01 Januari 2012

Mutaba'ah Amal : Sistem Pengurusan Ibadah Muslim

Mutaba’ah Amal adalah satu sistem penghitungan amal ibadah seseorang Muslim yang telah direncanakan dalam tempoh tertentu. Kebiasaannya, bulan Ramadhan Al-Mubarak dipilih sebagai tempoh pelaksanaan.

Istilah ‘Mutaba’ah’ diambil daripada perkataan ta-ba-’a. Kata ini memiliki beberapa pengertian. Di antaranya adalah “ta-tab-ba-’a” yang membawa maksud ‘mengikuti’, dan ia juga dikenali dengan ‘ra-qa-ba’ yang bermaksud ‘mengawasi’. Pendek kata, Mutaba’ah Amal bererti pengikutan amal ibadah selari dengan kehendak Nabi SAW dan pengawasan amal Islami terhadap batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Dalam erti kata yang lain, ia bertujuan untuk mengikuti dan mengawasi sesebuah ibadah agar berjalan sesuai dengan apa yang direncanakan.

Mutaba’ah Amal merupakan satu perkara yang sangat penting dan perlu dititikberatkan. Ia mampu meningkatkan kefahaman ibadah seorang Muslim serta mendekatkan lagi diri kita kepada Maha Pencipta. Walau sesibuk mana pun kita sehari-hari, menjadi tanggungjawab kita untuk terus berusaha menyusun masa sebaiknya supaya perencanaan yang telah dibuat berjalan dengan lancar dan istiqamah.

MUTABA’AH AMAL MEMBAWA RIYA’?

Sebahagian daripada kita menolak Mutaba’ah Amal atas alasan riya’ (suka menunjuk-nunjuk amal ibadah). Mereka merasakan, pelaporan yang dibuat dalam sistem yang direncana mampu mengubah niat asal sesuatu ibadah, yakni tidak kepada Allah Ta’ala, walhal, setiap ibadah yang dijalankan sememangnya untuk Tuhan Yang Esa kerana tiada tuhan lain yang disembah melainkan Allah semata-mata.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabatnya: “Siapa di antara kalian yang hari ini berpuasa?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini menziarahi orang mati?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini memberi makan orang miskin?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Rasulullah SAW bertanya lagi: “Siapa di antara kalian yang hari ini menjenguk orang sakit?”. Abu Bakar r.a. menjawab: “Saya.”. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda:
Tidak berkumpul hal-hal ini di dalam diri seseorang kecuali dia akan masuk syurga.
[Hadith di atas diriwayatkan oleh Muslim (1/421-422 dan 2/382) dan Al Bukhari di dalam kitabnya, Al Adabul Mufrad (halaman 157) dari sanad Marwan, iaitu Al Fazari, dari Yazid, iaitu Ibnu Kaisan, dari Abu Hazim Al Asyja’I, dari Abu Hurairah. Al Albani di dalam kitabnya juga,As-Silisilatush Shahiihah (1/133) juga ada menyebutkan bahawa hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Asakir di dalam Taarikh-nya (juz 9/288/I) dari jalan itu.]

Apakah dengan menjawab pertanyaan-pertanyaan Rasulullah SAW itu bererti Abu Bakar r.a. telah riya’? Tentu sekali tidak, apatah lagi bila hadith yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tidak mempunyai unsur-unsur teguran terhadap Abu Bakar r.a. atas pengakuannya terhadap amal ibadah yang dilakukan beliau. Beliau hanya sekadar menjawab pertanyaan-pertanyaan itu, dan tidak bermaksud riya’ dengannya.

Demikian pula, kita tidak riya’ hanya kerana kita menjawab pertanyaan-pertanyaan di dalam Mutaba’ah Amal kerana sistem ini diadakan tidak dengan maksud agar kita bersifat riya’, melainkan agar dapat diketahui, apakah kita dengan baik telah menjalankan program-program yang telah direncanakan. Sekiranya masih ada unsur-unsur riya’ dalam melaksanakan perencanaan ini (apabila menjawab pertanyaan-pertanyaan Mutaba’ah Amal), tidaklah seharusnya seseorang itu menyalahkan sistem yang tidak bernafsu ini, tetapi yakinilah bahawa ia datang daripada sikap seorang muslim itu sendiri.

KESIMPULAN

Jika diteliti hadith yang dibicarakan di atas, hadith itu sememangnya bukan mengenai perencanaan Mutaba’ah Amal secara langsung dari Rasulullah SAW terhadap para sahabat baginda r.a, tetapi, ia lebih kepada ajaran baginda SAW bahawa hal-hal itu dapat menjadikan mereka sebahagian daripada ahli syurga. Akan tetapi, di dalam hadith tersebut telah terdapat sebuah dalil bahawa, menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang amal-amal ‘ibadah sebagaimana di dalam Mutaba’ah Amal tidaklah bererti riya’ sebagaimana yang dipercayai oleh sesetengah muslim.

Sebagaimana ia sebagai salah satu konsep pengurusan Ibadah, Mutaba’ah Amal sememangnya adalah satu keperluan penting setiap Muslim. Ini adalah kerana tanpa Mutaba’ah Amal, pengurusan amal ibadah seharian mungkin tidak sempurna dan konsisten. Padahal di dalam kaedah fiqh ada dikatakan,
“Apa yang tanpanya sesuatu yang wajib tidak sempurna, (maka hukumnya) adalah wajib.”
Kesempurnaan fungsi-fungsi pengurusan amal adalah bergantung kepada perencanaan, pengorganisasian, kepemimpinan, dan pengendalian ibadah itu sendiri. Oleh itu, saya meyakini bahawa Mutaba’ah Amal adalah sistem pengendalian ibadah seharian yang efisien setakat ini bagi golongan Muslim temporari, insha Allah.

------------------
Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah berkesempatan merencanakan sistem Mutaba'ah Amal tersendiri dan interaktif menggunakan Microsoft Excel, boleh membuat penilaian secara bulanan dengan sistem graf dan peratusan. Sesiapa yang menginginkannya, sila hubungi saya melalui ruangan komen.

Tiada ulasan: