10 Julai 2016

10 Julai 2016 : Tiga Pimpinan Pemuda PAS Ditahan Di Bawah ISA

Pada hari ini dalam tahun 1984, tiga orang pimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat telah ditahan di bawah ISA kerana didakwa melakukan kegiatan yang memecahbelahkan masyarakat. Mereka yang ditahan ialah Mohamad Sabu (Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat), Ustaz Bunyamin Yaakub (Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Ustaz Abu Bakar Chik (Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu). Mereka ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA, yang menurut sesetengah pemerhati politik adalah berpunca dari desakan pimpinan Umno di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bimbang dengan gelombang kebangkitan PAS.

Semenjak kekalahan PAS di Kelantan pada 1978, telah berlaku kesedaran Islam yang besar terutama selepas memasuki abad ke-15 (tahun 1400) Hijriyah (1980 Masehi), yang diikuti oleh pembentukan kepemimpinan ulamak dalam PAS pada akhir 1982. Dalam tempoh ini, telah tercetus isu-isu besar seperti penahanan Tuan Guru Haji Mustapha Abu Bakar (1981) dan Amanat Haji Hadi (1983) yang membawa kepada isu takfir. Persoalan pemisahan politik dari agama atau sekularisasi, undang-undang jahiliyah dan thaghut, perjuangan assobiyah, jihad dan mati syahid, pertarungan hak dan batil serta isu-isu seumpamanya telah mewarnai suasana politik ketika ini, terutama dalam Pilihan Raya Kecil DUN Selising dan Kemumin di Kelantan pada 8 September 1983.

Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa dalam Ucapan Dasar Yang Dipertua Agung PAS di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April 1983 telah mendakwa program Islamisasi bukanlah melaksanakan Islam, tetapi memanipulasi untuk mengurangkan tekanan kebangkitan Islam. Beliau mendakwa pimpinan Umno adalah regim boneka musuh-musuh Islam yang menjadikan Islam sebagai tetamu, bukannya tuan dan berusaha menyekat kebangkitan Islam. Dalam ucapan dasar pada 14 April 1984 sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-30, Yang Dipertua Agung PAS itu telah menjangka satu tindakan melulu dan ganas akan dilakukan ke atas perjuangan Islam oleh golongan sekular bagi menyekat kebangkitan Islam.

Program-program Islamisasi kerajaan seperti penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), penubuhan Bank Islam, dasar Penerapan Nilai-nilai Islam, dasar Bersih, Cekap dan Amanah dan sebagainya telah menerima kritikan hebat daripada pimpinan Dewan Pemuda PAS yang menyifatkannya sebagai kosmetik politik Umno. Mereka mendakwa Islamimasi ini tidak berasaskan al-Quran dan Sunnah, sebaliknya bersumber dari Washington, London dan Tel Aviv. Tekanan-tekanan radikal PAS ke atas Kerajaan BN yang dipimpin oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan kerajaan menggubal Akta Cetak dan Mesin Cetak 1984. Terdahulu, PAS yang menentang pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 14 Oktober 1983, telah mendesak Perdana Menteri supaya melaksanakan hukum syariat di negara ini. Di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah, sokongan terhadap gagasan negara Islam yang dibawa oleh PAS semakin mendadak sehingga timbul cadangan Debat PAS-Umno tentang persoalan ini.

Di celah-celah ketegangan ini yang mewarnai kebangkitan Islam pada awal dekad 1980-an ini, terdapat desakan daripada pimpinan Umno di tiga negeri tersebut supaya pimpinan PAS ditahan untuk membendung pegerakan PAS. Akibatnya, pada 1983, dua pemimpin PAS Besut, Ustaz Mohamad@Stimat Jusoh dan Ustaz Abdul Latif Mohamad ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dibuang daerah. Pada 10 Julai 1984, tiga pemimpin Dewan Pemuda PAS telah ditahan ISA, diikuti oleh pengharaman himpunan politik di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu mulai awal Ogos 1984. Pada 18 Julai 1984, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menubuhkan Tabung Jihad untuk mengumpulkan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa ISA ini.

Disusun oleh : Arkib PAS

Tiada ulasan: