06 Julai 2016

06 Julai 1956 : Cawangan PAS Terengganu Yang Pertama Ditubuhkan Di Dungun

Pada hari ini dalam tahun 1956, PAS telah berjaya menembusi negeri Terengganu apabila PAS Cawangan Dungun ditubuhkan di Madrasah az-Zainiyyah, Sura Gate, Dungun di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Zainal Abidin Aman (Tok Guru Haji Bidin). Terengganu merupakan negeri kedua terakhir yang berjaya ditembusi oleh PAS di Semenanjung Tanah Melayu, sebelum PAS masuk ke Melaka pada akhir 1957. Penubuhan PAS Cawangan Dungun adalah hasil usaha Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu, Ustaz Mohd Asri Haji Muda yang mengadakan perjumpaan untuk memberi penerangan tentang perjuangan PAS dan berakhir penubuhan cawangan ini.

Sejarah PAS Terengganu telah bermula sejak 1954 lagi apabila Ustaz Mohd Asri Haji Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Daerah Pantai Timur meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada 1955, Ustaz Mohd Asri dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu. Terengganu yang terkenal dengan pengaruh parti kiri seperti PKMM dan PRM bukan sahaja menyulitkan pergerakan pengaruh PAS, tetapi juga Umno. Pada tahun 1956, empat tokoh PAS iaitu Dr Haji Abbas Alias (Yang Dipertua Agung PAS), Ustazah Zabidah Ali (Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat), Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah dan Ustaz Zabidi Ali (Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS) telah berpindah ke Terengganu kerana urusan kerja dan ia memberi nafas baru kepada perkembangan PAS di negeri itu. Dr Haji Abbas misalnya, setelah dilantik dengan Pengarah Kesihatan Terengganu, telah berjaya menubuhkan PAS Ranting Chabang Tiga, Kuala Terengganu dalam tahun 1956.

Dalam perjumpaan anjuran Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Terengganu pada 6 Julai 1956 di Pondok Haji Bidin (Madrasah az-Zainiyyah), PAS Cawangan Dungun telah berjaya ditubuhkan. Tuan Guru Haji Bidin telah dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Dungun, bersama Ustaz Ngah Mohamad (Naib Yang Dipertua), Isa Abdullah (Setiausaha), Syed Hussein Tuan Kechik (Bendahari), Cikgu Muda Salleh (Ketua Ulamak), Kapten Abdul Majid Awang (Ketua Pemuda), Abu Hitam, Musa Yusof, Salleh Mohd Zain, Engku Mohamad Wok, Ngah Sulong, Mat Abdullah, Ustaz Wan Abbas Abdullah dan Hashim Jais sebagai Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Cawangan Dungun. Mereka menjadi perintis kepada perkembangan PAS di Terengganu.

Setelah PAS Cawangan Dungun berjaya ditubuhkan, PAS mulai berkembang di Terengganu dengan tertubuhnya PAS Cawangan Kuala Terengganu (1956), Kemaman (1957), Besut (1956), Kuala Berang (1958) dan Kuala Terengganu Utara (1959). Menjelang Pilihan Raya Umum 1959, PAS telah mempunyai enam Cawangan di Terengganu, mengatasi Umno yang ditubuhkan di Terengganu sejak 1950. Pengaruh PAS lebih kukuh apabila tokoh-tokoh ulamak seperti Tuan Guru Haji Bidin, Tuan Guru Haji Abbas Mohamad, Tuan Guru Haji Shafie Sulong, Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad dan Tuan Guru Haji Mat Shafie Losong menyertai PAS.

Kesan paling nyata daripada perluasan pengaruh PAS di Terengganu ialah kejayaan PAS menguasai 13 daripada 24 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1959, sekali gus membolehkan PAS membentuk kerajaan di Terengganu. Antara faktor penting yang mendorong perkembangan mendadak PAS di Terengganu selepas 1956 ialah penyertaan Dr Burhanuddin al-Helmy ke dalam PAS pada akhir 1956, yang menyebabkan ahli-ahli politik kiri termasuk termasuk bekas-bekas ahli PKMM, PRM dan Hizbul Muslimin di Terengganu mengikuti jejak beliau menyertai PAS.

Disusun oleh : Arkib PAS

Tiada ulasan: