15 April 2016

15 April 2001 : Dewan Muslimat PAS Cadang Muslimat Sebagai Calon Pilihanraya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, Dewan Muslimat PAS Pusat telah mengemukakan satu kertas cadangan bertajuk 'Kertas Cadangan Pencalonan Muslimat (Wanita) Dalam Pilihan Raya' kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sebagai satu usaha untuk membolehkan PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya. Kertas cadangan ini adalah lanjutan daripada usul Dewan Muslimat PAS Pusat yang diluluskan oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 pada 2-4 Jun 2000 yang mahu PAS Pusat mempertimbangkan kemungkinan wanita menjadi calon.

Isu pencalonan Muslimat dalam pilihan raya telah berbangkit dalam PAS sejak 1989 apabila Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Wan Asma' Abdul Kadir membangkitkannya dalam Jawatankuasa Harian PAS Kelantan pada 4 Oktober 1989 dan dakwaan pemimpin Semangat 46, Hajjah Illani Isahak bahawa Islam membenarkan wanita menjadi calon. Semangat 46 telah mencadangkan Hajjah Illani untuk bertanding di Parlimen Kota Bharu dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi dipertikaikan oleh pemimpin PAS. Pada 30 September 1989, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Ustaz Idris Omar, Ustaz Azizan Abdul Razak dan Ustaz Ibrahim Abdullah untuk membuat kajian terperinci tentang perkara ini, yang kemudiannya hasil kajian ini, Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989 membuat keputusan bahawa tidak sayugia Muslimat menjadi calon kecuali dengan keperluan yang mendesak dan syarat yang ketat.

Sebenarnya, semenjak 1959, PAS mempunyai pendirian bahawa Muslimat boleh menjadi calon pilihan raya dan dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada 19 Ogos 1959, PAS telah meletakkan beberapa calon Muslimat, di mana Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ibu Khadijah Sidek telah memenangi kerusi Parlimen Dungun dan menjadi ahli parlimen sehingga 1964. Dasar PAS tentang pencalonan Muslimat telah berubah ekoran keganasan politik yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ketiga pada 10 Mei 1969. Semenjak itu, PAS lagi tidak membenarkan Muslimat dicalonkan dalam pilihan raya di atas maslahah keselamatan. Di sebalik Tragedi 13 Mei 1969 dan pendirian Majlis Syura Ulamak PAS pada 5 November 1989, Dewan Muslimat PAS Pusat pada 15 April 2001 telah menggariskan lima rasional penglibatan semula Muslimat sebagai calon PAS dalam pilihan raya:

I. Tiadanya larangan mutlak berdasarkan nas-nas mantap;
II. Banyak isu wanita yang perlu disuarakan oleh Muslimat PAS dalam forum terbuka;
III. Meyakinkan masyarakat tentang penghormatan PAS kepada wanita dan memperkasakan kepemimpinan Muslimat PAS;
IV. Pendekatan psikologi terhadap pengundi wanita; dan
V. Keterbatasan ruang untuk Muslimat PAS memberi sumbangan dalam politik kenegaraan.

Dengan lima rasional ini, Dewan Muslimat PAS Pusat mahu Jawatankuasa Kerja PAS Pusat mempertimbangkan kedudukan Muslimat PAS sebagai calon dalam pilihan raya.

Ekoran keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 dan kertas cadangan Dewan Muslimat PAS Pusat tersebut, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sejak 15 April 2001 telah terus membincangkan isu ini pada 12 Ogos 2001, 16 September 2001 dan 13 Oktober 2001, sebelum ia dimuktamadkan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 30 Disember 2001. Majlis Syura Ulamak PAS telah bersetuju mengekalkan amalan PAS sebelum ini, iaitu mengharuskan Muslimat menjadi calon dalam pilihan raya yang terikat kepada syarat-syarat tertentu. Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 12 Januari 2002 telah memaklumkan kepada Dewan Muslimat PAS Pusat tentang pendirian Majlis Syura Ulamak PAS tersebut, dan Dewan Ulamak PAS Pusat menerbitkan sebuah buku bertajuk 'PAS & Calon Wanita' susunan Ustaz Azizan Abdul Razak pada 2003 untuk menjelaskan dalil-dalil berkait pendirian PAS tersebut.

Tiada ulasan: