Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa terdapat berberapa ciri-ciri prinsip sesuatu gerakan Islam. Diantaranya adalah:
1. Gerakan Yang Bersifat Rabbaniyyah (Ketuhanan)
Harakah Islamiyah adalah bersifat Rabbani kerana keseluruhan konsep,
hukum-hakam, akhlak, tata-tusila dan pemikirannya adalah bersumber
dari agama Allah yang kekal abadi dan risalah yang terakhir. Harakah
Islamiyah adalah satu gerakan menyeru manusia kepada Allah bukannya
kepada kepentingan para petugas di dalamnya atau orang-orang yang
memikul tanggungjawab.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
(Surah Al-An'am 6: Ayat 162)
Harakah Islamiyah bukanlah sebuah organisasi sebagaimana sebuah parti
politik biasa pada masa sekarang. Harakah Islamiyah juga bukanlah
sebuah organisasi yang menjadi tempat perebutan kuasa untuk menjadi
pemimpin bagi mencapai tujuan-tujuan atau kepentingan peribadi
sebagaimana yang berlaku dalam organisasi-organisasi lain pada hari ini.
Tetapi yang lebih penting dalam Harakah Islamiyah ialah pemimpin
atasan atau orang besar terlebih dahulu mematuhi syariat Allah sebelum
diikuti oleh para pengikut bawahan dan anggota biasa.
2. Gerakan Yang Bersifat Tersendiri
Harakah Islamiyah bersifat tersendiri dengan maksud kelahirannya di
tengah-tengah (umat Islam), (di atas dasar kesedaran mereka sendiri)
bukan diimpot atau ditiru dari timur mahupun dari barat sebagaimana
lahirnya organisasi dan persatuan-persatuan yang lain. Ini adalah kerana
dakwah kita (yang dibawa oleh Harakah Islamiyah) adalah dakwah
kepada Allah manakala perasaan berhajat kepada agama pula merupakan
satu ciri yang sangat kuat bagi umat ini.
Melalui cara inilah juga umat
Islam dikenali untuk jangka waktu yang amat penting. Umat Islam di
zaman akhir ini tidaklah dapat diperbaiki melainkan oleh sesuatu yang
telah memperbaiki dan memperelokkan umat Islam sebelumnya, iaitu
ajaran Islam itu sendiri.
3. Gerakan Bersifat Tajdid (Pembawa Kemajuan)
Dengan segala kendungan bawaannya sama ada dari sudut akidah,
syariat dan pandangannya terhadap 'alam, manusia dan kehidupan
menjadikan Harakah Islamiyah gerakan yang paling cekap dan paling
mampu untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia dan kehidupan
dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia yang bersifat
serba lemah dan serba kekurangan. Namun demikian kemajuan dalam Islam bukanlah sebagaimana yang
dikehendaki dan difahami oleh golongan yang mendakwakan diri sebagai
pejuang kemajuan, kerana kemajuan mengikut pengertian golongan ini
adalah palsu lagi merosakkan, kemajuan yang terlepas dari ikatan akhlak
dan kesusilaan yang luhur.
Kemajuan dalam Islam dalam erti kata yang
sebenar ialah kemajuan dalam memurnikan perasaan manusia, pemikiran
mereka dan akhlak mereka, kemajuan dalam memperdalamkan ilmu
pengetahuan dan menerokai atau menyingkap rahsia-rahsia di sebalik
kejadian alam yang agung ini, yang bukan bertujuan semata-mata untuk
menciptakan satu pencapaian baru dalam bidang ilmu. Tetapi tujuan
sebenar kemajuan tersebut ialah demi untuk demi untuk menambahkan
lagi makrifat manusia terhadap kebesaran, keindahan, kekuatan dan
keagungan Allah, Tuhan Semesta Alam ini.
Kemajuan dalam Islam menyuruh manusia supaya mengambil segala
alat-alat ciptaan sesuai dengan penerimaan 'akal-fikiran dengan syarat
barang-barang tersebut hendaklah digunakan kepada perkara-perkara
yang membawa kebaikan kepada umum.
4. Gerakan Yang Syumul
Harakah Islamiyah mestilah gerakan yang syumul dengan pengertian
dakwah dan usaha kerjanya tidaklah dibataskan untuk memperbaiki satu
sudut atau sudut-sudut tertentu sahaja dari kehidupan ini, dengan
membiarkan sudut-sudut yang lain kerana sifat-sifat keIslaman Harakah
Islamiyah itu sendiri menunjukkan kesempurnaan dan kesyumulannya.
Oleh yang demikian gerakannya adalah dakwah salafiyyah kerana ia
menyeru manusia supaya kembali berpegang kepada sumber Islam yang
asli iaitu Al-Qur'an dan Sunnah rasulullah s.a.w.
Ia juga adalah dakwah dan tarikat sunnah kerana ia bekerja
menghidupkan sunnah yang mulia di dalam kehidupan individu dan
masyarakat.
Ia juga adalah dakwah yang mempunyai ikatan Rabbaniah (Rabitah
Rabbaniah) kerana ia yakin bahawa asas kebaikan itu ialah kebersihan
jiwa, kesucian hati dan adanya ikatan hubungan yang mantap dengan
Allah s.w.t.
Ia juga merupakan Harakah Siasah (politik) kerana ia bekerja serta
bertanggungjawab kepada urusan umat Islam disetiap bidang.
5. Harakah Yang Menjauhi Perselisihan Masalah Fekah
Harakah Islamiyah meyakini bahawa perbezaan dalam perkara-perkara cabang
(furu'iyyah) dalam bidang fekah, adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
Oleh yang demikian Harakah Islamiyah berusaha menyeru umat Islam supaya
bersatu di atas dasar-dasar pokok (usul) ajaran Islam serta kaedah-kaedah yang
telah disepakati.
Berhubung dengan pendirian ini Al-Imam Hasan Al-Banna Rahimahullah
merumuskan:
"Kita bukanlah sebuah parti politik, sekalipun politik (siasah) yang berasaskan
kaedah-kaedah Islam adalah intisari fikrah kita. Kita bukanlah pertubuhan
kebajikan sekalipun amal kebajikan dan khairat adalah di antara tujuan gerakan kita yang sangat besar. Kita juga bukan perkumpulan riadah sekalipun riadah atau rekreasi dan riadah ruhiyyah adalah di antara wasilah-wasilah yang kita
amalkan.
Kita bukanlah sebuah jama'ah dalam pengertian seperti pertubuhan-pertubuhan
tersebut kerana kelahiran pertubuhan tersebut adalah untuk matlamat-matlamat
tertentu dan untuk jangka waktu yang tertentu pula. Boleh jadi pertubuhan-pertubuhan
berkenaan ditubuhkan semata-mata kerana ingin mengadakan
persatuan dan cita-cita inginkan gelaran dan kedudukan dalam pentadbiran dan
organisasi tersebut.
Tetapi perjuangan kita adalah perjuangan yang berdasarkan fikrah dan 'akidah,
nizam dan manhaj yang tidak membataskan tujuan dan matlamat hanya kepada
bangsa tertentu dan kawasan atau wilayah tertentu sahaja.
Perjuangan kita tidak
akan berhenti dengan penyelesaian masalah tertentu malah ia akan berterusan
hingga ke hari Kiamat kerana Islam adalah sistem ciptaan Tuhan alam semesta
ini dan manhaj Rasul-Nya yang paling dipercayai.
Kita menyatakan kepada manusia secara tidak bermegah-megah bahawa kita
adalah para pengikut angkatan sahabat Rasulullah s.a.w yang menjadi pembawa
panji-panji Islam selepas kewafatan Baginda s.a.w.
Kita adalah angkatan yang
menjulang kembali bendera Rasulullah s.a.w sebagaimana para sahabat r.a telah
melakukannya. Kita akan menyiarkan dakwah baginda sebagaimana yang telah
disiarkan oleh mereka. Kita akan memelihara kandungan kitab suci Al-Quran
sebagaimana para sahabat telah memeliharanya. Kita adalah pembawa berita
gembira melalui dakwah baginda sebagaimana para sahabat telah
melakukannya dan ia akan menjadi rahmat ke seluruh alam. Anda pasti akan
mengetahui perkhabaran-perkhabarannya dalam sedikit masa lagi."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan