20 Julai 2016

20 Julai 1969: PAS Menyokong Dasar Mageran Dalam Menstabilkan Keadaan Politik Negara

Pada hari ini dalam tahun 1969, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah menyokong dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perikatan menerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran) dalam usaha menstabilkan keadaan politik negera selepas berlakunya Tragedi 13 Mei 1969. PAS mengambil langkah negarawan untuk kepentingan nasional selepas tragedi politik perkauman yang hampir memusnahkan negara yang baru sembilan tahun ditubuhkan ini. Jawatankuasa Kerja Agung PAS mengambil pendirian "menyokong langkah-langkah yang diambil oleh Mageran dalam segala usahanya bagi memulihkan undang-undang dan peraturan serta mengembalikan keamanan dan keharmonian..."

Tragedi 13 Mei 1969 tercetus selepas Pilihan Raya Umum Ketiga pada 10 Mei 1969 di mana Perikatan hanya memenangi 66 daripada 103 kerusi Parlimen di Semenanjung dan parti-parti pembangkang bukan Melayu mendapat 25 kerusi (DAP 13, Gerakan 8 dan PPP 4). Perikatan juga kehilangan Kerajaan Pulau Pinang kepada Gerakan, selain tidak dapat membentuk kerajaan di Selangor dan Perak. Dalam suasana ini, DAP dan Gerakan telah merayakan kemenangan mereka dengan mengadakan perarakan-perarakan di bandar, yang kemudiannya bertukar menjadi sesi penghinaan dan membangkitkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu. Akibatnya, tercetus rusuhan kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969 yang membunuh 196 nyawa di seluruh negara. Atas sebab itu, pada 15 Mei 1969, Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan darurat yang menyebabkan seluruh kegiatan politik digantung dan pada 17 Mei 1969 ditubuhkan Mageran yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai satu usaha memulihkan kestabilan politik negara, PAS pada 20 Julai 1969 telah mengambil pendirian-pendirian berikut untuk menyokong usaha-usaha yang dibuat oleh Mageran, iaitu:

I. Menyokong usaha Mageran memulihkan undang-undang dan mengembalikan keamanan;
II. Menyokong Jabatan Perpaduan Negara yang baru ditubuhkan sebagai mekanisme mewujudkan keharmonian rakyat;
III. Menyeru ahli PAS dan semua rakyat supaya hidup berbaik-baik dan mengusahakan muhibbah;
IV. Menyokong pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mengubati kepincangan ekonomi; dan
V. Menyokong kerajaan dalam melaksanakan dasar pelajaran kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar tunggal.

Selain menyokong langkah-langkah yang diambil oleh Mageran ini, PAS pada 25 November 1969 telah bersetuju menyertai Majlis Perundingan dan juga Jawatankuasa Muhibbah Negara yang ditubuhkan oleh Mageran di bawah Peraturan-peraturan Perlu semasa darurat. PAS menghantar Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (Pemangku Timbalan Yang Dipertua Agung PAS) dan Abdul Aziz Abdullah (peguam PAS) menyertai Majlis Perundingan bersama Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda yang dilantik atas kapasiti Menteri Besar Kelantan. Manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Mohd Taha Kalu dilantik mewakili PAS menduduki Jawatankuasa Muhibbah Negara. Kesan daripada pendirian PAS pada 20 Julai 1969 ini, ia telah memudahkan usaha Mageran untuk memulihkan keamanan dan akhirnya pada 1 September 1970, larangan berpolitik ditarik semula.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: