04 Januari 2009

Saya Mestilah Muslim Terhadap Ahli Keluarga Saya!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menyatakan keperluan menjadi seorang muslim terhadap ahli keluarganya. Ini bertepatan dengan kaedah para mujtahid, di mana kejayaan sesuatu penubuhan daulah Islamiyyah, atau antara cara meninggikan syiar Islam di atas muka bumi Allah ini adalah melalui peranan BAITUL MUSLIM itu sendiri.

SEBELUM PERKAHWINAN

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan menggariskan 5 tanggungjawab sebelum berumahtangga sebagai syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam terhadap ahli keluarganya seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu memastikan bahawa perkahwinannya kerana Allah Ta'ala. Dalam erti kata yang lain, tujuan perkahwinan itu adalah untuk membina Baitul Muslim, melahirkan zuriat yang soleh dan menjadi keluarga yang sentiasa melaksanakan perintah Allah Ta'ala secara berterusan.

2. Setiap Muslim itu memastikan bahawa tujuan perkahwinannya adalah untuk memelihara pandangan dan kemaluan dari melakukan maksiat serta bertakwa kepada Allah Ta'ala. (Rujuk Hadith riwayat Tirmizi)

3. Setiap Muslim itu memilih bakal isteri yang terbaik untuk menjadi teman kehidupan dan perjuangan. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Majah dan riwayat Abu Mansur Ad-Dailami sepertimana di dalam Musnad Firdaus)

4. Setiap Muslim itu memilih bakal isteri yang baik akhlak dan pegangan agamanya walaupun tidak cantik dan tidak berharta. (Rujuk Hadith riwayat Ibnu Majah)

5. Setiap Muslim itu berhati-hati dalam menguruskan pra-perkahwinannya (sebelum berkahwin) agar tidak menyalahi perintah Allah kerana takut dengan kemurkaan-Nya. (Rujuk Hadith Abu Nuaim)

SELEPAS PERKAHWINAN

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan juga telah menggariskan 3 tanggungjawab selepas berumahtangga sebagai syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam terhadap ahli keluarganya seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu berbuat baik terhadap isterinya dan memuliakan isteri dalam hubungan serta saling percaya-mempercayai di antara satu sama lain. (Rujuk Hadith riwayat Tirmizi daripada Aisyah)

2. Setiap Muslim itu tidak menjadikan isterinya sekadar tempat melepaskan syahwat, tetapi perlu kepada menjalinkan kebersamaan dalam ibadah dan kesefahaman yang berpanjangan dalam pemikiran dan kasih sayang. (Rujuk Surah Toha: Ayat 132)

3. Setiap Muslim itu akan memastikan hubungan suami isteri tidak melanggari batas-batas Syariat sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Islam.

PENDIDIKAN ANAK (TARBIYYATUL AULAD)

Selain itu, Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan juga telah menyatakan bahawa perkara yang menjamin kepada pendidikan anak-anak secara Islam adalah dengan melihat kepada pelaksanaan perkahwinan antara ibu dan bapanya sama ada mengikut Syariat ataupun tidak. 

Ini adalah kerana, hakikat sebuah Baitul Muslim adalah untuk membina generasi yang soleh. Allah Ta'ala berfirman, mafhumnya:
"Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu adalah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: " Wahai Tuhan kami, berilah (kepada) kami daripada isteri-isteri kami dan zuriat-zuriat kami (sebagai) penyejuk mata dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang bertakwa."
 (Surah Al-Furqan: Ayat 74)
KESIMPULAN

Tujuan sesuatu perkahwinan itu biasanya tertumpu kepada zuriat dan keturunan yang dilahirkan. Anak-anak itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah. Ia akan menjadi seorang yang soleh sekiranya menerima didikan yang baik. Sebaliknya, jika ia dididik dalam suasana yang terpesong daripada Syariat Islam, ia akan jadi sebaliknya. Oleh sebab itu, Rasulullah sangat memandang berat terhadap kepentingan pendidikan anak-anak.

Tiada ulasan: