01 Januari 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akidah!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 19 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut Akidah seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu beriman bahawa pencipta alam itu adalah Allah Ta'ala dan tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Buktinya jelas pada kejadian alam yang penuh dengan keindahan dan keseimbangan. Adalah mustahil bahawa semua kejadian ini akan kekal dan berterusan sekiranya tidak berada di bawah penjagaan Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Al-Anbiya: Ayat 22

2. Setiap Muslim itu beriman bahawa Allah tidak mencipta sesuatu kejadian alam itu secara sia-sia tanpa ada tujuan kerana itu adalah mustahil bagi Allah yang bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan. Adalah mustahil juga bagi kita untuk memahami tujuan Allah secara terperinci melainkan penjelasan dari Rasulullah S.A.W. dan wahyu daripada Allah Ta'ala sendiri. (Rujuk Surah Al-Mukminun: Ayat 115 - 116

3. Setiap Muslim itu beriman bahawa Allah Taa'la telah mengutuskan para Rasul dan Kitab-Kitab dengan tujuan mengajar manusia supaya mengenali Allah Ta'ala dan memahami matlamat dan asal-usul kejadian kita sebagai manusia. Setiap Muslim itu juga beriman bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah Rasulullah yang terakhir dan diutuskan kepadanya Al-Quran sebagai satu mukjizat yang berkekalan. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 36)

4. Setiap Muslim itu beriman bahawa matlamat kejadian manusia adalah untuk mengenali Allah Ta'ala. (Rujuk Surah Az-Zariyat: Ayat 56 - 58)

5. Setiap Muslim itu beriman bahawa ganjaran bagi Mukmin yang taat adalah syurga dan bagi mereka yang kafir adalah neraka. (Rujuk Surah Asy - Syura: Ayat 7)

6. Setiap Muslim itu beriman bahawa setiap manusia itu melakukan kebaikan atau kejahatan dengan pilihan mereka sendiri. Namun, kebaikan itu tidak berlaku melainkan dengan taufik dan hidayah daripada Allah Ta'ala, kejahatan juga tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan Allah jua. (Rujuk Ash - Shams: Ayat 7 - 10)

7. Setiap Muslim itu beriman bahawa urusan penciptaan undang-undang adalah Hak Mutlak Allah Ta'ala dan manusia tidak boleh mendahului dan membelakangkannya. Apa yang dibolehkan adalah apabila para fuqaha' Islam khususnya para Ulama' berijtihad mengeluarkan hukum-hakam daripada nas-nas Syari'at dengan mengikut batas-batas yang diizinkan. (Rujuk Surah Asy-Syura: Ayat 10)

8. Setiap Muslim itu berusaha mengetahui Nama-Nama Allah (Asmaul Husna) dan Sifat-Sifat Allah Taa'la yang layak bagi kemuliaan-Nya. (Rujuk Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

9. Setiap Muslim itu berfikir tentang kehebatan ciptaan Allah Ta'ala, bukan memikirkan tentang Zat Allah sebagaimana yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. (Rujuk Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Nua'im di dalam Al-Halyah atau diriwayatkan oleh Asbahani di dalam Al-Taghrib wal Tarhib)

10. Setiap Muslim itu mengakui bahawa Sifat-Sifat Allah Ta'ala banyak terdapat di dalam Al-Quran yang menceritakan mengenai Kesempurnaan dan Keesaan-Nya. Semua itu tidak tercapai oleh daya pemikiran manusia yang terbatas.

11. Setiap Muslim itu meyakini bahawa pandangan Ulama' Salaf adalah lebih utama untuk diikuti dalam menyelesaikan perbahasan mengenai penta'wilan dan pentha'tilan sesetengah ayat suci Al-Quran. Dalam masa yang sama, pandangan dari Ulama' Khalaf (terkemudian) tidak wajar dijadikan perselisihan sehingga timbul kepada perbalahan antara dua golongan itu.

12. Setiap Muslim itu mengabdikan diri hanya kepada Allah semata-mata dan tidak menyekutu dengan sesuatu yang lain. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 36)

13. Setiap Muslim itu takut hanya kepada Allah Taa'la dan tidak takut kepada yang lain. Takut kepada Allah bermaksud tidak melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah Ta'ala. (Surah An-Nur: Ayat 52, Surah Al-Mulk: Ayat 12)

14. Setiap Muslim itu mengingati Allah dan berzikir menyebut Nama-Nya untuk menjadikan diam seseorang Mukmin itu adalah dalam keadaan berfikir dan bercakap dalam keadaan berzikir. (Rujuk Surah Al-Ra'ad: Ayat 28, Surah Az-Zukhruf: Ayat 36 - 37)

15. Setiap Muslim itu mencintai Allah Ta'ala dengan sebenar-benar cinta sehingga mendorong kepada melakukan amal kebaikan, pengorbanan dan berjihad di Jalan Allah sepanjang masa. Seharusnya tidak ada sesuatupun yang menghalang seseorang Muslim itu daripada mencintai Allah. (Rujuk Surat At-Taubah: Ayat 24)

16. Setiap Muslim itu bertawakkal kepada Allah Ta'ala dalam setiap keadaan dan menyandarkan setiap urusan kepada-Nya. (Rujuk Surah At-Tholaq: Ayat 3)

17. Setiap Muslim itu bersyukur atas nikmat-nikmat yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala. (Rujuk Surah An-Nahl: Ayat 78)

18. Setiap Muslim itu memohon keampunan Allah Ta'ala (beristighfar) untuk membersihkan dosa di samping memperbaharui taubat dan Iman (Rujuk Surah An-Nisa' : Ayat 110)

19. Setiap Muslim itu bermuraqabah (merasai pengawasan) dengan Allah Ta'ala sama ada di dalam keadaan terang mahupun tersembunyi. (Rujuk Surah Al-Mujadalah: Ayat 7)

RINGKASAN

1. Beriman bahawa Allah Maha Pencipta.
2. Beriman bahawa apa yang diciptakan oleh Allah mempunyai tujuan.
3. Beriman bahawa Allah mengutuskan para Rasul dan menurunkan Kitab.
4. Beriman bahawa matlamat penciptaan manusia adalah untuk mengenal Allah.
5. Beriman bahawa ganjaran syurga untuk orang soleh dan neraka bagi mereka yang kufur.
6. Beriman bahawa manusia mempunyai pilihan untuk melakukan kebaikan atau kejahatan dengan izin Allah.
7. Beriman bahawa penetapan undang-undang adalah hak mutlak Allah.
8. Berusaha mengetahui Nama-Nama Allah dan Sifat-Sifat Allah Yang Maha Sempurna.
9. Berfikir tentang kehebatan penciptaan Allah bukan mengenai Zat Allah.
10. Mengetahui bahawa Sifat-Sifat Allah yang Sempurna yang tidak terbatas dengan fikiran manusia terdapat di dalam Al-Quran.
11. Meyakini pandangan Salaf dalam mentafsir sesetengah ayat Al-Quran berbanding Khalaf.
12. Mengabdikan diri pada Allah semata-mata.
13. Takut kepada kemurkaan Allah.
14. Mengingati Allah dan berzikir kepada-Nya.
15. Mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta.
16. Bertawakkal kepada Allah dalam setiap keadaan.
17. Mensyukuri nikmat dan rahmat Allah.
18. Memohon ampun kepada Allah untuk membersihkan diri daripada dosa.
19. Sentiasa bermuraqabah dengan Allah.

KESIMPULAN

Berpegang dengan Aqidah adalah syarat utama bagi sesesorang Muslim. Pegangannya mestilah selari dengan apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan Al-Hadith dan apa yang diimani oleh para Salafus Soleh.

Tiada ulasan: