17 April 2016

17 April 1981 : Muktamar PAS Ke-27 Sebagai Cetusan Awal Kepimpinan Ulamak

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, PAS telah mengadakan Muktamar Tahunan Kali Ke-27 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur sebagai muktamar pertama selepas memasuki abad ke-15 Hijriyah yang berlangsung selama tiga hari bermula 17-19 April 1981. Muktamar ini berlangsung dalam suasana tegang kerana wujudnya krisis kepemimpinan PAS ekoran kenyataan Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS pada 28 Januari 1981 yang mencadangkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Keenam pada 1982. Cadangan telah menimbulkan kritikan terbuka terhadap kepemimpinan beliau dari pelbagai pihak termasuk dalaman PAS sendiri.

Ketika ini telah wujud beberapa isu seperti isu kafir-mengkafir ekoran tindakan Mahkamah Syariah Besut menjatuhkan hukuman penjara terhadap Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar kerana ceramahnya di Besut, yang berkemuncak dengan isu Amanat Haji Hadi. Kekaguman umat Islam terhadap kejayaan Revolusi Iran pada 1979 telah menyebabkan ahli-ahli PAS mula melihat para ulamak sebagai alternatif terhadap kepemimpinan Dato' Mohd Asri, terutama ekoran isu kerjasama dengan DAP.

Kesan daripada isu-isu ini, ahli-ahli PAS telah mencalonkan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa untuk merebut jawatan Yang Dipertua Agung PAS. Walaupun Pak Yusof Rawa menolak pencalonan ini, ia telah memberi mesej kepada Dato' Mohd Asri tentang kedudukan kepemimpinan beliau. Pada 10 Februari 1982, Yang Dipertua Agung PAS itu membuat penjelasan bahawa beliau tidak berniat untuk membawa PAS bekerjasama dengan DAP dan menyerahkan kepada muktamar untuk menentukan kedudukannya. Dalam Ucapan Dasarnya, Dato' Mohd Asri telah membuat kenyataan yang berharap agar kerjasama PAS-DAP tidak menjadi kenyataan.

Di sebalik penolakan Pak Yusof Rawa terhadap pencalonan sebagai Yang Dipertua Agung PAS, beliau telah bertanding untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, mana kala Ustaz Fadzil Nor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Di kem Dato' Mohd Asri, Dato' Abu Bakar Umar mempertahankan jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, sedangkan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Wan Ismail Ibrahim merebut jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS. Kesemua calon tajaan Dato' Mohd Asri telah tewas dalam pemilihan ini, kecuali Haji Zahari Awang, Ustaz Abdul Wahab Yunus dan Cikgu Sudin Wahab yang menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS, serta Datin Sakinah Junid yang terlebih dahulu dikekalkan sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat. Calon lain terpilih untuk Jawatankuasa Kerja Agung PAS ialah Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Nakhaie Ahmad, Haji Wan Abdul Mutalib Embong, Syed Ibrahim Abdul Rahman, Haji Hassan Ishak, Dr Haji Abbas Alias dan Ustaz Yahya Othman, sedangkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Cikgu Mustafa Ali masing-masing telah kekal sebagai Ketua Dewan Ulamak dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Ekoran kekalahan ramai penyokong Dato' Mohd Asri dalam pemilihan ini, Yang Dipertua Agung PAS itu telah melantik Dato' Abu Bakar Umar dan Haji Hassan Mohamad masing-masing sebagai Setiausaha Agung PAS dan Bendahari PAS yang dikatakan tidak dipersetujui oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Pergolakan dalam pemilihan parti pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-27 pads 17-19 April 1981 ini menjadi titik mula peralihan PAS kepada kepemimpinan ulamak di mana dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28, Dato' Mohd Asri telah meletakkan jawatan sebagai pemimpin tertinggi PAS dan dipangku oleh Pak Yusof Rawa.

Tiada ulasan: