20 November 2010

Panduan dan Perancangan Pra-Baitul Muslim

BAITUL MUSLIM memerlukan berberapa perancangan yang teliti dan tersusun. Maka tidak hairanlah jika saya katakan bahawa ia adalah sebahagian daripada agenda Tarbiyyah sesuatu Gerakan Islam di dunia.

Terdapat berberapa pelan perancangan yang perlu dihadam bagi mana-mana individu yang hendak berada di dalam konteks Baitul Muslim yang ideal sebelum melangkah ke alam perkahwinan:-

Pertama : Penyediaan Keperluan Asas
  • Mengikuti sepenuhnya keseluruhan program-program Tarbiyyah yang disediakan oleh Jamaah bagi melahirkan iltizam terhadap perjuangan Islam.
  • Mendalami secukupnya ilmu-ilmu asas Fardhu Ain yang menjadi asas kepada jati diri setiap muslim.
  • Memperelokkan bacaan Al-Quran serta mentadabbur maknanya agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah Taala.
  • Membaca buku-buku fikrah berkenaan Haraki, Baitul Muslim dan isu-isu yang berkaitan dengannya bagi menambahkan kefahaman dan meningkatkan semangat Jihad.
  • Memperbanyakkan amal ibadah fardhu dan sunat dengan ikhlas sambil mengharap keredhaan dari Allah.
  • Menyediakan diri ke arah keterlibatan dengan Jamaah Islam PAS di luar agar tidak lalai dengan perjuangan asal dari kampus.
  • Memastikan tubuh badan sentiasa sihat dan mampu bergerak aktif supaya tidak menjadi halangan kepada pencapaian matlamat.
  • Memelihara reputasi dan penampilan diri di hadapan orang lain bagi melahirkan keyakinan dan corak hidup yang lebih sempurna.

Kedua : Penyemaian Fikrah Terhadap Ibu Bapa
  • Menerangkan kepada ibu bapa berkenaan konsep Bait Muslim dan kepentingannya untuk setiap muslim yang bergerak dalam jalan dakwah.
  • Menghapuskan keraguan dan salah faham terhadap konsep Bait Muslim yang sama sekali berbeza dengan maksiat berpacaran (couple) dikalangan ibu bapa.
  • Menyebarkan khabar angin (rumors) berkenaan keinginan berkahwin dalam tempoh yang terdekat kepada ibu bapa bagi mengatur langkah untuk menjalankan beberapa persediaan awal.
  • Mengambil peluang untuk mengajukan soalan dan pendapat kepada ibu bapa agar dilihat lebih komited dan serius terhadap perkahwinan dalam tempoh terdekat.
  • Menyediakan diri sebagai orang yang mampu berdikari dihadapan ibu bapa agar mereka menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kita mampu berdikari.
  • Mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan integriti dan kredibiliti sebagai seorang aktivis dakwah.

Ketiga : Pencarian Calon
  • Melakukan istikharah memohon petunjuk dari Allah terhadap calon yang berkenan di hati agar keputusan yang dibuat adalah dengan kebersamaan Allah Taala.
  • Sentiasa berdoa kepada Allah agar calon yang dipilih adalah calon yang taat akan perintah Allah serta beriltizam dengan Jamaah.
  • Bertanya pendapat kepada orang tertentu berkenaan calon yang dipilih bagi menambah keyakinan terhadap pilihan yang dibuat.
  • Memberi isyarat secara tidak langsung terhadap keinginan berbaitul muslim kepada calon bagi menilai penerimaannya pada peringkat awal.
  • Meminta Ahli Jawatankuasa Baitul Muslim mengawal selia proses taaruf antara calon bagi mengelakkan unsur-unsur jahiliyyah.

Keempat : Penyediaan Harta dan Kewangan
  • Memperolehi kelayakan untuk memandu kenderaan dengan selamat di jalan raya bagi memudahkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat.
  • Berusaha memperolehi pekerjaan yang terbaik bagi membina kewangan yang kukuh.
  • Menyediakan kenderaan sama ada baru atau telah terpakai bagi tujuan mobiliti.
  • Melangsaikan hutang pengajian dengan kadar segera bagi mengurangkan bebanan selepas berumah tangga.

Kelima : Pelaksanaan Tanggung jawab Pra Perkahwinan
  • Memperuntukkan sebahagian kewangan untuk ibu dan ayah, majlis-majlis yang berkait dengan perkahwinan dalam tempoh terdekat, kediaman dan keperluan sara diri selepas berkahwin.
  • Melebihkan komitmen ke arah menjaga keluarga sendiri bagi meletakkan kepercayaan kepada ibu bapa terhadap amanah dan tanggungjawab asal.

Keenam : Persediaan Perkahwinan
  • Menyediakan kediaman yang selamat dan strategik bagi mewujudkan suasana rumah tangga yang harmoni selepas berkahwin.
  • Berbincang dengan ibu ayah berkenaan perancangan dan pengurusan perkahwinan secara terperinci.
  • Mewujudkan perhubungan kondusif di antara keluarga sendiri dengan keluarga mentua
  • Menyatakan jaminan terhadap peranan dan tanggungjawab kepada pasangan.
  • Menyesuaikan diri dengan persekitaran baru terutama dalam melayani karenah pasangan dan keluarganya.

KESIMPULAN

Walaubagaimanapun, perancangan di atas bukanlah merupakan INSURAN kepada suatu perkahwinan yang ideal walaupun ia dicanang di dalam manhaj tarbiyyah sesuatu gerakan Islam Namun, justifikasi perancangan yang dibuat tetap membuktikan keazaman kita untuk bernikah kerana Allah Ta'ala.

Jika kita ingin berjaya di dalam peperiksaan, kita mempunyai perancangan yang teliti, kenapa kita katakan tidak perlu jika kita hendak bernikah?