16 Julai 2016

16 Julai 1995 : PAS Tolak Cadangan Tengku Razaliegh Gabungkan Parti Pembangkang

Pada hari ini dalam tahun 1995, PAS telah menolak cadangan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) supaya parti pembangkang, termasuk DAP bergabung membentuk satu barisan pembangkang yang kuat untuk menghadapi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-10. Ku Li membuat kenyataan demikian setelah parti-parti pembangkang mengalami kemerosotan dalam Pilihan Raya Umum Kesembilan pada 25 April 1995. Walau bagaimanapun, PAS berpendapat lebih sesuai diadakan persefahaman supaya parti-parti pembangkang tidak bertembung sesama sendiri melalui pengagihan kerusi antara parti.

Sejak krisis politik yang berlaku kerana pengharaman Umno pada 1988, serpihan Umno yang dipimpin oleh Ku Li telah membentuk PMS46 dan mula mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang yang lain. Pada mulanya, PAS telah mengambil langkah mendekati serpihan Umno melalui majlis Makan Malam Pemikir Ummah pada 23 Disember 1988 yang diikuti oleh keputusan PAS pada 10 Jun 1990 untuk mempertimbangkan penyertaan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Angkatan adalah sebuah gabungan parti-parti orang Islam yang diinisiatifkan oleh Berjasa pada 1988 dan dianggotai oleh PMS46, Berjasa, Hamim dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990, PAS telah membentuk persefahaman dengan Angkatan. Persefahaman PAS-Angkatan telah berjaya membentuk kerajaan di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1990.

Di kalangan parti-parti bukan Melayu, Ku Li yang berusaha menumbangkan BN telah menubuhkan sebuah lagi gabungan pembangkang iaitu Gagasan Rakyat (GR). GR yang dipimpin oleh Ku Li ini dianggotai oleh PMS46, DAP, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Kimma, Malaysian Solidarity Party (MSP) dan Indian Progressive Party (IPF). Kecuali DAP yang mendapat 20 kerusi Parlimen dan PBS dengan 12 kerusi, parti-parti lain dalam GR telah gagal membuat pencapaian yang memuaskan dalam Pilihan Raya Umum 1990. Menjelang Pilihan Raya Umum 1995, DAP yang menggunakan alasan menolak hudud yang digubal oleh PAS telah menarik diri dari GR pada 25 Januari 1995, yang menyebabkan gabungan ini mulai runtuh.

Tindakan DAP yang keluar dari GR telah memberi kesan buruk kepada pembangkang, khususnya di Pantai Barat dalam Pilihan Raya Umum 1995. Dalam pilihan raya ini, BN telah berjaya memenangi 162 dari 192 kerusi Parlimen, sedangkan undi popular pembangkang telah merosot kepada 34.8 peratus, ketika mana undi popular BN meningkat sebanyak 16.9 peratus berbanding tahun 1990. Perpecahan GR kemudiannya membawa kepada perebutan jawatan Ketua Pembangkang, sedangkan di Kelantan, PMS46 mulai berkrisis dengan PAS kerana tututan kerusi Exco Kerajaan Negeri. Menyedari keruntuhan pakatan pembangkang ini, Ku Li telah mencadangkan supaya semua parti pembangkang, termasuk DAP membentuk sebuah gabungan pembangkang yang baru. PAS yang tidak senang dengan sikap parti chauvanis seperti DAP yang menentang negara Islam dan perlaksanaan syariat, pada 16 Julai 1995 telah menolak cadangan Ku Li tersebut. PAS sebaliknya mencadangkan supaya pengagihan kerusi dibuat dalam satu persefahaman supaya tidak bertembung sesama sendiri.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: