Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa peringkat keimanan kita haruslah sampai kepada matlamat meng'islam'kan masa hadapan. Ini adalah kerana:
1. Manhaj Islam itu bersifat Rabbaniyyah (Ketuhanan)
Manhaj Islam yang bersifat Rabbani merupakan satu corak penghayatan yang kudus mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia. Ia mampu untuk kekal dan memberikan saham tamaddunnya di setiap zaman, tempat dan peringkat.
2. Manhaj Islam itu bersifat Alamiyyah (Sejagat)
Manhaj Islam yang bersifat sejagat atau universal menyerlahkan ciri-ciri keinsanan dan ciri "infitah" (bersifat terbuka atau kelapangan) serta daya untuk menanggung kemungkinan-kemungkinannya. Ciri "infitah" ini mengatasi pertimbangan kedaerahan, perkauman, kebangsaan dan sebagainya. Cara ini sebenarnya adalah cetusan dari "Sibghah Rabbaniyah" itu sendiri.
3. Manhaj Islam itu bersifat Murunah (Fleksibel)
Keanjalan manhaj hidup Islam (atau fleksibel) memberikannya daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti "Sibghah" atau cara ini memberikan Islam kebolehan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui qias atau maslahah mursalah, Istihsan dan sebagainya.
4. Manhaj Islam itu bersifat Syumuliyyah (menyeluruh)
Ciri manhaj Islam yang menyeluruh membedakannya dengan sebarang manhaj atau sistem hidup duniawi yang mempunyai dimensi matlamat yang terbatas. Manhaj Islam adalah manhaj ciptaan Yang Maha Mengetahui segala masalah manusia, baik atau buruknya. Ia Maha Mengetahui apa yang membahagiakan dan apa pula yang mencelakakan manusia. Sebab itu Islam sahajalah yang mampu memenuhkan keperluan manusia, baik sebagai individu, mahupun sebagai kelompok, baik dalam urusan pimpinan mahupun perundangan. Sama ada dalam urusan dalam negeri mahupun luar negeri.
Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan
juga telah menjelaskan bahawa kita haruslah mengetahui dan menginsafi
kegagalan sistem ciptaan manusia, baik di timur mahupun di barat, sama
ada yang berfahaman kapitalisme, demokrasi, liberal, sosialisme atau
komunisme. Tidak syak lagi, ini adalah kerana keterbatasannya,
kelemahannya, sifat kesementaraannya dan hakikat ia adalah dari ciptaan
insan yang semestinya hina di sisi Allah Taa'la.
Kegagalan Sistem Sosial
Dalam
arena sosial, sistem-sistem yang dipanggil sebagai sistem kanan atau
kiri, telah ternyata gagal untuk memantapkan kebahagiaan, keharmonian
dan kestabilan. Malah terlalu banyak mala petaka yang ditanggung oleh
manusia hasil dari sistem-sistem ini. Ternyata ikatan kekeluargaan
semakin terburai, kasih sayang semakin pudar, akhlak semakin luntur dan
runtuh. Nilai-nilai keutamaan dan keluhuran sudah kehilangan harga.
Ketegangan dan permusuhan mengambil tempat kedamaian dan ketenangan.
Semangategoistik dan mementingkan diri mengalahkan semangat kerjasama
dan mengutamakan orang lain.
Kegagalan Sistem Ekonomi
Dalam
bidang ekonomi, kapitalisme dan sosialisme ternyata gagal dalam
mewujudkan (syura impiannya) atau masyarakat serba adil sebagaimana yang
dilaung-laungkan. Dari sistem ini tercetuslah bermacam-macam krisis dan
permasalahan hidup. Lahir pertarungan kasta, kezaliman sosial,
eksploitasi kepartian, monopoli, kemiskinan, pengangguran dan seribu
satu macam masalah lagi.
Kegagalan Sistem Politik
Dalam
arena politik sistem-sistem ala ketenteraan, Demokrasi, Republik, yang
beraja atau tidak beraja, bertanggungjawab melahirkan, merangsang serta
membiarkan penyelewengan serta kebejatan di setiap peringkat.
Penyalahgunaan kuasa, sikap pilih kasih, rasuah, merasa besar diri
dengan kekuasaan, di samping bencana fitnah, pembunuhan, penggulingan
kuasa silih berganti, pemberontakan, penyingkiran serta bunuh diri
(assasination) hampir-hampir menjadi kelaziman sistem-sistem tersebut.
Kegagalan Sistem Ketenteraan
Dalam
bidang ketenteraan, sistem-sistem ini (banyak menanggung dosa)
mengabaikan nasib masyarakat dan negara Islam yang lemah seperti
persoalan Kashmir, Eriteria, minoriti Islam di Filipina, persoalan
Palestine dan sebagainya. Yang lebih parah dari itu ada pula negeri Arab
yang menjadikan krisis tersebut sebagai daun dalam permainan politiknya
untuk menggadaikan atau mempergunakannya sebagai isu dan untuk menjamin
kekuasaan mereka agar berlarutan. Sistem ini juga bertanggungjawab
terhadap pengabaian membina kekuatan fizikal dan jiwa ummah yang
membolehkan mereka menghadapi penjajahan dan mengusir Israel dari bumi
Palestine.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan