30 April 2016

30 April 1967 : PAS Namakan Lidah Rasminya 'Bulan Bintang'

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1967, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menamakan lidah rasmi PAS yang baru dengan nama "Bulan Bintang," iaitu satu nama yang sinonim dengan lambang PAS, Bulan Bintang. Pada awalnya, PAS telah menamakan majalahnya ini dengan nama "Suara PAS" tetapi ditolak oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebabkan PAS memilih nama baru ini. Pada 10 November 1966, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk menerbitkan semula lidah rasmi PAS, "Suara Islam" yang pernah diterbitkan sejak akhir 1956 hingga 1962, setelah mendapat pembiayaan sebanyak RM14,000.

Bulan Bintang adalah lidah rasmi PAS yang ketiga setelah penerbitan "Majalah PAS" pada 1953, diikuti oleh "Suara Islam" yang terbit selama enam tahun mulai akhir 1956. Setelah itu, PAS hanya menerbitkan risalah-risalah penerangan seperti "Siaran Mingguan PAS" yang terbit pada 1957 dan "Kursus Politik Islam" terbitan 1965. Selepas Bulan Bintang, PAS menerbitkan pula "Berita PAS" ketika berada dalam kerajaan, sebelum menerbitkan semula "Suara Islam" pada 1979-1981. Pada Ogos 1983, PAS mula menerbitkan "al-Harakah," yang diikuti oleh majalah tidak berkala pada 1986-1987, dan akhirnya pada April 1987, diterbitkan pula tabloid Harakah.

Bulan Bintang telah mulai diterbitkan pada Ogos 1967 secara bulanan dalam saiz dan bentuk majalah. Edisi terakhirnya diterbitkan pada Februari 1969. Mulai 22 Mei 1969, iaitu setelah berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 yang mengakibatkan seluruh kegiatan politik digantung, permit penerbitan Bulan Bintang juga telah ditarik balik oleh KDN. Sepanjang tempoh ketiadaan permit penerbitan ini, PAS telah mengeluarkan siarannya yang dinamakan "Siaran Penerangan" antara Januari hingga November 1970. Pada 1 Januari 1971, PAS telah berjaya mendapatkan semula permit penerbitan Bulan Bintang, tetapi kerana faktor ketidakstabilan politik, Bulan Bintang hanya dapat diterbitkan satu edisi sahaja iaitu edisi Jun 1971. Pada asalnya, majalah ini telah dicadangkan untuk diterbitkan dalam tulisan Rumi, tetapi kerana bantahan ahli-ahli PAS, akhirnya semua edisi Bulan Bintang dicetak dengan tulisan Jawi.

Sesuai dengan namanya yang Islamik, Bulan Bintang yang dipersetujui bernama demikian pada 30 April 1967 telah menjadi saluran kepada PAS untuk menyampaikan pemikiran-pemikiran Islam yang menjadi dasar PAS. Secara umumnya, kandungan majalah ini, selain menyifatkan berita-berita kepartian, telah berjaya mengenegah dasar perjuangan PAS, dasar pemerintahan dan sistem Kerajaan Islam, pemikiran kebangsaan Melayu, kebudayaan Islam, sistem ekonomi Islam, reformasi pemikiran ke arah pembentukan negara Islam dan lain-lain. Ia juga menjadi saluran bagi PAS untuk menjawab dan menjelaskan isu-isu semasa yang timbul, terutama berkait persaingan politik antara PAS dan Umno.

29 April 2016

29 April 1966 : Kursus Politik Ahli PAS Di Pantai Timur Di Adakan Di Kota Bharu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1966, PAS telah berjaya menamatkan kursus politik untuk ahli-ahlinya di Kawasan Pantai Timur yang berlangsung selama lima hari sejak 25 April 1966 di Kota Bharu. Kursus ini merupakan sebahagian dari rancangan yang disusun oleh PAS untuk membangunkan ahli-ahlinya bukan sahaja untuk memahami dasar-dasar perjuangan PAS, tetapi juga untuk memahami aspek pembangunan dan pentadbiran kerajaan. Sebenarnya kursus-kursus tak berkala ini adalah program tarbiyah PAS pada peringkat awal dalam konteks pembinaan ahli PAS, sebelum sistem tarbiyah haraki diperkenalkan pada pertengahan 1970-an.

Pada peringkat awal, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyusun satu rancangan menyeluruh pada 13 Ogos 1965 bagi mengadakan siri-siri kursus ini kepada seluruh ahli PAS mengikut zon. Beberapa zon tarbiyah telah dibentuk iaitu Kawasan Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Seberang Perai dan Perak Utara), Kawasan Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Kawasan Selatan (Perak Selatan, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor). Namun begitu, rancangan tarbiyah yang telah disusun untuk sepanjang tahun 1966 ini terbantut ekoran beberapa pilihan raya kecil yang berlaku iaitu di Jitra, Kedah (19 Ogos 1965), Krian Laut, Perak (12 Mac 1967), Sungai Baru, Melaka (19 Mac 1966) dan Bruas, Perak (4 Jun 1966) yang mana PAS telah bertanding di semua kerusi tersebut.

Ekoran daripada kesibukan pilihan raya kecil ini, PAS terpaksa menangguhkan semua kursus yang telah dirancang dan akhirnya berjaya melaksanakan kursus untuk Kawasan Pantai Timur bermula 25 hingga 29 April 1966. Dalam kursus ini, sebanyak enam kertas kerja telah dibentangkan termasuk kertas bertajuk 'Dasar Perjuangan PAS' oleh Ustaz Amaluddin Darus. Pembentang lain yang terlibat ialah Ustaz Abdullah Nakula, Wan Mustapha Ali, Ustaz Khaidir Khatib, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dan Haji Ahmad Abdullah Perai. Para peserta juga turut diberikan taklimat tentang lawatan Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Abu Bakar Hamzah ke Asia Barat, selain turut di bawa melawat tanah-tanah rancangan yang dibangunkan oleh Kerajaan PAS Kelantan di Ulu Kelantan.

Ekoran kejayaan kursus yang berakhir pada 29 April 1966 ini dalam meningkatkan kefahaman ahli-ahli PAS terhadap perjuangan, maka Dewan Pemuda PAS Pusat telah menyusun beberapa siri kursus lanjutan sepanjang 1965-1966 untuk memperkenalkan sejarah dan kandungan al-Quran dan hadis, perbezaan demokrasi Islam dan Barat, sistem politik dan pemerintahan Islam, masyarakat dan kebudayaan Islam, falsafah Islam serta kefahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan. Setelah itu diadakan secara tersusun kursus-kursus yang dikenali sebagai Gerakan Insaf (1968), Gerakan Syuhada (1969) dan Gerakan Seksi (section) Pembinaan Mental (SPEM) pada 1970 untuk memperkenalkan cita-cita perjuangan politik Islam.

28 April 2016

28 April 1982 : Pemimpin Utama PAS Berselisih Mengenai Penyertaan Semula Ke Dalam Barisan Nasional

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan telah mengeluarkan satu kenyataan yang bertentangan dengan pendirian Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda tentang penyertaan semula PAS ke dalam BN. Dato' Mohd Asri dalam beberapa kenyataannya yang disiarkan oleh media antara 26-28 April 1982 telah memperlihatkan hasratnya untuk membawa PAS menyertai semula BN dan menyatakan kesediaan PAS untuk berunding jika ada tawaran rasmi dari BN. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pula dalam kenyataannya pada 28 April 1982 secara terbuka menentang kerjasama dengan BN yang dianggap sebagai golongan kebangsaan pragmatis.

Pilihan Raya Umum Ketujuh berlangsung pada 22 April 1982 dalam suasana politik baru setelah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 dan kemasukan Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ke dalam Umno pada 29 Mac 1982, di mana BN telah berjaya mencapai kejayaan besar. Dr Mahathir telah menimbulkan polemik baru dalam politik pada 23 April 1982 dengan menawarkan kepada PAS untuk menyertai semula BN. Dr Mahathir yang mula memperkenalkan dasar-dasar Islamisasinya menjelang Pilihan Raya Umum 1982, dan diikuti kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno, telah menarik minat Dato' Mohd Asri. Umno segera memancing PAS supaya mendukung program Islamisasi mereka.

Dalam konteks kepemimpinan PAS pula, konflik peribadi Dato' Mohd Asri dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dikatakan bermula apabila pandangan Dewan Ulamak PAS Pusat pada 26 November 1981 tentang pemilihan calon Pilihan Raya Umum 1982 telah diketepikan oleh Dato' Mohd Asri. Pada 31 Mac 1982, Dato' Mohd Asri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk melantik calon, sedangkan PAS Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Jawatankuasa Pemilihannya diketuai Dato' Mohd Asri. Dalam masa yang sama, pimpinan PAS turut berkrisis ekoran tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat yang merancang mengadakan muktamar mereka secara berasingan di Terengganu pada 4-6 Mac 1982, tetapi ditangguhkan ekoran pembubaran Parlimen. Isu-isu ini telah memberikan kesan kepada pencapaian PAS dalam pilihan raya umum tersebut.

Apabila Dr Mahathir menawarkan kepada PAS untuk menyertai semula BN, kedua-dua pemimpin tertinggi PAS dari Kelantan ini kemudiannya mengambil pendirian yang berbeza dan bertentangan secara terbuka, di mana kenyataan- kenyataan Dato' Mohd Asri yang pro tawaran Dr Mahathir sekitar 26-28 April 1982, telah ditolak oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 28 April 1982 kerana menganggap golongan kebangsaan pragmatis berada dalam keadaan zalim dan akan semakin lena dalam kezaliman dan sikap pragmatis jika PAS menyertai semula BN.

Ekoran pertembungan antara Yang Dipertua Agung PAS dengan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sedangkan Dewan Pemuda PAS Pusat juga tidak berpihak kepada pemimpin utama PAS itu, Dato' Mohd Asri telah mula memberikan tekanan kepada golongan ulamak dalam PAS sejak Ogos 1982. Dalam masa yang sama Dato' Mohd Asri memuji dasar-dasar Islamisasi Dr Mahathir, sehingga ia disebut dalam Ucapan Dasar PAS 1982. Dan pertembungan ini berakhir apabila Dato' Mohd Asri akhirnya meletakkan jawatan pada 23 Oktober 1982.

27 April 2016

27 April 1953 : PAS Sertai Sidang Meja Bulat 'National Conference' Dengan Tuntutan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menyertai Sidang Meja Bulat National Conference yang ditaja oleh 16 orang terkemuka termasuk tujuh orang Menteri Besar yang bertujuan untuk menuntut pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri. Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan pada 12 April 1953 dalam suratnya kepada Yang Dipertua Agung Umno dan Presiden MCA, menyatakan bahawa pendirian PAS untuk menyertai National Conference ini kerana yakin ia berkesan bagi mencapai kemerdekaan Malaya dan menegakkan sebuah negara demokrasi.

Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara, Sir Malcom McDonald dikatakan mempengaruhi Dato' Onn Jaafar untuk menubuhkan National Conference bagi menyatukan semua kaum sebagai asas kepada kemerdekaan. Pada 12 Februari 1953, satu perjumpaan parti-parti politik yang turut dihadiri oleh Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Umno, MCA dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaya (MTUC) bersama 16 orang terkemuka termasuk tujuh orang Menteri Besar telah diadakan. Perjumpaan ini berjaya mendapat persetujuan untuk menubuhkan National Conference, tetapi Umno menarik diri kerana tidak mahu tunduk kepada Dato' Onn. Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Aziz dilantik sebagai pengerusi.

Pada akhir Februari 1953, dalam mesyuarat kedua National Conference, Dato' Onn telah menolak penubuhan gabungan parti-parti politik menerusi National Conference kerana ia tidak menyelesaikan masalah. Persidangan ini sendiri menghadapi masalah kerana tiada parti Melayu yang menyokongnya ekoran penarikan diri oleh Umno, menyebabkan pada 30 Mac 1953, National Conference telah menjemput PAS untuk mewakili orang Melayu. Pada 6 April 1953, PAS telah bersetuju untuk menyertai National Conference sebagai satu strategi untuk menjadikan PAS parti yang bertaraf nasional. Pendekatan PAS ini adalah untuk mewujudkan perpaduan ke arah kemerdekaan.

Namun, menurut Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang, bahawa tujuan PAS menyertai National Conference adalah bertujuan untuk memperjuangkan kemerdekaan berasaskan Islam dan PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atas dasar Islam dan mempertahankan hak ketuanan Melayu. Atas sebab tersebut, pada 27 April 1953, PAS telah menyertai Sidang Meja Bulat National Conference di Kuala Lumpur yang berjaya menubuhkan National Conference secara rasmi dengan disertai oleh IMP, MCA, MIC, PAS, Malayan Ceylonese Association dan Malayan Eurasian Association. Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa National Conference dalam sidang ini, yang sekali gus mengiktiraf peranan PAS dalam kancah politik nasional.

26 April 2016

26 April 1974 : Ustaz Abu Bakar Hamzah Dipecat Daripada PAS Ekoran Kegiatan Merugikan Parti

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Senator Ustaz Abu Bakar Hamzah telah dipecat keahliannya dari PAS oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS ekoran beberapa tindakannya yang dikatakan "merugikan perjuangan parti." Ustaz Abu Bakar Hamzah yang juga bekas Setiausaha Agung PAS merupakan arkitek utama dalam pembentukan Kerajaan Campuran PAS-PERIKATAN yang dibentuk pada 1 Januari 1973.

Sebelum dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 1971, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang menyertai PAS sejak 1955 adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962 dan 1964-1966) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1966-1971). Pada 1971, beliau selaku Naib Yang Dipertua Agung PAS telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dengan memegang dua jawatan serentak, selain turut dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mulai awal 1973, sekali gus sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebelum kemudiannya bertukar ke Kementerian Pertanian dan Perikanan juga sebagai Setiausaha Parlimen pada 1974.

Isu Ustaz Abu Bakar Hamzah ini telah bergolak sejak awal 1973, ketika mana beliau selaku Setiausaha Agung PAS merangkap Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah menghadiri seminar anjuran Commonwealth Parliamentary Association (CPA) di United Kingdom mulai 24 Mac 1973. Beliau yang mengambil kesempatan untuk membuat 'lawatan kerja' ke beberapa negara Eropah dan Afrika Utara hanya pulang ke tanah air pada 29 Julai 1973. Ketiadaan Setiausaha Agung PAS selama empat bulan ini telah menyebabkan banyak kerja-kerja kepartian terbengkalai, sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Julai 1973 telah memberhentikan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS mulai 26 Julai 1973. Rayuan beliau pada 7 Ogos 1973 telah ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Ogos 1973.

Pemecatan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS ini telah menimbulkan krisis peribadi antara beliau dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, di mana beliau menuduh pemimpin utama itu sebagai "buta al-Quran." Lanjutan daripada itu, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, beliau bertanding jawatan Yang Dipertua Agung PAS menentang Dato' Mohd Asri, tetapi tewas, sebalik kekal sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Selepas isu ini, pergeseran peribadi terus berpanjangan sehingga beliau mengkritik kepemimpinan Dato' Mohd Asri melalui surat-surat beliau kepada Yang Dipertua Agung PAS itu dan juga kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri.

Tindakan beliau yang secara berterusan menyerang pimpinan tertinggi PAS telah dilihat menggugat kestabilan parti dan merugikan perjuangan PAS. Pada 15-16 Disember 1973, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan tindak-tanduk Ustaz Abu Bakar Hamzah dan akhirnya pada 7 Mac 1974, kes ini telah dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS dan beliau kemudiannya pada 26 April 1974 telah dipecat dari PAS. Pada 3 Mei 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menolak rayuan beliau, yang memaksa beliau untuk turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan.

24 April 2016

24 April 1973 : PAS Desak Islam Jadi Undang-undang Tertinggi Negara

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1973, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi telah mendesak Kerajaan Persekutuan supaya memartabatkan undang-undang Islam sebagai undang-undang tertinggi negara. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Setar Utara telah membuat desakan tersebut ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Menegakkan syariat Islam adalah tujuan utama perjuangan PAS yang telah ditetapkan sejak penubuhannya lagi, dan dalam strategi politiknya pada 1972, ketika merancang mengadakan Kerajaan Campuran PAS-PERIKATAN, antara syarat yang ditetapkan oleh PAS untuk kerjasama ini ialah perlaksanaan syariat. Pada 11 Ogos 1972, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menjadikan syarat "menerima syariat Islam sebagai sumber perundangan negara" sebagai asas perundingan.

Dalam perundingan pembentukan Kerajaan Campuran kali pertama pada 16 Ogos 1972, kedua-dua pihak telah bersetuju supaya "PAS akan dibenarkan menggubal undang-undang yang mengandungi nilai-nilai Islam bagi mengawal akhlak rakyat" dan "PAS akan dibenarkan mempergiatkan usaha-usaha dakwah di negara ini." Pada 4 Disember 1972, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggariskan enam dasar pembentukan Kerajaan Campuran, antaranya ialah tentang penerapan prinsip-prinsip Islam dalam pembangunan negara, memasukan unsur Islam dalam perundangan dan menghapuskan kebudayaan yang berlawanan dengan Islam. Pada hari yang sama, dalam rundingan dengan Umno, mereka telah bersetuju supaya pembangunan rohaniah diseimbangkan dengan lahiriah dan memasukan nilai-nilai Islam dalam perundangan dan perlembagaan negara.

Atas asas inilah, pada 24 April 1973, Haji Yusof Rawa telah membuat desakan supaya undang-undang negara ini bersumber dari Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. PAS juga mendesak supaya kerajaan bersungguh-sungguh untuk menjadikan Islam sebagai sumber perundangan negara. Ahli Parlimen Kota Setar Selatan, Ustaz Mawardi Lebai Teh pada hari yang sama turut mendesak kerajaan supaya menjadikan undang-undang Islam sebagai undang-undang induk di negara ini menggantikan undang-undang British. Berita PAS keuatan Mei-Jun 1973 telah melaporkan kesungguhan PAS membuat desakan di Dewan Rakyat menuju perlaksanaan syariat.

23 April 2016

23 April 1954 : Dr. Burhanuddin Al-Helmy Dilantik Sebagai Ahli Kehormat PAS Cawangan Johor Bahru

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan Johor Bahru telah bersetuju melantik tokoh nasionalis Islam yang terkenal, Dr Burhanuddin al-Helmy Mohd Noor sebagai ahli kehormat cawangan tersebut. Perlantikan Dr Burhanuddin al-Helmy ini dibuat bagi menghargai khidmat beliau kepada perjuangan Islam semenjak zaman Jepun sehingga penubuhan Hizbul Muslimin, kemudian perjuangan beliau dalam isu Natrah sehinggalah menyampaikan Islam melalui syarahan dan tulisan-tulisan selepas keluar penjara pada 1952. Antara buku terpenting beliau ialah 'Islam dan Politik' yang dijadikan pada 1954.

Dr Burhanuddin al-Helmy yang dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak adalah lulusan Aligarh Muslim University (AMU), India sebelum mendalami ilmu perubatan homeopathy di Singapura dan mendapat ijazah master dalam bidang homeopathy di Chistiya Medical College, India dan mengikuti pengajian kedoktoran falsafah dalam bidang falsafah Islam di Fakulti Psikologi AMU.

Setelah menamatkan pengajian, beliau berkhidmat sebagai Penasihat Adat Istiadat Melayu di Markaz Pentadbiran Tentera Jepun, Taiping. Beliau mula terlibat dengan politik melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM), kemudian memimpin Kesatuan Rakyat Istimewa Semenanjung (KRIS) pada akhir zaman Jepun. Pada 1945, beliau dilantik memimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), selain menjadi Pengerusi PUTERA-AMCJA, sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang memperjuangkan Perlembagaan Rakyat pada 1948. Dr Burhanuddin al-Helmy juga terlibat secara langsung dalam penubuhan dan pergerakan Hizbul Muslimin. Selepas PKMM diharamkan pada akhir 1948, Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengetuai Jawatankuasa Bertindak Isu Natrah pada Disember 1950 yang menyebabkan beliau meringkuk dalam tahanan sehingga pertengahan 1952.

Sejak keluar dari tahanan di Singapura, beliau tidak menyertai mana-mana politik walaupun ditawarkan memimpin Partai Melayu Semenanjung (PMS) dan terlibat mengasaskan Partai Rakyat Malaya (PRM) pada 1955. Beliau hanya bergiat melalui kursus-kursus politik Islam anjuran Umno, selain menyebarkan fahaman politik Islam melalui tulisan. Atas sumbangan beliau terhadap pergerakan politik Islam ini, pada 23 April 1954 beliau dilantik sebagai ahli kehormat PAS, dan dimaklumkan perlantikan ini pada 30 April 1954. Dr Burhanuddin al-Helmy kemudiannya menyertai PAS secara rasmi pada 14 Disember 1956 dan akhirnya dilantik sebagai Yang Dipertua Agung PAS Ketiga pada 25 Disember 1956. Jawatan ini dipegang oleh beliau sehingga akhir hayatnya pada 25 Oktober 1969.

22 April 2016

22 April 1956 : PAS Kemukakan Memorandum Perjelas Bahaya Sistem 'Jus Soli'

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1956, PAS telah mengeluarkan satu Memorandum 18 Perkara yang bertajuk 'Maklumat Jus Soli' untuk memaklumkan kepada rakyat negara ini tentang bahaya dasar kerakyatan jus soli (kerakyatan berdasarkan tempat lahir) kepada masa depan politik negara. PAS menzahirkan kebimbangan bahawa dasar jus soli bukan sahaja mewujudkan rakyat yang tidak setia kepada negara, tetapi juga akan menggugat ketuanan orang Melayu yang mungkin akan membawa kesan buruk kepada politik dan ekonomi negara pada masa hadapan.

Pada 22-23 Oktober 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengkaji dasar kerakyatan jus soli ini setelah imigran diberikan hak mengundi secara jus soli dalam Pilihan Raya Umum 1955, dan memutuskan supaya PAS menghantar memorandum bantahan kepada Raja-raja Melayu dan Pesuruhjaya Tinggi British. Ekoran ancaman ini, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Keempat pada 26-28 Disember 1955 telah memutuskan supaya orang asing yang bukan rakyat Persekutuan diharamkan sama sekali terlibat dalam politik di negara ini.

Lebih membimbangkan PAS selepas Pilihan Raya Umum 1955, apabila 144 pertubuhan Cina di Perak telah menuntut supaya bahasa Mandarin dijadikan bahasa rasmi di Majlis Undangan Persekutuan, diikuti oleh tuntutan The Pan Malayan Federation of Chinese Association supaya ketuanan Melayu dihapuskan dan mendesak kerajaan menerima dasar kerakyatan jus soli. Ini mendorong Jawatankuasa Politik PAS Pusat pada 14 April 1956 merangka bangkangan terhadap tuntutan orang Cina melalui satu Memorandum 18 Perkara. Memorandum ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS melalui telegram pada 15 April 1956.

Memorandum 'Maklumat Jus Soli' yang disiarkan kepada awam dan juga pihak berkuasa pada 22 April 1956 ini bertujuan supaya semua pihak "tahu dengan terang bahawa orang Melayu adalah bumiputera asal dan berdaulat di negeri ini" dan "orang bukan Melayu mempunyai peluang hidup, mendapat tempat dan hak di negeri ini." Antara lain memorandum ini mempertegaskan:

I. Orang bukan Melayu telah diberikan hak politik di negeri ini, hak yang tidak akan diperolehi di tempat lain, tetapi mengapa masih menuntut kerakyatan jus soli;
II. Tuntutan jus soli akan merosakan asas jaminan kesuburan dan kesihatan politik;
III. Jus soli boleh menimbulkan pengkhianatan kerana kerakyatan tanpa kesetiaan;
IV. Tuntutan jus soli berniat jahat kerana mahu menceroboh hak orang Melayu;
V. Jus soli akan menenggelamkan bangsa Melayu, mencabul hak orang Melayu dan akan menimbulkan persengketaan politik;
VI. Tuntutan jus soli akan menimbulkan kekecohan dan membantutkan kemerdekaan; dan
VII. Memadai jika dasar kerakyatan kekal mengikut Undang-undang Kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu (Pindaan) 1951.

21 April 2016

21 April 1974 : Muktamar Islam Asia Tenggara Putuskan Keperluan Umat Islam Sertai Pilihanraya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, Muktamar Islam Asia Tenggara telah diadakan di Kuala Lumpur yang melibatkan alim ulamak dari seluruh Malaya bagi membincangkan isu-isu semasa umat Islam terutama berkait usaha menuntut kemerdekaan dan pendekatan demokrasi dalam pembentukan negara baru. Lebih khusus lagi ialah tentang penglibatan gerakan Islam dalam pilihan raya yang akan diadakan di Malaya dan Indonesia pada tahun 1955.

Cetusan idea mengadakan Muktamar Islam Se-Malaya telah dibincang dan dipersetujui oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 25-26 Ogos 1953 yang bertujuan "membincangkan kedudukan Islam di Malaya dan Singapura." Ekoran itu, pada 25-26 Disember 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju menganjurkan Kongres Ulamak Se-Malaya untuk merumuskan masalah "kedudukan dan suasana Tanah Melayu" dalam menghadapi perubahan politik dengan tuntutan kemerdekaan, terutama berkait dengan pilihan raya, selain untuk menubuhkan Dewan Ulamak PAS menerusi kongres ini. Namun, kongres ini terpaksa ditangguhkan kerana keadaan politik PAS yang tidak begitu stabil ekoran pengunduran Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan.

Ketika PAS sedang memberikan tumpuan kepada tuntutan pilihan raya segera ke arah berkerajaan sendiri sebagai langkah mencapai kemerdekaan melalui National Convention, PAS menerima jemputan menyertai Muktamar Islam Asia Tenggara. PAS memandang muktamar ini sangat penting kerana ia akan menghimpunan para ulamak dari pelbagai tempat dan akan membincangkan isu-isu berkait dengan hukum menyertai pilihan raya, yang pasti akan memberi kesan kepada PAS dalam konteks menegakkan negara Islam secara demokrasi berpilihan raya.

Isu hukum menyertai pilihan raya bagi umat Islam di Asia Tenggara telah menjadi hangat apabila Malaya dan Indonesia merancang untuk mengadakan pilihan raya dalam tahun 1955. Malaya akan mengadakan pilihan raya pada 27 Julai 1955, mana kala Indonesia pada 29 September 1955. Seperti mana PAS, di Indonesia suasana serupa dihadapi oleh parti Islamnya, Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi). Ekoran itu, Majlis Syura Masyumi Pusat pada 24 Februari 1953 telah memutuskan hukum wajib bagi umat Islam menyertai pilihan raya, diikuti oleh keputusan yang sama oleh Muktamar Alim Ulamak dan Mubaligh Se-Indonesia di Medan pada 11-15 April 1953.

Perkembangan di Indonesia ini telah mendorong kepada penganjuran Muktamar Islam Asia Tenggara pada 21 April 1954 dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26-27 Mac 1954 telah memutuskan supaya PAS diwakili oleh Haji Sulaiman Basri, Haji Zabidi Ali dan Mohamad Hanif, mana kala Abdul Hamid Shariff, Haji Ahmad Haji Ali, Kiyai Yassin, Mohd Asri Haji Muda dan Ustaz Othman Abdullah hadir sebagai pemerhati. Di akhir muktamar ini, mereka telah memutuskan "bahawa penyertaan umat Islam Indonesia dalam Pilihan Raya Umum yang akan diadakan di Indonesia nanti adalah fardhu ain hukumnya dan adalah haram jika umat Islam tidak ikut serta..." Keputusan ini turut mengikat umat Islam di Malaya yang akan berpilihan raya lebih awal dalam rangka menubuhkan semula negara Islam setelah mencapai kemerdekaan.

20 April 2016

20 April 1974 : Ceramah Perdana Dato' Asri Muda Dan Tun Razak Di Temerloh Ke Arah Penyertaan PAS Dalam BN

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dan Presiden Umno, Tun Haji Abdul Razak Hussein telah mengadakan rapat umum bersama di Temerloh, Pahang untuk menjelaskan penyertaan PAS dalam BN. Jabatan Penerangan Malaysia dalam satu laporannya pada 1974 menyatakan inilah perhimpunan ceramah politik terbesar yang pernah diadakan di negeri Pahang, di mana ia dihadiri oleh lebih 30,000 orang pendengar. Ceramah ini juga adalah ceramah politik yang pertama melibatkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti semenjak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

Setelah PAS berjaya membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan pada 1 Januari 1973, telah wujud cadangan supaya semua parti yang membentuk Kerajaan Campuran dengan Perikatan membentuk satu pakatan politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Pada 26 Januari 1974, PAS telah memutuskan supaya Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS Pusat membuat kajian terperinci tentang Perlembagaan BN dan juga kemungkinan penyertaan PAS dalam BN, manakala Dewan Ulamak PAS Pusat pula membuat kajian hukum. Kedua-dua badan ini kemudiannya telah memberikan laporan positif tentang hal BN ini.

Pada 7 Mac 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menyertai BN dengan beberapa pindaan terhadap Perlembagaan BN. PAS tidak mahu mengikat dirinya dalam BN dengan menjadikan pakatan ini sebagai satu 'gabungan,' bukannya 'pertubuhan.' Kerana persetujuan ini, Dato' Mohd Asri telah menjelaskan kepada ahli-ahli PAS bahawa BN adalah sebuah konfederasi (gabungan) parti-parti politik, di mana PAS berdiri sendiri sebagai anggota gabungan, bukannya meleburkan diri dalam BN. Atas asas kebolehan PAS mempertahankan jatidiri inilah, Dewan Ulamak PAS Pusat mengharuskan penyertaan PAS dalam BN.

Perhimpunan raksasa pada 20 April 1974 ini diadakan bersama oleh PAS dan Umno, di mana pemimpin tertinggi kedua-dua parti telah menyampaikan ucapan sekali gus menyatakan tujuan pembentukan BN kepada rakyat, khususnya orang Melayu. Selepas ceramah ini, satu ceramah serupa diadakan di kubu PAS, Kota Bharu pada 9 Mei 1974 yang dihadiri oleh lebih 80,000 orang pendengar. Hasil dari maklum balas positif rakyat terhadap kerjasama politik ini, pada 1 Jun 1974, penubuhan BN telah diumumkan secara rasmi yang turut melibatkan penyertaan PAS. Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS pada 13-15 Jun 1974, usul penyertaan PAS dalam BN ini telah diluluskan, sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum 1974 atas tiket BN.

19 April 2016

19 April 1968 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Diangkat Sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1968, Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menggantikan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi Mat Saman yang tidak mempertahankan jawatannya dalam Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat 1968 di Perlis. Tuan Guru Haji Hussein Rahimi yang mengundurkan diri, telah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat sejak 1962 iaitu selepas Tuan Guru Haji Abdul Samad Nuh (1958-1962), Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin (1956-1958) dan Sheikh Abdullah Fahim (1952-1953).

Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat Kali Ke-11 yang sepatutnya diadakan pada 6 Oktober 1967 telah ditangguhkan ke tarikh baru, iaitu 19 April 1968 ekoran berlakunya Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967. Ustaz Nik Abdul Aziz yang menjadi calon PAS dalam pilihan raya ini telah berjaya mempertahankan kerusi tersebut ekoran kematian Haji Ahmad Perai pada 30 Ogos 1967. Setelah menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir, Ustaz Nik Abdul Aziz sebagai seorang tokoh ulamak muda telah dicalonkan untuk menggantikan Tuan Guru Haji Hussein Rahimi, rakan sepeguruannya di Pondok Tok Khurasan pada akhir 1940-an.

Ustaz Nik Abdul Aziz yang merupakan anak kepada ulamak terkenal, Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar iaitu ahli Majlis Ulamak MAIK, telah dilahirkan pada 10 Januari 1930 di Pulau Melaka. Setelah mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, beliau berguru dengan Tok Khurasan di Kampung Sireh di samping belajar di Jamik Ismaili Merbau, kemudian ke Madrasah Ittidaqiyah, Jerteh. Pada 1952 beliau mendalami ilmu hadis di Darul Ulum Deoband, India dan pada 1958 beliau mendapat ijazah tafsir al-Quran di Madrasah Qasim al-Ulum al-Mutaallaqah, Jamiah Khudamuddin, Sherawala Gate, Lahore. Pada akhir 1958, beliau memasuki Universiti al-Azhar dan mendapat ijazah Aliyah dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Arab pada 1960. Akhirnya beliau menamatkan pengajian dengan ijazah master dalam bidang perundangan Islam pada 1962.

Setelah pulang ke tanah air, beliau mengajar di Masjid Pulau Melaka dan mengasaskan Madrasah Darul Annuar. Beliau mula mengajar di Madrasah Tarbiyah Mardhiah pada 1962 hingga 1967, di samping mengajar Kelas Dewasa. Mulai 1965, beliau mengajar di Maahad Muhammadi, Kota Bharu sehingga 1967. Beliau juga menjadi pendakwah bebas di masjid-masjid di sekitar Kota Bharu.

Dengan pengaruh beliau dalam bidang keagamaan, Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Ustaz Nik Abdullah Arshad yang juga Mudir Madrasah Tarbiyah Mardhiah telah mencalonkan Ustaz Nik Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Kecil Kelantan Hilir, dan diterima oleh Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 20 September 1967. Keputusan ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 23 September 1967, di mana pada hari yang sama, Ustaz Nik Abdul Aziz telah menjadi ahli PAS. Pada 25 September 1967, beliau telah dinamakan sebagai calon PAS dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967. Jawatan parti yang pertama dipegang oleh beliau ialah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipegang oleh beliau mulai 19 April 1968.

18 April 2016

18 April 1977 : Ustaz Haji Zabidi Dilantik Sebagai Ahli Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1977, Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Lim Chong Eu telah memaklumkan bahawa Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Zabidi Ali dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkuat kuasa mulai 19 April 1977. Ustaz Haji Zabidi yang juga ADUN Sungai Dua merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang setelah beliau memenangi kerusi tersebut atas tiket BN dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974.

Ustaz Haji Zabidi yang dilahirkan pada 1919 pernah belajar di Mekah, sebelum berguru dengan Sheikh Abdullah Maghribi, Sheikh Abdullah Fahim dan Sheikh Hassan Yamani di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar. Bekas pemimpin Persatuan Melayu Seberang Perai ini pernah menyertai Umno pada 1946 sebelum menjadi pengasas PAS pada 1951. Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1951-1958 dan 1974-1987), Setiausaha Agung PAS (1956) dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang (1957-1958 dan 1977-1989). Beliau juga adalah Yang Dipertua Pertubuhan Tani Malaya sehingga 1955. Bekas guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMUZA) Terengganu (1958-1971) ini juga pernah menjadi ADUN Sungai Dua (1974-1982) dan Ahli Parlimen Permatang Pauh (1978-1982).

Perlantikan beliau sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini menjadikan beliau sebagai pemimpin PAS terakhir yang dilantik ke jawatan tersebut pada zaman PAS dalam BN. Selain Kelantan, di negeri-negeri lain, perlantikan Exco dibuat selepas Pilihan Raya Umum 1974 iaitu Ustaz Ismail Kassim dan Cikgu Sudin Wahab (Kedah), Ustaz Harun Jusoh dan Ustaz Kassim Ahmad (Terengganu) serta Ustaz Mohamad Junid (Perak). Atas desakan PAS, selepas Datuk Hussein Onn menjadi Perdana Menteri, PAS diberikan tambahan kerusi Exco di Perlis dan Pulau Pinang, di mana Ustaz Ahmad Long dilantik sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis pada 19 September 1976, sedangkan perlantikan Ustaz Haji Zabidi di Pulau Pinang bermula 19 April 1977.

Kedudukan Ustaz Haji Zabidi dalam kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang walau bagaimanapun tidak kekal lama ekoran krisis politik yang tercetus di Kelantan pada 1977 yang menyebabkan PAS disingkirkan dari BN pada 13 Disember 1977, yang sekali gus mengakhirkan peranan PAS dalam Kerajaan Pulau Pinang. Namun begitu, selepas krisis ini, Ustaz Haji Zabidi bukan sahaja dapat mempertahankan kerusi DUN Sungai Dua dalam Pilihan Raya Umum 1978, tetapi turut merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh dari BN.

17 April 2016

17 April 1981 : Muktamar PAS Ke-27 Sebagai Cetusan Awal Kepimpinan Ulamak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, PAS telah mengadakan Muktamar Tahunan Kali Ke-27 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur sebagai muktamar pertama selepas memasuki abad ke-15 Hijriyah yang berlangsung selama tiga hari bermula 17-19 April 1981. Muktamar ini berlangsung dalam suasana tegang kerana wujudnya krisis kepemimpinan PAS ekoran kenyataan Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS pada 28 Januari 1981 yang mencadangkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Keenam pada 1982. Cadangan telah menimbulkan kritikan terbuka terhadap kepemimpinan beliau dari pelbagai pihak termasuk dalaman PAS sendiri.

Ketika ini telah wujud beberapa isu seperti isu kafir-mengkafir ekoran tindakan Mahkamah Syariah Besut menjatuhkan hukuman penjara terhadap Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar kerana ceramahnya di Besut, yang berkemuncak dengan isu Amanat Haji Hadi. Kekaguman umat Islam terhadap kejayaan Revolusi Iran pada 1979 telah menyebabkan ahli-ahli PAS mula melihat para ulamak sebagai alternatif terhadap kepemimpinan Dato' Mohd Asri, terutama ekoran isu kerjasama dengan DAP.

Kesan daripada isu-isu ini, ahli-ahli PAS telah mencalonkan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa untuk merebut jawatan Yang Dipertua Agung PAS. Walaupun Pak Yusof Rawa menolak pencalonan ini, ia telah memberi mesej kepada Dato' Mohd Asri tentang kedudukan kepemimpinan beliau. Pada 10 Februari 1982, Yang Dipertua Agung PAS itu membuat penjelasan bahawa beliau tidak berniat untuk membawa PAS bekerjasama dengan DAP dan menyerahkan kepada muktamar untuk menentukan kedudukannya. Dalam Ucapan Dasarnya, Dato' Mohd Asri telah membuat kenyataan yang berharap agar kerjasama PAS-DAP tidak menjadi kenyataan.

Di sebalik penolakan Pak Yusof Rawa terhadap pencalonan sebagai Yang Dipertua Agung PAS, beliau telah bertanding untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, mana kala Ustaz Fadzil Nor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Di kem Dato' Mohd Asri, Dato' Abu Bakar Umar mempertahankan jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, sedangkan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Wan Ismail Ibrahim merebut jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Kesemua calon tajaan Dato' Mohd Asri telah tewas dalam pemilihan ini, kecuali Haji Zahari Awang, Ustaz Abdul Wahab Yunus dan Cikgu Sudin Wahab yang menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS, serta Datin Sakinah Junid yang terlebih dahulu dikekalkan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Calon lain terpilih untuk Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Nakhaie Ahmad, Haji Wan Abdul Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Haji Hassan Ishak, Dr Haji Abbas Alias dan Ustaz Yahya Othman, sedangkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Cikgu Mustafa Ali masing-masing telah kekal sebagai Ketua Dewan Ulamak dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ekoran kekalahan ramai penyokong Dato' Mohd Asri dalam pemilihan ini, Yang Dipertua Agung PAS itu telah melantik Dato' Abu Bakar Umar dan Haji Hassan Mohamad masing-masing sebagai Setiausaha Agung PAS dan Bendahari PAS yang dikatakan tidak dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Pergolakan dalam pemilihan parti pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pads 17-19 April 1981 ini menjadi titik mula peralihan PAS kepada kepemimpinan ulamak di mana dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28, Dato' Mohd Asri telah meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi PAS dan dipangku oleh Pak Yusof Rawa.

16 April 2016

16 April 1992 : Kerajaan Persekutuan Sedia Benarkan Kelantan Laksana Hudud

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah membuat kejutan dengan menyatakan kesediaan Kerajaan Pusat untuk membenarkan Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud dan bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut. Perdana Menteri turut mencabar Kelantan supaya mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Pusat untuk melaksanakan hudud jika Kerajaan PAS Kelantan benar-benar berhasrat berbuat demikian.

Isu perlaksanaan hudud ini timbul setelah Majlis Syura Ulamak PAS yang menerima laporan Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan berkait perlaksanaan syariat pada 12 Mac 1992, telah bersetuju supaya Perlembagaan Negeri Kelantan dipinda untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan. Ketika kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Payung, Terengganu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 April 1992 telah mendedahkan rancangan Kerajaan PAS Kelantan untuk meminda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk membolehkan hudud dilaksanakan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu juga mendedahkan bahawa halangan utama dalam perlaksanaan hudud di Kelantan ialah untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Pusat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan. PAS telah menyatakan komitmennya untuk berunding dengan Kerajaan Pusat supaya hudud dapat dilaksanakan di Kelantan. Ekoran kenyataan Dr Mahathir pada 16 April 1992 ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 20 April 1992 telah meminta Kerajaan Pusat memberikan jaminan bertulis tentang kesediaan mereka meminda Perlembagaan Persekutuan dan memberi laluan kepada Kelantan melaksanakan hudud.

Namun begitu, kerana tekanan parti-parti komponen BN terhadap Umno, pada 24 April 1992, Dr Mahathir telah menolak permintaan PAS supaya Kerajaan Pusat memberikan jaminan bertulis tersebut. Sebaliknya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mempertegaskan pendirian PAS untuk membawa usul Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen bagi maksud tersebut. Ekoran kenyataan Dr Mahathir pada 16 April 1992 juga, PAS telah mengambil langkah segera untuk menggubal draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang akhirnya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, selain menumpukan kepada proses memperincikan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan yang diarah oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Mac 1992 ke arah perlaksanaan syariat. Akhirnya, pada 25 November 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan.

Walau bagaimanapun, di sebalik kesungguhan PAS ini, pada 3 Mac 1993, Dr Mahathir telah menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang dituduh sebagai zalim. Pada 21 Mac 1994, Kerajaan PAS Kelantan menyerahkan enakman yang telah diperkenan oleh Sultan Kelantan, diikuti oleh permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat pada 8 Jun 1994. Namun begitu, Kerajaan Pusat telah menolak permohonan rasmi Kerajaan PAS Kelantan itu pada 15 Julai 1994 yang menyebabkan proses perlaksanaan syariat terhalang.

15 April 2016

15 April 2001 : Dewan Muslimat PAS Cadang Muslimat Sebagai Calon Pilihanraya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, Dewan Muslimat PAS Pusat telah mengemukakan satu kertas cadangan bertajuk 'Kertas Cadangan Pencalonan Muslimat (Wanita) Dalam Pilihan Raya' kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai satu usaha untuk membolehkan PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya. Kertas cadangan ini adalah lanjutan daripada usul Dewan Muslimat PAS Pusat yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 pada 2-4 Jun 2000 yang mahu PAS Pusat mempertimbangkan kemungkinan wanita menjadi calon.

Isu pencalonan Muslimat dalam pilihan raya telah berbangkit dalam PAS sejak 1989 apabila Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Wan Asma' Abdul Kadir membangkitkannya dalam Jawatankuasa Harian PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989 dan dakwaan pemimpin Semangat 46, Hajjah Illani Isahak bahawa Islam membenarkan wanita menjadi calon. Semangat 46 telah mencadangkan Hajjah Illani untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi dipertikaikan oleh pemimpin PAS. Pada 30 September 1989, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Ustaz Idris Omar, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ustaz Ibrahim Abdullah untuk membuat kajian terperinci tentang perkara ini, yang kemudiannya hasil kajian ini, Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989 membuat keputusan bahawa tidak sayugia Muslimat menjadi calon kecuali dengan keperluan yang mendesak dan syarat yang ketat.

Sebenarnya, semenjak 1959, PAS mempunyai pendirian bahawa Muslimat boleh menjadi calon pilihan raya dan dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada 19 Ogos 1959, PAS telah meletakkan beberapa calon Muslimat, di mana Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ibu Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen Dungun dan menjadi ahli parlimen sehingga 1964. Dasar PAS tentang pencalonan Muslimat telah berubah ekoran keganasan politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ketiga pada 10 Mei 1969. Semenjak itu, PAS lagi tidak membenarkan Muslimat dicalonkan dalam pilihan raya di atas maslahah keselamatan. Di sebalik Tragedi 13 Mei 1969 dan pendirian Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989, Dewan Muslimat PAS Pusat pada 15 April 2001 telah menggariskan lima rasional penglibatan semula Muslimat sebagai calon PAS dalam pilihan raya:

I. Tiadanya larangan mutlak berdasarkan nas-nas mantap;
II. Banyak isu wanita yang perlu disuarakan oleh Muslimat PAS dalam forum terbuka;
III. Meyakinkan masyarakat tentang penghormatan PAS kepada wanita dan memperkasakan kepemimpinan Muslimat PAS;
IV. Pendekatan psikologi terhadap pengundi wanita; dan
V. Keterbatasan ruang untuk Muslimat PAS memberi sumbangan dalam politik kenegaraan.

Dengan lima rasional ini, Dewan Muslimat PAS Pusat mahu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mempertimbangkan kedudukan Muslimat PAS sebagai calon dalam pilihan raya.

Ekoran keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 dan kertas cadangan Dewan Muslimat PAS Pusat tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sejak 15 April 2001 telah terus membincangkan isu ini pada 12 Ogos 2001, 16 September 2001 dan 13 Oktober 2001, sebelum ia dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 30 Disember 2001. Majlis Syura Ulamak PAS telah bersetuju mengekalkan amalan PAS sebelum ini, iaitu mengharuskan Muslimat menjadi calon dalam pilihan raya yang terikat kepada syarat-syarat tertentu. Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 12 Januari 2002 telah memaklumkan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat tentang pendirian Majlis Syura Ulamak PAS tersebut, dan Dewan Ulamak PAS Pusat menerbitkan sebuah buku bertajuk 'PAS & Calon Wanita' susunan Ustaz Azizan Abdul Razak pada 2003 untuk menjelaskan dalil-dalil berkait pendirian PAS tersebut.

14 April 2016

14 April 1954 : PAS Lancar Gerakan Kembangkan Sayap PAS Di Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1954, PAS telah melancarkan satu gerakan besar-besaran untuk menggempur Kelantan sebagai pusat perkembangan pengaruhnya yang utama. Gerakan mengembangkan pengaruh PAS di Kelantan yang mendapat liputan Utusan Melayu pada 15 April 1954 ini adalah strategi utama yang dibuat oleh PAS sebagai persiapan untuk menyertai Pilihan Raya Umum 1955. Pada 27 Mac 1954, PAS telah memutuskan untuk terlibat dalam pilihan raya ini.

Langkah ini telah dikepalai oleh Pegawai Kewangan PAS, Ustaz Mohd Asri Haji Muda yang diberi tanggungjawab membuat persiapan untuk bertanding di Kelantan. Perkembangan PAS di Kelantan telah bermula pada 9 September 1952 apabila Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussin Che Dol membuat penerangan tentang PAS di Pasir Puteh, diikuti majlis serupa di Pasir Mas pada 10 September 1952, termasuk taklimat kepada ulamak di Madrasah Ahmadiyah, Bunut Payung. Setelah itu, para ulamak mula menyertai PAS sehingga tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953.

Pada 27 Mac 1954, ketika memutuskan untuk menyertai Pilihan Raya Umum 1955, PAS telah memberikan perhatian khusus untuk Kelantan sebagai prospek terbaik PAS pada masa hadapan. PAS telah melantik Mohd Asri dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Othman Abdullah sebagai Pegawai Penerangan Khusus untuk Kelantan. Mereka kemudiannya terus mengadakan siri-siri gerakan penerangan dengan dibantu oleh Ustaz Adam Kamil, Guru Jamik Merbau dari Pasir Puteh, di samping PAS Cawangan Pasir Mas dan Machang yang telah aktif ketika itu.

Antara tokoh-tokoh tempatan yang terlibat merintis perkembangan di Kelantan dalam gerakan penerangan ini ialah Mohd Daud Salleh (Ayah Ud), Tuan Guru Haji Ahmad Tok Kenali (Tok Bakok), Tok Imam Masjid Labok (Ustaz Man Beta), Tok Imam Haji Sulaiman Panji, Penghulu Harun Panji, Imam Masjid Langgar, Penggawa Gunung Timur, Ustaz Khaidir Khatib, Tuan Qadhi Bachok (Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad), Haji Ahmad Yatim Pasir Mas, Ustaz Awang Kemubu, Mohamad Awang Kuala Krai, Haji Nor Yusof Machang dan lain-lain. Peranan yang dimainkan oleh mereka telah berjaya menubuhkan Cawangan PAS di Pasir Puteh, Machang, Kota Bharu, Tanah Merah dan Bachok sebelum Pilihan Raya Umum 1955. Gerakan penerangan yang dilancarkan pada 14 April 1954 ini bertujuan untuk meluaskan pengaruh PAS di Kelantan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1955 dengan menambahkan keahlian PAS dan menubuhkan cawangan-cawangan baru di Kelantan.

Gerakan penerangan ini telah diadakan di lebih 20 lokasi yang melibatkan lebih 20,000 rakyat Kelantan. Selepas gerakan ini berjaya menggempur Kelantan, pada 26 November 1954, Ustaz Mohd Asri telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Daerah Pantai Timur yang pertama meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

13 April 2016

13 April 1986 : PAS Hantar Wakil Kaji Penerimaan Sabah Pada PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk menghantar wakil bagi membuat kajian untuk PAS mengembangkan sayapnya ke Sabah. Terdahulu PAS telah menerima laporan tentang perkembangan proses penubuhan PAS Sabah, telah bersetuju menghantar Ustaz Nakhaie Ahmad (Naib Yang Dipertua Agung PAS), Cikgu Mustafa Ali (Ketua Dewan Pemuda PAS) dan Ustaz Hassan Shukri (Setiausaha Agung PAS) untuk membincangkan proses penubuhan PAS di Negeri Bawah Bayu itu.

Tindakan PAS untuk membuka semula sayapnya ke Sabah ini adalah berkait rapat dengan perubahan politik Sabah setelah kekalahan parti Berjaya ke tangan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah pada 21 April 1985. PAS bimbang dengan peranan Datuk Joseph Pairin Kitingan, seorang tokoh Kristian yang menjadi Ketua Menteri Sabah untuk menggerakkan kristianisasi di negeri itu. Sebelum ini, Sabah terkenal dengan gerakan dakwah Islam yang digerakkan oleh Pertubuhan Dakwah Seluruh Sabah (USIA) pimpinan Tun Satu Mustapha Datu Harun yang juga pemimpin USNO. Pada tahun 1970-an, PAS membentuk kerjasama dengan USNO atas dasar sokongan terhadap gerakan dakwah USIA. Tetapi, setelah kejatuhan Datu Mustapha pada 1976, Sabah diperintah oleh serpihan USNO, Berjaya yang dipimpin Datuk Harris Salleh sehingga 1985.

Sebenarnya, sejarah PAS di Sabah telah bermula semenjak tercetusnya cadangan penubuhan Malaysia pada 1961, dan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Ke-10 pada awal 1962 telah menerima cadangan pengembangan PAS di Sabah. Setelah Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, penyokong-penyokong PAS di Sabah telah menubuhkan Persatuan Islam Seluruh Sabah (PAS) sejak Ogos 1963 sebagai badan gabungan PAS dan dilancarkan pada 10 November 1964 dengan dipimpin oleh Syed Omar as-Saqqaf. Tetapi pergerakan PAS Sabah telah lumpuh oleh faktor Konfrantasi Indonesia dan juga tuntutan Macapagal ke atas Sabah, serta faktor penubuhan USIA pada 16 Ogos 1969. Sikap PAS sendiri terhadap Sabah lebih bergantung kepada peranan dakwah yang dilakukan oleh USIA, diikuti oleh kerjasama PAS-USNO dalam BN sejak 1974.

Kekalahan parti Berjaya di tangan PBS pada 21 April 1985 telah menyebabkan PAS pada 28 April 1985 melihat perkembangan ini sebagai ancaman kepada Islam dan pada 25 Mei 1985, PAS bersetuju untuk berkembang di Sabah. PAS menghantar Ahli Jawatankuasa Kerja Agungnya, Haji Sattar Taha untuk menyusun penubuhan PAS Sabah dalam bulan Ogos 1985, diikuti oleh pengumuman PAS pada September 1985 bahawa ia akan membuka sayap ke Sabah dan Sarawak. Dalam pertemuan pimpinan PAS dengan Dr Mahathir Mohamed pada 10 April 1986, Perdana Menteri itu melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan kristianisasi dan memberi laluan PAS masuk ke Sabah.

Setelah langkah-langkah ke arah penubuhan PAS Sabah diambil, pada 13 April 1986, PAS telah bersetuju untuk menghantar wakil ke Sabah untuk menyusun penubuhan PAS Sabah secara serius dan akhirnya pada 19 Mei 1986, PAS berjaya dilancarkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa. Pada 14 Jun 1986, PAS telah melantik Haji Hamzah Abdullah sebagai Pesuruhjaya PAS Sabah yang pertama. Setelah 30 tahun berkembang, PAS Sabah telah dipimpin oleh beberapa orang Pesuruhjaya PAS iaitu Haji Hamzah Abdullah (1986-1989), Haji Mohamad Abdullah (1989-2001 dan 2004-2011), Dr Datu Bandira Datu Alang (2001-2004) dan kini dipimpin oleh Haji Aminuddin Aling sejak 2011.

12 April 2016

12 April 1989 : Ustaz Abdul Halim Arshat Dilantik Sebagai Setiausaha Agung PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1989, bekas pemimpin mahasiswa yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abdul Halim bin Arshat telah dilantik oleh Yang Dipertua Agung PAS yang baru, Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Setiausaha Agung PAS. Beliau menggantikan Ustaz Hassan Shukri yang dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS setelah menjadi Setiausaha Agung PAS selama 12 tahun (1975-1979 dan 1982-1989). Sebelum menjadi Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Setar (1981-1989), Setiausaha Perhubungan PAS Kedah (1979-1987), Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1983-1987) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1987-1989).

Ustaz Abdul Halim yang dilahirkan di Kampung Nongka, mukim Hosba, Jitra, Kedah pada 18 Disember 1942 telah mendapat pendidikan di Maahad Muhammadi, Kota Bharu dan Madrasah ad-Diiniyah al-Bakriah, Pasir Tumbuh, sebelum memasuki Kolej Islam Malaya dan akhirnya ke Fakulti Pengajian Islam UKM pada 1970. Nama beliau mulai terkenal setelah dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa UKM (1972-1974), di mana pada zamannya berlaku demonstrasi pelajar yang terkenal seperti isu bahasa (1971), AUKU (1971), Baling (1974) dan rampasan kuasa UM (1974). Dalam Pilihan Raya Umum 1974, nama Ustaz Abdul Halim disebut-sebut akan menentang Menteri Pelajaran, Dr Mahathir Mohamed di Kubang Pasu.

Setelah keluar UKM pada 1974, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden PKPIM, Ahli Jawatankuasa Pusat ABIM dan Ahli Jawatankuasa Pusat Majlis Belia Malaysia (MBM) sehingga 1978. Setelah itu, beliau mulai aktif dalam PAS yang disertainya sejak 1973 dengan menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1978 di Parlimen Kubang Pasu. Beliau turut bertanding di kerusi Parlimen Kota Setar (1982 dan 1986), Jerlun-Langkawi (1990) dan Jerlun (1995), selain menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Padang Terap (1985) dan DUN Jerlun (1991). Beliau juga pernah ditahan di bawah ISA sebanyak dua kali iaitu dalam isu padi (1980) dan Operasi Lalang (1987).

Dengan pengalaman politik dan perjuangan yang begitu luas, pada 12 April 1989, beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS. Sebelum beliau, tokoh-tokoh yang pernah menjadi Setiausaha Agung PAS ialah Ustaz Ahmad Maliki (1951-1953), Cikgu Ahmad Awang (1953-1954), Ustaz Mohd Asri Haji Muda (pemangku 1954), Ustaz Abdul Rahman Mahadi (pemangku 1954-1955), Ustaz Mohamad Hashim (pemangku 1955-1956), Ustaz Zabidi Ali (1956), Ustaz Othman Abdullah (1956-1959), Haji Hashim Abdullah al-Baghdadi (1959-1961), Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah (1961-1969), Ustaz Baharuddin Abdul Latif (1969-1971), Ustaz Abu Bakar Hamzah (1971-1975), Ustaz Hassan Shukri (1975-1979 dan 1982-1989), Ustaz Nakhaie Ahmad (1979-1981) dan Dato' Abu Bakar Umar (1981-1982). Akibat diserang oleh angin ahmar pada pertengahan 1998, Ustaz Abdul Halim telah berundur dari kepemimpinan PAS, dan jawatannya dipangku oleh Datuk Hishsmuddin Yahya (1998-1999) sebelum diambil alih oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa (1999-2005). Kini perjuangan Ustaz Abdul Halim diteruskan oleh dua anak beliau, Ustaz Najhan Shahir (Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Selangor) dan Ustaz Syarhan Humaizi (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor).

11 April 2016

11 April 1987 : PAS Pertama Kali Bermuktamar Di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, PAS mencipta sejarah apabila buat pertama kali mengadakan muktamar tahunan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Gombak yang berlangsung pada 11-12 April 1987. Markaz Tarbiyah PAS Pusat yang mulai dibina dalam tahun 1985 ini telah digunakan pertama kali untuk Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33, sedangkan semenjak awal 1970-an, PAS bermuktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pada 1986, PAS bermuktamar di Masjid Rusila, Marang.

Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 ini juga mencipta sejarah kerana inilah Muktamar PAS yang pertama mendapat liputan daripada lidah rasmi PAS, Harakah yang muka diterbitkan pada 3 April 1987. Muktamar ini dirasmikan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa dengan Ucapan Dasar yang bertema 'Ke Arah Tajdid Hadhari'. Muktamar ini sangat penting kerana PAS baru sahaja berhadapan dengan Pilihan Raya Umum 1986, yang diikuti oleh krisis kepemimpinan Umno pada 1987.

Umno yang bertanggungjawab terhadap tragedi Memali pada 19 Nivember 1985, berhadapan dengan perletakan jawatan Datuk Musa Hitam pada 16 Mac 1986 dan akhirnya pertembungan Team A dan Team B Umno dalam Perhimpunan Agung Umno pada 24-25 April 1987. Ketika muktamar ini berlangsung, terdapat usaha-uasaha Umno untuk mendekati PAS termasuk tawaran Anwar Ibrahim kepada PAS untuk bermuzakarah selepas satu forum bersama Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Preoria, Amarika Syarikat pada 24-25 Disember 1986.

Dalam Ucapan Dasarnya, Pak Yusof Rawa telah mengingatkan ahli-ahli PAS supaya jangan bimbang dengan muzakarah PAS-Umno ini kerana PAS akan bergerak di atas landasan yang jelas iaitu al-Quran dan Sunnah, sedangkan sebagai jemaah Islam PAS perlu memainkan peranan untuk mewujudkan perpaduan ummah. Harapan muktamar ini untuk bermuzakarah dengan Umno berakhir apabila Umno berpecah dalam Perhimpunan Agung Umno 1987 yang mewujudkan Umno Baru dan Semangat 46. PAS kemudiannya mengambil langkah bersekutu dengan serpihan Umno, Semangat 46 untuk membentuk kerjasama melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung pada 11-12 April 1987 ini telah dihadiri oleh oleh bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Datuk Haji Hassan Adli Mohd Arshad yang terkenal dengan gelaran Panglima Jihad PAS. Turut hadir ialah bekas Menteri Pertanian dan Perikanan, Abdul Aziz Ishak yang menyertai PAS dalam muktamar ini. Pada akhir muktamar ini, Pak Yusof Rawa telah dipilih semula sebagai Yang Dipertua Agung PAS bagi sesi 1987-1989, iaitu sesi terakhir beliau sebagai pemimpin utama PAS. Turut terpilih ialah Ustaz Fadzil Mohd Noor (Timbalan Yang Dipertua), Tuan Guru Haji Abdul Hadi dan Ustaz Nakhaie Ahmad (Naib-naib Yang Dipertua) serta Cikgu Mustafa Ali, Ustaz Harun Taib, Haji Wan Mutalib Embong, Ustaz Hassan Shukri, Haji Ahmad Subky Abdul Latif, Ustaz Nik Abdullah Arshad, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Ustaz Yahya Othman, Abdul Khalid Samad, Dr Haji Abbas Alias, Ustaz Abu Bakar Chik dan Haji Mohd Rushdie Ariff sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Agung.

10 April 2016

10 April 1955 : PAS Gubal Manifesto Pilihanraya Ke Arah Berkerajaan Sendiri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1955, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menggubal dan meluluskan Manifesto PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan diadakan pada 27 Julai 1955. PAS sebelumnya telah membentuk Jawatankuasa Pilihan Raya PAS pada 23 Januari 1955 yang dianggotai oleh Dr Haji Abbas Alias (Pengerusi), Abdul Hamid Shariff (Setiausaha), Cikgu Ahmad Awang, Haji Abdullah Akin, Ustaz Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Othman al-Yunusi, Ustaz Abdul Wahab Noor, Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dan Haji Mansor Hassan JP sebagai ahli-ahli yang bertanggungjawab mengendalikan penyertaan PAS pilihan raya yang pertama kali diadakan ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ini, PAS telah memutuskan untuk menjadikan 'Bulan Bintang' sebagai simbolnya, tetapi jika ditolak, PAS akan menggunakan simbol 'Bintang' sahaja. PAS Kelantan mencadangkan alternatif ketiga iaitu 'Tangan Terbuka' sebagai simbol PAS jika 'Bintang' juga ditolak. Akhirnya, PAS menggunakan simbol 'Tangan Terbuka' yang melambangkan keterbukaan PAS, sekali gus mewakili lima rukun Islam. PAS telah meletakkan 11 orang calon untuk kerusi Majlis Undangan Persekutuan, di mana PAS memenangi satu daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dalam Pilihan Raya Umum Negeri yang diadakan kemudian, PAS meletakkan 20 calon untuk kerusi Majlis Undangan Negeri di seluruh Malaya.

PAS menyediakan Manifesto PAS 1955 sebagai tawaran kepada rakyat, khususnya dalam perjuangan kemerdekaan dengan meliputi bidang siasah (politik), iktisad (ekonomi), ketenteraan, pelajaran dan pendidikan serta kebajikan. Manifesto ini memberi fokus kepada tawaran-tawaran politik PAS dalam menghadapi kemerdekaan dan juga pembentukan pemerintahan ke arah berkerajaan sendiri. PAS menggariskan sembilan tawaran politiknya, iaitu:

I. Menyemak Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan kehendak rakyat;
II. Memastikan semua ahli Majlis Undangan Persekutuan, Negeri, Jajahan Selat dan Bandaran dipilih oleh rakyat;
III. Menghapuskan dasar pintu terbuka dan mengawal kemasukan imigran;
IV. Berusaha mencapai kemerdekaan secepat mungkin;
V. Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia;
VI. Mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi;
VII. Mengakui kedaulatan Raja-raja Melayu yang berperlembagaan;
VIII. Memastikan setiap orang hanya mempunyai satu kerakyatan sahaja; dan
IX. Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan sehingga seluruh cita-cita Islam terlaksana.

Manifesto yang digubal dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9-10 April 1955 ini akhirnya diterima pada 10 April 1955 dan disiarkan kepada umum sebagai tawaran PAS dalam Pilihan Raya Umum ini pada 30 April 1955.

09 April 2016

09 April 1986 : Pemimpin PAS Bertemu Pemimpin UMNO Untuk Kepentingan Ummah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, beberapa pimpinan kanan PAS telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bagi mencari persefahaman demi kepentingan umat Islam. Pemimpin PAS yang terlibat ialah Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ketua Lajnah Perhubungan dan Hal Ehwal Luar, Syed Ibrahim Abdul Rahman yang bertemu secara sulit dengan pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno dan Anwar Ibrahim, Ketua Pemuda Umno di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana.

Pertemuan sulit ini adalah bertolak dari isu Memali yang tercetus pada 19 November 1985 yang merebak menjadi isu Amanat Haji Hadi, yang kemudiannya membawa kepada fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 19 Februari 1986. Dr Mahathir dalam satu kenyataannya mahu mengambil tindakan keras terhadap Masjid Rusila, tetapi pada 31 Januari 1986, Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Umno untuk berunding dengan PAS demi kepentingan Islam. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 12 Februari 1986 telah bersetuju untuk bermuzakarah dengan Umno, dan ia disambut baik oleh Dr Mahathir pada 16 Februari 1986. Pada 16 Mac 1986, PAS bersetuju bertemu Umno sebagai mana pertemuan dengan pihak-pihak lain dengan syarat tidak bermaksud membawa PAS menyertai BN.

Bagi pihak Umno, muzakarah ini sangat penting kerana mereka berhadapan dengan isu keganasan kerajaan di Memali yang membawa kepada perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam pada 16 Mac 1986. Pergolakan ini bertukar menjadi krisis kepemimpinan Umno yang membawa kepada perpecahan parti perkauman sekular itu pada 1987. Dalam masa yang sama, PAS sedang mendekati pengundi Cina melalui CCC. Umno cuba menjadikan muzakarah ini sebagai serampang dua mata iaitu untuk menutup kelemahan Umno dan memecahkan hubungan PAS dengan pengundi Cina menjelang Pilihan Raya Umum 1986.

Pertemuan tanpa agenda yang disifatkan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pertemuan peribadi ini telah dikhianati oleh Anwar Ibrahim. Pertemuan sulit ini telah didedahkan oleh Anwar Ibrahim kepada Pemuda Umno dalam tempoh 24 jam selepas pertemuan, diikuti oleh pendedahan beliau kepada media di Pulau Pinang pada 13 April 1986 yang memaksa pemimpin PAS dan Dr Mahathir mengakuinya. Akibat pengkhianatan Anwar Ibrahim terhadap pertemuan sulit yang dikatakan untuk kepentingan ummah ini, PAS terpaksa berhadapan dengan kemarahan pengundi Cina yang menuduh PAS menipu mereka sehingga menyebabkan PAS hanya memenangi satu kerusi sahaja di Dewan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986.

08 April 2016

08 April 1975 : PAS Bincang Kedudukan Kerjasama Politik Dalam BN

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan kedudukan perlaksanaan kerjasama politik dalam BN di semua peringkat ekoran timbulnya ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS mengenainya sejak BN ditubuhkan pada 1 Jun 1975. Berdasarkan laporan-laporan yang diterima oleh Pejabat Agung PAS, terdapat rungutan-rungutan berkait dengan kesan kerjasama ini terhadap organisasi PAS dan juga peranan PAS dalam BN.

Antara perkara utama yang dibangkitkan tentang kurangnya kerjasama yang diberikan oleh Umno terutama untuk menerapkan Islam dalam pemerintahan, selain tindakan Umno di peringkat bawahan yang kurang menghormati kedudukan PAS sebagai rakan pakatan mereka. Secara khusus, isu yang ditimbulkan selepas Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974 ialah berkaitan pengagihan kerusi yang tidak seimbang antara kedua-dua parti. PAS hanya diperuntukkan 14 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN di seluruh negara berbanding Umno yang mendapat 61 kerusi Parlimen dan 170 kerusi DUN. Perkara ini dipersoalkan oleh ahli PAS kerana peranan PAS dalam menyatukan kekuatan orang Melayu dan menguatkan semula kerajaan pasca 13 Mei 1969.

Isu lain yang turut dipersoalkan oleh ahli-ahli PAS ialah masalah pengagihan jawatan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Dalam kabinet Persekutuan, PAS hanya diperuntukkan satu jawatan menteri, dua timbalan menteri dan satu Setiausaha Parlimen sahaja. Di peringkat Negeri, dalam perlantikan Exco Kerajaan Negeri di Kedah dan Terengganu, PAS hanya diberikan masing-masing dua kerusi, sedangkan Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS memberikan tiga kerusi exco kepada Umno. Di negeri-negeri lain, PAS tidak diberikan jawatan exco, selain masalah perlantikan ahli-ahli PAS dalam badan-badan berkanun.

Walaupun Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menjelaskan bahawa bukan tujuan PAS menyertai BN untuk mendapatkan kerusi, sebaliknya PAS mempunyai matlamat jangka panjang yang lebih besar untuk memartabatkan Islam, namun ia tidak meredakan ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS dalam konteks perlaksanaan kerjasama yang seimbang ini. Ekoran itu, pada 8 April 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah untuk menyelesaikan ketidakpuasan hati ahli-ahli PAS. 

Antara langkah yang cuba diambil oleh PAS ialah dengan menggunakan Mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung Parti Komponen BN untuk membuat ketetapan yang mengarahkan supaya kerajaan-kerajaan negeri melantik ahli-ahli PAS menduduki pelbagai jawatan dalam kerajaan dan badan-badan berkanun negeri. PAS juga membuat ketetapan supaya PAS memperkukuhkan organisasinya kerana menyedari hakikat persaingan politik antara PAS dan Umno tidak berakhir dengan kerjasama dalam BN, sebaliknya ia menjadi percaturan politik dalam bentuk yang baru. Ahli-ahli PAS yang menyedari kerjasama yang tidak seimbang ini, dalam Muktamar Tahunan PAS Kali KE-21 pada 29-30 Julai 1975 telah mencadangkan supaya keluar dari BN jika mereka berterusan tidak menghormati PAS.

07 April 2016

07 April 1981 : Amanat Tuan Guru Haji Hadi Tercetus Di Kampung Banggol Peradong

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyampaikan ceramah umum di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu yang mana ucapan beliau ini kemudiannya menjadi polemik yang berpanjangan sehingga hari ini. Ucapan beliau yang menjelaskan sebab-sebab perjuangan PAS menentang Umno kerana parti sekular kebangsaan itu berpegang dengan peraturan jahiliyyah yang ditinggalkan oleh penjajah British yang kafir. Ucapan ini kemudiannya telah dicetak dalam bentuk poster oleh beberapa pihak sebagai "Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi."

Pada masa ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau yang merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Awang Muhammad, Imam Masjid Rusila adalah lulusan dari Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau menjadi Ahli PAS semenjak 1959 dan menjadi orator yang terkenal sejak kembali dari Asia Barat pada 1975.

Dalam ucapannya di Banggol Peradong, Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah menyentuh tentang kedudukan perjuangan PAS dalam menentang amalan jahiliyyah dan taghut dalam politik dan pemerintahan negara yang diwarisi oleh Umno dari penjajah. Beliau meletakkan perbuatan Umno yang mengekalkan perlembagaan penjajah sebagai sebab penentangan PAS terhadap parti itu, kerana PAS mahukan negara ini ditadbir dengan al-Quran dan Sunnah. Atas asas ini, perjuangan PAS untuk menegakkan Islam boleh membawa kepada kematian adalah mati syahid. Beliau turut mempertegaskan bahawa perbuatan memisahkan agama dari politik adalah agenda sekular yang merosakan aqidah.

Dipercayai ucapan ini adalah mempunyai kaitan dengan faktor-faktor kebangkitan Islam pada permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980) dan juga isu semasa ekoran pendakwaan terhadap Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Mahkamah Syariah Besut akibat kuliahnya pada 1 November 1979 yang mengatakan perbuatan memisahkan agama dari politik adalah murtad. Pada 1979, PAS telah mengarahkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk menulis tentang perkara yang merosakan aqidah sehingga terhasil dua buku iaitu 'Batas-batas Iman dan Kufur' dan 'Muqaddimah Aqidah Muslimin' pada awal 1980-an. Pada bulan September 1980, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menerbitkan buku 'Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS' yang turut membahaskan tentang kerosakan aqidah dalam politik.

Selepas ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Banggol Peradong ini, isu kafir-mengkafir telah menjadi senjata Umno dalam menyerang PAS bermula dengan tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Wan Mokhtar Ahmad yang membuat satu kenyataan di DUN Terengganu pada 11 Ogos 1983 yang disiarkan oleh Berita Harian pada 12 Ogos 1983 yang mengaitkan Amanat Haji Hadi dengan isu kafir-mengkafir, dan kemudiannya dijadikan hujah oleh kerajaan dalam Kertas Putih isu Memali bertarikh 25 Februari 1986. Semenjak itu, setiap kali ada ketegangan politik antara PAS dan Umno, isu ini akan dibangkitkan semula, dan kali terakhir ialah pada hujung 2012 di mana Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah membuat penjelasan mengenainya pada 10 Januari 2013.

06 April 2016

06 April 1953 : PAS Setuju Sertai 'National Conference' Perjuangkan Kemerdekaan Malaya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan untuk PAS menyertai National Conference (NC) atas sebab mahu memperjuangkan kemerdekaan segera. Pendirian PAS ini adalah "memandang keadaan politik Malaya sekarang ini (1953), lebih-lebih oleh cita-cita bagi mencapai sebuah negara yang merdeka, serta memandang bagaimana mustahaknya semua orang yang mempunyai pengaruh politik dan badan-badan politik yang mewakili seluruh rakyat jelata dengan tidak mengira puak atau golongan bersatu dan berunding sama dalam satu barisan bagi mencapai cita-cita rakyat seluruhnya."

NC ialah sebuah gabungan politik yang didorong oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Asia Tenggara dan Timur, Sir Malcom McDonald melalui Dato' Onn Jaafar untuk menyediakan kemerdekaan Malaya dengan perpaduan kaum. Pada 12 Februari 1953, 16 orang kenamaan termasuk tujuh orang Menteri Besar telah hadir dalam pertemuan untuk membentuk NC, termasuk Dato' Onn (IMP), Tunku Abdul Rahman Putra (Umno), Yong Shook Lin (MCA) dan P.P Narayanan (MTUC). Umno kemudiannya menarik diri atas faktor persaingan peribadi antara Tunku Abdul Rahman dan Dato' Onn.

Secara rasmi, NC dibentuk pada 27 April 1953 yang turut disertai oleh PAS, selain IMP, MCA, MIC, Malayan Ceylonese Association dan Malayan Eurasian Association, dengan dipengerusikan oleh Dato' Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab Toh Muda Aziz, Menteri Besar Perak. Berasaskan peruntukan Undang-undang Tubuh PAS 1951 yang menyebut tujuan PAS ialah "bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan siasah yang lain di dalam negeri ini yang dasar dan tujuannya tidak berlawanan dengan ajaran-ajaran Islam di dalam mencapai demokrasi, keadilan masyarakat dan peri kemanusiaan," maka Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 6 April 1953 telah bersetuju PAS menyertai pakatan politik ini setelah menerima jemputan pada 30 Mac 1953.

PAS menyifatkan penyertaannya dalam NC amat penting kerana ia dapat menangani pergolakan politik semasa, memperjuangkan kemerdekaan dan membentuk persatuan semua pihak dalam perjuangan kemerdekaan. Yang lebih penting, NC telah menjadi pentas untuk PAS muncul di arena politik nasional dan membentuk kerjasama dengan orang bukan Islam kerana PAS adalah satu-satunya parti orang Melayu dalam NC. PAS yang menerima kritikan pelbagai pihak yang bimbang NC diperalatkan oleh penjajah, menegaskan bahawa PAS memperjuangkan kemerdekaan untuk mendaulatkan Islam dan berasaskan Islam.

05 April 2016

05 April 1980 : Ustaz Fadzil Noor Kalah Tipis 70 Undi Dalam Pilihanraya DUN Bukit Raya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1980, telah berlangsung Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Raya, Kedah ekoran kematian ADUN-nya, Ustaz Ismail @ Shafie Kassim. Pilihan Raya Kecil ini diadakan dalam suasana politik yang tegang di Kedah ekoran isu kenaikan harga padi yang membawa kepada demonstrasi petani pada 19 Januari 1980 dan diikuti oleh penahanan 13 pimpinan dan ahli PAS, termasuk Ustaz Abdul Halim Arshat, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah pada 23 Januari 1980. Dalam kondisi politik ini, PAS dikejutkan dengan kematian Ustaz Ismail Kassim.

Ustaz Ismail Kassim merupakan pimpinan vateran PAS Kedah yang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah pada zaman BN. Beliau menyertai kumpulan pertama ADUN PAS di Kedah apabila memenangi kerusi DUN Kangkong Bukit Raya pada 1969 bersama tujuh ADUN yang lain. Sebelum 1969, PAS tidak mempunyai ADUN di Kedah. Pada 7 Januari 1973, Ustaz Ismail Kassim dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah dan memegangnya sehingga PAS dikeluarkan dari BN pada 13 Disember 1977. Dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 8 Julai 1978, Ustaz Ismail Kassim telah mengalahkan calon BN, Abdul Aziz Ali dengan majoriti 1,101 undi.

Bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Raya ini, PAS telah menamakan tokoh terkenalnya, Ustaz Fadzil Mohd Noor, bekas pensyarah UTM yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Beliau merupakan pimpinan belia Islam terkenal pada 1970-an yang telah menjadi ahli PAS semenjak 1967. Lulusan Syariah dari Universiti al-Azhar ini pernah menjadi Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan Setiausaha Agung PUM (1974-1976), sebelum menduduki kepemimpinan PAS. Dalam Pilihan Raya Umum 1978, Ustaz Fadzil telah bertanding di kerusi Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah, tetapi tewas, yang menyebabkan beliau dipecat dari UTM.

Walaupun PAS meletakkan calon terkenal dalam pilihan raya kecil ini, kerana politik yang sedang panas di Kedah telah menyebabkan PAS gagal mempertahankan kerusi tersebut. Ustaz Fadzil yang mendapat 6,732 undi tewas dengan majoriti tipis iaitu 70 undi kepada calon BN, Safirol Hashim yang mendapat 6,802 undi dalam pengundian pada 5 April 1980. Walaupun gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Raya ketika ini, Ustaz Fadzil berjaya merampas semula kerusi ini dalam Pilihan Raya Umum 1982 dan terus mempertahankannya selama empat penggal, sebelum diambil alih oleh Haji Taulan Rasul pada 1999, di mana Ustaz Fadzil telah bertanding di DUN Anak Bukit.

04 April 2016

04 April 1997 : PAS Anjur Demonstrasi Bantah Pasukan Kriket Israel Ke Malaysia

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1997, Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengadakan perhimpunan kemuncak untuk membantah kehadiran pasukan kriket dari negara haram Israel ke kejohanan kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) di Kuala Lumpur. Perhimpunan yang disertai oleh lebih 2,000 demonstran ini diadakan di depan Masjid ar-Rahman, Universiti Malaya sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

Isu pasukan kriket Israel ini timbul apabila Kerajaan Malaysia pada 21 Mac 1997 meluluskan visa untuk membenarkan pasukan kriket Israel datang Malaysia. Sebelum ini, isu hubungan Malaysia-Israel telah dibangkitkan ekoran kenyataan Pengerusi Kumpulan Melewar Corp. Sdn Bhd, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman pada 6 Julai 1994 bahawa beliau telah berkunjung ke Israel, iaitu rakyat Malaysia pertama ke Israel sejak 1957. Pada 6-9 Julai 1994, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed ketika berada di Paris, dilaporkan menemui pemimpin Zionis, Yitzhak Rabin dan Shimon Peres, iaitu masing-masing adalah Perdana Menteri dan Menteri Luar Israel.

Berlanjutan dari kelulusan visa kepada pasukan kriket Israel ini, Dewan Pemuda PAS telah melancarkan siri-siri bantahan bermula dengan demonstrasi dan perarakan membantah Israel di Dataran Merdeka pada 25 Mac 1997 yang diketuai Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Abu Bakar Chik mengetuai pemuda-pemuda bersama Haji Mohamad Sabu (Naib Ketua), Haji Mahfuz Omar (Setiausaha), Salahuddin Ayub (Ketua Penerangan) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Ketua Pemuda Selangor). Kemudian siri-siri bantahan dibuat di peringkat negeri di Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Perak. Mahasiswa Islam dari UM, UPM, UKM, UTM, UIAM dan ITM turut menyertai bantahan ini, di mana mahasiswa juga membuat demonstrasi berasingan di depan UM pada 28 Mac 1997, sedangkan Dewan Pemuda PAS mengadakan bantahan di negeri masing-masing pada hari yang sama.

Kemuncak kepada bantahan ini dibuat di Masjid ar-Rahman pada 4 April 1997 dengan dipimpin oleh Haji Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan Ustaz Misbahul Munir Masduki, di mana para demonstran telah diserbu oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan bom asap dan semburan asid yang mengakibatkan 250 orang ditahan di lokap Balai Polis Brickfield. Selain ditahan, ramai peserta bantahan ini yang turut mengalami kecederaan. 44 orang daripada mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1998.

Setelah hampir tiga bulan dibicarakan, pada 20 Oktober 1997, empat orang telah dipanggil membela diri, manakala 40 yang lain dibebaskan. Mereka yang dipanggil membela diri ialah Haji Mahfuz Omar (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Salahuddin Ayub (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Minghat Mahmud (Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka) dan Jamaluddin Abdul Manaf (Pak Amjal) (Ketua Cawangan PAS Flat UDA, Lembah Pantai). Mereka didapati bersalah pada 10 November 2000 dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 atau penjara sebulan. Ustaz Minghat yang uzur ketika itu memilih untuk membayar denda, sedangkan tiga yang lain memilih dipenjara. Mereka kemudiannya dibebas pada 8 Disember 2000 setelah sebulan ditahan di Penjara Kajang.

03 April 2016

03 April 1952 : Mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS Pertama Putuskan Penubuhan Dewan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, Jawatankuasa Kerja Agung PAS sesi pertama iaitu sesi 1951-1952 telah bermesyuarat buat kali yang pertama di Madrasah ad-Daeratul Maarif, Kepala Batas, Pulau Pinang. Mesyuarat ini adalah mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Agung PAS semenjak PAS melantik Ahli Jawatankuasa Kerja Agungnya dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil pada 24 November 1951. Melalui mesyuarat ini, PAS merangka gerak kerja dan memulakan langkah pembangunan organisasinya.

Semenjak PAS ditubuhkan atas nama Persatuan Ulamak Malaya pada 23 Ogos 1951 di Kuala Lumpur, ia telah mengadakan satu persidangan di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Perai pada 24 November 1951 untuk meluluskan Undang-undang Tubuh PAS dan melantik Ahli Jawatankuasa Kerja Agung. Dalam persidangan ini nama Persatuan Ulamak Malaya telah ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan, mudir Madrasah al-Masriyah telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS .

Pada peringkat awal ini, organisasi PAS masih belum tersusun dan pergerakannya agak perlahan kerana pimpinan PAS yang dilantik berhadapan dengan beberapa isu antaranya tuduhan Umno bahawa PAS hendak merampas kuasa Raja-raja Melayu dalam urusan agama dan isu pertindanan keahlian PAS dengan Umno dan IMP. Walaupun ada pihak yang memandang sinis terhadap penubuhan PAS kerana ia lahir dari persidangan anjuran Umno, tetapi banyak pihak memberi harapan supaya PAS dapat memajukan Islam di Malaya, termasuk diadakan satu Majlis Kesyukuran Penubuhan PAS di Kedah pada 2 Februari 1952yang dihadiri 300 ulamak. Setelah menyelesaikan kekeliruan ini, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad telah melantik empat orang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebagai ahli tambahan dan pada 23 Mac 1953 beliau memanggil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS kali pertama.

Pada 3 April 1952, telah berlangsung mesyuarat kali yang pertama ini yang berjaya memulakan langkahan perjuangan PAS. Antara keputusan penting Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah bersetuju menubuhkan sekurang-kurangnya 20 Cawangan PAS sebelum Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Pertama (awal 1953) dan menubuhkan tiga Jawatankuasa Kecil yang kemudiannya menjadi sayap-sayap utama PAS iaitu Dewan Ulamak yang diketuai oleh Mufti Sheikh Abdullah Fahim, Dewan Pemuda Islam yang diketuai oleh Ustaz Haji Ahmad Badawi Abdullah dan Dewan Muslimat yang diketuai oleh Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor.

Jawatankuasa Kerja Agung PAS turut menubuhkan beberapa Jawatankuasa Kecil yang lain iaitu Jabatan Kebajikan Am (Haji Majzub Yunus), Jabatan Pelajaran (Mohamad Hanif), Jabatan Penerangan (Haji Zabidi Ali) dan Jabatan Penyiasat (Yang Dipertua). Dengan terbentuknya organisasi yang tersusun melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Agung PAS yang pertama ini, PAS mulai bergerak sebagai badan politico-dakwah dalam perjuangan Islam di Malaya ketika itu.

02 April 2016

02 April 2009 : PAS Bimbang Pemimpin Lemah Akan Hancurkan Negara

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2009, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan kebimbangan terhadap kedudukan negara ini yang akan dipimpin oleh seorang pemimpin yang lemah dan tidak berkualiti sehingga menjelaskan masa depan negara. Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika mengulas perlantikan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri yang baru mulai 3 April 2009 setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Pergolakan politik nasional timbul setelah BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat setelah PR menguasai 82 dari 222 kerusi. Ekoran tekanan dalaman BN, Datuk Seri Abdullah telah mengumumkan pengunduran beliau pada 8 Oktober 2008 daripada jawatan Perdana Menteri mulai akhir Mac 2009, selain tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno. Beliau melepaskan jawatannya pada 2 April 2009 dan digantikan oleh Datuk Seri Najib mulai 3 April 2008.

Pendirian Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz adalah selaras dengan pendirian Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang telah menyertai pimpinan PR untuk mengemukakan permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menangguhkan perlantikan Datuk Seri Mohd Najib. Pimpinan PR mahu nama bakal Perdana Menteri itu dibersihkan dahulu dari pelbagai skandal termasuk isu kapal selam Scorpone dan pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu. PR mendesak sebuah suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk membersihkan nama Datuk Seri Mohd Najib.

Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya pada 2 April 2009 berpendirian bahawa negara akan selamat jika dipimpin oleh seorang pemimpin yang bermoral, sedangkan Datuk Seri Mohd Najib tidak pernah dibersihkan dari dari semua tuduhan terhadapnya. Bahkan, beliau juga dikaitkan secara langsung terhadap usaha menjatuhkan Kerajaan PR di Perak melalui penculikan wakil rakyat. Bukti terhadap kelemahan kepemimpinan Perdana Menteri baru ini ialah kegagalan beliau mendapatkan sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, yang diikuti oleh pelbagai krisis ekonomi dan politik yang menyusahkan rakyat.

Di sebalik pendirian PAS yang mahukan Datuk Seri Mohd Najib disiasat dan tidak mahu pemimpin yang lemah ketuai kerajaan, ternyata Perdana Menteri baru ini telah muncul sebagai Perdana Menteri paling lemah dalam sejarah negara. Beliau bukan sahaja dipalitkan dengan skandal keluarganya, terutama campur tangan isterinya dalam pentadbiran negara, tetapi turut terbabit dengan skandal 1MDB dan wang tunai dalam akaun peribadi berjumlah RM2.6 bilion. Dalam masa yang sama, Umno telah menghadapi krisis terbesar sehingga terpaksa memecat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah, sedangkan beliau sendiri menerima tentangan terbuka dari dalam Umno termasuk oleh bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed. PAS melihat kelemahan kepemimpinan Datuk Seri Mohd Najib ini adalah peluang terbaik untuk rakyat menjatuhkan Umno.

01 April 2016

01 April 2008 : Pakatan Rakyat Ditubuhkan Satukan Parti Pembangkang

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2008, PAS telah menyertai parti-parti pembangkang - PKR dan DAP - untuk mengasaskan Pakatan Rakyat (PR) bagi menyatukan parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-12. Dalam Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008, PAS bersama PKR yang bergabung dalam Barisan Alternatif (BA) telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan dan Kedah, sedangkan DAP yang keluar dari BA pada 2001 telah membentuk kerajaan di Pulau Pinang. Perak dan Selangor yang gagal dipertahankan oleh BN menghadapi krisis politik kerana parti-parti pembangkang juga gagal membentuk kerajaan.

Dalam menghadapi situasi ini, PAS telah menerima tawaran dari BN untuk membentuk Kerajaan Campuran di Perak dan Selangor, tetapi dalam masa yang sama pihak pembangkang mengusahakan supaya gabungan PAS-PKR-DAP dapat dibentuk bagi menubuhkan kerajaan di kedua-dua negeri tersebut. Di Perak, PAS mempunyai 6 kerusi DUN, manakala DAP dan PKR masing-masing mempunyai 18 dan 7 kerusi. Di Selangor pula, PAS dengan 8 kerusi DUN sedangkan PKR mempunyai 15 dan DAP 13 kerusi.

Setelah melalui pelbagai proses rundingan, akhirnya pada 13 Mac 2008, Tan Sri Khalid Ibrahim dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor, diikuti oleh Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008. Perlantikan kedua-dua Menteri Besar dari PKR dan PAS ini dibuat atas persetujuan longgar antara mereka bagi membolehkan kerajaan dibentuk. Di peringkat Parlimen, pembangkang yang menguasai 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat telah memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Ketua Pembangkang, setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN.

Bagi menghadapi kondisi politik yang tidak teguh ini, dalam satu pertemuan pimpinan ketiga-tiga parti di Petaling Jaya telah bersepakat untuk membentuk pakatan baru pembangkang. Pada 1 April 2008, Ketua Pembangkang telah mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat di mana sebuah Majlis Pimpinan PR dan Sekretariat Bersama telah dibentuk. Walaupun ketiga-tiga parti mempunyai ideologi berbeza, mereka bersepakat atas dasar 'bersetuju untuk tidak setuju'. Pada 20 April 2010, PR telah menerima anggota baru, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), tetapi parti ini menarik diri pada 7 Mei 2011. Setelah sembilan tahun bersama, disebabkan beberapa isu seperti Kajang Move, perlaksanaan hukum hudud, pertukaran Menteri Besar Selangor, campur tangan DAP dalam pemilihan PAS dan lain-lain, telah timbul konflik antara parti-parti tersebut sehingga DAP telah mengisytiharkan PR dibubarkan pada 16 Jun 2015 lalu membentuk Pakatan Harapan tanpa PAS. Walau bagaimanapun, PAS dan PKR terus bekerjasama atas nama PR dan Kerajaan Selangor terus wujud atas pakatan ketiga-tiga parti ini.