17 Julai 2016

17 Julai 1951 : Ulamak Mahu Persidangan Alim Ulamak Malaya Menghasilkan Keputusan Yang Berkesan

Pada hari ini dalam tahun 1951, akhbar Warta Negara telah menyiarkan sebuah rencana yang ditulis oleh Mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang menggesa para ulamak yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951 supaya menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan dan bermakna untuk umat Islam. Dalam rencananya yang bertajuk "Kongres Alim Ulamak Yang Bererti," Tuan Guru Haji Abdul Samad telah mendesak supaya Persidangan Alim Ulamak Malaya menjadi sebuah persidangan yang bererti. Pandangan beliau dipercayai berpunca daripada kegagalan Umno melaksanakan keputusan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950.

Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar, sebanyak tujuh resolusi telah diputuskan termasuklah untuk menyelaraskan pentadbiran agama, menubuhkan kolej Islam, penyelarasan tarikh puasa dan hari raya, cukai dan pengurusan haji, derma pendidikan tinggi dan sekolah agama petang, menubuhkan jabatan agama di Negeri-negeri Selat dan meluaskan dakwah Islam. Namun begitu, semua keputusan ulamak ini tidak mendapat perhatian Umno. Umno pernah membawa cadangan ulamak berkaitan penyatuan pentadbiran agama, tetapi ditolak oleh Raja-raja Melayu yang menyebabkan Umno tidak memperjuangkannya. Di atas kegagalan persidangan di Muar ini, Tuan Guru Haji Abdul Samad menyifatkannya sebagai "... bunyi berdentum-dentum tetapi percuma sahaja." Lebih teruk lagi apabila selepas persidangan ini timbul beberapa isu seperti isu Natrah, pembukaan keahlian Umno kepada orang bukan Melayu, penganjuran Loteri Umno dan lain-lain telah menyebabkan para ulamak mula bersuara dalam Umno.

Ketika rancangan mengadakan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, para ulamak mula mendesak supaya ditubuhkan organisasi politik Islam yang terpisah dari Umno. Semenjak Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan bersuara tentang "ulamak Malaya belum bersatu dan belum mempunyai persatuan" dalam Suara Umno keluaran 1 Jun 1951, Pengarang Qalam, Syed Abdullah Hamid al-Idrus menyimpulkan perjuangan ulamak dalam Umno tidak berkesan dan menyeru ulamak menubuhkan organisasi Islam untuk memperkasakan ummah. Di Pulau Pinang, kerana membincangkan isu Loteri Umno, para ulamak pada 19 Ogos 1952 telah mendesak ditubuhkan Persekutuan Muslim Malaya, sedangkan di Singapura, Sheikh Fadhlullah Suhaimi pada 26 Julai 1951 telah mencadangkan agar ditubuhkan Majlis A'la lil Syau'un ad-Diiniah Malaya. Akhirnya, ada 20 Ogos 1951, Yang Dipertua Jabatan Agama Islam Johor, Engku Ismail Abdul Rahman yang menyifatkan dasar Umno telah sesat dari al-Quran dan Sunnah, mencadangkan agar ditubuhkan Parti Muslim Malaya. Desakan-desakan ini kemudiannya memaksa Dato' Onn Jaafar ketika merasmikan persidangan ini turut mencadangkan agar ditubuhkan Lembaga Tinggi Islam.

Sindiran sinis Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang disiarkan Warta Negara pada 17 Julai 1951 ternyata memberi kesan apabila pelbagai pihak memperkatakan tujuan Persidangan Ali Ulamak Malaya di Kuala Lumpur agar mengulangi kegagalan di Muar. Bahkan, kebanyakkan ulamak mula hilang harapan kepada Umno, sehingga mereka mahu sebuah pertubuhan politik Islam ditubuhkan oleh Persidangan Alim Ulamak Malaya. Akhirnya, dalam persidangan pada 23 Ogos 1951, para ulamak telah meluluskan penubuhan Persatuan Ulamak Malaya dan sebuah jawatankuasa penaja ditubuhkan. Pada 24 November 1951, nama persatuan ini ditukar kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS).

Disusun oleh : Arkib PAS

Tiada ulasan: