22 Julai 2016

22 Julai 1960 : Tuan Guru Haji Abbas Isytihar Keluar PAS Akibat Krisis Kepimpinan

Pada hari ini dalam tahun 1960, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Senator Tuan Guru Haji Abbas Mohamed telah mengisytiharkan keluar dari PAS ekoran krisis kepemimpinan yang berpanjangan dalam PAS Terengganu. Tuan Guru Haji Abbas menyertai PAS pada 1954 sebagai antara ahli PAS terawal dari Terengganu dan pernah bertanding jawatan Naib Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ketiga pada 12-14 Ogos 1954, sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Kuala Terengganu pada 1956. Dalam Pilihan Raya Umum 1959, beliau dicalonkan di DUN Kuala Nerus oleh PAS tetapi tewas kepada Dato' Ibrahim Fikri, bekas Timbalan Menteri Besar Terengganu. Ekoran itu, beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili DUN Terengganu bersama Da Abdul Jalil Awang (Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu).

Tuan Guru Haji Abbas dilahirkan di Bukit Puteri Besut, Terengganu pada 1909, mendapat pendidikan awal di Pondok Tuan Guru Haji Mohamad Hussein, Kuala Besut sebelum ke Mekah. Kemudian beliau dua kali berlajar di India iaitu di Jamiah al- Islamiyah Gujerat dan Darul Ulum Deoband. Beliau alim fiqh empat mazhab. Pada1938, beliau mula membuka pondok di Kuala Besut. Setelah itu beliau berpindah ke Jerteh, sebelum membuka Pondok Tok Jiring. Antara murid beliau yang terkemuka ialah Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS. Beliau dikatakan kembali bersama PAS selepas 1990 dan meninggal dunia pada 1 Julai 1997.

Krisis PAS Terengganu pada awalnya timbul ekoran masalah perlantikan Menteri Besar Terengganu. Sultan Terengganu telah memilih Mohd Daud Samad (Setiu) sebagai Menteri Besar, sedangkan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah (Jeram) tidak dipilih atas alasan beliau bukan anak Terengganu. Selepas Pilihan Raya Umum Parlimen 1959, timbul konflik baru apabila tiga Cawangan PAS iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman tidak berpuas hati dalam masalah pemilihan calon Parlimen. Kerana isu ini, pada 16 Oktober 1959, Badan Perhubungan PAS Terengganu telah memecat Ustaz Ahmad Azzam sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu dan membentuk Jawatankuasa Darurat PAS Terengganu yang dikuasai PAS Cawangan Kuala Terengganu. Pada 25 Oktober 1959, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah mengesah perubahan ini, tetapi dengan tekanan politik yang dibuat oleh Ustaz Ahmad Azzam, pada 7 Mei 1960, Jawatankuasa Kerja Agung PAS terpaksa melantik semula beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Perlantikan semula Ustaz Ahmad Azzam bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan konflik kepemimpinan dalam Kerajaan Terengganu, tetapi menyebabkan kekecewaan beberapa PAS Cawangan yang berkrisis dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu termasuk PAS Cawangan Kuala Terengganu. Ekoran itu, pada 22 Julai 1960, Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Tuan Guru Haji Abbas Mohamad telah bertindak keluar parti. Tindakan beliau ini sekali gus telah menyebabkan PAS kehilangan satu daripada empat kerusi Dewan Negara. Walaupun Tuan Guru Haji Abbas kekal sebagai Ahli Dewan Negara selama enam tahun, tetapi beliau mencipta rekod sebagai ahli dewan perundangan yang pertama keluar parti dalam sejarah PAS. Selepas beliau bertindak keluar parti, keadaan kepemimpinan PAS semakin tegang sehingga akhirnya Kerajaan PAS Terengganu tumbang pada 30 Oktober 1961.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: