31 Julai 2016

31 Julai 2009 : ADUN Permatang Pasir (PAS) Meninggal Dunia

Pada hari ini dalam tahun 2009, ADUN Permatang Pasir, Dato' Haji Mohd Hamdan Abdul Rahman yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada awal pagi 31 Julai 2009. Beliau yang merupakan wakil rakyat kawasan tersebut sejak 1999 telah mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Shuib dalam Pilihan Raya Umum 2008 dengan majoriti 5,443 undi. Beliau adalah satu-satu ADUN PAS yang dapat mempertahankan kerusinya tiga kali berturut-turut sejak 1999.

Dato' Haji Mohd Hamdan yang dilahirkan di Kedah pada 1946, telah lulus Senior Cambridge pada 1965 dan lulus IV Sanawi dalam pendidikan agama di bawah Majlis Agama Islam Kedah, sebelum mengikuti kursus intensif pentadbiran awam di Institut Pentadbiran Awam (INTAN) pada 1975 dan kursus pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (KDRM) pada 1977. Selain pernah menjadi guru di Maktab Mahmud, Alor Setar (1965-1966), beliau juga telah berkhidmat sebagai pegawai tadbir negeri Kedah (1966-1977) dan pegawai kastam (1977-1983). Beliau juga adalah aktivis masyarakat yang pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia (MBM) Cawangan Kedah (1973-1977), Setiausaha ABIM Kedah (1973-1976), Pengerusi ABIM Alor Setar (1973-1982) dan aktif dalam PEMADAM selaku Ahli Jawatankuasa PEMADAM Pulau Pinang (1989-1999) dan Ahli Jawatankuasa PEMADAM Seberang Perai Tengah sejak 2008.

Beliau yang mula terlibat dengan PAS sejak 1970-an, telah mulai aktif selepas bersara dari KDRM pada 1983. Pada mulanya beliau dilantik sebagai Pengarah Bilik Gerakan PAS Pulau Pinang pada 1983, kemudian menjadi Bendahari PAS Pulau Pinang pada 1985, sekali gus selaku Ketua Penerangan PAS Tasik Gelugur dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi Dewan Pemuda PAS Pusat. Beliau yang merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kepala Batas sejak 1989 telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sejak 1989 menggantikan Ustaz Zabidi Ali. Beliau digantikan oleh Mohamad Sabu pada 2003, tetapi dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang sehingga 2008. Beliau juga turut menjadi ADUN mewakili PAS sejak 1999.

Dalam Pilihan Raya Umum 1990 dan 1995, beliau dicalonkan oleh PAS di DUN Penaga, tetapi tewas kedua-duanya. Namun begitu, pada 1999, 2004 dan 2008, beliau berjaya merampas kerusi DUN Permatang Pasir sebanyak tiga kali berturut-turut dengan majoriti melebihi 3,000 undi. Beliau yang menerima anugerah Darjah Pangkuan Setia Negeri yang membawa gelaran Dato' pada 11 Julai 2009 telah meninggal dunia pada 31 Julai 2009 setelah beberapa uzur kerana serangan jantung. Hasil jasa dan perkhidmatan beliau sejak 1999, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada 25 Ogos 1995, kerusi DUN Permatang Pasir berjaya dipertahankan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man dengan majoriti 4,551 undi.

Disusun oleh: Arkib PAS

30 Julai 2016

30 Julai 1975 : Muktamar Cadang PAS Keluar Barisan Nasional Jika Tidak Dihormati Parti Komponen

Pada hari ini dalam tahun 1975, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 telah mencadangkan supaya PAS menarik diri dari Barisan Nasional (BN) jika rakan-rakan BN tidak menghormati PAS sebagai anggota BN. Selepas Pilihan Raya Umum 1974, PAS menuntut tambahan beberapa kerusi kabinet di samping mendesak perlaksanaan syariat dalam pemerintahan, sedangkan dalam pentadbiran kerajaan di peringkat bawah terdapat rungutan meluas bahawa Umno tidak menghormati PAS sebagai anggota BN. Dalam tempoh yang singkat selepas BN ditubuhkan, Pejabat Agung PAS telah menerima aduan yang bertubi-tubi dari ahli PAS berkait masalah hubungan dengan Umno.

PAS yang membentuk hubungan dengan Umno melalui penubuhan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, telah terlibat mengasaskan BN pada 1 Jun 1974 sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum 1974. Ketika merundingkan pembahagian kerusi dalam pilihan raya ini, Umno hanya memperuntukkan 14 kerusi Parlimen dan 51 kerusi DUN, sedangkan Umno mendapat masing-masing 61 dan 170 kerusi. Ahli-ahli PAS mempersoalkan sikap Umno yang menghormati peranan PAS dalam memperkukuhkan semula politik orang Melayu selepas tragedi 13 Mei 1969. Kesediaan PAS untuk menerima Umno sebagai sekutunya dianggap satu pengorbanan politik yang besar oleh PAS untuk menstabilkan semula politik negara.

Selepas Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974, PAS telah menuntut tambahan kerusi kabinet, tetapi hanya mendapat satu jawatan menteri, dua timbalan menteri dan satu setiausaha parlimen, sedangkan PAS pernah menuntut jawatan timbalan perdana menteri kedua. Sasaran PAS untuk melaksanakan syariat dalam pemerintahan juga kurang mendapat perhatian kerajaan, walaupun PAS telah cuba menerapkan Islam dalam pentadbiran. Sejak 24 April 1973, PAS telah membangkitkan isu perlaksanaan syariat di Dewan Rakyat dan mendesak kerajaan menjadikan ia sebagai satu agenda besar BN. Pada 8 April 1975, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah untuk mengatasi ketidakpuasan hati ahli-ahlinya, termasuk membawa isu ini Mesyuarat Setiausaha-setiausaha Agung Parti Komponen BN.

Ketika PAS mengadakan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-21 pada 29-30 Julai 1975, suara-suara tidak berpuas hati terhadap kerjasama BN telah kedengaran. Isu-isu agihan kerusi dalam pilihan raya, layanan tidak wajar Umno terhadap PAS, kedudukan politik orang Melayu serta kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan syariat Islam. Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Dato' Haji Hassan Adli Mohd Arshad telah mengemukakan 'Minority Report' kepada Muktamar Tahunan PAS sebagai penilaian terhadap penglibatan PAS dalam kerajaan. Berasaskan isu-isu yang berbangkit, Muktamar Tahunan PAS dalam menilai hasil penglibatan PAS dalam BN dan penghormatan Umno sebagai komponen penting BN, telah mencadangkan supaya PAS sahaja daripada BN jika berterusan.

Disusun oleh: Arkib PAS

29 Julai 2016

29 Julai 1972 : Persatuan Islam Se-Tanah Melayu Menukar Namanya Kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Pada hari ini dalam tahun 1972, PAS telah menukar namanya dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sesuai dengan perubahan politik selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan juga kesan dari tragedi berdarah 13 Mei 1969. Pertukaran nama PAS kepada nama baru ini merupakan salah satu daripada pindaan yang dibuat ke atas Perlembagaan PAS (Pindaan) 1963. Pindaan ini diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Ketika PAS ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, ia dinamakan sebagai Persatuan Ulamak Malaya. Tetapi dalam Persidangan Persatuan Ulamak Malaya yang menggubal Undang-undang Tubuh Persatuan ini pada 24 November 1951, tujuh nama telah dicadangkan antaranya Persatuan Ulamak Umno, Persatuan Muslimin Tanah Air (PERMATA), Pertubuhan Islam Malaya (PERTAMA), Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) dan Nahdatul Ulama Malaya (NAIM). Nama Persatuan Islam Se-Malaya yang asalnya dicadangkan oleh Ustaz Othman Hamzah, wakil Persatuan Ihya as-Syariff telah dicadangkan semula oleh Ustaz Mohd Ma'sum dari Jemaah Masjid Telaga Air, Seberang Perai dan terpilih sebagai nama rasmi bagi persatuan ini ketika ia ditubuhkan. Nama ini kemudiannya didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 31 Mei 1955.

Dengan nama Persatuan Islam Se-Malaya yang didaftarkan ini, pihak pendaftar telah menterjemahkan nama PAS dalam bahasa Inggeris sebagai "Pan-Malayan Islamic Party (PMIP)". Namun begitu, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 11 Mei 1956 telah memutuskan untuk menggunakan terjemahan "Islamic Party of Malaya" sebagai nama rasmi PAS dalam bahasa Inggeris dengan menggugurkan perkataan "PAN" pada nama yang diterjemahkan oleh pentadbir British ketika itu. Dengan itu, nama rasmi PAS ialah Persatuan Islam Se-Malaya dalam Bahasa Melayu dan Islamic Party of Malaya dalam bahasa Inggeris.

Selepas Malaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 hingga 2 Januari 1963, telah menukar nama PAS atas cadangan Profesor Zulkifli Mohamad kepada nama baru, iaitu Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS). PAS berpandangan perkataan Malaya adalah berbau penjajah dan ia harus digantikan, sedangkan nama Tanah Melayu bukan sahaja nama asal bagi negara ini, tetapi juga lebih bersifat dan berjiwa tempatan yang merdeka. Namun begitu, pada 16 September 1963, telah berlaku perubahan politik ekoran penubuhan Malaysia dan semua kegiatan politik adalah bersifat ke-Malaysiaan.

Dalam suasana politik yang bergolak dan berbau perkauman pasca penubuhan Malaysia, telah tercetus tragedi 13 Mei 1969. Antara tuduhan yang dikaitkan kepada PAS ialah menyalahgunakan agama dan memperjuangkan perkauman Melayu kerana perjuangan PAS menubuhkan Melayu Raya untuk menegakkan negara Islam. Peguam Negara telah memberi isyarat kepada PAS untuk mengubah namanya selepas tragedi ini ketika negara di bawah pentadbiran Mageran.

Selepas darurat ditamatkan pada 1 September 1970, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 telah memutuskan untuk menukar nama PAS kepada "Parti Islam" tetapi kekal dengan akronim PAS. Namun begitu, nama tersebut telah ditolak oleh RoS atas alasan nama tersebut tidak merujuk kepada mana-mana kawasan dan seolah-olah umat Islam di seluruh dunia boleh menyertainya. Ekoran keputusan RoS ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju untuk membawa cadangan nama baru kepada mesyuarat agung tahun berikutnya. Pada 29 Julai 1972, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 kemudiannya telah bersetuju supaya nama PAS ditukar dari Persatuan Islam Se-Tanah Melayu kepada Parti Islam Se-Malaysia. Nama ini terus kekal digunakan sehingga hari ini.

Disusun oleh: Arkib PAS

28 Julai 2016

28 Julai 1972 : PAS Seru Ahli Pertahan Dasar Islam Dalam Menghadapi Perubahan Politik

Pada hari ini dalam tahun 1972, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah mempertegaskan kepentingan PAS mempertahankan ketulenan dasar perjuangannya dalam menghadapi perubahan politik pasca 13 Mei 1969. Yang Dipertua Agung PAS itu berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-18 pada 28-29 Julai 1972 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini diadakan dalam suasana politik yang bergolak selepas tragedi perkauman 1969.

Suasana politik negara telah mengalami perubahan yang besar ekoran tragedi 13 Mei 1969 ini di mana orang-orang Cina yang menguasai politik di Pulau Pinang, Perak dan Selangor menerusi DAP dan Gerakan telah melakukan perarakan politik selepas Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 yang berakhir dengan tragedi berdarah. Berlanjutan dari itu, seluruh kegiatan politik telah digantung menerusi perisytiharan darurat sehingga 1 September 1970. Dalam suasana politik ini, Presiden Umno, Tun Abdul Razak Hussein telah menawarkan kepada PAS untuk membentuk kerajaan campuran bagi menjamin kelangsungan politik Melayu. Dalam ucapannya pada 29 Jun 1972 sempena Perhimpunan Agung Umno, Tun Abdul Razak meluahkan hasrat untuk membentuk campuran dengan PAS.

Bertolak dari persoalan ini, Dato' Mohd Asri menjelaskan bahawa PAS telah banyak melalui ujian politik, tetapi tetap dapat bertahan "meneruskan jihad, tidak lain dan tidak bukan yang menjadi sebabnya ialah aqidah perjuangan." Menurut Dato' Mohd Asri, PAS berjuangan melalui politik pilihan raya adalah untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Dalam konteks ini, "Islam adalah darah dan daging, hidup dan mati, dunia dan akhirat" bagi PAS. "Dasar politik selain dari Islam adalah batil," dan setiap ahli PAS berkewajipan mempertahan ketulenan dasar Islam PAS kerana ia menjadi "garis pemisah antara pihak kita (PAS) dengan pihak yang bukan kita."

Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS yang disampai pada 28 Julai 1972 ini adalah satu penekanan yang penting kepada ahli-ahli dalam menghadapi perubahan politik yang sedang berlaku, terutama dalam PAS mengadakan kerjasama politik dengan Perikatan. Fokus utama PAS adalah supaya ahli-ahli dapat mempertahankan wala' mereka kepada Allah dan Rasul, ketika PAS sedang mengambil strategi baru untuk memperkukuhkan politik Melayu Islam di Malaysia. Ahli-ahli diseru mempertahan dasar Islam, termasuk tidak mengambil ringan soal hubungan dengan Umno yang boleh menghakis ketulenan dasar PAS. Perbezaan dasar antara PAS dan Umno akan menjadi cabaran penting dalam pembentukan campuran antara PAS dan Perikatan. Perbezaan dasar ini menyebabkan PAS tidak akan bergabung dengan Umno. "PAS dengan dasar perjuangannya tidak akan dapat sama sekali bergabung dengan Umno atau berikat dengan Perikatan sebagai satu parti."

27 Julai 2016

27 Julai 1955 : Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin Dipilih Wakil Rakyat PAS Yang Pertama

Pada hari ini dalam tahun 1955, Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah muncul sebagai wakil rakyat Persekutuan yang pertama memenangi pilihan raya atas tiket PAS apabila beliau memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Krian. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin yang juga Mudir Madrasah al-Khairiah, Pokok Sena, Seberang Perai dicalonkan oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan 1955 iaitu pilihan raya umum yang pertama diadakan di negara ini. Beliau menewaskan calon Perikatan, Haji Sulaiman Palestin dan calon Parti Kebangsaan Perak (NAP), Mohd Jan Ngah Mohamad dengan majoriti 450 undi.

Pilihan raya untuk memilih ahli Majlis Undangan Persekutuan ini diadakan oleh British ekoran desakan kuat rakyat tempatan, termasuk PAS sejak 1953. Tujuan utama tuntutan ini ialah ke arah berkerajaan sendiri, sekali gus mempercepatkan kemerdekaan. PAS telah menyertai National Conference dan National Convention antara 1953-1954 dalam rangka menuntut pilihan raya segera ini. Parti-parti politik termasuk PAS mendesak supaya pilihan raya diadakan tidak lewat dari 1956. Pada 31 Mei 1956, PAS telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang melayakkannya menyertai pilihan raya umum. Dalam pilihan raya ini, PAS telah meletakkan 11 calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, di mana 51 daripadanya dimenangi oleh calon-calon Perikatan.

Tuan Guru Haji Ahmad atau nama sebenarnya, Nikmatullah Ahmad adalah anak kepada ulamak terkenal, Tuan Hussin Kedah al-Banjari yang merupakan keturunan keenam Sheikh Mohd Arsyad Abdullah al-Banjari, ulamak terkenal penulis kitab Sabilul Muhtadin itu. Beliau dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar dan mendapat pendidikan awal di beberapa pondok di Kedah, sebelum melanjutkan pengajian di Mekah sehingga 1927. Beliau mula mengajar pondok di Sungai Limau, Kedah, sebelum berhijrah ke Pokok Sena pada 1930. Setelah itu, beliau kembali ke Mekah untuk melanjutkan pengajian dan pulang sebagai mudir di pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussin Kedah. Selain mengajar pondok,

Tuan Guru Haji Ahmad juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai sejak 1950, Ahli Majlis Penasihat Majlis Raja-raja Melayu sejak 1966 dan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang sejak 1969. Jawatan terpenting yang pernah dipegang oleh beliau ialah Qadhi Besar Pulau Pinang mulai 1965 hingga 1974. Tuan Guru Haji Ahmad mula terlibat dengan politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai pada 1946, kemudian aktif dalam Umno sehingga 1951. Beliau kemudiannya terlibat mengasaskan PAS dan dilantik sebagai Bendahari Agung PAS pada 24 November 1951. Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS pada 1954 dan menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat 1956-1958. Pada 15 Jun 1955, beliau telah dicalonkan oleh PAS bertanding di kawasan Kerian untuk kerusi Majlis Undangan Persekutuan. Calon Perikatan, Haji Sulaiman Palestin ketika berkempen dalam pilihan raya ini menyindir calon PAS bahawa Majlis Undangan Persekutuan bukan tempat ulamak "membaca doa nasi kunyit" atau mengajar hadis, dan calon PAS tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya, pada 27 Julai 1955, Haji Sulaiman Palestin telah tewas dan Tuan Guru Haji Ahmad selaku pembangkang tunggal di Majlis Undangan Persekutuan dikenali sebagai Mr Opposition.

Disusun oleh: Arkib PAS

26 Julai 2016

26 Julai 2011 : PAS Sokong Usaha Memastikan Pilihanraya Bersih Dan Adil

Pada hari ini dalam tahun 2011, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan sokongannya terhadap apa jua langkah yang diambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mewujudkan pilihan raya bersih dan adil di negara ini. Menteri Besar Kelantan ini mempertegaskan sikap PAS ekoran kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang mencadangkan supaya mengunakan kaedah biometrik bagi mengelakkan penipuan. Walau bagaimanapun, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menolak penggunaan biometrik yang diragui keselamatannya.

Isu pilihan raya bersih ini adalah rentetan daripada tujuh tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), iaitu gabungan 25 buah NGO dan lima parti politik. Bersih yang telah menganjurkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur telah mendapat sokongan rakyat, termasuk rakyat Malaysia di luar negara. Salah satu tuntutan penting Bersih ialah penggunaan dakwah kekal untuk dicelup jari oleh pengundi bagi mengelakkan penipuan dengan mengundi dua kali. Bersih berpendapat, dengan jari bercelup dakwat kekal ini dapat mengelakkan penipuan dalam pilihan raya.

SPR sendiri, semenjak 2007 telah mencadangkan satu langkah untuk mengelakkan penipuan dengan menggunakan biometrik, tetapi menangguhkannya kerana menelan kos sebesar RM40 juta. Pada 3 April 2011, Pengerusi SPR mengemukakan semula cadangan ini walaupun ia mendapat reaksi berbeza-beza daripada rakyat. Pada 22 Mei 2011, Pengerusi SPR telah menjelaskan bahawa biometrik ialah sistem pengenalan data pengundi menggunakan cap jari yang dianggap selamat dari penipuan. Ekoran tekanan berterusan pembangkang berkait masalah pengundi hantu, pada 20 Jun 2011, Pengerusi SPR memberitahu cadangan menggunakan biometrik yang diamalkan di beberapa negara terbukti berkesan dan ia lebih baik dari penggunaan dakwat kekal yang dicadangkan oleh Bersih.

Memberi respon terhadap cadangan SPR yang berbeza dengan tuntutan Bersih 2.0 yang turut disertai PAS pada 7 Julai 2011, Mursyidul Am PAS pada 26 Julai 2011 mengatakan "apa sistem sekalipun, mesti membawa kebersihan. Yang tidak membawa kepada penipuan dan boleh meragukan mesti ditentang" dan dalam konteks sekarang, berbanding biometrik "lebih baik guna dakwat kekal yang kita minta dulu...." Dalam pada itu, Presiden PAS pada 26 Julai 2011 telah menolak penggunaan biometrik, sebaliknya bertegas supaya dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya akan datang. Memanipulasikan isu ini, media pro BN telah mendakwa "Nik Aziz Sokong Biometrik," sedangkan Presiden PAS menentangnya, sehingga Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjelaskan keadaan sebenar, iaitu PAS komited mahukan pilihan raya bersih dan adil dengan apa kaedah sekalipun.

Disusun oleh: Arkib PAS

25 Julai 2016

25 Julai 1953 : UMNO Jemput PAS Ke Persidangan Melayu Untuk Imbangi Pengaruh IMP

Pada hari ini dalam tahun 1953, PAS telah menerima jemputan daripada Yang Dipertua Agung Umno, Tunku Abdul Rahman Putra untuk menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu anjuran Umno bagi membincangkan isu tuntutan pilihan raya segera peringkat Persekutuan ke arah berkerajaan sendiri. Persidangan yang diadakan di Johor Bahru pada 14 Ogos 1953 ini asalnya adalah persaingan politik peribadi di antara Tunku Abdul Rahman Putra dengan bekas Yang Dipertua Agung Umno, Dato' Onn Jaafar setelah pengasas Umno itu menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Para pengkaji mengatakan bahawa pengaruh Umno terjejas ekoran kejayaan Dato' Onn Jaafar mengadakan National Conference yang menggabungkan pertubuhan politik dari pelbagai kaum.

Umno yang mencari jalan untuk menafikan peranan Dato' Onn Jaafar sebagai pemimpin politik Melayu, telah mengatur sebuah persidangan yang melibatkan semua pertubuhan politik Melayu, sekali gus meminggirkan pengaruh Dato' Onn Jaafar. Satu langkah yang penting pada pandangan Umno ialah menghimpunkan semua pertubuhan politik Melayu di bawah anjuran Umno sebagai simbol sokongan mereka kepada Umno. Persidangan anjuran Umno ini juga menjadi perintis kepada persaingan antara Umno-MCA dengan IMP yang membawa kepada penajaan National Convention pada 23 Ogos 1953. Ketiga-tiga perhimpunan ini - National Conference, Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu dan National Convention - adalah mempunyai tujuan yang sama, iaitu menuntut pilihan raya segera, tetapi terpaksa berpecah kerana persaingan politik peribadi dalam Umno.

Di sebalik pergolakan ini, ekoran tindakan Umno menarik diri dari National Conference, PAS telah menjadi wakil orang Melayu dalam persidangan tajaan Dato' Onn Jaafar ini. Apabila Umno merancang persidangan yang baru, PAS secara terbuka menyatakan kesediaan untuk menyertainya, kerana sebagai sebuah parti yang baru ditubuhkan, persaingan politik seperti ini telah memberi ruang kepada PAS untuk tampil ke tengah mewakili suara Melayu Islam. Dato' Onn memerlukan PAS sebagai satu-satunya wakil parti Melayu dalam National Conference, sedangkan Umno memerlukan sokongan PAS bagi menghidupkan National Convention sekali gus menguburkan National Conference tanpa sokongan Melayu. Atas sebab ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Jun 1953 menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan anjuran Umno jika dijemput.

Kesediaan PAS ini segera disambut oleh Umno kerana mereka sedar bahawa Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan adalah penyokong kuat Dato' Onn Jaafar sebelum Umno berpecah pada 1953. Selepas Mesyuarat Agung Umno pada 25-26 Ogos 1953, Umno telah berpecah tiga sehingga mewakili tiga kelompok Umno iaitu Melayu, Islam dan multi racial terbentuk Umno (Melayu), PAS (Islam) dan IMP (multi racial). Yang jelas, kerana persaingan politik di antara Tunku Abdul Rahman Putra dengan Dato' Onn Jaafar inilah, PAS telah memanfaatkan peluang ini untuk muncul sebagai sebuah parti politik yang penting menjelang kemerdekaan. Pada 25 Julai 1953, Yang Dipertua Agung Umno itu segera menjemput PAS menyertai Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu yang mereka anjurkan.

Ternyata Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Melayu anjuran Tunku Abdul Rahman Putra adalah tidak berbeza dengan National Conference anjuran Dato' Onn Jaafar dari sifatnya. National Conference adalah gabungan politik yang dianggotai oleh parti-parti bukan Melayu yang telah bergabung dalam IMP, tetapi menjelma sebagai gabungan politik dengan jenama baru - National Conference - yang turut disertai oleh PAS. Sedangan persidangan Melayu anjuran Umno telah disertai oleh 10 buah persatuan termasuk PAS, yang sebahagian besarnya telah bersekutu dengan Umno sejak 1946. Keputusan Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 26 Julai 1953 untuk menerima tawaran Umno menyertai persidangan ini telah menyebabkan PAS diiktiraf sebagai sebuah parti yang setaraf dengan Umno, sedangkan kumpulan Dato' Onn juga memberi pengiktirafan yang serupa kepada PAS apabila pemimpin PAS turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja National Conference. Sejak menyertai kedua-dua persidangan ini, PAS telah muncul sebagai sebuah parti politik Islam yang bertaraf nasional.

Disusun oleh: Arkib PAS

24 Julai 2016

24 Julai 2011 : PAS Gesa Kerajaan Menarik Balik Tindakan Atas Pelajar Mesir Kerana BERSIH 2.0 Di Kaherah

Pada hari ini dalam tahun 2011, Dewan Ulamak PAS Pusat telah mendesak Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Pelajar Malaysia Kaherah (JPMK) supaya menarik balik semua tindakan yang telah dibuat secara zalim ke atas para mahasiswa Malaysia yang mengadakan tunjuk perasaan menyokong tuntutan Bersih 2.0 di Kaherah pada 9 Julai 2011. JPMK dilaporkan telah mengambil beberapa tindakan keras terhadap mahasiswa Malaysia ekoran kejadian tersebut tanpa melalui proses yang adil. Dewan Ulamak PAS Pusat menuntut tindakan segera kepada Duta Malaysia di Mesir, Dr Fakhruddin Abd Mokti, Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menarik balik seluruh tindakan zalim tersebut.

Pada 9 Julai 2011, sekumpulan pelajar Malaysia dari beberapa institusi pengajian di Mesir telah menyertai demonstrasi di Kaherah untuk menyokong perhimpunan Bersih 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diadakan di Kuala Lumpur pada hari yang sama. Bersih dianggotai oleh 25 NGO dan lima parti politik, termasuk PAS. Bersih 2.0 mengemukakan tujuh tuntutan pilihan raya adil termasuk reformasi undi pos, penggunaan dakwah celup jari, tempoh kempen mininum 21 hari, akses media untuk pembangkang dan lain-lain. Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah ditahan kerana menyertai perhimpunan yang diadakan di Stadium Merdeka ini. Selain perhimpunan di Kuala Lumpur, rakyat Malaysia di seluruh dunia turut mengadakan perhimpunan serupa di tempat tinggal mereka, termasuk di Kaherah.

Dilaporkan bahawa turut diadakan perhimpunan di luar negeri ialah di Australia iaitu di bandar Melbourne, Sydney, Perth, Adelaide, Brisbane dan Canberra, New Zealand (Auckland, Wellington dan Christcurch), Singapura, Hong Kong, China (Suzhou, Shenzen dan Shanghai), Taiwan (Taipei), Jepun (Osaka), Korea Selatan (Seoul), UAE (Dubai), Turki (Istanbul), Sweden (Stockhlom), Austria (Graz), Switzerland (Zurich dan Ganeva), Perancis (Paris), United Kingdom (London dan Glasgow), Ireland (Cork, Limerik dan Dublin), Kanada (Ottawa) dan Amerika Syarikat (New York, Washington, Chicago, San Francisco, Los Angeles dan Portland). Kebangkitan rakyat Malaysia di seluruh dunia untuk menuntut pilihan raya bersih ini dilihat sebagai ancaman kepada BN, dan tindakan telah diambil terhadap pelajar-pelajar Malaysia yang terlibat, terutama di Mesir.

Antara tindakan zalim yang dikenakan tanpa dipanggil membela diri, yang dibuat oleh JPMK terhadap pelajar Malaysia di Mesir ialah:

I. Memberhentikan seorang pelajar dari Selangor;
II. Menghalau tiga pelajar dari Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) tanpa sebarang notis;
III. Menyenarai hitam 40 pelajar dari Perak; dan
IV. Membuat ugutan terhadap beberapa pelajar dari Terengganu.

Ekoran tindakan menzalimi pelajar dan bersikap tidak demokratik dengan menghalang pelajar dari bersuara ini, Dewan Ulamak PAS Pusat melalui Jabatan Ulamak Pelapis pada 24 Julai 2011 telah mendesak Kerajaan BN supaya menarik balik semua tindakan zalim tersebut.

Disusun oleh: Arkib PAS

23 Julai 2016

23 Julai 1953 : Cawangan PAS Pertama Di Pantai Timur Ditubuhkan Di Pasir Mas

Pada hari ini dalam tahun 1953, Cawangan PAS yang pertama di Pantai Timur telah ditubuhkan di Pasir Mas dalam satu pertemuan ahli-ahli PAS di Masjid Lama Bandar Pasir Mas. Rancangan menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas ini telah disusun sejak 1952 terutama setelah Ustaz Amaluddin Darus diterima keahliannya pada Disember 1952. Akhbar Utusan Melayu pada 15 Julai 1953 telah mendedahkan bahawa PAS telah mempunyai sebanyak 20 buah cawangan di seluruh Tanah Melayu menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kedua pada 26-27 Ogos 1953, termasuk PAS Cawangan Pasir Mas yang akan ditubuhkan dalam masa yang terdekat.

Rancangan mengembangkan PAS di Kelantan telah menjadi prospek PAS sejak awal kerana kesedaran politik Islam yang tinggi di negeri ini. Sejak 1951, PAS telah meletakkan negeri Kelantan dan Terengganu di bawah zon Utara bersama Kedah dan Perlis yang diketuai oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol. Pada 9 September 1952, Naib Yang Dipertua Agung PAS itu telah mengadakan majlis penerangan tentang PAS di Pasir Puteh, diikuti majlis yang serupa bersama ulamak-ulamak di Pondok Bunut Payung keesokkannya. Penyokong-penyokong PAS dari Pasir Mas termasuk Ustaz Amaluddin Darus, Imam Che Muda Yusof dan Ahmad Yatim telah menyusun program taklimat yang sama di Pasir Mas pada malam 10 September 1952, tetapi Tuan Guru Haji Hussein Che Dol berhalangan untuk hadir walaupun pada awalnya telah dipersetujui.

Namun begitu, sejak awal 1953, usaha-usaha untuk menarik umat Islam untuk menyertai PAS telah dipergiat oleh Ustaz Amaluddin Darus, Ahmad Yatim dan Haji Mohd Noor Senik. Mereka membuat sesi penerangan di masjid-masjid dan kedai-kedai kopi, selain menziarahi guru-guru pondok sekitar Pasir Mas untuk mendapatkan sokongan kepada PAS. Ustaz Amaludddin Darus yang berasal dari Kulim, Kedah merupakan lulusan Madrasah al-Huda, Pulau Pinang yang berkhidmat sebagai pegawai bomba di Pasir Mas. Beliau memainkan peranan utama dalam mengumpulkan sokongan kepada PAS. Sehingga Jun 1953, telah terdapat 60 orang ahli PAS di kawasan Pasir Mas. Mereka telah mendapat sokongan Pejabat Agung PAS untuk menubuhkan Cawangan PAS di Pasir Mas yang dirancang untuk dibuat dalam bulan Julai 1953.

Hasil usaha keras ini, akhirnya pada 23 Julai 1953, satu perjumpaan ahli-ahli PAS seluruh Pasir Mas telah diadakan di Masjid Lama Pasir Mas. Dalam pertemuan ini, mereka telah bersetuju menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas sebagai bukan sahaja cawangan perintis di Kelantan, tetapi cawangan yang pertama di Pantai Timur Semenanjung, sedangkan 19 buah lagi Cawangan PAS ketika itu bertumpu di Pantai Barat. Dalam perjumpaan ini, Haji Omar Yusof telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Pasir Mas yang pertama, sedangkan Ustaz Amaluddin Darus pula dinamakan sebagai setiausahanya. Bekas Qadhi Pasir Mas, Tuan Guru Haji Mokhtar Ahmad yang juga bekas Yang Dipertua Jabhah ad-Diiniah al-Islamiyah Kelantan, bekas Ketua MATA Kelantan dan bekas Ketua Hizbul Muslimin Kelantan adalah antara pendukung utama penubuhan PAS di Pasir Mas ini.

Kejayaan menubuhkan PAS Cawangan Pasir Mas telah memberikan harapan baru kepada PAS di Kelantan, terutama setelah PAS mengambil keputusan pada 27 Mac 1954 untuk menyertai Pilihan Raya Umum yang dijangka diadakan sebelum 1956. Pada 14 April 1954, PAS telah menghantar Mohd Asri Haji Muda, Pegawai Kewangan PAS bersama Ustaz Othman Abdullah, Ketua Dewan Pemuda PAS untuk membuat penerangan besar-besarkan tentang PAS di lebih 20 lokasi di Kelantan. Akhirnya, pada 26 November 1954, Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Pantai Timur. Sejak tertubuhnya PAS Cawangan Pasir Mas pada 23 Julai 1953, PAS berkembang dengan penubuhan PAS Cawangan Machang (21 September 1953), Pasir Puteh (1 Oktober 1954), Kota Bharu (18 November 1954), Tanah Merah (1955), Bachok (1 Mac 1957) dan Tumpat (Mei 1957).

Disusun oleh: Arkib PAS

22 Julai 2016

22 Julai 1960 : Tuan Guru Haji Abbas Isytihar Keluar PAS Akibat Krisis Kepimpinan

Pada hari ini dalam tahun 1960, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamed telah mengisytiharkan keluar dari PAS ekoran krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu. Tuan Guru Haji Abbas menyertai PAS pada 1954 sebagai antara ahli PAS terawal dari Terengganu dan pernah bertanding jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Kuala Terengganu pada 1956. Dalam Pilihan Raya Umum 1959, beliau dicalonkan di DUN Kuala Nerus oleh PAS tetapi tewas kepada Dato' Ibrahim Fikri, bekas Timbalan Menteri Besar Terengganu. Ekoran itu, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili DUN Terengganu bersama Da Abdul Jalil Awang (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu).

Tuan Guru Haji Abbas dilahirkan di Bukit Puteri Besut, Terengganu pada 1909, mendapat pendidikan awal di Pondok Tuan Guru Haji Mohamad Hussein, Kuala Besut sebelum ke Mekah. Kemudian beliau dua kali berlajar di India iaitu di Jamiah al- Islamiyah Gujerat dan Darul Ulum Deoband. Beliau alim fiqh empat mazhab. Pada1938, beliau mula membuka pondok di Kuala Besut. Setelah itu beliau berpindah ke Jerteh, sebelum membuka Pondok Tok Jiring. Antara murid beliau yang terkemuka ialah Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS. Beliau dikatakan kembali bersama PAS selepas 1990 dan meninggal dunia pada 1 Julai 1997.

Krisis PAS Terengganu pada awalnya timbul ekoran masalah perlantikan Menteri Besar Terengganu. Sultan Terengganu telah memilih Mohd Daud Samad (Setiu) sebagai Menteri Besar, sedangkan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah (Jeram) tidak dipilih atas alasan beliau bukan anak Terengganu. Selepas Pilihan Raya Umum Parlimen 1959, timbul konflik baru apabila tiga Cawangan PAS iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman tidak berpuas hati dalam masalah pemilihan calon Parlimen. Kerana isu ini, pada 16 Oktober 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah memecat Ustaz Ahmad Azzam sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan membentuk Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang dikuasai PAS Cawangan Kuala Terengganu. Pada 25 Oktober 1959, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengesah perubahan ini, tetapi dengan tekanan politik yang dibuat oleh Ustaz Ahmad Azzam, pada 7 Mei 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS terpaksa melantik semula beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Perlantikan semula Ustaz Ahmad Azzam bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan konflik kepemimpinan dalam Kerajaan Terengganu, tetapi menyebabkan kekecewaan beberapa PAS Cawangan yang berkrisis dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu termasuk PAS Cawangan Kuala Terengganu. Ekoran itu, pada 22 Julai 1960, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abbas Mohamad telah bertindak keluar parti. Tindakan beliau ini sekali gus telah menyebabkan PAS kehilangan satu daripada empat kerusi Dewan Negara. Walaupun Tuan Guru Haji Abbas kekal sebagai Ahli Dewan Negara selama enam tahun, tetapi beliau mencipta rekod sebagai ahli dewan perundangan yang pertama keluar parti dalam sejarah PAS. Selepas beliau bertindak keluar parti, keadaan kepemimpinan PAS semakin tegang sehingga akhirnya Kerajaan PAS Terengganu tumbang pada 30 Oktober 1961.

Disusun oleh: Arkib PAS

21 Julai 2016

21 Julai 2008 : Presiden PAS Sahkan Pertemuan Dengan UMNO Bincang Isu Umat Islam Melayu

Pada hari ini dalam tahun 2008, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengesahkan bahawa telah berlaku pertemuan di antara PAS dan Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Pengakuan yang dibuat oleh Presiden PAS ini adalah ekoran satu pendedahan yang dibuat oleh Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Umno telah tiga kali bertemu dengan PAS kerana membincangkan isu agama dan bangsa Melayu tanpa disertai oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pendedahan ini telah menggemparkan politik negara kerana ketika ini PAS bersama PKR dan DAP telah membentuk Pakatan Rakyat sejak 1 April 2008.

Isu pertemuan PAS-Umno ini timbul ekoran pendedahan yang dibuat oleh Perdana Menteri itu ketika memberi respon terhadap satu temuramah Presiden PAS yang disiarkan oleh Harakah, edisi 10 Julai 2008. Dalam kenyataannya, Presiden PAS menyatakan keperluan PAS untuk mengutuskan wakil bertemu Umno bagi menyampaikan mesej Islam seperti mana "Baginda Nabi SAW menghantar surat kepada raja-raja." Beliau menjelaskan bahawa tidak salah bagi PAS berunding dengan Umno sebagai satu usaha dakwah, seperti mana Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu wakil rakyat BN untuk menubuhkan Kerajaan 16 September. "Bukan dia (Anwar) sahaja (yang berhak), kita pun berhak juga mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan (PKR) sahaja boleh jumpa Umno macam mana?" kata Tuan Guru Haji Abdul Hadi.

Setelah pembangkang berjaya memgalahkan BN di lima buah negeri, pada 9 Mac 2008, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah melantik beberapa pemimpin untuk merundingkan pembentukan kerajaan di negeri-negeri tersebut. Presiden PAS ditugaskan untuk Kedah, Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS (Perak), Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS (Pulau Pinang), serta Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan Dato' Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS (Selangor). Ketika proses perundingan ini berlaku, pada 9 Mac 2008, PAS menerima jemputan Presiden Umno untuk bertemu berkait dengan kes Selangor. PAS telah menghantar Ustaz Nasharudin Mat Isa, Dato' Mustafa Ali dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Abdul Khalid Samad bertemu dengan Presiden Umno dalam pertemuan di rumah beliau pada 10 Mac 2008. Menurut Abdul Khalid Samad, Umno telah membuat beberapa tawaran terutama di Selangor dan tiada sebarang perunding untuk membentuk kerajaan campuran dalam perjumpaan tersebut. "Yang pasti tidak ada langsung dalam perbincangan sesama pimpinan PAS, pergi berjumpa dengan Umno untuk bekerjasama dengan mereka," kata Abdul Khalid Samad pada 21 Julai 2008 menjelaskan tentang pertemuan yang disertai beliau dengan Umno itu.

Apabila BN tewas di lima buah negeri, pemimpin-pemimpin pembangkang telah mencapai persetujuan membentuk kerajaan di Perak dan Selangor sehingga Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR) dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada 13 Mac 2008, diikuti oleh Ir Muhammad Nizar Jamaluddin (PAS) sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac 2008. Hasilnya, Pakatan Rakyat dibentuk pada 1 April 2008. Majlis Syura Ulamak PAS pula pada 24 April 2008 memutuskan untuk menolak tawaran Pak Lah, sebaliknya melantik Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Dato' Mustafa Ali untuk mewakili PAS jika ada sebarangan perundingan untuk berdakwah kepada Umno, tetapi bukan untuk membentuk kerajaan.

Menjelaskan kekeliruan akibat pendedahan Pak Lah pada 20 Julai 2008 tentang pertemuan PAS-Umno ini, Presiden PAS pada 21 Julai 2008 menyatakan bahawa perbincangan itu adalah berkaitan isu umat Islam dan bangsa Melayu dan ia telah dilaporkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Menurut kenyataan beliau ini, Majlis Syura Ulamak PAS telah bersetuju supaya PAS meningkat usaha menyatupadukan umat Islam dan rakyat atas nama Islam. PAS juga mengajak Umno bermuzakarah. Langkah-langkah yang diambil oleh PAS untuk berunding menyampaikan dakwah Islam kepada Umno adalah berdasarkan arahan Majlis Syura Ulamak PAS. Namun begitu, beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh PAS ingin bergabung dengan Umno.

Disusun oleh: Arkib PAS

20 Julai 2016

20 Julai 1969: PAS Menyokong Dasar Mageran Dalam Menstabilkan Keadaan Politik Negara

Pada hari ini dalam tahun 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyokong dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perikatan menerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran) dalam usaha menstabilkan keadaan politik negera selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969. PAS mengambil langkah negarawan untuk kepentingan nasional selepas tragedi politik perkauman yang hampir memusnahkan negara yang baru sembilan tahun ditubuhkan ini. Jawatankuasa Kerja Agung PAS mengambil pendirian "menyokong langkah-langkah yang diambil oleh Mageran dalam segala usahanya bagi memulihkan undang-undang dan peraturan serta mengembalikan keamanan dan keharmonian..."

Tragedi 13 Mei 1969 tercetus selepas Pilihan Raya Umum Ketiga pada 10 Mei 1969 di mana Perikatan hanya memenangi 66 daripada 103 kerusi Parlimen di Semenanjung dan parti-parti pembangkang bukan Melayu mendapat 25 kerusi (DAP 13, Gerakan 8 dan PPP 4). Perikatan juga kehilangan Kerajaan Pulau Pinang kepada Gerakan, selain tidak dapat membentuk kerajaan di Selangor dan Perak. Dalam suasana ini, DAP dan Gerakan telah merayakan kemenangan mereka dengan mengadakan perarakan-perarakan di bandar, yang kemudiannya bertukar menjadi sesi penghinaan dan membangkitkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu. Akibatnya, tercetus rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969 yang membunuh 196 nyawa di seluruh negara. Atas sebab itu, pada 15 Mei 1969, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan darurat yang menyebabkan seluruh kegiatan politik digantung dan pada 17 Mei 1969 ditubuhkan Mageran yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai satu usaha memulihkan kestabilan politik negara, PAS pada 20 Julai 1969 telah mengambil pendirian-pendirian berikut untuk menyokong usaha-usaha yang dibuat oleh Mageran, iaitu:

I. Menyokong usaha Mageran memulihkan undang-undang dan mengembalikan keamanan;
II. Menyokong Jabatan Perpaduan Negara yang baru ditubuhkan sebagai mekanisme mewujudkan keharmonian rakyat;
III. Menyeru ahli PAS dan semua rakyat supaya hidup berbaik-baik dan mengusahakan muhibbah;
IV. Menyokong pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengubati kepincangan ekonomi; dan
V. Menyokong kerajaan dalam melaksanakan dasar pelajaran kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal.

Selain menyokong langkah-langkah yang diambil oleh Mageran ini, PAS pada 25 November 1969 telah bersetuju menyertai Majlis Perundingan dan juga Jawatankuasa Muhibbah Negara yang ditubuhkan oleh Mageran di bawah Peraturan-peraturan Perlu semasa darurat. PAS menghantar Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Abdul Aziz Abdullah (peguam PAS) menyertai Majlis Perundingan bersama Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang dilantik atas kapasiti Menteri Besar Kelantan. Manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohd Taha Kalu dilantik mewakili PAS menduduki Jawatankuasa Muhibbah Negara. Kesan daripada pendirian PAS pada 20 Julai 1969 ini, ia telah memudahkan usaha Mageran untuk memulihkan keamanan dan akhirnya pada 1 September 1970, larangan berpolitik ditarik semula.

Disusun oleh: Arkib PAS

19 Julai 2016

19 Julai 2002 : Pemangku Presiden PAS Arah Ahli Dekati Masyarakat Bukan Islam

Pada hari ini dalam tahun 2002, Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengarahkan seluruh jentera dan ahli PAS supaya mengambil langkah mendekati orang bukan Islam sebagai satu strategi politico-dakwah dalam mengukuhkan kedudukan PAS di negara ini. Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu melihat orang bukan Islam adalah kelompok yang perlu ditembusi oleh PAS sebagai sasaran dakwah yang baru setelah sokongan orang Melayu semakin meningkat. Beliau mengulas keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang yang berlangsung pada 18 Julai 2002 ekoran kematian Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Jun 2002.

PAS telah membuat lonjakan besar dalam menarik sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999 sehingga berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu, menafikan majoriti dua pertiga BN di Kedah dan memenangi 27 kerusi Parlimen. Kejayaan ini dilihat sebagai kejayaan menguasai pengundi Melayu Islam, sedangkan kejayaan BN mempertahankan kerajaan adalah dengan sokongan orang bukan Islam. Kedudukan PAS sebagai sebuah parti Islam yang disokong oleh pengundi Melayu Islam terbukti apabila PAS berjaya meningkatkan jumlah undi dalam dua pilihan raya kecil tersebut, walaupun gagal mempertahankan kerusi Parlimen Pendang dengan majoriti tipis 283 undi. PAS memenangi semula kerusi DUN Anak Bukit melalui Ir Amiruddin Hamzah.

Pemangku Presiden PAS yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen melihat keupayaan PAS mengekalkan sokongan orang Melayu Islam sebagai "kejayaan dakwah yang kita sampaikan," sedangkan "BN berjaya dengan undi orang bukan Islam." Atas asas ini, beliau mengarahkan seluruh ahli PAS supaya mengembangkan kekuatan PAS dengan menjadikan orang bukan Islam sebagai sasaran yang baru. "Kita perlu tingkatkan lagi dakwah dan penerangan kita kepada orang bukan Islam yang dikelirukan oleh BN," kata beliau ketika mengarahkan strategi baru PAS ini. Program penerangan tentang perjuangan PAS kepada orang bukan Islam dijangka akan mengubah pola pengundian di mana sebelum ini PAS sangat sukar mendapat sokongan mereka.

Bertolak dari penegasan pada 19 Julai 2002 ini, Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang dilantik sebagai Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-49 pada 12-14 September 2003 telah membentuk Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) menggantikan Jabatan Antara Budaya (JAYA) bagi memperkasakan hubungan PAS dengan orang bukan Islam. Ketika PAS melancarkan Dokumen Negara Islam (DNI) pada 23 November 2003, pelbagai pihak cuba mengelirukan keadaan dengan mempersoalkan nasib orang bukan islam dalam Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Bermula dengan majlis penerangan tentang DNI di seluruh negara yang berlangsung antara Disember 2003 hingga Februari 2004, orang bukan Islam mulai memahami keadilan Islam.

Dengan Kelantan sebagai model sebuah kerajaan Islam yang dipimpin oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, PAS telah berjaya mendekati orang bukan Islam. Majlis Penerangan DNI telah membawa kepada penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) pada awal 2004 dan ia dilancarkan secara rasmi pada 11 Mac 2004. Kejayaan PAS menubuhkan KPP Cina pada 2004, diikuti oleh KPP India (2005), KPP Iban (2006) dan KPP Siam (2007) telah membuka wadah baru dakwah PAS. Optimis terhadap sokongan orang bukan Islam, pada 23 Mei 2010, KPP secara rasmi telah dinaik taraf sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dianggotai oleh orang-orang bukan Islam dari pelbagai kaum.

Disusun oleh: Arkib PAS

18 Julai 2016

18 Julai 1971 : PAS Kukuhkan Kedudukan Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17

Pada hari ini dalam tahun 1971, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 telah dibuka oleh Pemangku Yang Dipertua Agung PAS dalam suasana baru selepas pemulihan demokrasi dilakukan setelah tragedi 13 Mei 1969 berjaya diredakan. PAS menghadapi perubahan politik ini dengan beberapa tekanan dari pihak Kerajaan Perikatan termasuk usaha mereka untuk menyekat perjuangan Islam dan ketuanan Melayu. Bagi menghadapi tekanan ini, PAS telah mengambil beberapa langkah untuk mengukuhkan kedudukannya.

Antara langkah penting yang diambil oleh PAS menerusi Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-17 yang berlangsung pada 18-20 Jun 1971 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ialah dengan melantik Dato' Mohd Asri Haji Muda sebagai Yang Dipertua Agung PAS menggantikan Prof Dr Burhanuddin al-Helmy yang meninggal dunia pada 25 Oktober 1969. PAS juga turut meminda Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 untuk memperkemaskan susunan organisasi, memperjelaskan dasar dan mengatasi beberapa isu yang memerangkap PAS. Sejak selepas 13 Mei 1969, beberapa perkara seperti usaha kerajaan menghalang PAS dari 'menggunakan' Islam dan memperjuangkan ketuanan Melayu, pengharaman "Allah Muhammad" pada bendera PAS, pengharaman lambang "Bulan Bintang" dan dakwaan PAS cuba mencabar kuasa Raja-raja Melayu melalui perjuangan Islamnya.

Antara perubahan perlembagaan yang penting dibuat oleh PAS ialah:

I. Meminda nama PAS dari 'Persatuan Islam Se-Tanah Melayu' kepada 'Parti Islam (Se-Malaysia)' yang sekali gus menjadikan PAS benar-benar parti politik;
II. Perubahan bendera PAS dengan menghapuskan perkataan "Allah Muhammad;"
III. Mengosongkan bendera PAS tanpa sebarang tulisan sehingga perkataan "Allah Muhammad" dapat ditulis semula apabila PAS mencapai kemenangan;
IV. Memasukkan fasa "Dasar PAS ialah Islam" setelah semua elemen Islam dalam Undang-undang Tubuh PAS cuba dihapuskan;
V. Menetapkan dua sahaja tujuan PAS iaitu "memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah" dan "mendukung dan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara."

Dalam Ucapan Dasar Pemangku Yang Dipertua Agung PAS pada 18 Julai 1971, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menjelaskan bahawa perubahan yang dibuat ini adalah untuk "mempertegaskan lagi dasar dan tujuan parti dalam memperjuangkan ideologi Islam," dan "untuk mewujudkan satu sifat yang tegas dan nyata berdasarkan Islam." Dengan perubahan yang dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS ini, ia secara langsung telah mengubah sifat ke-Melayuan PAS kepada sifat ke-Islaman yang lebih ketara.

Disusun oleh : Arkib PAS

17 Julai 2016

17 Julai 1951 : Ulamak Mahu Persidangan Alim Ulamak Malaya Menghasilkan Keputusan Yang Berkesan

Pada hari ini dalam tahun 1951, akhbar Warta Negara telah menyiarkan sebuah rencana yang ditulis oleh Mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang menggesa para ulamak yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951 supaya menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan dan bermakna untuk umat Islam. Dalam rencananya yang bertajuk "Kongres Alim Ulamak Yang Bererti," Tuan Guru Haji Abdul Samad telah mendesak supaya Persidangan Alim Ulamak Malaya menjadi sebuah persidangan yang bererti. Pandangan beliau dipercayai berpunca daripada kegagalan Umno melaksanakan keputusan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950.

Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar, sebanyak tujuh resolusi telah diputuskan termasuklah untuk menyelaraskan pentadbiran agama, menubuhkan kolej Islam, penyelarasan tarikh puasa dan hari raya, cukai dan pengurusan haji, derma pendidikan tinggi dan sekolah agama petang, menubuhkan jabatan agama di Negeri-negeri Selat dan meluaskan dakwah Islam. Namun begitu, semua keputusan ulamak ini tidak mendapat perhatian Umno. Umno pernah membawa cadangan ulamak berkaitan penyatuan pentadbiran agama, tetapi ditolak oleh Raja-raja Melayu yang menyebabkan Umno tidak memperjuangkannya. Di atas kegagalan persidangan di Muar ini, Tuan Guru Haji Abdul Samad menyifatkannya sebagai "... bunyi berdentum-dentum tetapi percuma sahaja." Lebih teruk lagi apabila selepas persidangan ini timbul beberapa isu seperti isu Natrah, pembukaan keahlian Umno kepada orang bukan Melayu, penganjuran Loteri Umno dan lain-lain telah menyebabkan para ulamak mula bersuara dalam Umno.

Ketika rancangan mengadakan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, para ulamak mula mendesak supaya ditubuhkan organisasi politik Islam yang terpisah dari Umno. Semenjak Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan bersuara tentang "ulamak Malaya belum bersatu dan belum mempunyai persatuan" dalam Suara Umno keluaran 1 Jun 1951, Pengarang Qalam, Syed Abdullah Hamid al-Idrus menyimpulkan perjuangan ulamak dalam Umno tidak berkesan dan menyeru ulamak menubuhkan organisasi Islam untuk memperkasakan ummah. Di Pulau Pinang, kerana membincangkan isu Loteri Umno, para ulamak pada 19 Ogos 1952 telah mendesak ditubuhkan Persekutuan Muslim Malaya, sedangkan di Singapura, Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 26 Julai 1951 telah mencadangkan agar ditubuhkan Majlis A'la lil Syau'un ad-Diiniah Malaya. Akhirnya, ada 20 Ogos 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Engku Ismail Abdul Rahman yang menyifatkan dasar Umno telah sesat dari al-Quran dan Sunnah, mencadangkan agar ditubuhkan Parti Muslim Malaya. Desakan-desakan ini kemudiannya memaksa Dato' Onn Jaafar ketika merasmikan persidangan ini turut mencadangkan agar ditubuhkan Lembaga Tinggi Islam.

Sindiran sinis Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang disiarkan Warta Negara pada 17 Julai 1951 ternyata memberi kesan apabila pelbagai pihak memperkatakan tujuan Persidangan Ali Ulamak Malaya di Kuala Lumpur agar mengulangi kegagalan di Muar. Bahkan, kebanyakkan ulamak mula hilang harapan kepada Umno, sehingga mereka mahu sebuah pertubuhan politik Islam ditubuhkan oleh Persidangan Alim Ulamak Malaya. Akhirnya, dalam persidangan pada 23 Ogos 1951, para ulamak telah meluluskan penubuhan Persatuan Ulamak Malaya dan sebuah jawatankuasa penaja ditubuhkan. Pada 24 November 1951, nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Disusun oleh : Arkib PAS

16 Julai 2016

16 Julai 1995 : PAS Tolak Cadangan Tengku Razaliegh Gabungkan Parti Pembangkang

Pada hari ini dalam tahun 1995, PAS telah menolak cadangan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) supaya parti pembangkang, termasuk DAP bergabung membentuk satu barisan pembangkang yang kuat untuk menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10. Ku Li membuat kenyataan demikian setelah parti-parti pembangkang mengalami kemerosotan dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan pada 25 April 1995. Walau bagaimanapun, PAS berpendapat lebih sesuai diadakan persefahaman supaya parti-parti pembangkang tidak bertembung sesama sendiri melalui pengagihan kerusi antara parti.

Sejak krisis politik yang berlaku kerana pengharaman Umno pada 1988, serpihan Umno yang dipimpin oleh Ku Li telah membentuk PMS46 dan mula mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang yang lain. Pada mulanya, PAS telah mengambil langkah mendekati serpihan Umno melalui majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988 yang diikuti oleh keputusan PAS pada 10 Jun 1990 untuk mempertimbangkan penyertaan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Angkatan adalah sebuah gabungan parti-parti orang Islam yang diinisiatifkan oleh Berjasa pada 1988 dan dianggotai oleh PMS46, Berjasa, Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, PAS telah membentuk persefahaman dengan Angkatan. Persefahaman PAS-Angkatan telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1990.

Di kalangan parti-parti bukan Melayu, Ku Li yang berusaha menumbangkan BN telah menubuhkan sebuah lagi gabungan pembangkang iaitu Gagasan Rakyat (GR). GR yang dipimpin oleh Ku Li ini dianggotai oleh PMS46, DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Kimma, Malaysian Solidarity Party (MSP) dan Indian Progressive Party (IPF). Kecuali DAP yang mendapat 20 kerusi Parlimen dan PBS dengan 12 kerusi, parti-parti lain dalam GR telah gagal membuat pencapaian yang memuaskan dalam Pilihan Raya Umum 1990. Menjelang Pilihan Raya Umum 1995, DAP yang menggunakan alasan menolak hudud yang digubal oleh PAS telah menarik diri dari GR pada 25 Januari 1995, yang menyebabkan gabungan ini mulai runtuh.

Tindakan DAP yang keluar dari GR telah memberi kesan buruk kepada pembangkang, khususnya di Pantai Barat dalam Pilihan Raya Umum 1995. Dalam pilihan raya ini, BN telah berjaya memenangi 162 dari 192 kerusi Parlimen, sedangkan undi popular pembangkang telah merosot kepada 34.8 peratus, ketika mana undi popular BN meningkat sebanyak 16.9 peratus berbanding tahun 1990. Perpecahan GR kemudiannya membawa kepada perebutan jawatan Ketua Pembangkang, sedangkan di Kelantan, PMS46 mulai berkrisis dengan PAS kerana tututan kerusi Exco Kerajaan Negeri. Menyedari keruntuhan pakatan pembangkang ini, Ku Li telah mencadangkan supaya semua parti pembangkang, termasuk DAP membentuk sebuah gabungan pembangkang yang baru. PAS yang tidak senang dengan sikap parti chauvanis seperti DAP yang menentang negara Islam dan perlaksanaan syariat, pada 16 Julai 1995 telah menolak cadangan Ku Li tersebut. PAS sebaliknya mencadangkan supaya pengagihan kerusi dibuat dalam satu persefahaman supaya tidak bertembung sesama sendiri.

Disusun oleh: Arkib PAS

15 Julai 2016

15 Julai 1994 : Dr. Mahathir Pertegas Tolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 Secara Rasmi

Pada hari ini dalam tahun 1994, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah secara rasmi menolak Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (EJKSII 1993) kerana menganggap ia adalah undang-undang yang zalim. Dr Mahathir mengirimkan surat rasmi kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk memaklumkan pendirian Keajaan Pusat terhadap perlaksanaan hukum syariat di Kelantan. Terdahulu, pada 8 Jun 1994, Menteri Besar Kelantan telah menyerahkan surat rasmi Kerajaan Kelantan kepada Perdana Menteri untuk memohon kebenaran perlaksanaan syariah di Kelantan.

Semenjak PAS memerintah Kelantan pada Oktober 1990, PAS telah menyatakan komitmennya untuk melaksanakan undang-undang jenayah Islam atau lebih terkenal dengan hukum hudud. Pada 18 Oktober 1991, sebuah Jawatankuasa Semakan dan Perlaksanaan Undang-undang Negeri Kelantan telah ditubuhkan untuk menggubal undang-undang syariat di negeri tersebut. Setelah melalui pelbagai peringkat penggubalan, pada 13 Ogos 1992, Majlis Syura Ulamak PAS telah meluluskan draf undang-undang hudud tersebut. Ia kemudiannya diseminarkan kepada pelbagai pihak, termasuk parti-parti pembangkang. Akhirnya, pada 25 November 1993, Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan oleh DUN Kelantan. Pada 15 Mei 1994, Sultan Kelantan telah memperkenankan enakmen ini untuk dilaksanakan.

Ekoran kelulusan EKJSII 1993, Dr Mahathir pada 25 November 1993 telah mempertegaskan bahawa Kerajaan Pusat akan mengkaji undang-undang tersebut sama ada menepati syariat atau tidak. Pada 3 Mac 1994, dalam satu ucapan di Nilam Puri, Presiden Umno itu secara terbuka menolak EJKSII 1993 kerana didakwa tidak adil. Media massa pada 4 Mac 1994 melaporkan ucapan Dr Mahathir yang menyifatkan "hudud PAS tanpa ijtihad" dan "hukum hudud PAS tidak Islamik." Dr Mahathir juga dilaporkan mendakwa undang-undang yang digubal oleh PAS itu adalah untuk kepentingan politik PAS. Kerajaan Pusat menurut laporan akhbar akan menubuhkan badan khas yang melibatkan pakar-pakar agama dan undang-undang untuk mengkaji EKJSII 1993.

Dengan sikap keras Perdana Menteri yang bertegas untuk tidak membenarkan Kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang jenayah syariah tersebut serta menuduhnya sebagai "Hudud PAS," pada 21 Mac 1994, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengunjungi Pejabat Perdana Menteri dan menyerahkan salinan enakmen tersebut kepada Dr Mahathir. Apabila Sultan Kelantan memperkenankan enakmen tersebut pada 15 Mei 1994, Dr Mahathir pada keesokkannya mempertegaskan sikapnya untuk tetap menolak hudud. Pada 8 Jun 1994, Menteri Besar Kelantan menghantar permohonan kepada Perdana Menteri untuk membenarkan Kelantan melaksanakan EJKSII 1993, tetapi ada 15 Julai 1994, Dr Mahathir secara rasmi bukan sahaja menolak perlaksanaan hudud yang didakwa zalim itu, tetapi mengugut untuk mengambil tindakan ke atas Kelantan jika berkeras mahu melaksanakannya.

Disusun oleh: Arkib PAS

14 Julai 2016

14 Julai 1956 : PAS Serah Memorandum Kepada Suruhanjaya Reid

Pada hari ini dalam tahun 1956, PAS telah menyerahkan satu memorandum 14 perkara tentang Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) merdeka kepada Suruhanjaya Perlembagaan yang diketuai Lord Reid. Memorandum ini bertujuan untuk menyatakan pandangan PAS tentang ciri-ciri negara PTM yang bakal merdeka. Pada 24 Januari 1956, akhbar Straits Time melaporkan bahawa Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra telah mengumumkan persetujuan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perlembagaan sebagai persiapan ke arah kemerdekaan setelah 31 Ogos 1957 ditetapkan sebagai tarikh kemerdekaan PTM.

Suruhanjaya Perlembagaan ini telah ditubuhkan British dengan dianggotai oleh Lord William Reid (Ketua dari Britain), Sir Ivor Jennings (Britain), Sir William McKell (Australia), Hakim B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Suruhanjaya yang lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid ini telah menerima 131 memorandum dari pelbagai pihak, dan bermesyuarat sebanyak 118 kali untuk merumuskan Perlembagaan PTM merdeka. PAS sendiri telah menyerahkan pandangan mereka kepada Suruhanjaya Reid pada 14 Julai 1956 setelah mendapatkan pandangan ahli-ahli PAS di semua peringkat.

Pada 7 Mac 1957, bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah telah mencadangkan supaya PAS mengambil pendirian sama ada menyokong atau menentang suruhanjaya ini dan mahu pandangan semua pihak dalam PAS diambil kira. Pada 1 Mei 1956, PAS telah meminta semua peringkat organisasinya supaya memberi cadangan kepada Pejabat Agung PAS bagi maksud tersebut, berasaskan enam asas iaitu corak kerakyatan, bentuk kerajaan, susunan perlembagaan, eksekutif dan legislatif, kedududukan sultan-sultan, memelihara kedudukan orang Melayu, kepentingan minoriti dan kedudukan agama Islam. PAS turut mengadakan pertemuan antara Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri untuk membincangkan tugasan Suruhanjaya Reid dan perkara yang perlu diangkat kepada mereka.

Pada 30 Jun 1956, Jawatankuasa Politik PAS telah mengangkat rumusan-rumusan penting tentang cadangan ini kepada Jawatankuasa Kerja Agung PAS sebelum ia diluluskan pada 1 Julai 1956. PAS Pusat turut memberi kuasa kepada Jawatankuasa Politik PAS untuk membuat pindaan terakhir sebelum ia diserahkan. PAS telah melantik Prof Zulkifli Mohamad dan Mohd Asri Haji Muda bersama dua yang lain (akan dilantik oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin ak-Helmy) untuk bertemu Suruhanjaya Reid bagi menyampaikan pandangan PAS. Mereka kemudiannya menyerahkan pandangan tersebut pada 14 Julai 1956.

Memorandum 14 Perkara ini telah menegaskan pandangan PAS iaitu:

I. Negara ini terbukti oleh sejarah dan diakui oleh undang-undang adalah negara Melayu yang dimiliki bangsa Melayu;
II. Bangsa Melayu mempunyai kedaulatan mutlak di negara ini;
III. Kebangsaan negara ini mestilah Melayu;
IV. Islam menjadi agama rasmi dan berasaskan kebudayaan Melayu;
V. Kerakyatan jus soli adalah ditolak;
VI. Mereka yang cukup syarat berdomisil boleh memohon kerakyatan;
VII. Perlu ditubuhkan kerajaan berbentuk persekutuan dengan dua dewan perundangan;
VIII. Parlimen mesti tunduk kepada Raja-raja Melayu dengan Yang di-Pertuan Besar Persekutuan sebagai pengerusi
IX. Tidak bersetuju Pulau Pinang dan Melaka diletakkan di bawah Baginda Queen, tetapi ia mesti dikembalikan sebagai negeri Melayu semula.

Disusun oleh: Arkib PAS

13 Julai 2016

13 Julai 1986 : PAS Perkenal Pendekatan Tahaluf Siyasi Terhadap Masyarakat Bukan Islam

Pada hari ini dalam tahun 1986, Jawankuasa Kerja Agung PAS telah mengambil langkah mendekati orang bukan Islam sebagai strategi dakwahnya untuk membuktikan bahawa Islam berupaya memimpin masyarakat majmuk. Langkah yang diambil oleh PAS ialah dengan menerokai tahaluf siyasi sebagai satu pendekatan politik baru yang berasaskan syariat, terutama untuk mendepani masyarakat majmuk. Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju dengan cadangan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam kertas kerjanya, 'Cadangan Mengadakan Satu Tahaluf Dengan Golongan Pembangkang Untuk Menghancur dan Menentang Kezaliman BN.'

Selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-31 pada 14-15 April 1985, PAS telah mengambil langkah mendekati orang Cina sehingga tertubuhnya Majlis Perunding Cina (CCC) pada 28 Januari 1986. Pada 1 November 1985, pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kesediaan mereka bekerjasama dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh yang dijangka diadakan pada tahun 1986. Pada 30 Jun 1986, Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa telah mengumumkan kesediaan PAS untuk mewujudkan persefahaman dan memimpin parti-parti pembangkang berdasarkan kaedah politik Islam melalui tahaluf siyasi. Hasilnya, pada 10 Julai 1986, telah diadakan pertemuan parti-parti pembangkang di Pejabat Agung PAS, Jalan Pahang.

Pernyataan sikap baru PAS ini adalah perubahan pendekatan politik setelah PAS berpengalaman bekerjasama dalam BN (1973-1977). PAS sendiri pada 22 Januari 1986, kerana kesediaan DAP, telah memutuskan bahawa PAS tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan Islam, tetapi boleh bekerjasama dan menerima bantuan dengan orang bukan Islam. Pendirian ini adalah untuk mengelakkan PAS atau ahlinya memberi wala' kepada pertubuhan bukan Islam. Sebaliknya, PAS mempunyai kerjasama secara sulit dengan individu politik bukan Islam tertentu sebagai strategi dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun, ekoran hubungan PAS-CCC dan juga kesediaan DAP, PAS perlu mempunyai pendirian politik yang lebih terbuka, sesuai dengan kaedah politik Islam dalam menghadapi politik etnik di negara ini.

Pada 13 Julai 1986, Ustaz Nakhaie Ahmad dalam cadangannya, menyatakan pada zaman Rasulullah SAW, terdapat beberapa bentuk tahaluf dengan orang bukan Islam yang telah dibuat, iaitu antaranya tahaluf al-fudhul untuk menentang kezaliman, tahaluf Abu Talib untuk memelihara kebebasan dakwah, tahaluf Mut'im bin Adi untuk memelihara keselamatan pendakwah, Sahifah Madinah untuk mempertahankan negara Islam Madinah dan mengiktiraf kedaulatan Islam, dan Bai'ah ar-Ridhwan sebagai gencatan senjata dengan musyrikin Mekah untuk pertukaran tawanan perang. Sedangkan tahaluf Abu Lahab yang mengkompromi aqidah, tahaluf Bani Amir yang menyerahkan kuasa pemerintahan kepada orang kafir dan tahaluf Bani Syaiban yang menjerumuskan gerakan Islam dalam perangkap musuh adalah bentuk tahaluf yang ditolak oleh Rasulullah SAW dan diharamkan.

Atas asas-asas kukuh yang dikemukakan oleh Ustaz Nakhaie Ahmad, PAS Pusat telah bersetuju dengan pendekatan tahaluf siyasi untuk membolehkan perjuangan Islam berkembang. Hasilnya, pada 14 Julai 1986, parti-parti pembangkang yang diketuai PAS yang mengisytiharkan penubuhan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan dianggotai oleh NasMa, PRM dan SDP. PAS juga mengarahkan Naib Yang Dipertua Agungnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menyediakan kertas terperinci tentang hukum tahaluf siyasi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990 kerana keperluan kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Kertas yang diterima dan diluluskan pada 9 Oktober 1989 ini kemudian menjadi asas seluruh tahaluf siyasi PAS selepas 1990.

Disusun oleh: Arkib PAS

12 Julai 2016

12 Julai 2002 : Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993 Disaman Oleh Ketua UMNO

Pada hari ini dalam tahun 2002, Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (EKJS2 1993) yang digubal oleh Kerajaan PAS Kelantan dan diluluskan oleh DUN Kelantan pada 23 November 1993 telah diumumkan akan disaman di Mahkamah Persekutuan oleh Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim. Pemilik syarikat guaman Tetuan Zaid Ibrahim & Co. ini telah mengumumkan kepada media untuk bertindak demikian ke atas undang-undang syariah tersebut bagi menghalang ia dari dilaksanakan. Ketika EKJS2 1993 diluluskan, ia mendapat sokongan penuh dari semua ADUN Kelantan, termasuk dua ADUN BN.

Isu hudud ini berbangkit semula pada tahun 2002 ekoran usaha Kerajaan PAS Terengganu menggubal undang-undang jenayah syariah untuk negeri tersebut. Sepanjang tempoh antara Mei hingga Jun 2002, semua pihak memperkatakan tentang hudud Terengganu, termasuk DAP dan Umno. DAP telah mendakwa undang-undang ini akan menakutkan orang bukan Islam terhadap pembangkang, sedangkan Umno mendakwa terdapat seksyen dalam enakmen jenayah syariah itu yang menzalimi wanita. Kedua-dua pihak, DAP dan Umno mengambil sikap menolak hukum yang didakwa sebagai "Hudud PAS" ini. Walau bagaimanapun, pada 8 Julai 2002, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 telah diluluskan.

Sebagai tindak balas terhadap usaha PAS ini, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu pada 12 Julai 2002 telah mengumumkan kepada media bahawa beliau akan menyaman EKJS2 1993 di Mahkamah Persekutuan disebabkan kononnya tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Tindakan Datuk Zaid Ibrahim ini memberi kesan buruk kepada Umno kerana ketika ini sedang berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Pendang dan DUN Bukit Raya, Kedah ekoran kematian Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor. Untuk meringankan kesan ke atas Umno ini, Badan Perhubungan Umno Kelantan pada 28 Julai 2002 telah dimaklumkan tentang keputusan Kabinet dan Majlis Tertinggi Umno bahawa mereka tidak bersetuju dengan tindakan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu, dan mengarahkan ia ditarikh balik.

Berkeras dengan sikapnya yang menolak perlaksanaan undang-undang syariah di negara ini, Datuk Zaid Ibrahim bertegas untuk sanggup melepaskan jawatannya sebagai pemimpin Umno dan akan meneruskan usaha menghalang perlaksanaan undang-undang syariah ini. Sedangkan bagi pihak PAS, pada 27 Oktober 2003, Menteri Besar Terengganu yang juga Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengumumkan pewartaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002. Terdahulu, Datuk Zaid Ibrahim pada 16 Oktober 2003 menggesa supaya Hudud Terengganu tidak diwartakan sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan untuk EKJS2 1993. Pada 21 Oktober 2003, Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu telah memohon petisyen Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan enakmen tersebut. Akibatnya, walaupun telah diwartakan, enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana Mahkamah Persekutuan pada 5 November 2003 membenarkan petisyen Datuk Zaid Ibrahim tersebut.

Disusun oleh : Arkib PAS

11 Julai 2016

11 Julai 1992 : PAS Sasar Setengah Juta Keahlian Pada Tahun 1995

Pada hari ini dalam tahun 1992, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah meluluskan sebuah kertas cadangan untuk mengatur strategi bagi menambah keahlian PAS mencapai setengah juta orang menjelang tahun 1995. Kertas cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Azizan Abdul Razak ini adalah bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan PAS sebagai pembangkang utama di negara ini sebelum Pilihan Raya Umum Kesembilan yang dijangka pada tahun 1995. Pada pertengahan tahun 1992, jumlah keahlian PAS telah mencapai 380,000 orang di seluruh negara.

Ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-37 pada 2 Jun 1991, Presiden PAS, Ustaz Haji Fadzil Mohd Noor telah menyentuh masalah keahlian PAS yang perlu ditingkat untuk mengukuhkan kedudukan PAS, selain pengemaskinian sistem keahlian PAS. Ekoran itu, sepanjang tempoh antara Jun 1991 hingga Jun 1992, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat telah mengambil langkah pengukuhan tersebut. Pada 30 Jun 1991, sebuah kertas kerja bertajuk "Penyusunan dan Pengemaskinian Sistem Pendaftaran Keahlian PAS di Semua Peringkat" telah dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAS. Sasaran utama adalah untuk menambahkan seramai 180,000 ahli baru PAS sebelum 1995.

Bagi mengukuhkan sasaran ini, pada 11 Julai 1992, Ustaz Azizan Abdul Razak dalam kertas cadangannya, "Rancangan 4 Tahun Meningkatkan Bilangan Ahli PAS ke Angka 1/2 Juta 1992-1995" yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah mengemukakan beberapa strategi bertindak. Secara umum, menurut Ustaz Azizan Abdul Razak, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum 1990, jumlah penyokong dan pengundi PAS adalah tiga kali ganda daripada jumlah ahlinya. Ini bermakna PAS berpotensi menambahkan keahliannya hingga melebihi 750,000 orang, tetapi mengambil sasaran untuk mencapai keahlian 500,000 orang dalam tempoh empat tahun, atau pertembahan sebanyak 45,000 orang setahun. Jika PAS berjaya menambahkan jumlah keahlian hingga setengah juta orang, PAS diunjurkan akan mencapai peningkatan jumlah penyokong dan pengundinya sehingga mencecah sejuta orang.

Antara strategi yang digariskan ialah memberi fokus kepada keahlian isi rumah ahli PAS seperti isteri dan anak-anak, selain keluarga terdekat mereka. PAS turut mensasarkan kempen keahlian jangka panjang untuk pelajar institut pengajian tinggi, pengundi atas pagar dan kalangan terdekat dengan ahli-ahli PAS. Secara mudah, PAS dicadangkan supaya memastikan berlaku pertambahan seramai 24 orang dalam setiap daripada 2,957 buah Cawangan PAS di seluruh negara. PAS Pusat kemudiannya menubuhkan sebuah Jawatankuasa Petugas untuk mencapaikan sasaran tersebut dengan diketuai oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dr Daeng Sanusi Mariok.

Setelah empat tahun perlaksanaannya, PAS telah berjaya menambahkan keahliannya seramai 87,328 orang, iaitu sekitar 40 peratus daripada sasaran sebenar. Pertambahan ini berlaku sebanyak 21,132 orang pada 1992, 17,550 orang (1993), 21,547 orang (1994) dan 21,108 orang (1995). Antara faktor utama yang menyukarkan usaha menambah keahlian pada era ini menurut Laporan Tahunan PAS 1995 ialah kerana sekatan dan tekanan ke atas kebabasan politik. Kebanyakan rakyat lebih suka menjadi penyokong atau pengundi PAS berbanding menjadi ahli PAS untuk mengelakkan tindakan dan sekatan politik dikenakan ke atas mereka.

Disusun oleh : Arkib PAS

10 Julai 2016

10 Julai 2016 : Tiga Pimpinan Pemuda PAS Ditahan Di Bawah ISA

Pada hari ini dalam tahun 1984, tiga orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa melakukan kegiatan yang memecahbelahkan masyarakat. Mereka yang ditahan ialah Mohamad Sabu (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Bunyamin Yaakub (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Abu Bakar Chik (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu). Mereka ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA, yang menurut sesetengah pemerhati politik adalah berpunca dari desakan pimpinan Umno di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bimbang dengan gelombang kebangkitan PAS.

Semenjak kekalahan PAS di Kelantan pada 1978, telah berlaku kesedaran Islam yang besar terutama selepas memasuki abad ke-15 (tahun 1400) Hijriyah (1980 Masehi), yang diikuti oleh pembentukan kepemimpinan ulamak dalam PAS pada akhir 1982. Dalam tempoh ini, telah tercetus isu-isu besar seperti penahanan Tuan Guru Haji Mustapha Abu Bakar (1981) dan Amanat Haji Hadi (1983) yang membawa kepada isu takfir. Persoalan pemisahan politik dari agama atau sekularisasi, undang-undang jahiliyah dan thaghut, perjuangan assobiyah, jihad dan mati syahid, pertarungan hak dan batil serta isu-isu seumpamanya telah mewarnai suasana politik ketika ini, terutama dalam Pilihan Raya Kecil DUN Selising dan Kemumin di Kelantan pada 8 September 1983.

Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April 1983 telah mendakwa program Islamisasi bukanlah melaksanakan Islam, tetapi memanipulasi untuk mengurangkan tekanan kebangkitan Islam. Beliau mendakwa pimpinan Umno adalah regim boneka musuh-musuh Islam yang menjadikan Islam sebagai tetamu, bukannya tuan dan berusaha menyekat kebangkitan Islam. Dalam ucapan dasar pada 14 April 1984 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-30, Yang Dipertua Agung PAS itu telah menjangka satu tindakan melulu dan ganas akan dilakukan ke atas perjuangan Islam oleh golongan sekular bagi menyekat kebangkitan Islam.

Program-program Islamisasi kerajaan seperti penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), penubuhan Bank Islam, dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, dasar Bersih, Cekap dan Amanah dan sebagainya telah menerima kritikan hebat daripada pimpinan Dewan Pemuda PAS yang menyifatkannya sebagai kosmetik politik Umno. Mereka mendakwa Islamimasi ini tidak berasaskan al-Quran dan Sunnah, sebaliknya bersumber dari Washington, London dan Tel Aviv. Tekanan-tekanan radikal PAS ke atas Kerajaan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan kerajaan menggubal Akta Cetak dan Mesin Cetak 1984. Terdahulu, PAS yang menentang pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 14 Oktober 1983, telah mendesak Perdana Menteri supaya melaksanakan hukum syariat di negara ini. Di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah, sokongan terhadap gagasan negara Islam yang dibawa oleh PAS semakin mendadak sehingga timbul cadangan Debat PAS-Umno tentang persoalan ini.

Di celah-celah ketegangan ini yang mewarnai kebangkitan Islam pada awal dekad 1980-an ini, terdapat desakan daripada pimpinan Umno di tiga negeri tersebut supaya pimpinan PAS ditahan untuk membendung pegerakan PAS. Akibatnya, pada 1983, dua pemimpin PAS Besut, Ustaz Mohamad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah. Pada 10 Julai 1984, tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS telah ditahan ISA, diikuti oleh pengharaman himpunan politik di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu mulai awal Ogos 1984. Pada 18 Julai 1984, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Tabung Jihad untuk mengumpulkan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa ISA ini.

Disusun oleh : Arkib PAS

09 Julai 2016

09 Julai 1959 : Ustaz Haji Ishak Lotfi Dilantik Menteri Besar Kelantan Pertama

Pada hari ini dalam tahun 1959, ADUN Kota Bharu Selatan, Ustaz Haji Ishak Lotfi Omar telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan yang pertama selepas merdeka, setelah PAS berjaya memenangi 28 daripada 30 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 20 Mei 1959. Turut mengangkat sumpah ialah Haji Mohamad Nasir (Machang Utara) selaku Timbalan Kepada Menteri Besar serta Tengku Mohamad ibni Sultan Mohamad Ke-IV (Pasir Puteh Utara), Ustaz Abdullah Yusof (Tok Uban), Ustaz Wan Sulaiman Ibrahim (Pasir Puteh Tengah), Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Meranti), Mohd Yusof Noor (Machang Selatan), Abdul Rahman Daud (Rantau Panjang) dan Cikgu Mohd Daud Jamil (Tanah Merah Timor) sebagai anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, manakala Mohd Asri Haji Muda (Kota Bharu Tengah) sebagai Speaker DUN Kelantan.

Dato' Bentara Jasa Haji Ishak Lotfi adalah Menteri Besar Kelantan ke-11 sejak 1775 menggantikan Tengku Seri Maharaja Tengku Hamzah bin Tengku Zainal Abidin yang menjadi Menteri Besar sejak 1953. Beliau yang dilahirkan pada 1918 di Kampung Masjid, Kota Bharu dalam sebuah keluarga politik, berpangkat cicit kepada Dato' Maha Menteri Che Saad Penghulu Ngah, Menteri Besar Kelantan (1890-1894) yang terkenal itu. Beliau juga adalah anak saudara kepada Dato' Mohd Asri Haji Muda (bekas Yang Dipertua Agung PAS) dan As'ad Shukri Haji Muda (bekas Ketua KMM Kelantan), selain anak tiri kepada Mohd Daud Salleh (bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS). Ibunya, Che Minah Haji Muda adalah kakak Dato' Mohd Asri.

Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya yang merupakan pusat pengajian Islam terbesar ketika itu. Beliau belajar di Masjid Muhammadi, Sekolah Arab MAIK dan Sekolah Melayu Jalan Post Office Lama, sebelum belajar di Mekah selama 10 tahun sejak 1927. Antara gurunya di Mekah ialah Pak Da Eil al-Fathani dan Haji Noh Jamaluddin Kelantan. Pada 1937, beliau pulang ke Kelantan dan mula terlibat dengan politik. Beliau mengasaskan percetakan Matba'ah al-Maarif pada 1938, selain menjadi pengarang majalah ar-Riwayah. Beliau terlibat dengan politik melalui Setiawan Belia dan Dewan Bahasa Melayu, selain turut terlibat dengan Pemuda Asuhan Bekerjasama (PAB) dan menyertai KMM sebelum Perang Dunia Kedua. Pada zaman Jepun, beliau menyertai Barisan Pemuda Sukarela Kelantan (BPSK), kemudian menjadi Setiausaha Agung Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) sejak 1945, terlibat mengasaskan Umno pada 1946 dan akhirnya beliau menyertai PAS pada 1952.

Dalam perkhidmatan awam, beliau dilantik sebagai Pegawai Pelajaran MAIK pada 1945, kemudian menjadi Penolong Pegawai Zakat mulai Jun 1949, sebelum dilantik sebagai Pegawai Agama MAIK hingga 1959. Beliau juga merupakan Ahli Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Agama Majlis Raja-raja. Dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1959, beliau dipilih sebagai ADUN Kota Bharu Selatan, dan dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan pada 9 Julai 1959. Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan sehingga 10 Mei 1964, sebelum dilantik sebagai Speaker DUN Kelantan (1964-1968) dan menjadi Menteri Besar kali kedua (1973-1974).

Disusun oleh : Arkib PAS

08 Julai 2016

08 Julai 1978 : PAS Sertai Pilihanraya Umum Ke-5 Dengan Agenda Perlaksanaan Syariat Islam

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS telah menyertai Pilihan Raya Umum Kelima bagi mengembalikan semula syariat Islam sebagai undang-undang negara, setelah PAS tidak dapat berbuat demikian sepanjang berada dalam kerajaan antara 1973-1977. PAS menyertai pilihan raya umum kali ini sebagai sebuah parti pembangkang, berbeza dengan Pilihan Raya Umum 1974 di mana PAS bertanding sebagai komponen BN yang memerintah. Sejak PAS dikeluarkan dari BN pada 13 Disember 1977 dan tewas dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan pada 11 Mac 1977, PAS menyusun langkah baru untuk mengukuhkan semula kedudukannya.

Kedudukan PAS yang terjejas ekoran permainan politik Umno yang menyebabkan tertubuhnya serpihan PAS, Berjasa yang dipimpin oleh Dato' Mohamad Nasir yang berwala' kepada BN. Akibat krisis ini, Kelantan telah didaruratkan antara 8 November 1977 hingga 12 Februari 1978, yang diikuti oleh Pilihan Raya Negeri yang menyaksikan PAS hanya menang 2 daripada 34 kerusi DUN Kelantan, sedangkan serpihan PAS, Berjasa mendapat 11 kerusi dan BN mendapat 23 kerusi. Ekoran kekalahan ini, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar telah meletak jawatan pada 19 Mac 1978 supaya PAS dapat memulihkan keluatannya menjelang Pilihan Raya Umum Kelima.

Walaupun PAS menghadapi krisis kepemimpinan dan organisasi yang teruk disebabkan isu Kelantan ini, namun PAS terus bergerak memperjuangkan agenda menegakkan Islam di negara ini. Pada peringkat awal, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 30 Mei 1978 telah mengemukakan usul rang undang-undang persendirian untuk membolehkan beliau membawa ke Dewan Rakyat dalam persidangan antara 19 Jun hingga 7 Julai 1978 usul untuk dua ketetapan iaitu "supaya Malaysia melaksanakan hukum dan perundangan Islam bagi menggantikan hukum dan perundangan sedia ada" dan "supaya ditubuhkan segera sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh pakar-pakar sistem perundangan Islam dan sistem perundangan lain bagi mengkaji, menyusun dan mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan dan Dewan (Rakyat) itu bagi tujuan yang dimaksudkan."

Usul persendirian ini dikemukakan setelah agenda Islamisasi yang dilakukan oleh PAS dalam kerajaan terhenti akibat terkeluarnya PAS dari BN. Usul persendirian Yang Dipertua Agung PAS ini walau bagaimanapun tidak sempat dibahaskan apabila Parlimen dibubarkan pada 13 Jun 1978. PAS yang telah menetapkan pada 7 April 1978 bahawa ia akan meletakkan sebanyak mungkin calon dalam Pilihan Raya Umum 1978, telah memutuskan pada 14 Jun 1978 supaya PAS bertanding 100 daripada 240 kerusi Parlimen. Walau bagaimanapun, oleh kerana PAS bertanding di Semenanjung sahaja, PAS berjaya meletakkan 88 daripada 153 kerusi Parlimen dan 204 daripada 276 kerusi DUN. Tujuan utama PAS berbuat demikian ialah selain meningkatkan undi popular, ia juga sebagai langkah utama ke arah melaksanakan syariat Islam.

Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1978 ini, PAS telah mengemukakan manifesto bertajuk "Untuk Agama, Bangsa dan Negara yang Selamat dan Sejahtera." Tujuan manifesto ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam, dengan PAS akan meminda takrif Islam sebagai agama Persekutuan sesuai dengan maksud sebenar Islam untuk "mewujudkan sebuah negara yang benar-benar berpegang kepada hukum-hukum dan ajaran Islam secara praktik," "hukum-hukum Islam hendaklah menjadi dasar utama untuk semua perundangan negara," "undang-undang sedia ada atau mana-mana akta atau undang-undang dan peraturan yang diadakan secara tulisan atau semangatnya bertentangan dengan hukum Islam adalah tidak sah dan dianggap bertentangan dengan Perlembagaan negara" serta "kuasa kerajaan hendaklah berjalan, beredar dan berlaku di dalam batas-batas yang diberikan oleh hukum-hukum Islam sahaja."

Dengan agenda besar untuk menegakkan Islam ini, PAS telah menyertai Pilihan Raya Umum Kelima yang diadakan pada 8 Julai 1978, sedangkan semua pemerhati politik melihat masa depan PAS akan terkubur, bahkan ada yang mengatakan sebagai "gerhana Bulan Purnama." Walaupun PAS hanya memenangi 5 daripada 153 kerusi Dewan Rakyat dan 9 daripada 276 kerusi DUN, telah PAS telah berjaya memulihkan sokong orang Melayu kepada PAS, khusus di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Selain memenangi dua kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN di Kedah, PAS turut menang satu kerusi Palimen dan satu kerusi DUN di Pulau Pinang dan satu kerusi DUN di Perak, sehingga menurut Crouch H (1980), seorang sarjana yang mengkaji Pilihan Raya Umum 1978 bahawa PAS menguasai 40.3 peratus undi Melayu. BN sendiri walaupun memenangi 131 kerusi Parlimen, telah mengalami kemerosotan undi popular dari 60.7 peratus kepada 57.2 peratus akibat ketiadaan PAS dalam pakatan tersebut. Keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Julai 1978 ini jelas menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu terhadap PAS mempunyai kolerasi dengan kesungguhan PAS menegakkan syariat Islam.

Disusun oleh: Arkib PAS

07 Julai 2016

07 Julai 2001 : DAP Ugut Keluar Dari Barisan Alternatif Kerana PAS Pertegas Prinsip Negara Islam

Pada hari ini dalam tahun 2001, Jawatankuasa Harian PAS Pusat telah mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dan tidak akan tunduk kepada apa sahaja tekanan dan ugutan DAP. Jawatankuasa Harian Pusat juga turut memutuskan supaya penubuhan negara Islam oleh PAS tidak akan dibuat secara paksaan kepada rakyat, sebaliknya ia dilakukan secara demokratik. Atas asas ini, PAS bertegas untuk sanggup kehilangan DAP sebagai rakan politiknya, sebaliknya PAS akan kekal bersama Barisan Alternatif (BA).

Dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-41 pada 1 Jun 2001, Presiden PAS, Ustaz Dato' Haji Fadzil Mohd Noor telah menekankan keperluan PAS untuk mempertahankan perjuangan menegakkan negara Islam dengan memgambil kira uslub dakwah dalam konteks politik semasa dan menyelaraskan penglibatan PAS dalam BA. Pendirian PAS dalam muktamar ini, yang diikuti oleh penegasan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa PAS akan menutup pusat perjudian kasino dan meningkatkan kedudukan mahkamah syariah untuk menggantikan mahkamah sivil, telah menimbulkan kemarahan DAP.

DAP telah menyerang PAS dengan menuduh PAS menyimpang jauh dari manifesto BA, diikuti oleh ugutan DAP untuk menarik diri dari pakatan pembangkang itu. Pemimpin DAP yang menganggap isu negara Islam sebagai sensitif, telah memberi amaran kepada PAS supaya menghentikan perjuangan negara Islam. Pada 2 Julai 2001, memberi respon terhadap pendirian PAS itu, DAP telah menyatakan rasa terkejut kerana PAS mahu menegakkan negara Islam dan ia mahu keluar dari BA. Pada 11 Julai 2001, DAP secara terbuka menentang idea negara Islam dan mahu mengkaji semula hubungan dengan PAS.

DAP sebenarnya telah terkesan dengan keadaan politik Sarawak yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri pada akhir tahun 2001. Pada akhir 2000, DAP Sarawak telah menunjukkan sikapnya untuk berundur dari BA. Sebagai alasan terhadap tindakan ini, seorang ADUN DAP, Jason Wong Sing Nang telah keluar DAP pada 10 Februari 2001 kerana menolak perjuangan PAS dan akhirnya pada 3 Mac 2001, DAP Sarawak mengumumkan keluar dari BA. Strategi DAP untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak 2001 ini telah menyebabkan mereka menyelar dasar perjuangan PAS, kerana beranggapan isu negara Islam telah menghilangkan sokongan orang bukan Islam kepada DAP dalam Pilihan Raya Umum 1999. DAP mahu menyertai Pilihan Raya Negeri Sarawak tanpa imej negara Islam dan PAS.

Mengambil kira sikap dan pendirian DAP yang begitu keras terhadap perjuangan Islam PAS, pada 7 Julai 2001, PAS mengambil pendirian untuk mempertahankan perjuangannya dan tidak akan tunduk kepada tekanan DAP. Ustaz Fadzil Mohd Noor kemudian membawa pendirian Jawatankuasa Harian PAS Pusat ini untuk disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 15 Julai 2001. Rentetan itu, DAP mencabar PAS pada 27 Julai 2001 supaya keluar dari BA jika terus memperjuangkan negara Islam. Pada 19 Ogos 2001, Kongres Kebangsaan DAP menyerahkan kepada CEC DAP untuk memutuskan kedudukan parti itu dalam BA. Akhirnya, pada 22 September 2001, DAP telah mengumumkan keluar dari BA kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS mahu menegakkan negara Islam.

Disusun oleh : Arkib PAS