02 Januari 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut 'Ibadah!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 7 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut ibadah, seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu memastikan agar ibadahnya mempunyai hubungan dengan Allah Ta'ala (bersifat ihsan).

2. Setiap Muslim itu melakukan ibadah dengan penuh khusyuk, sehingga memperolehi kemanisan beribadah dan mendatangkan kekuatan untuk melakukan ibadah secara berterusan.

3. Setiap Muslim itu melakukan ibadah dalam keadaan hati yang merasai kehadiran Allah Ta'ala, dengan melupakan hal-hal keduniaan yang menyibukkan.

4. Setiap Muslim itu beribadat dalam keinginan untuk menambahnya dari semasa ke semasa kerana merasai ketidakcukupan amal ibadah untuk menghadap Allah Ta'ala. Oleh kerana itu, setiap Muslim akan menghampirkan diri dengan melakukan ibadah sunat.

5. Setiap Muslim itu mengambil berat terhadap ibadah Qiamullail dan memastikan ia menjadi suatu kebiasaan.

6. Setiap Muslim itu meluangkan waktu-waktu tertentu untuk membaca Al-Quran dengan mentadabbur maksud dan pengajaran terutamanya di waktu Dhuha.

7. Setiap Muslim itu menjadikan doa sebagai perantaraan dirinya dengan Allah Ta'ala di dalam urusan kehidupan. Untuk itu, doa-doa yang ma'thur dari Rasulullah S.A.W. haruslah dijadikan sebagai pilihan utama.

RINGKASAN

1. Ibadahnya bersifat ihsan.
2. Ibadahnya bersifat 'manis' sehingga rasa ingin mengulanginya.
3. Ibadahnya bersifat khusyuk sehingga lupa akan hal-hal keduniaan.
4. Merasai keperluan menambah amal ibadah yang tidak cukup untuk menghadap Allah.
5. Mengambil berat terhadap Qiamullail agar terbiasa.
6. Meluangkan waktu tertentu untuk Al-Quran.
7. Menjadikan doa sebagai perantaraan antara diri dan Allah dalam kehidupan.

KESIMPULAN

Ibadah adalah kemuncak kepada kepatuhan dan kerendahan diri Muslim kepada Allah Ta'ala. Ibadah juga adalah kemuncak dalam merasai keagungan Tuhan yang disembah. Tujuannya satu, untuk medapatkan Redha Allah Ta'ala di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan: