10 Januari 2011

Gaji Pertama Sebagai Juruaudit

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah memilih Azhar Noriza Zainuddin (Chartered Accountants) sebagai majikan saya ke arah meraih gaji pertama seorang graduan. Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan pengalaman menjalani latihan industri di dalam bahagian pengauditan sebelum ini, saya telah ditempatkan oleh majikan saya di Jabatan yang sama, iaitu pengauditan, dengan taraf sebagai seorang ‘Associate’.

Juruaudit : Suatu Cabaran Buat Graduan Perakaunan

Kerjaya juruaudit jarang dipilih oleh mana-mana rakan saya yang mengimpikan gaji besar dan keselesaan bekerja. Kebiasaannya, kerjaya ini adalah pilihan terakhir bagi mana-mana graduan perakaunan yang memerlukan gaji dan bantuan kewangan sesegera mungkin. Termasuk juga saya, keperluan Baitul Muslim saya dan Nur Hazirah dengan gaji pertama mendesak saya menerima kerjaya ini sebagai satu pilihan pada peringkat awal.

Ramai antara rakan-rakan saya lebih gemar menjadi penjawat awam dan pegawai perbankan. Tidak dinafikan, seorang penjawat awam bakal memperolehi manfaat pesaraan yang lebih baik dan keselesaan bekerja (walaupun gajinya pada peringkat awal tidaklah terlalu tinggi), manakala pegawai perbankan juga bakal ditawarkan gaji pertama dan manfaat pekerja yang agak menarik, kebiasaannya dibayar dalam lingkungan RM2,300 sehingga RM2,500 sebulan (pada masa ini).

Tugas seorang juruaudit tidaklah terlalu sukar sebagaimana dicanang oleh sesetengah rakan senior saya yang pernah terlibat dengan kerja-kerja lapangannya.

Ia bergantung kepada minat dan komitmen yang tinggi, kerana seorang juruaudit bakal 'bermain' dengan masa dan prioriti kerja. Biasanya, kesukaran itu hadir apabila seseorang juruaudit telah hilang pertimbangan terhadap prioriti; tidak tahu akaun syarikat manakah yang perlu didahulukan untuk diaudit, atau akaun syarikat yang manakah bakal memberi impak yang negatif sekiranya laporan kewangan beraudit lewat dihantar. Ini tidak termasuk isu-isu yang sering timbul di dalam surat pengurusan yang kebiasaannya perlu dibangkitkan setiap tahun kewangan.

Rungutan rakan-rakan praktikal saya di Abd Halim KP Tan & Co. (Chartered Accountants) sering saya dengari suatu ketika dahulu tentang kesukaran bekerja di dalam bidang pengauditan ini. Bagi mereka, pengauditan memerlukan kajian terperinci mengenai risiko-risiko yang bakal dihadapi oleh sesuatu syarikat. Satu justifikasi (seingat saya) yang menunjukkan kesukaran memahami pengauditan adalah seperti berikut:

Bagi memudahkan kefahaman para pembaca, saya berikan satu contoh perbandingan di antara pendapat orang awam dan pendapat seorang juruaudit syarikat (khususnya di dalam pengurusan kewangan):

Syarikat ABC Sdn. Bhd. mempunyai tunai di tangan sebanyak RM100,000. Tunai tersebut disimpan di dalam sebuah peti besi khas di dalam pejabat Akauntan syarikat.

Bagi pandangan orang kebanyakan, tunai di tangan menunjukkan kehebatan dan kemewahan sesebuah syarikat atas kebolehan sesebuah Syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan yang sewajarnya di masa hadapan menggunakan tunai yang dipegang. Akan tetapi, bagi pandangan seorang juruaudit:

1. Tunai di tangan yang terlalu banyak menyebabkan kerugian dan menunjukkan ketidakcekapan sesebuah syarikat dalam menguruskan kewangan. Kewangan yang berlebihan sepatutnya boleh digunakan bagi tujuan pelaburan, di mana ia boleh menghasilkan sedikit pendapatan pasif dalam jangka masa tertentu. Ia juga bakal mengundang risiko keselamatan, biarpun ia berada di dalam sebuah peti besi khas yang telah disediakan oleh Syarikat; dan

2. Tunai di tangan yang terlalu banyak juga memungkinkan kesalahan merekod transaksi perakaunan yang berkait dengan pendapatan sesuatu syarikat.

Berbeza bukan? Ya, inilah yang pandangan sebenar yang harus dizahirkan oleh seorang juruaudit. Seorang juruaudit sesebuah Syarikat itu bukan sekadar mencari kesalahan semata-mata (sebagaimana pandangan kebanyakan orang-orang awam), tetapi memastikan apa yang direkodkan oleh pihak yang terlibat di dalam pengendalian kewanganberada di dalam keadaan benar dan mempunyai kesaksamaan (true and fairview). Kesaksamaan yang dijangkakan adalah untuk memastikan mereka yang terlibat di dalam pengurusan kewangan tersebut telah melaksanakan perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada Syarikat dengan sehabis baik.

KESIMPULAN

Walau apapun, peluang yang diberikan oleh majikan saya untuk mendalami ilmu perakaunan ini (khususnya pengauditan) akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Kesukaran itu satu cabaran bagi saya, seorang graduan muslim yang memahami bahawa pekerjaan itu satu Ibadah jika niatnya kerana Allah Ta’ala. Apatah lagi jika tujuan mendapatkan gaji pertama adalah membina rumah tangga.

Doakan saya agar menjadi seorang Akauntan Muslim bertaraf Haraki, Insha Allah.