03 Januari 2009

Saya Mestilah Muslim Dari Sudut Akhlak!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan 10 syarat bagi seseorang Muslim itu mesti Islam dari sudut akhlak seperti berikut:

1. Setiap Muslim itu bersifat wara' dari melakukan perkara-perkara syubhat. Wara' bermaksud meninggalkan sesuatu perkara yang tidaklah menjadi satu kesalahan apabila melakukannya, tetapi ia meninggalkan perkara itu kerana sikap berhati-hati dari terjerumus dari melakukan kesalahan.

2. Setiap Muslim itu memelihara penglihatannya dari melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Ta'ala kerana mampu membawa kepada maksiat.

3. Setiap Muslim itu memelihara percakapannya dari menyatakan perkara-perkara maksiat dan tidak berfaedah.

4. Setiap Muslim itu bersifat pemalu dalam setiap keadaan, tetapi tidaklah menghalangnya dari memperkatakan kebenaran.

5. Setiap Muslim itu bersifat sabar dan lemah-lembut dalam menghadapi kesusahan dan musibah yang diterima.

6. Setiap Muslim itu bersifat benar sekalipun kepada diri sendiri kerana takut kepada Allah Ta'ala dan tidak takut kepada celaan manusia.

7. Setiap Muslim itu bersifat rendah diri terhadap saudaranya dan tidak membezakan (dalam memberi layanan) mengikut kedudukan dan pangkat.

8. Setiap Muslim itu menjauhi sangka buruk, mengumpat dan tajassus (mencari-cari keaiban orang lain).

9. Setiap Muslim itu bersifat pemurah dan sanggup mengorbankan jiwa dan hartanya ke jalan Allah Ta'ala.

10. Setiap Muslim itu menjadikan dirinya Qudwah Hasanah (ikutan yang baik) kepada orang ramai kerana dirinya adalah gambaran kepada prinsip dan adab dalam Islam.

RINGKASAN

1. Wara' dari perkara syubhat.
2. Memelihara penglihatan dari maksiat.
3. Memelihara percakapan dari maksiat.
4. Pemalu.
5. Sabar dan lemah-lembut.
6. Benar.
7. Merendah diri.
8. Bersangka baik, tidak mengumpat dan tidak tajassus.
9. Pemurah.
10. Menjadi ikutan yang baik.

KESIMPULAN

Kemuliaan akhlak adalah matlamat utama dalam ajaran Islam. Ia bertepatan dengan keberadaan Rasulullah S.A.W. yang ditugaskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia. Kemuliaan akhlak juga adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah hasil dari keimanannya. Seorang itu tidak dikira beriman dengan sempurna sekiranya tidak berakhlak mulia.

Tiada ulasan: