05 Januari 2009

Saya Mestilah Dapat Menguasai Diri!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan 3 golongan manusia yang berada di dalam pertarungan menghadapi nafsu, seperti berikut:

1. Golongan yang tunduk kepada hawa nafsu mereka

Mereka ini adalah orang-orang kafir dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai nikmat Allah Ta'ala, lalu Allah juga membiarkan mereka. (Rujuk Surah Al-Jathiyah: Ayat 23)

2. Golongan yang bermujahadah dan bertarung menentang nafsunya

Mereka in kadangkala mencapai kemenangan, dan adakalanya mereka juga kecundang. Apabila mereka melakukan kesalahan, mereka segera bertaubat. Apabila mereka melakukan kesalahan, mereka segera sedar dan menyesal serta memohon keampunan Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Ali Imran: Ayat 135)

3. Golongan yang terpelihara daripada kejahatan nafsunya (maksum) 

Golongan ini hanya merujuk kepada golongan Nabi dan Rasul yang terpelihara daripada melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala.

'SENDI-SENDI' MUJAHADAH

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan juga telah meletakkan hati dan akal sebagai sendi-sendi kekuatan dalam memerangi nafsu:

Sendi kekuatan pertama: HATI (Al-Qulb)

Hati akan menjadi benteng yang paling kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu bersih, hidup dan sentiasa mengingati Allah Ta'ala, Allah menyukai hati-hati seperti ini. Saidina Ali k.w.j pernah berkata:
"Hati seorang mukmin itu bersih, terdapat padanya pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam dan berpenyakit."
Allah menggambarkan hati orang mukmin di dalam Al-Quran, mafhumnya:
"Orang-orang yang beriman itu (yang sempurna Imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya), gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka Ayat-Ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah imannya..."
(Surah Al-Anfal: Ayat 2)
Allah juga menggambarkan hati orang kafir di dalam Al-Quran, mafhumnya:
"Kerana keadaan yang sebenar (adalah) bukanlah mata (di kepala) yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada..."
(Surah Al-Hajj: Ayat 46)
Sendi kekuatan kedua: AKAL (Al-Aqal)

Akal adalah (ciptaan Allah) yang dapat melihat, mempunyai daya memahami sesuatu, mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu kefahaman dari ilmu-ilmunya, kelak ilmu itu akan digunakan untuk menghampirkan diri dengan Allah Ta'ala. 

Firman Allah Ta'ala, mafhumnya:
"Sesungguhnya orang yang bimbang (takut melanggar perintah) dengan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya adalah ulama' (orang-orang yang berilmu)..." 
(Surah Al-Fatir: Ayat 28)
Oleh kerana akal mempunyai nilai yang tinggi, maka Islam menganjurkan agar akal diisi dengan ilmu dan makrifat serta mendalami segala urusan keagamaan agar dapat memandu segala tindakan dan mampu membezakan antara Hak dan Batil.

TANDA-TANDA JIWA YANG TEWAS

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan juga telah menjelaskan 2 tanda-tanda jiwa yang tewas dengan nafsunya seperti berikut:

1. Apabila mereka melakukan kejahatan

Syaitan akan menjadi teman karibnya apabila benteng dan kekuatan Iman manusia runtuh. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
"Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhanku) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat untuk menghalangi mereka (menghasut supaya membuat kerosakan) daripada mengikuti jalan yang lurus. Kemudian aku datangi dari belakang mereka dan dari kiri dan kanan mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakannya yang bersyukur."
(Surah Al-Anfal: Ayat 16-17)
2. Apabila mereka merasa was-was terhadap pilihan mereka

Syaitan akan membuatkan manusia ragu-ragu akan pilihannya sama ada mereka perlu melakukan kebaikan itu ataupun tidak. Ini adalah di antara penyakit yang berbahaya apabila hati mula melupai Allah Ta'ala.

Rasulullah S.A.W. bersabda, yang bermaksud:
"Sesungguhnya syaitan itu menghasut anak Adam dengan berbagai cara. Lalu (pertamanya) ia akan menghasut melalui jalan agama Islam itu sendiri dengan berkata: "Apakah kamu menganut Islam dan meninggalkan agamamu dan nenek-moyangmu?". Anak Adam enggan mengikutnya dan tetap berpegang dengan Islam....... Kemudian Rasulullah bersabda: Maka sesiapa yang bersikap demikian, kemudian ia mati, maka adalah hak Allah Ta'ala untuk memasukkannya ke dalam Syurga."
(Hadith riwayat An-Nasai)
'PINTU-PINTU' SYAITAN & CARA MENGHALANGI

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa syaitan menghasut manusia melalui 10 pintu (seperti berikut) dan terdapat berberapa cara untuk menghalangnya. Di antaranya adalah:

1. Buruk Sangka (Su'u Dzon) : Hadapilah ia dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada. 

2. Cintakan Dunia (Hubbu Dunya) : Hadapilah ia dengan perasaan takut (ingat) terhadap maut yang datang pada waktu itu.

3. Cintakan Kemewahan (Hubbu Mal) : Hadapilah ia dengan keyakinan bahawa nikmat itu membahayakan (membawa kepada kelalaian) dan akan hilang (tidak kekal).

4. Bangga Dengan Diri ('Ujub) : Hadapilah ia dengan rasa terhutang budi pada Allah Ta'ala. 

5. Memandang Rendah Terhadap Orang Lain : Hadapilah ia dengan mengenali hak-hak mereka serta menghormati mereka secara wajar.

6. Dengki (Hasad) : Hadapilah ia dengan sifat berpada-pada (qana'ah) dan redha terhadap apa yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala.

7. Suka Menunjuk-nunjuk Kebaikan (Riya') : Hadapilah ia dengan melakukan sesuatu itu dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala.

8. Kedekut (Bakhil) : Hadapilah ia dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk itu tidak kekal, yang kekal hanya Allah Ta'ala.

9. Sombong (Takabbur) : Hadapilah ia dengan rasa tawadhu' kepada Allah Ta'ala.

10. Tamak : Hadapilah ia dengan mempercayai bahawa ganjaran daripada Allah adalah lebih baik dari segala-galanya. 

Diantara cara-cara lain untuk dijadikan sebagai 'kubu pertahanan' bagi menghadapi tipu daya syaitan adalah seperti berikut:

1. Jangan terlalu kenyang apabila makan dan minum walaupun daripada makanan dan minuman yang halal dan baik (Rujuk Surah Al-A'raaf: Ayat 31)

2. Membaca Al-Quran, berzikir mengingati Allah Ta'ala dan memohon keampunan-Nya. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Dunya)

3. Tidak tergesa-gesa dalam sesuatu pekerjaan (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Abi shaibah, Abu Ya'la dan Al-Baihaqi)

KESIMPULAN

Dikisahkan oleh Wahab bin Munabbih bahawa sesungguhnya Nabi Allah Zakaria a.s pernah bertemu iblis. Baginda bertanya:
"Ceritakan kepadaku tabiat manusia menurut pendapat kamu?"
Iblis berkata:
"Pertama, golongan itu adalah seperti kamu (maksum). Kedua, golongan yang berada dalam genggaman kami seperti bola di tangan anak-anak kamu. Mereka menyerah diri bulat-bulat kepada kami (kafir). Ketiga, golongan yang sangat sukar kami perdayakan. Apabila kami berjaya, mereka segera sedar dan memohon keampunan Allah Ta'ala"
Moga kita menjadi hamba-hamba Allah yang soleh.

Tiada ulasan: