28 April 2016

28 April 1982 : Pemimpin Utama PAS Berselisih Mengenai Penyertaan Semula Ke Dalam Barisan Nasional

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan telah mengeluarkan satu kenyataan yang bertentangan dengan pendirian Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda tentang penyertaan semula PAS ke dalam BN. Dato' Mohd Asri dalam beberapa kenyataannya yang disiarkan oleh media antara 26-28 April 1982 telah memperlihatkan hasratnya untuk membawa PAS menyertai semula BN dan menyatakan kesediaan PAS untuk berunding jika ada tawaran rasmi dari BN. Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pula dalam kenyataannya pada 28 April 1982 secara terbuka menentang kerjasama dengan BN yang dianggap sebagai golongan kebangsaan pragmatis.

Pilihan Raya Umum Ketujuh berlangsung pada 22 April 1982 dalam suasana politik baru setelah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981 dan kemasukan Anwar Ibrahim, Presiden ABIM ke dalam Umno pada 29 Mac 1982, di mana BN telah berjaya mencapai kejayaan besar. Dr Mahathir telah menimbulkan polemik baru dalam politik pada 23 April 1982 dengan menawarkan kepada PAS untuk menyertai semula BN. Dr Mahathir yang mula memperkenalkan dasar-dasar Islamisasinya menjelang Pilihan Raya Umum 1982, dan diikuti kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno, telah menarik minat Dato' Mohd Asri. Umno segera memancing PAS supaya mendukung program Islamisasi mereka.

Dalam konteks kepemimpinan PAS pula, konflik peribadi Dato' Mohd Asri dengan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dikatakan bermula apabila pandangan Dewan Ulamak PAS Pusat pada 26 November 1981 tentang pemilihan calon Pilihan Raya Umum 1982 telah diketepikan oleh Dato' Mohd Asri. Pada 31 Mac 1982, Dato' Mohd Asri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk melantik calon, sedangkan PAS Kelantan yang diketuai oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, Jawatankuasa Pemilihannya diketuai Dato' Mohd Asri. Dalam masa yang sama, pimpinan PAS turut berkrisis ekoran tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat yang merancang mengadakan muktamar mereka secara berasingan di Terengganu pada 4-6 Mac 1982, tetapi ditangguhkan ekoran pembubaran Parlimen. Isu-isu ini telah memberikan kesan kepada pencapaian PAS dalam pilihan raya umum tersebut.

Apabila Dr Mahathir menawarkan kepada PAS untuk menyertai semula BN, kedua-dua pemimpin tertinggi PAS dari Kelantan ini kemudiannya mengambil pendirian yang berbeza dan bertentangan secara terbuka, di mana kenyataan- kenyataan Dato' Mohd Asri yang pro tawaran Dr Mahathir sekitar 26-28 April 1982, telah ditolak oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 28 April 1982 kerana menganggap golongan kebangsaan pragmatis berada dalam keadaan zalim dan akan semakin lena dalam kezaliman dan sikap pragmatis jika PAS menyertai semula BN.

Ekoran pertembungan antara Yang Dipertua Agung PAS dengan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, sedangkan Dewan Pemuda PAS Pusat juga tidak berpihak kepada pemimpin utama PAS itu, Dato' Mohd Asri telah mula memberikan tekanan kepada golongan ulamak dalam PAS sejak Ogos 1982. Dalam masa yang sama Dato' Mohd Asri memuji dasar-dasar Islamisasi Dr Mahathir, sehingga ia disebut dalam Ucapan Dasar PAS 1982. Dan pertembungan ini berakhir apabila Dato' Mohd Asri akhirnya meletakkan jawatan pada 23 Oktober 1982.

Tiada ulasan: