22 Julai 2010

Ta'adib dan Peraturan Baitul Muslim Dalam Tempoh Ikatan

BAITUL MUSLIM (Rumah tangga Muslim) merupakan tangga ke-2 dalam Kaedah Sulbah (atau dikenali sebagai 'kaedah kek gulung') ke arah pembentukan Khilafah Islam. Mana-mana amilin haraki yang bergerak di dalam sesuatu Jama'ah Islam mengetahui akan hal ini dan sedikit 'teruja' untuk berbincang mengenainya.

Biarpun ia antara agenda Lajnah Tarbiyah sesebuah Jama'ah (kebiasaannya) atau secara langsung terletak di bawah pimpinan sesuatu Jama'ah Islam, topik ini ada 'pengaruhnya' tersendiri. Atas sifat alamiyyah sesebuah gerakan Islam yang mempunyai ahli bebagai umur, topik ini kebiasaannya rancak dibincangkan di peringkat kampus atau Dewan Pemuda.

Bagi mana-mana amilin harakah Islam yang sedang berada di dalam tempoh ikatan Baitul Muslim, saya difahamkan ada berberapa perkara yang perlu diambil perhatian, sepertimana berikut:-

1. Meletakkan pengharapan dalam redha Allah S.W.T. terhadap ikatan yang terjalin untuk selama-lamanya.

Calon dikehendaki sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan pasangan yang soleh dan sihat, serta mampu membentuk keluarga bahagia dalam rumah tangga. Sekiranya berlaku masalah sesama pasangan dalam tempoh ikatan, calon dikehendaki kembali kepada Allah dan Rasul-Nya agar beroleh hidayah dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.

2. Meraikan kekurangan dan kelemahan pasangan terhadap fizikal dan tindakan dalam mengendalikan bahtera rumah tangga.

Calon dikehendaki untuk meredhai segala kekurangan dan kelemahan pasangan seadanya tanpa menyatakan penyesalan terhadap pemilihan yang dibuat. Percayalah kepada setiap kekurangan, pasti akan ada hikmah yang telah dijanjikan Allah.

3. Menyediakan tubuh badan yang sihat untuk pasangan sebagai usaha dalam memenuhi kehendak fitrah.

Calon dikehendaki menjaga kesihatan diri untuk memenuhi naluri fitrah pasangannya. Pemakanan yang seimbang dan akal yang sejahtera menjadikan diri sentiasa di minati pasangan dan mampu mengekalkan perhubungan yang baik sehinggalah berumah tangga.

4. Melatih diri bersikap matang dan bertanggungjawab terhadap pengurusan diri seolah-olah sudah berumah tangga.

Calon dikehendaki mendidik diri agar bersikap optimis dan memenuhi ciri-ciri keibubapaan terhadap diri dengan ikhlas tanpa meletakkan pasangan yang dipilih sebagai asbab. Sebaliknya, sikap ini wujud kerana terasa seperti memikul satu bebanan mendidik keluarga ke arah cintakan Allah dan Rasul-Nya.

5. Menjauhkan diri dari meletakkan sesuatu keistimewaan terhadap pasangan sehingga akad nikah. Calon dikehendaki untuk tidak memberikan layanan ‘istimewa’ terhadap pasangan sehinggalah ke tempoh akad nikah.

Pasangannya akan dilihat sama seperti sahabat-sahabat lain, bahkan sekiranya pasangannya itu melakukan gerak kerja jamaah, maka beliau adalah seorang A’milin yang tertakluk kepada arahan pimpinan. Pasangan itu juga perlu dihukum sekiranya melakukan kesalahan, begitu juga sebaliknya.

6. Merahsiakan ikatan daripada orang lain sehingga tempoh yang hampir dengan akad nikah.

Calon dikehendaki tidak memaklumkan pertunangan kepada orang lain sehinggalah kepada suatu tempoh yang sangat hampir dengan perkahwinan, kecuali pimpinan dan Panel Baitul Muslim yang ditaklifkan. Ini bertepatan dengan Hadith Nabi SAW yang menyuruh umatnya merahsiakan pertunangan dan menyebarkan perkahwinan.

7. Gerak kerja Jamaah di kampus menjadi keutamaan berbanding pengurusan Baitul Muslim walaupun kedua-duanya adalah agenda Jamaah.

Memandangkan kedua-dua pasangan merupakan A’milin peringkat kampus, calon dikehendaki menumpukan perhatian kepada gerak kerja jamaah kampus lebih daripada agenda Baitul Muslim yang telah diaturkan. Ini bertepatan dengan kaedah Fiqh Aulawiyat yang meletakkan maslahat umum lebih utama daripada maslahat individu atau kelompok kecil.

8. Membezakan mua’malat pasangan dengan mua’malat sesama sahabat dan rakan sehingga akad nikah.

Calon dikehendaki mengelakkan pertemuan dengan lebih kerap, mengurangkan perbincangan sesama pasangan dalam isu-isu yang tidak mendatangkan maslahat khusus. Bahkan, adalah lebih baik sekiranya langsung tidak timbul prasangka sahabat terhadap pasangan sehingga tempoh akad nikah.

9. Memelihara tindakan dalam perkara-perkara yang mampu mendatangkan kecemburuan, walaupun ikatan tidak pernah menjanjikan apa-apa pada pasangan.

Calon dikehendaki tidak melakukan apa-apa perbuatan yang harus dan mendatangkan kecemburuan terhadap pasangan. Ini adalah kerana fitrah manusia itu cemburu terhadap sesuatu yang disukainya. Biarkan dia seorang a’milin, dia tetap manusia yang mempunyai perasaan.

10. Berusaha memudahkan perkahwinan dan membincangkan hal-hal berkaitan dengannya secara serius selepas bergelar graduan.

Calon dikehendaki berusaha memenuhi kehendak keluarga dalam memastikan tempoh ikatan pertunangan hanya berada dalam tempoh yang singkat bagi mengelakkan masalah hati yang wujud kerana fitrah. Sekiranya perlu kepada perbincangan secara langsung, maka hendaklah calon atau pasangannya mengemukakan penyelesaian secara terus agar tidak wujud sebarang masalah selepas bernikah.

11. Memenuhi kehendak pentarbiyahan diri dari segi individu, keluarga mahupun jamaah secara umum.

Calon dikehendaki menghadiri program-program tarbiyyah yang diatur oleh jamaah sebagai persediaan diri menghadapi masyaqqah dan mehnah (halangan dan ujian) yang tidak menentu.

12. Menundukkan pandangan mata dan hati terhadap ajnabi lain.

Calon dikehendaki mengelak daripada memerhatikan mana-mana lelaki atau perempuan ajnabi yang lain bagi memelihara ikatan pertunangan di samping membersihkan hati daripada melakukan dosa-dosa kecil. Perkara ini adalah merupakan hikmah kepada pekahwinan itu di mana perkahwinan itu mampu menundukkan pandangan.

13. Membina dan mengeratkan hubungan yang baik antara dua keluarga.

Calon dari pihak lelaki dikehendaki untuk mengambil peluang yang diberikan oleh keluarganya bagi membina hubungan yang baik dan erat.

Pasangan dari pihak perempuan pula tidaklah perlu untuk mengambil tindakan yang sama seperti calon dari pihak lelaki kerana dirinya masih lagi kepunyaan wali (bapanya) sehingga tempoh perkahwinan.

14. Memahirkan ilmu rumah tangga dan berkongsi hanya dengan individu sehaluan.

Calon dikehendaki untuk tidak bercerita mengenai ilmu rumah tangga kepada individu yang masih belum melalui haluan yang sama. Penceritaan itu mampu menjatuhkan thiqah calon sekiranya mereka tidak tahu mengenai status empunya diri.

15. Tidak mengambil kesempatan terhadap kemampuan pasangan dari kelebihan yang dipunyai.

Calon dikehendaki untuk tidak mengambil peluang untuk menggunakan kelebihan yang ada pada pasangan dari segi harta, ilmu, dan sebarang kelebihan yang ada padanya. Ini dikhuatiri calon terhutang budi di atas bantuan yang diberikan, bukan menikahi atas asbab cinta kepada Allah dan seseorang yang mencintai Allah.

KESIMPULAN

BAITUL MUSLIM HARUS DILIHAT SEBAGAI AGENDA TARBIYYAH. Bukan jalan alternatif bagi pasangan muslim bercinta secara halal. Tidak semestinya permulaan yang baik akan diakhiri dengan perkara kebaikan. Ada yang sampai ke penghujung, dan ada yang berhenti di pertengahan. Oleh itu, bersedialah bagi mereka yang sedang dan bakal melalui proses ini.

Apakah kita mengakui bahawa kita telah ditarbiyyah dengan hebat untuk berbaitul muslim dengan suami / isteri ahli Syurga, walhal tidak ada satu ujian pun menimpa ke atas 'survival' Baitul Muslim ini?