26 April 2016

26 April 1974 : Ustaz Abu Bakar Hamzah Dipecat Daripada PAS Ekoran Kegiatan Merugikan Parti

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Senator Ustaz Abu Bakar Hamzah telah dipecat keahliannya dari PAS oleh Jawatankuasa Tatatertib PAS ekoran beberapa tindakannya yang dikatakan "merugikan perjuangan parti." Ustaz Abu Bakar Hamzah yang juga bekas Setiausaha Agung PAS merupakan arkitek utama dalam pembentukan Kerajaan Campuran PAS-PERIKATAN yang dibentuk pada 1 Januari 1973.

Sebelum dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS pada 1971, Ustaz Abu Bakar Hamzah yang menyertai PAS sejak 1955 adalah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1958-1962 dan 1964-1966) dan Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS (1966-1971). Pada 1971, beliau selaku Naib Yang Dipertua Agung PAS telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dengan memegang dua jawatan serentak, selain turut dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mulai awal 1973, sekali gus sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar, sebelum kemudiannya bertukar ke Kementerian Pertanian dan Perikanan juga sebagai Setiausaha Parlimen pada 1974.

Isu Ustaz Abu Bakar Hamzah ini telah bergolak sejak awal 1973, ketika mana beliau selaku Setiausaha Agung PAS merangkap Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah menghadiri seminar anjuran Commonwealth Parliamentary Association (CPA) di United Kingdom mulai 24 Mac 1973. Beliau yang mengambil kesempatan untuk membuat 'lawatan kerja' ke beberapa negara Eropah dan Afrika Utara hanya pulang ke tanah air pada 29 Julai 1973. Ketiadaan Setiausaha Agung PAS selama empat bulan ini telah menyebabkan banyak kerja-kerja kepartian terbengkalai, sehingga Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 25 Julai 1973 telah memberhentikan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS mulai 26 Julai 1973. Rayuan beliau pada 7 Ogos 1973 telah ditolak oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Ogos 1973.

Pemecatan beliau sebagai Setiausaha Agung PAS ini telah menimbulkan krisis peribadi antara beliau dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, di mana beliau menuduh pemimpin utama itu sebagai "buta al-Quran." Lanjutan daripada itu, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-19 pada 21-23 September 1973, beliau bertanding jawatan Yang Dipertua Agung PAS menentang Dato' Mohd Asri, tetapi tewas, sebalik kekal sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS. Selepas isu ini, pergeseran peribadi terus berpanjangan sehingga beliau mengkritik kepemimpinan Dato' Mohd Asri melalui surat-surat beliau kepada Yang Dipertua Agung PAS itu dan juga kepada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri.

Tindakan beliau yang secara berterusan menyerang pimpinan tertinggi PAS telah dilihat menggugat kestabilan parti dan merugikan perjuangan PAS. Pada 15-16 Disember 1973, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan tindak-tanduk Ustaz Abu Bakar Hamzah dan akhirnya pada 7 Mac 1974, kes ini telah dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib PAS dan beliau kemudiannya pada 26 April 1974 telah dipecat dari PAS. Pada 3 Mei 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menolak rayuan beliau, yang memaksa beliau untuk turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian dan Perikanan.

Tiada ulasan: