07 April 2016

07 April 1981 : Amanat Tuan Guru Haji Hadi Tercetus Di Kampung Banggol Peradong

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menyampaikan ceramah umum di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu yang mana ucapan beliau ini kemudiannya menjadi polemik yang berpanjangan sehingga hari ini. Ucapan beliau yang menjelaskan sebab-sebab perjuangan PAS menentang Umno kerana parti sekular kebangsaan itu berpegang dengan peraturan jahiliyyah yang ditinggalkan oleh penjajah British yang kafir. Ucapan ini kemudiannya telah dicetak dalam bentuk poster oleh beberapa pihak sebagai "Amanat Tuan Guru Haji Abdul Hadi."

Pada masa ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi adalah Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau yang merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Awang Muhammad, Imam Masjid Rusila adalah lulusan dari Universiti Islam Madinah dan Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau menjadi Ahli PAS semenjak 1959 dan menjadi orator yang terkenal sejak kembali dari Asia Barat pada 1975.

Dalam ucapannya di Banggol Peradong, Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah menyentuh tentang kedudukan perjuangan PAS dalam menentang amalan jahiliyyah dan taghut dalam politik dan pemerintahan negara yang diwarisi oleh Umno dari penjajah. Beliau meletakkan perbuatan Umno yang mengekalkan perlembagaan penjajah sebagai sebab penentangan PAS terhadap parti itu, kerana PAS mahukan negara ini ditadbir dengan al-Quran dan Sunnah. Atas asas ini, perjuangan PAS untuk menegakkan Islam boleh membawa kepada kematian adalah mati syahid. Beliau turut mempertegaskan bahawa perbuatan memisahkan agama dari politik adalah agenda sekular yang merosakan aqidah.

Dipercayai ucapan ini adalah mempunyai kaitan dengan faktor-faktor kebangkitan Islam pada permulaan abad ke-15 Hijriyah (1980) dan juga isu semasa ekoran pendakwaan terhadap Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Mahkamah Syariah Besut akibat kuliahnya pada 1 November 1979 yang mengatakan perbuatan memisahkan agama dari politik adalah murtad. Pada 1979, PAS telah mengarahkan Tuan Guru Haji Abdul Hadi untuk menulis tentang perkara yang merosakan aqidah sehingga terhasil dua buku iaitu 'Batas-batas Iman dan Kufur' dan 'Muqaddimah Aqidah Muslimin' pada awal 1980-an. Pada bulan September 1980, Dewan Ulamak PAS Pusat telah menerbitkan buku 'Islam dan Politik: Hasil Kajian Ilmiah Ulamak PAS' yang turut membahaskan tentang kerosakan aqidah dalam politik.

Selepas ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi di Banggol Peradong ini, isu kafir-mengkafir telah menjadi senjata Umno dalam menyerang PAS bermula dengan tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato' Wan Mokhtar Ahmad yang membuat satu kenyataan di DUN Terengganu pada 11 Ogos 1983 yang disiarkan oleh Berita Harian pada 12 Ogos 1983 yang mengaitkan Amanat Haji Hadi dengan isu kafir-mengkafir, dan kemudiannya dijadikan hujah oleh kerajaan dalam Kertas Putih isu Memali bertarikh 25 Februari 1986. Semenjak itu, setiap kali ada ketegangan politik antara PAS dan Umno, isu ini akan dibangkitkan semula, dan kali terakhir ialah pada hujung 2012 di mana Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah membuat penjelasan mengenainya pada 10 Januari 2013.

Tiada ulasan: