16 April 2016

16 April 1992 : Kerajaan Persekutuan Sedia Benarkan Kelantan Laksana Hudud

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah membuat kejutan dengan menyatakan kesediaan Kerajaan Pusat untuk membenarkan Kerajaan PAS Kelantan melaksanakan hudud dan bersedia meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan tersebut. Perdana Menteri turut mencabar Kelantan supaya mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Pusat untuk melaksanakan hudud jika Kerajaan PAS Kelantan benar-benar berhasrat berbuat demikian.

Isu perlaksanaan hudud ini timbul setelah Majlis Syura Ulamak PAS yang menerima laporan Jawatankuasa Pemandu Kerajaan Kelantan berkait perlaksanaan syariat pada 12 Mac 1992, telah bersetuju supaya Perlembagaan Negeri Kelantan dipinda untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan. Ketika kempen Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Payung, Terengganu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1 April 1992 telah mendedahkan rancangan Kerajaan PAS Kelantan untuk meminda Perlembagaan Negeri Kelantan untuk membolehkan hudud dilaksanakan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu juga mendedahkan bahawa halangan utama dalam perlaksanaan hudud di Kelantan ialah untuk mendapatkan kerjasama Kerajaan Pusat bagi meminda Perlembagaan Persekutuan. PAS telah menyatakan komitmennya untuk berunding dengan Kerajaan Pusat supaya hudud dapat dilaksanakan di Kelantan. Ekoran kenyataan Dr Mahathir pada 16 April 1992 ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz pada 20 April 1992 telah meminta Kerajaan Pusat memberikan jaminan bertulis tentang kesediaan mereka meminda Perlembagaan Persekutuan dan memberi laluan kepada Kelantan melaksanakan hudud.

Namun begitu, kerana tekanan parti-parti komponen BN terhadap Umno, pada 24 April 1992, Dr Mahathir telah menolak permintaan PAS supaya Kerajaan Pusat memberikan jaminan bertulis tersebut. Sebaliknya, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mempertegaskan pendirian PAS untuk membawa usul Rang Undang-undang Persendirian di Parlimen bagi maksud tersebut. Ekoran kenyataan Dr Mahathir pada 16 April 1992 juga, PAS telah mengambil langkah segera untuk menggubal draf Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang akhirnya diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 7 November 1992, selain menumpukan kepada proses memperincikan draf pindaan Perlembagaan Negeri Kelantan yang diarah oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 12 Mac 1992 ke arah perlaksanaan syariat. Akhirnya, pada 25 November 1993, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan berjaya diluluskan oleh DUN Kelantan.

Walau bagaimanapun, di sebalik kesungguhan PAS ini, pada 3 Mac 1993, Dr Mahathir telah menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang dituduh sebagai zalim. Pada 21 Mac 1994, Kerajaan PAS Kelantan menyerahkan enakman yang telah diperkenan oleh Sultan Kelantan, diikuti oleh permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat pada 8 Jun 1994. Namun begitu, Kerajaan Pusat telah menolak permohonan rasmi Kerajaan PAS Kelantan itu pada 15 Julai 1994 yang menyebabkan proses perlaksanaan syariat terhalang.

Tiada ulasan: