27 Julai 2016

27 Julai 1955 : Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin Dipilih Wakil Rakyat PAS Yang Pertama

Pada hari ini dalam tahun 1955, Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah muncul sebagai wakil rakyat Persekutuan yang pertama memenangi pilihan raya atas tiket PAS apabila beliau memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Krian. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin yang juga Mudir Madrasah al-Khairiah, Pokok Sena, Seberang Perai dicalonkan oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum Persekutuan 1955 iaitu pilihan raya umum yang pertama diadakan di negara ini. Beliau menewaskan calon Perikatan, Haji Sulaiman Palestin dan calon Parti Kebangsaan Perak (NAP), Mohd Jan Ngah Mohamad dengan majoriti 450 undi.

Pilihan raya untuk memilih ahli Majlis Undangan Persekutuan ini diadakan oleh British ekoran desakan kuat rakyat tempatan, termasuk PAS sejak 1953. Tujuan utama tuntutan ini ialah ke arah berkerajaan sendiri, sekali gus mempercepatkan kemerdekaan. PAS telah menyertai National Conference dan National Convention antara 1953-1954 dalam rangka menuntut pilihan raya segera ini. Parti-parti politik termasuk PAS mendesak supaya pilihan raya diadakan tidak lewat dari 1956. Pada 31 Mei 1956, PAS telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah parti politik yang melayakkannya menyertai pilihan raya umum. Dalam pilihan raya ini, PAS telah meletakkan 11 calon daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, di mana 51 daripadanya dimenangi oleh calon-calon Perikatan.

Tuan Guru Haji Ahmad atau nama sebenarnya, Nikmatullah Ahmad adalah anak kepada ulamak terkenal, Tuan Hussin Kedah al-Banjari yang merupakan keturunan keenam Sheikh Mohd Arsyad Abdullah al-Banjari, ulamak terkenal penulis kitab Sabilul Muhtadin itu. Beliau dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar dan mendapat pendidikan awal di beberapa pondok di Kedah, sebelum melanjutkan pengajian di Mekah sehingga 1927. Beliau mula mengajar pondok di Sungai Limau, Kedah, sebelum berhijrah ke Pokok Sena pada 1930. Setelah itu, beliau kembali ke Mekah untuk melanjutkan pengajian dan pulang sebagai mudir di pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussin Kedah. Selain mengajar pondok,

Tuan Guru Haji Ahmad juga merupakan Ahli Majlis Penasihat Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai sejak 1950, Ahli Majlis Penasihat Majlis Raja-raja Melayu sejak 1966 dan Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang sejak 1969. Jawatan terpenting yang pernah dipegang oleh beliau ialah Qadhi Besar Pulau Pinang mulai 1965 hingga 1974. Tuan Guru Haji Ahmad mula terlibat dengan politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai pada 1946, kemudian aktif dalam Umno sehingga 1951. Beliau kemudiannya terlibat mengasaskan PAS dan dilantik sebagai Bendahari Agung PAS pada 24 November 1951. Selain itu, beliau juga telah dilantik sebagai ahli Jemaah Pemangku Yang Dipertua Agung PAS pada 1954 dan menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat 1956-1958. Pada 15 Jun 1955, beliau telah dicalonkan oleh PAS bertanding di kawasan Kerian untuk kerusi Majlis Undangan Persekutuan. Calon Perikatan, Haji Sulaiman Palestin ketika berkempen dalam pilihan raya ini menyindir calon PAS bahawa Majlis Undangan Persekutuan bukan tempat ulamak "membaca doa nasi kunyit" atau mengajar hadis, dan calon PAS tidak tahu berbahasa Inggeris. Akhirnya, pada 27 Julai 1955, Haji Sulaiman Palestin telah tewas dan Tuan Guru Haji Ahmad selaku pembangkang tunggal di Majlis Undangan Persekutuan dikenali sebagai Mr Opposition.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: