ia adalah akibat kezaliman Yahudi sendiri kerana mereka telah menubuhkan negara haram atas dasar kezaliman. "Islam lebih mementingkan hak asasi, keadilan, kemanusiaan dan hubungan baik, tetapi sesekali tidak akan berkompromi dengan kezaliman ini," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Sebagai menunjukkan pendiriannya, PAS telah menghantar surat dari Majlis Syura Ulamak PAS kepada Dato' Seri Anwar untuk mendesak beliau menarik balik kenyataannya itu.

12 Februari 2016

12 Februari 1981 : Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Di Dakwa Atas Penjelasan Isu Akidah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Timbalan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar yang juga Mudir Madrasah ad-Diiniah al-Bakriah (Pondok Pasir Tumbuh) telah didakwa di Mahkamah Syariah Besut kerana kuliah agamanya yang menjelaskan batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat. Dalam bacaan kes pada 10 Februari 1981, beliau dikatakan memberi fatwa yang mengkafir orang Umno, dan kes ini mula dibicarakan pada 12 Februari 1981. Beliau didakwa berbuat demikian pada 4 November 1979 di Surau Salleh Mat Ali, Kampung Sebarang Sungai, Keruak,Hulu Besut.

Isu kafir-mengkafir ini timbul semula pada awal 1980-an ekoran tekanan politik berterusan Umno dalam menghadapi arus kebangkitan Islam pada permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980). Isu yang asalnya kuliah tentangan batas iman dan kufur telah diperbesarkan sehingga timbul isu Amanat Haji Hadi pada 7 April 1981. Sebagai langkah menhhadapi tindakan Umno yang menggunakan mahkamah untuk mendakwa pemimpin PAS ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah menerbitkan buku bertajuk 'Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS' pada 1980 yang diubah suai daripada kertas Kerja Tuan Guru Haji Zakaria Ismail, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Abu Bakar dan Ustaz Mohamad Daud dengan kerjasama Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Mereka telah menjelaskan hukum murtad dalam politik berlaku kepada tiga golongan iaitu orang yang menghalalkan pemisahan agama dari politik, orang yang menolak undang-undang Allah dan menggantikan dengan undang-undang manusia serta orang yang berpendapat maslahat manusia adalah berlainan daripada yang syariat Allah. Asas inilah yang membentuk ketegangan apabila para ulamak PAS menyebut tentang tiga jenis perbuatan yang merosakan aqidah dalam politik, sehingga pemimpin parti sekular Umno merasakan ia dituju kepada mereka.

Tuan Guru Haji Mustafa adalah seorang ulamak terkenal di Kelantan yang merupakan lepasan Pondok Tok Kenali (1937-1940), Pondok Haji Ali Pulau Pisang (1940-1943), Pondok Bunut Payung (1943-1950) dan berguru di Mekah selama empat tahun (1950-1953). Pada 1954, beliau mengasaskan Pondok Pasir Tumbuh bersama adiknya, Tuan Guru Haji Abdul Aziz dan menjadi mudir pondok terbesar di Kelantan ini. Dalam PAS, beliau akrif sebagai pimpinan Dewan Ulamak PAS Kelantan, selain pernah menjadi Ahli Perhubungan PAS Kelantan dan Timbalan Pengerusi Jamaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Dengan tuduhan yang menyifatkan kenyataan beliau sebagai 'fatwa' oleh Mahkamah Syariah Besut, pada 14 Februari 1981, beliau telah dikatakan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan. Kes ini kemudiannya dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dan hukuman penjara ditangguhkan. Ketika kes ini masih dibicarakan, Tuan Guru Haji Mustafa telah meninggal dunia pada 19 April 1984 tanpa sempat menjalani hukuman tersebut.

11 Februari 2016

11 Februari 1985 : UMNO Gelisah Apabila PAS Dekati Kaum Cina

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1985, para pemimpin Umno di pelbagai peringkat telah memberikan respon yang bercampur-campur dan tidak kurang juga yang mengutuk tindakan PAS mendekati orang Cina sebagai strategi politik dakwahnya yang baru. Media massa sejak 12 Februari 1985 telah menyiarkan kritikan-kritikan sinis pemimpin Umno terhadap strategi baru PAS.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno ialah mengapa PAS mengadakan program di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan mendakwa bahawa tempat tersebut telah digunakan oleh orang Cina untuk program yang menghidangkan babi dan minuman keras. Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mohd Najib Razak adalah antara yang lantang menuduh PAS tidak memperjuangkan agama, tetapi untuk kepentingan politik semata-mata.

Isu pendekatan baru PAS terhadap orang Cina ini timbul ekoran keputusan PAS pada 6 Oktober 1983 yang mahu PAS menganjurkan seminar untuk mendekati orang Cina. Strategi baru ini telah dibangkitkan dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April-1 Mei 1983. Pada 15 Oktober 1984, PAS telah menjemput MCA berdialog, tetapi gagal kerana MCA meletakkan pelbagai syarat. Ekoran itu, Lajnah Mustad'afin PAS Setapak menganjurkan simposium bertajuk 'Islam dan Perpaduan Negara' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor pada 10 Februari 1985.

Simposium ini mengemukakan empat kertas Kerja iaitu 'Islam Sebagai Kekuatan Penyatu Politik Keadilan' oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, 'Penyelesaian Islam Kepada Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Dr Jomo Kwame Sundram, 'Islam Sebagai Teras Pembangunan' oleh Dr Chandra Muzaffar dan 'Penyelesaian Islam Terhadap Masalah Masyarakat Majmuk' oleh Ustaz Harun Taib. Ketika menutup simposium ini, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa orang Cina boleh menjadi pemimpin utama negara ini dengan syarat dia beragama Islam, warak dan mempunyai kelayakan sebagai pemimpin.

Bertolak dari simposium pada 10 Februari 1985 yang berjaya menjelaskan kekeliruan orang Cina terhadap Islam, maka para pemimpin Umno keesokkannya telah menyerang PAS dengan isu-isu perkauman dan agama yang sempit kerana bimbang pengaruh PAS terhadap orang bukan Melayu. Pemimpin Umno menyiarkan keterbukaan PAS menerima orang Cina sebagai pemimpin adalah tidak sesuai dengan keadaan politik negara.

PAS sendiri telah mengambil langkah mengukuhkan hubungan dengan orang Cina melalui seminar dan penerangan tentang Islam. Seminar-seminar dengan masyarakat Cina telah dibuat di Kuala Lumpur pada 5 Mei 1985, di Kota Bharu pada 26 Julai 1985 dan di Kuala Terengganu pada 14 September 1985 telah menimbulkan kritikan keras dari Umno. Akhirnya, PAS berjaya menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) pada awal 1986.

10 Februari 2016

10 Februari 1961 : PAS Sokong Dato Onn Kemuka Usul Melayu Sebagai Rupa Bangsa

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1961, pemimpin Parti Negara (PN), Dato' Onn Jaafar yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengemukakan satu usul ke Dewan Rakyat untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan bagi negara yang baru merdeka ini. Usul ini diangkat oleh Dato' Onn dengan mendapat sokongan daripada PAS, kerana PN dan PAS telah membentuk kerjasama politik yang tidak rasmi semenjak 1959 sehingga membolehkan Dato' Onn sebagai ahli politik vateran menjadi ahli parlimen tunggal PN di Dewan Rakyat.

Sebenarnya semenjak sebelum merdeka PAS telah berpegang dengan hakikat bahawa Tanah Melayu adalah menjadi hak orang Melayu dan hak ketuanan Melayu ini mesti dipertegaskan dalam Perlembagaan Tanah Melayu merdeka, tetapi hasrat PAS tidak menjadi kenyataan kerana Umno mahukan Melayu diberikan hak-hak istimewa sahaja. Dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias pada 25 Disember 1955, telah dipertegaskan tentang Melayu sebagai rupa bangsa negara ini. PAS turut mengingatkan Rombongan Kemerdekaan ke London pada 18 Januari - 8 Februari 1956 supaya tidak mengabaikan persoalan ketuanan Melayu dalam rundingan kemerdekaan.

Kepada Suruhanjaya Reid, dalam memorandum pada 14 Julai 1956, sekali lagi PAS menghuraikan persoalan rupa bangsa dan ketuanan Melayu, tetapi ia gagal mengubah sikap Suruhanjaya Reid yang lebih mengutamakan pandangan Umno. Ekoran itu, pada 1 September 1958, PAS dalam kawatnya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra sekali lagi menegaskan bahawa Melayu mesti menjadi rupa bangsa dan kebangsaan bagi Tanah Melayu, tetapi pandangan ini tidak dihiraukan Umno.

Oleh kerana Umno gagal menjamin kedudukan orang Melayu ini, bekas Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar sebagai pemimpin utama PN telah membawa usul ke Dewan Rakyat pada 10 Februari 1961 bagi menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa dan kebangsaan negara ini. Usul yang dikemukakan dengan sokongan PAS ini sebenarnya telah disepakati bersama PAS dan PN dalam Kongres Kebangsaan Melayu Kedua pada 4-7 Mei 1957 di mana dalam kongres ini wakil PN telah mengangkat usul Melayu sebagai kebangsaan tunggal bagi Tanah Melayu, manakala wakil PAS mencadangkan usul untuk menjamin ketuanan dan keistimewaan bangsa Melayu, selain kedudukan Islam dan bahasa Melayu.

Apabila usul ini diangkat ke Dewan Rakyat oleh Dato' Onn pada 10 Februari 1961, sembilan orang wakil rakyat Perikatan telah berucap menentang usul ini kerana menganggap ia akan menggugat kedudukan bangsa lain, sedangkan bagi PAS, kebangsaan Melayu bukan bermakna bangsa lain menjadi Melayu, tetapi mereka diberikan kerakyatan, manakala orang Melayu mempunyai hak yang mutlak ke atas negara ini. Empat Ahli Parlimen PAS, iaitu Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut), Othman Abdullah (Tanah Merah), Zulkifli Mohamad (Bachok) dan Khadijah Sidek (Dungun) telah berucap menyokong usul ini pada 11 Februari 1961. Lanjutan daripada itu juga, pada 26 Mei 1967, ekoran lulusnya Akta Bahasa Kebangsaan 1967, PAS melalui Abu Bakar Hamzah (Bachok) telah sekali lagi mengemukakan usul untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia, tetapi Gagasan PAS terus dipinggirkan sehingga tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

09 Februari 2016

09 Februari 1988 : PAS Persoal Status Kerajaan BN Ekoran Pengharaman UMNO

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mempersoalkan kedudukan Kerajaan BN di seluruh negara yang telah kehilangan majoriti di Parlimen dan juga DUN-DUN ekoran pengharaman Umno oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Kesan daripada perpecahan Team A dan Team Umno dalam pemilihan parti sekular itu pada 24 April 1987, Team B telah membawa Umno ke mahkamah untuk mengisytiharkan pemilihan parti tidak sah kerana turut disertai oleh 30 cawangan yang tidak berdaftar.

Hakim Harun Hashim kemudiannya mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang haram 4 Februari 1988. Dengan pengharaman Umno selaku parti utama dan terbesar BN, telah menyebabkan BN kehilangan majoriti di Parlimen dan DUN kerana wakil Rakyat Umno telah menjadi wakil Bebas, sekali gus menghilangkan kelayakan mereka menjadi parti pemerintah.

Bertindak balas terhadap keadaan ini, Team B Umno telah menubuhkan parti Umno Malaysia dengan sokongan dua bekas Presiden Umno, Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn. Parti baru yang cuba didaftarkan pada 8 Februari 1988 ini telah ditolak permohonan mereka oleh Pendaftar Pertubuhan, sebaliknya permohonan Team A yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamed untuk mendaftarkan parti Umno Baru telah diluluskan pada 13 Februari 1988.

Bertolak dari pengharaman Umno ini, PAS telah mengambil beberapa langkah politik selain mempersoalkan kehahihan BN sebagai kerajaan, iaitu menyeru orang Islam supaya bersatu di bawah payung PAS setelah Umno diharamkan, menyusun pertemuan dengan parti-parti pembangkang dan menubuhkan Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh Wan Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan Dato' Hishsmuddin Yahya untuk mengkaji tindakan lanjut dari sudut undang-undang tentang kesahihan Kerajaan BN.

Lanjutan daripada ketidaktentuan Kerajaan BN ini, walaupun Umno Baru telah berjaya ditubuhkan, tetapi rata-rata bekas wakil rakyat Umno terutama di Kelantan adalah penyokong Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Maka PAS Kelantan yang menguasai 10 dari 39 kerusi DUN telah mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Mohamed Yaacob, Menteri Besar Kelantan. Usul yang dikemukakan oleh Adun Banggol, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman pada 12 Mac 1988 ini walau bagaimanapun tidak mendapat sokongan Adun-adun Team B yang belum mempunyai pendirian politik yang jelas ketika itu walaupun Umno telah diharamkan.

08 Februari 2016

08 Februari 1956 : PAS Menyokong Perjanjian Kemerdekaan Di London

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, Rombongan Kemerdekaan ke London yang diketuai oleh Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah menandatangani 'Memorandum of United Kingdom' iaitu satu memorandum yang digubal oleh British tentang ciri-ciri negara merdeka bagi Tanah Melayu. Memorandum ini adalah dokumen utama yang menentukan corak negara Tanah Melayu merdeka dan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, termasuk asas penubuhan Suruhanjaya Reid untuk menggubal Perlembagaan Tanah Melayu.

Rombongan Kemerdekaan ini berada di London antara 18 Januari hingga 8 Februari 1956 untuk merundingkan perkara kemerdekaan. Walau bagaimanapun, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam merumuskan bahawa "Tunku Abdul Rahman dan rombongannya tidak dapat berbuat banyak untuk menegakkan kehendak mereka" sebaliknya terpaksa mengikut sahaja "panduan tentang bentuk kerajaan, kerakyatan, kewangan dan pertahanan yang dirangka (oleh British)." Menurut Ramlah Adam lagi, Tunku Abdul Rahman tidak berkesan dalam rundingan ini kerana ia dikuasai oleh British.

Sebelum Rombongan Kemerdekaan bertolak ke London, PAS telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Keempat di Kota Bharu pada 26-28 Disember 1955 yang telah mempertegaskan sikap PAS yang menyokong penuh rombongan tersebut untuk merundingkan kemerdekaan negara. Dalam Ucapan Dasarnya, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah menggariskan prinsip-prinsip penting rundingan tersebut iaitu: 

I. Berkerajaan sendiri dengan kemerdekaan penuh yang tidak lewat dari tahun 1959;
II. Memperjuangkan kemerdekaan mengikut lunas-lunas Perlembagaan yang tidak mengikut tafsiran penjajah;
III. Kebangsaan bagi Tanah Melayu hendaklah Melayu dan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi;
IV. Rombongan Kemerdekaan jangan mencuaikan hak dan kedaulatan Melayu dalam semua perkara;
V. Islam mestilah dijadikan panduan pentadbiran dan perjalanan negeri sehingga terbentuk pemerintahan mengikut al-Quran, Sunnah dan Ijmak yang nyata; dan
VI. Menyokong menghapuskan jawatan Penasihat British.

Walaupun Tunku Abdul Rahman gagal mencapai hasrat PAS, bahkan hasrat Perikatan sendiri dalam rundingan yang berakhir pada 8 Februari 1956 kerana kelemahan beliau seperti yang digambarkan oleh Ramlah Adam ini, namun PAS tetap memberi sokongan kerana matlamat utama perjuangan PAS adalah memerdekaan tanah air bagi ditegakkan Negara Islam.

Namun di sebalik kegagalan rundingan ini dalam menentukan corak negara, Tunku Abdul Rahman telah mengelirukan rakyat dengan hanya memaklumkan bahawa Suruhanjaya Perlembagaan "have been agreed" sebagai tanda kejayaan rundingan dan Umno telah membesarkan tarikh 31 Ogos 1957 untuk menutup kelemahan mereka dalam rundingan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 ini. PAS pula telah berusaha untuk mempengaruhi Suruhanjaya Reid bagi memastikan hasratnya dicapai.

07 Februari 2016

07 Februari 1996 : UMNO Dedah Pengkhianatan Kerjasama Semangat 46 Terhadap PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1996, PAS telah dikejutkan oleh pengesahan yang dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Mohamed Rahmat bahawa beberapa pemimpin utama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) telah bertemu dengan beliau dalam rangka mencari jalan untuk parti itu kembali bersatu dengan Umno. Pengesahan Setiausaha Agung Umno ini membuktikan PMS46 telah mengkhianati kerjasama yang dibentuk dengan PAS semenjak 1988.

Hubungan PAS-PMS46 telah mulai tergugat selepas Pilihan Raya Kecil Gua Musang pada 29 Ogos 1995 yang berlangsung serentak dengan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 25-27 Ogos 1995. Beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang diikuti oleh konflik dengan istana dan tindakan Timbalan Menteri Besar II, Dato' Mohd Rozali Isohak yang telah mengkritik Kerajaan Kelantan, telah menyebabkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Abdullah Arshad mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 14 Oktober 1995 supaya hubungan dengan PMS46 dibuat kajian secara menyeluruh kerana ia telah merugikan PAS.

Dalam pada itu juga, PMS46 terus memberi tekanan kepada PAS, termasuk bertindak memboikot majlis angkat sumpah Ahli Majlis MPKB pada 30 Januari 1996. Pada 5 Februari 1996, PMS46 telah menghantar wakil mereka berunding dengan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mendesak PAS supaya sentiasa berunding dengan PMS46 dalam menyusun dasar-dasar baru kerajaan, menandatangani perjanjian rasmi dengan PMS46, mengagihkan kuota jawatan 60:40, melaksanakan hudud dan melantik mufti sebagai Exco Kerajaan.

PAS walau bagaimanapun melihat desakan PMS46 ini tidak berasas kerana mereka juga berasa dalam barisan Exco Kerajaan Kelantan yang sama-sama berunding dan memutuskan dasar-dasar kerajaan. Semua pandangan PMS46 kepada kerajaan boleh disalurkan melalui Mesyuarat Exco.

Presiden PMS46, Tengku Razaliegh Hamzah pula pada 10 Februari 1996 telah menyatakan kesediaan mereka untuk kembali kepada Umno ekoran kenyataan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamed pada 8 Februari 1996 bahawa Umno bersedia menerima semula PMS46. Dengan pengakuan Setiausaha Agung Umno pada 7 Februari 1996 bahawa PMS46 berhasrat untuk kembali kepada Umno, Lajnah Politik dan Pilihan Raya PAS pada 12 Februari 1996 telah mengkaji semula hubungan dengan PMS46 dan memutuskan untuk mengukuhkan Kerajaan Kelantan dengan meningkatkan Perlaksanaan Islam, membuka pintu keahlian kepada ahli-ahli PMS46, menyerahkan kerjasama dengan Berjasa dan Hamim. PAS kemudiannya, pada 14 Julai 1996 memutuskan secara rasmi hubungan dengan PMS46.

06 Februari 2016

06 Februari 1983 : PAS Kelantan Beri Taklimat Tentang Isu Disiplin Dato' Asri Haji Muda

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, PAS Kelantan telah mengadakan majlis taklimat khusus kepada semua peringkat pimpinan PAS di Kelantan untuk memperjelaskan isu perletakan jawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS bersama beberapa pemimpin PAS yang lain, dan juga isu tindakan disiplin yang dikenakan ke atas Dato' Mohd Asri dan 12 orang pengikutnya. Taklimat ini telah dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Taklimat ini adalah rentetan daripada perletakan jawatan Mohd Asri pada 23 Oktober 1982, diikuti oleh beberapa tindakan kumpulan pengikutnya yang merugikan kepentingan parti. Pada 23 Januari 1983, Jawatankuasa Tatatertib PAS telah memecat keahlian Dato' Ishak Lotfi Omar dan Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad, di samping menggantung keahlian lapan orang yang lain iaitu Mohd Asri, Cikgu Mohd Fakharuddin Abdullah, Haji Hassan Mohamad, Abdul Hamid Saleh, Wan Ismail Ibrahim, Mohd Zahari Awang, Shaari Awang Ali dan Solahuddin Abdullah. Tiga orang lagi diberi amaran iaitu Cikgu Mohd Zain Abdullah, Wan Ibrahim Wan Abdullah dan Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim.

Dalam taklimatnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan sebab-sebab mereka dikenakan tindakan. Mohd Asri antaranya telah menimbulkan kemarahan ahli-ahli PAS dengan melantik pimpinan yang tidak disukai ahli, membayangkan PAS akan bekerjasama dengan DAP dan BN, membentangkan Ucapan Dasar yang bercanggah dengan hasrat parti yang membawa kepada perpecahan dalam PAS. Selain itu, faktor gerakan kumpulan haram yang dibentuk oleh penyokong Mohd Asri telah memecahkan PAS dengan menuduh adanya konspirasi bertopengkan ulamak, mendakwa PAS dipengaruhi oleh Syiah dan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak sebagai organisasi haram dalam PAS.

Sebagai langkah untuk membendung kerosakan yang lebih besar, PAS telah mengambil tindakan disiplin ke atas mereka, walaupun ada usaha-usaha penyokong Mohd Asri untuk bersemuka dengan pimpinan baru PAS, selain cubaan untuk mendamaikan kedua-dua pihak.

Taklimat yang dibuat oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 6 Februari 1983 ini telah melegakan ahli-ahli PAS yang selama ini dikelirukan oleh dakyah-dakyah yang dibuat oleh kumpulan serpihan ini, sedangkan mereka tidak memahami mengapa PAS bertindak sedemikian. Ucapan taklimat Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini kemudiannya telah sebarkan kepada ahli-ahli PAS dengan judul 'Kemuncup Dalam Perjuangan'.

05 Februari 2016

05 Februari 2009 : Kerajaan PR Perak Tumbang Kerana Rampasan Kuasa Yang Tidak Demokratik

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2009, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak yang dipimpin oleh PAS telah tumbang dalam satu rampasan kuasa secara tidak demokratik oleh BN dengan menculik dan membeli Adun-adun PR untuk mendapatkan kuasa seperti yang pernah dilakukan di Terengganu dan Sabah sebelum ini. Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah dijatuhkan dari kerusinya apabila Sultan Perak, Paduka Sri Sultan Azlan Muhibuddin Shah menerima permohonan 27 Adun BN untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan PR Perak mula tergugat apabila dua anggota Exco dari PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) telah berpihak kepada BN setelah mereka dituduh mengambil rasuah sebanyak RM180 juta di Mahkamah Sesyen pada 25 Ogos 2008. Ekoran tindakan mereka menyokong BN pada akhir Januari 2009, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar pada 1 Februari 2009 mengisytihar dua kerusi tersebut kosong berdasarkan surat akujanji mereka, tetapi SPR pada 3 Februari 2009 mengumumkan sebaliknya.

Dalam konflik politik ini, pada 25 Januari 2009, Adun Bota dari BN, Dato' Nasharuddin Hashim telah menyertai PKR, tetapi pada 4 Februari 2009, beliau muncul bersama-sama Adun Behrang dan Adun Changkat Jering dan Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Fong di Kuala Lumpur bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menyatakan sokongan kepada BN. Dengan pengkhianatan empat Adun dari PKR dan DAP ini, BN kembali mendapat majoriti mudah dan memohon kepada Sultan Perak untuk menubuhkan kerajaan.

Permohonan Mohd Nizar untuk membubarkan DUN Perak pada 5 Februari 2009 telah ditolak oleh Sultan Perak, sebaliknya Baginda menitahkan supaya Menteri Besar Perak dan exconya meletakkan jawatan pada hari tersebut atau dianggap telah meletakkan jawatan. Keesokkannya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar perak yang baru dari BN.

Mohd Nizar kemudiannya membawa kes ini ke mahkamah pada 13 Februari 2009 untuk menghalang Dr Zambry menjadi Menteri Besar Perak dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 April memberi laluan kepada Nizar untuk mencabar Zambry. Dalam tempoh ini, berlaku Sidang DUN di bawah pokok pada 3 Mac 2009 dan kekecohan di DUN Perak pada 7 Mac 2009 selepas sidang dirasmikan oleh Raja Dr Nazrin Shah, Raja Muda Perak.

Pada 11 Mei 2009, Nizar diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar yang sah, tetapi Zambry mengemukakan kes ini ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mei 2009 dan dibenarkan kekal sebagai ketua kerajaan sehingga keputusan rayuan dibuat pada 22 Mei 2009. Dalam penghakiman pada 22 Mei 2009 itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Dr Zambry adalah Menteri Besar yang sah dan mengikut Perlembagaan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Nizar telah membawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan pada 5 November 2009 di mana Panel Lima Hakim telah mendengar penghujahan dan kes ditangguh pada 5 Februari 2010. Kes ini berakhir dengan keputusan yang memihak kepada Dr Zambry pada 9 Februari 2010.

04 Februari 2016

04 Februari 1990 : PAS Bersama Semangat 46 Tetapi Tidak Pada DAP

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1990, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mempertegaskan bahawa PAS tidak terbabit dalam kerjasama politik yang dibentuk antara S46 dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum 1990. Tindakan S46 mengadakan hubungan serentak dengan PAS melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan DAP menerusi Gagasan Rakyat (GR) adalah strategi presidennya, Tengku Razaliegh Hamzah untuk membolehkan pembangkang menguasai Malaysia dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan.

Isu kerjasama PAS-DAP telah timbul ekoran kenyataan Tengku Razaliegh pada 9 Disember 1989 tentang hubungan antara S46 dengan DAP sehingga memungkinkan PAS memutuskan hubungan dengan S46 atas sebab perbezaan dasar, terutama DAP yang menolak Negara Islam. Ekoran itu, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin S46 dan membayangkan bahawa PAS mengkaji semula hubungan kedua-dua parti jika S46 meneruskan hasrat membentuk pakatan politik dengan DAP.

Di pihak PAS sendiri wujud tentangan hebat terhadap S46 kerana bekerjasama dengan DAP, terutama Kumpulan Islah di Kelantan, PAS Kuala Selangor dan PAS Parit Buntar di Perak. Pihak Umno pula mengambil kesempatan menuduh PAS bekerjasama dengan DAP melalui S46 semasa Pilihan Raya Kecil DUN Pantai Merdeka pada 24 Mac 1990. Bendahari PAS Pusat, Cikgu Mustafa Ali sebaliknya menyatakan bahawa PAS akan membuat kajian hukum dan implikasi politik berkait kerjasama PAS-DAP ini, kerana PAS tidak mahu dikaitkan dengan DAP.

Menyedari konflik yang timbul inilah, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 10 Januari 1990 memutuskan untuk tidak mengkaji semula hubungan dengan S46 atas alasan parti itu berhak berkawan dengan sesiapa sahaja, tetapi PAS menasihati S46 supaya tidak terlalu terbuka dalam hubungan dengan DAP demi menjaga sensitiviti orang Melayu.

Ustaz Fadzil Mohd Noor pada 4 Februari 1990 telah mempertegaskan pendirian PAS ini kepada umum bahawa PAS tiada hubungan dengan DAP, sebaliknya S46 berhak terhadap dalam hubungan tersebut. Berlanjutan daripada itu, pada 12 Mei 1990, sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh PAS untuk mengkaji tahaluf siasi telah merumuskan keharusan hukum untuk PAS bertahaluf dengan DAP dalam isu kemanusiaan dan memberikan fokus kepada musuh yang sama.

03 Februari 2016

03 Februari 1982 : PAS Gubal Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan sebuah undang-undang kecil di bawah Perlembagaan PAS (Pindaan) 1973 yang dikenali sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982 yang bertujuan untuk mengawal pemilihan calon-calon PAS dalam pilihan raya, khususnya Pilihan Raya Umum Keenam yang dijangka berlangsung pada Mac atau April 1982. Aturan dan peraturan ini pada asalnya dikemukakan oleh Dewan Ulamak PAS Pusat ekoran daripada masalah disiplin calon-calon dan wakil rakyat PAS yang berbangkit semenjak 1969.

Isu disiplin wakil rakyat yang tidak menghormati tatatertib parti ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969 di mana ada wakil rakyat PAS yang melompat parti dengan menyertai parti lain selepas memenangi pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Umum 1974, terdapat pimpinan PAS yang bertanding sebagai calon Bebas. Selepas 1974 pula, terdapat wakil rakyat PAS yang memberi walak kepada rakan pakatan PAS dalam BN. Tidak kurang juga terdapat wakil rakyat yang mengkritik parti sendiri dalam krisis politiknya Kelantan pada 1977.

Sedangkan, dalam pilihan raya 1978, terdapat pemimpin PAS yang telah digugurkan sebagai calon telah bertindak menggunakan kedudukan dalam parti dan hubungan peribadi dengan pemimpin tertentu untuk terus menjadi calon walaupun ditolak oleh parti dan juga rakyat. Di Kelantan, faktor ini dikatakan menjadi sebab utama kekalahan PAS pada 1978 sehingga kehilangan kerajaan, selain kerana perpecahan dengan Berjasa.

Bertolak daripada masalah ini, Dewan Ulamak PAS Kelantan telah membuat satu memorandum berkait masalah calon, manakala Dewan Ulamak PAS Kedah pula menyediakan satu kertas kerja berkait isu yang sama pada 1981. Kedua-dua dokumen ini menjadi asas kepada Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengangkat memorandum kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS dengan sokongan Dewan Pemuda PAS Pusat. Sesetengah pemerhati politik berpendapat bahawa isu pemilihan calon ini timbul kerana adanya usaha untuk menyekat pengaruh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda setelah beliau membuat lantikan parti untuk sesi 1981-1983 tanpa disyurakan dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS.

Ekoran daripada memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 November 1981 telah bergeser kerana Dato' Mohd Asri tidak bersetuju dan mahu menyerahkan urusan calon kepada Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pilihan Raya PAS Pusat. Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membuat keputusan untuk membentuk Jawatankuasa Kecil bagi mengkaji memorandum Dewan Ulamak PAS Pusat supaya ia dijadikan Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS.

Jawatankuasa Kecil ini dianggotai oleh Pak Yusof Rawa (Pengerusi), Ustaz Fadzil Mohd Noor (Timbalan Pengerusi), Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Wan Ismail Ibrahim dan Dato' Abu Bakar Umar sebagai ahli-ahli. Setelah memorandum ini disusun semula dan digubal sebagai Aturan dan Peraturan Pemilihan Calon PAS 1982, ia telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS Pusat pada 3 Februari 1982 dan menjadi panduan pemilihan calon-calon PAS dalam Pilihan Raya Umum pada 22 April 1982. PAS meletakkan 82 calon daripada 114 kerusi Parlimen dan 223 calon daripada 278 kerusi DUN di Semenanjung.

02 Februari 2016

02 Februari 1991 : PAS Tegaskan Hudud Di Kelantan Dilaksana Secara Berperingkat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1991, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mempertegaskan bahawa Kelantan tidak akan melaksanakan hukum hudud secara serta-merta, sebaliknya undang-undang syariat itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan hal demikian ekoran kritikan daripada pemimpin Umno dan juga oleh sesetengah pemimpin PAS yang mengatakan bahawa Kerajaan PAS Kelantan lebih mengutamakan perkara-perkara remeh dan PAS tidak mampu mentadbir.

Beberapa pemimpin PAS seperti Cikgu Musa Saleh, Yang Dipertua PAS Pasir Puteh dan Ustaz Omar Khalid, bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Besut telah mengkritik Kerajaan PAS Kelantan yang didakwa mereka sebagai gagal melaksanakan syariat Islam dalam pentadbiran, mengutamakan hal-hal yang kecil dan tidak mampu mentadbir kerajaan. Bagi mereka perlaksanaan Undang-undang jenayah syariah mesti diberikan keutamaan berbanding perkara lain yang mereka anggap remeh.

Bertolak dari kritikan-kritikan ini, kedua-dua pemimpin PAS ini telah keluar parti di mana Ustaz Omar Khalid telah menyertai Umno, manakala Cikgu Musa Saleh pula menubuhkan parti serpihan PAS, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) pada 1994.

Di sebalik kritikan-kritikan ini, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak sebagai mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat Kelantan pada 6 April 1991, supaya syariat dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan undang-undang keluarga, diikuti oleh undang-undang pusaka, kontak dan tanah sehinggalah undang-undang jenayah. Untuk maksud inilah, Kerajaan PAS Kelantan telah bertindak melarang wanita bekerja malam dan menyertai musabaqah al-Quran, mengharamkan premis judi, memanjangkan tempoh cuti bersalin untuk wanita, arahan menutup aurat, memperkenalkan pinjaman tanpa faedah untuk kakitangan kerajaan, mengharamkan makyong, menora dan wayang kulit, memindahkan wang kerajaan ke Bank Islam dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, PAS menerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Perlaksanaan Syariat yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyediakan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan pada 17 Mac 1991 sebagai persiapan melaksanakan undang-undang jenayah syariah. Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam Ucapan Dasarnya pada 31 Mei 1991 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 telah mempertegaskan bahawa perlaksanaan syariat di Kelantan akan dibuat secara tersusun dan berperingkat-peringkat mengikut perancangan dengan tidak mengenepikan aspek pembangunan, prinsip keadilan dan program-program yang dijanjikan dalam manifesto PAS.

Untuk maksud tersebut juga, draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, sebelum ia diseminarkan dalam satu seminar anjuran Semangat 46 di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 17 Oktober 1993. Pada 24 November 1993 ia dibentangkan di DUN Kelantan dan diluluskan sebagai undang-undang pada 25 November 1993. Pendekatan pentadbiran dan Perlaksanaan Islam yang diamalkan di Kelantan inilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada 2 Februari 1991 sebagai melaksanakan syariat secara berperingkat-peringkat.

01 Februari 2016

01 Februari 1995 : PAS Serah Kepada Mahkamah Tentang Kes Khalwat Mohamad Sabu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1995, PAS telah menegaskan bahawa mereka tidak akan campur tangan, bahkan akan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan kedudukan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Nilam Puri, Mohamad Sabu. Mohamad Sabu yang terkenal sebagai Mat Sabu yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah ditangkap khalwat dengan isteri pemandunya, Norma Abdul Halim di bilik 121, Hotel Perdana, Kota Bharu, pada pagi 31 Januari 1995.

Di sebalik serangan bertubi-tubi media massa dan pemimpin BN dalam isu khalwat ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyifatkan isu ini sebagai satu konspirasi politik, sedangkan Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor mempertegaskan bahawa tindakan disiplin akan diambil ke atas Mat Sabu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) bagaimanapun telah menafikan wujudnya konspirasi dalam isu ini, sedangkan para pemimpin Umno mempersoalkan tindakan PAS mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dal isu moral seperti ini.

Di pihak PAS, walaupun telah menyerahkan kes ini kepada mahkamah, tetapi pada 21 Februari 1995, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengambil tindakan politik dengan menerima perletakan semua jawatan parti oleh Mat Sabu sebagai mengambil tanggungjawab dalam isu ini. Bahkan, PAS Pusat telah memutuskan untuk mengambil tindakan lanjut ke atas Mat Sabu setelah mahkamah membuat keputusan.

Kes ini kemudiannya disebut dalam Mahkamah Syariah Kota Bharu pada 21 Februari 1995, sebelum didengar oleh Kadi Besar Kelantan, Dato' Daud Mohamad pada 25-28 Mac 1995. Dalam penghakimannya pada 4-6 April 1995, Kadi Besar Kelantan itu telah membebaskan Mat Sabu tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwa gagal mengemukakan prima facie ekoran percanggahan ketegangan saksi.

Selain tindakan disiplin yang diambil oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terhadap Mat Sabu, keputusan PAS pada 1 Februari 1995 yang menyerahkan kes ini ke mahkamah telah berjaya menyelamatkan imej PAS yang cuba dicalarkan oleh musuh-musuh politiknya menjelang Pilihan Raya Umum 1995 di mana parlimen telah dibubarkan pada 5 April 1995.