07 Januari 2009

Saya Mesti Hidup Untuk Islam!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menjelaskan bahawa kita haruslah mengakui bahawa apabila kita beragama Islam, ia bererti bahawa kehidupan kita juga mesti hidup berdasarkan Islam, baik dari segi keyakinan, ibadah mahupun akhlak.

Pengakuan itu memaksa kita wajib hidup untuk memperjuangkannya. Seluruh jiwa raga dan kemampuan kita harus diarahkan untuk memperkuatkan agama dan meluaskan pengaruhnya. Almarhum Ustaz Fathi Yakan juga telah menyatakan bahawa di dalam dunia ini ada tiga kategori manusia:

1. Golongan Yang Hidup Untuk Dunia Sahaja

Golongan ini ialah golongan kebendaan (materialis), samada berdasarkan falsafah mahupun golongan "Dahriyyin". Pandangan Dahriyyin ini dijelaskan oleh Al-Quran sebagaimana firmanNya yang bermaksud: 

“Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati."
(Surah Al-An'aam, Ayat: 29)
Allah Ta’ala juga berfirman: 
“ Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata."
(Surah Al-Jaathiyah, Ayat: 24)
Orang-orang komunis dan rakan-rakan mereka dari golongan sekular atau penganut fahaman existensialism juga beranggapan sedemikian. Dalam satu ulasan yang ditulis oleh Joseph Stalin terhadap pendapat seorang ahli falsafah yang mengatakan: 

"Alam ini tidak dicipta oleh mana-mana Tuhan atau insan. Ia terjadi dengan sendirinya dan akan kekal berterusan sebagaimana adanya. Ia merupakan obor kehidupan yang terus menyala dan akan padam berdasarkan hukum-hakam yang tertentu". 

Lenin menyatakan: "Ini adalah satu analisis yang indah terhadap dialektik materialism". Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku malah seluruh cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang fana ini. Ilmunya pun sekadar itu juga. 

2. Golongan Yang Sesat Antara Dunia dan Akhirat

Mereka ini adalah terdiri dari golongan minoriti, akidah mereka bersimpang siur dan usaha mereka di dunia ini adalah usaha yang sia-sia, tanpa berkat dan restu Allah. Namun mereka menyangka yang mereka telah berbuat baik. Orang ini walaupun percaya pada Allah dan hari Akhirat, namun akidah mereka tidak lebih dari gambaran palsu yang terpisah dan terputus dari realiti kehidupan. Mereka ini pada hakikatnya termasuk dalam golongan yang menganut fahaman kebendaan sekalipun pada zahirnya mereka melakukan sebahagian dari upacara-upacara kerohanian. 

Tepatlah seperti yang dikatakan oleh penyair di dalam sepotong syairnya: 

Kita tempungkan kecacatan dunia kita, 
Dengan mengoyakkan agama kita,
 Akhirnya rosak kedua-duanya, 
Baik dunia mahupun agama.

Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalahnya yang bertajuk "Fi Ayyi Nad'un Nas" (Ke Mana Kita Ingin Menyeru Manusia) menyatakan: 
"Sebenarnya Al-Quran telah menentukan matlamat kehidupan dan tujuan kehidupan manusia ..." 
Ia menerangkan segolongan manusia yang hidup mereka adalah untuk makan minum dan menikmati kelazatan dunia. Firman Allah Taala, yang bermaksud: 
“Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang Nerakalah menjadi tempat tinggal mereka"
(Surah Muhammad, Ayat: 12)
Al-Quran menerangkan adanya segolongan manusia yang tujuan hidup mereka adalah untuk menikmati perhiasan dan bersenang-senang dengan kemewahan, dalam firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anakpinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebunkebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” 
(Surah Ali Imran, Ayat: 14). 

Al-Quran juga menerangkan gelagat segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan, dalam sebuah firman Allah Ta’ala, yang bermaksud:
“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. "
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 204- 205)

Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah s.w.t telah membersihkan orang-orang mukmin daru tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajipan yang tinggi lagi mulia. Tanggungjawab tersebut ialah menunjukkan kebenaran Islam kepada manusia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan menyinarkan seluruh alam ini dengan cahaya Islam.

3. Golongan Yang Menganggap Dunia ini Adalah Ladang Tanaman Untuk Di Akhirat

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup di dunia ini dibandingkan dengan akhirat kerana mereka membenarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? "
(Surah Al-An'aam, Ayat: 32)
Ekoran dari rendahnya nilai dunia jika dibandingkan dengan akhirat maka kehidupan dunia tidaklah sampai menghalang dan menyibukkan mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan oleh Allah. Orang-orang yang benar menggabungkan dirinya dengan Islam menganggap dunia ini sebagai medan untuk mereka berbakti mentaati Allah dan memperolehi keredaan-Nya. Seluruh hidup mereka baik ilmu pengetahuan, perniagaan, harta kekayaan, rumah tangga, masa dan waktu serta pemikiran mereka semuanya dicurahkan untuk tujuan mentaati Allah.

Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan segala kurniaan tersebut demi untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginan syahwat. Kenyataan ini telah dibuktikan dengan sebahagian besar ciptaan-ciptaan (kemajuan) zaman moden ini dan kebanyakan hasil perahan daya fikiran manusia bertujuan untuk menyogokkan kepada manusia kelazatan dan kerehatan jasmaninya bukan bertujuan untuk membangunkan alam sejagat ini dengan nilai-nilai kebaikan, kedamaian dan ketenangan. Kemajuan alat -alat rekaan baru seperti kereta, pesawat, kapal terbang, mesin basuh, peti sejuk, alat-alat solek, perabut rumah, pakaian, alat-alat hiburan malahan ribuan ciptaan yang dioleh kilang perusahaan yang moden dan canggih pada hari ini, semuanya bertujuan memberikan kerehatan, keselesaan kepada hidup manusia.

Dalam konteks ini walaupun Islam sama sekali tidak melarang mengkaji (menyelidik), mencipta dan menghasilkan sesuatu, namun ia haruslah dilakukan dengan syarat:

1. Dengan kadar yang tidak membawa manusia kepada kemudaratan atau bahaya; dan

2. Dalam bentuk yang boleh mendatangkan kebaikan dan kebajikan dalam masyarakat. Ertinya, kerja-kerja tersebut hendaklah diperhatikan dari segi penyesuaiannya dengan syarak dan akhlak.


BAGAIMANA HIDUP UNTUK ISLAM?

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah menggariskan bahawa untuk menjadikan diri ini terarah menurut lunas-lunas Islam, maka beberapa masalah pokok haruslah difahami serta dihayati sebagai satu kewajipan. Contohnya:

i. Mengenai Tujuan Hidup

Iaitu dengan merasai kehadiran Allah Ta'ala di dalam setiap tingkah laku dan mendalami hakikat kejadian kita sebagai manusia adalah sebagai seorang 'Abdu (hamba) yang mempunyai tanggungjawab menyembah dan beribadat kepada Allah Yang Esa. Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."
(Surah Az-Zaariyaat, Ayat: 56)
ii. Menginsafi Nilai Dunia Ini Dibandingkan Dengan Akhirat

Iaitu dengan meneliti hakikat dunia yang tidak kekal dengan seisinya, dan menjiwai bahawa tidak ada yang lebih mahal dan bernilai akan sesuatu harta (andai boleh diperbandingkan) jika ia tidak boleh di bawa ke negeri yang kekal (Akhirat). Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud:
"Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak."
(Surah At-Taubah, Ayat: 38)
iii. Menginsafi Bahawa Maut Pasti Tiba

Iaitu dengan memperingati ajal yang akan datang tidak kira tempat dan masa. Barangsiapa yang mengingati mati dan menyedari bahawa hakikat maut itu tidak mengenal budi pekerti manusia, pasti amal-amal soleh yang dilaksanakan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Mereka mengetahui bahawa semua makhluk akan binasa pada suatu masa. Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud: 
"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan akan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan."
(Surah Ar-Rahmaan, Ayat: 26 - 27)
 iv. Mengetahui Hakikat Islam

Iaitu dengan mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama, dasar-dasar, hukum-hakam, yang halal dan yang haram. Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam di dalam urusan agama".
(Riwayat Tabrani)
v. Mengetahui Hakikat Jahiliah

Iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran jahiliah, aliran-aliran dan perancangannya. Di samping menyingkap akibat-akibat dan keburukannya. Dengan memahami hakikat ini kita tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W : 
"Sesiapa yang mempelajari tentang suatu kaum, (maka) ia terselamat dari rancangan jahat mereka."
(Sebagaimana Hadith Riwayat Tirmizi)

CORAK KEHIDUPAN MUSLIM

Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah memberi contoh berberapa corak hidup seorang Muslim. Antara bentuk dan corak tersebut ialah:

i. Benar-benar Terikat dan Menurut Ajaran Islam

Iman itu bukanlah hanya dengan angan-angan sahaja, tetapi ia adalah suatu yang tertunjang di dalam hati dan dibuktikan oleh perbuatan. Di dalam firman Allah selalu sahaja mengaitkan antara iman dan amal. Di antaranya, yang bermaksud:
“…Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.”
(Surah Al-Asr, Ayat: 3)

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”
(Surah Al-Baqarah, Ayat: 44)

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
(Surah As-Saff, Ayat: 3)
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali berkata:
"Dua lelaki telah memberi musibah ke atas diriku, pertama orang alim yang melanggar larangan agama dan kedua orang jahil yang beribadat. Si jahil memperdayakan orang ramai dengan ibadatnya manakala si alim pula memperdaya orang ramai dengan pelanggaran terhadap agama". 
Rasulullah s.a.w berwasiat kepada seluruh umat Islam supaya berjaya-jaga:
"Jadilah kamu orang-orang yang memelihara ilmu dan janganlah kamu menjadi tukang riwayat".
(Riwayat Abu Nu'aim)
ii. Mengutamakan Kepentingan Islam

Berhubung dengan tuntutan ini, Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Berkisarlah kamu bersama-sama dengan Kitab Allah (untuk kepentingan Islam) di mana kepentingan berkisar-kisar". 
Baginda juga bersabda:
"Sesiapa yang berpagi-pagian tidak mengambil berat perihal orang Islam maka dia bukanlah dari golongan mereka".
iii. Merasa Mulia Dengan Kebenaran Islam dan Yakin Kepada Allah

Ini adalah di antara sifat-sifat orang yang beriman. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman."
(Surah Al-Munafiquun, Ayat:8)
Diriwayatkan pula bahawa ketika orang-orang Islam yang berhijrah mencari perlindungan kerana mempertahankan agama mereka di Habsyah, lalu mereka masuk menghadap raja Najasyi, lantas paderi dan pendeta yang ada di situ meminta mereka sujud untuk menghormati raja. Tetapi Jaafar bin Abi Talib yang menjadi ketua rombongan menjawab: "Kami adalah satu kaum yang tidak sujud kecuali kepada Allah".

Malah di dalam sejarah Islam kita menemui ratusan contoh yang memperlihatkan kemuliaan, ketegasan pendirian dan keberanian yang dirakamkan oleh generasi pertama umat Islam seperti Khubaib bin Adi, Zaid bin Ad-Dathanah, Rub'ie bin Amir, Mus'ab bin Umair, Said bin Jubair, Said bin Al-Musayyab dan lain-lain yang sewajar dipelajari perjalanan hidup mereka untuk dijadikan contoh teladan.

iv. Beriltizam Dengan Kerja-kerja Islam dan Kerjasama Dengan Aktiviti-aktiviti Islam

Apabila kita mengaku sebagai seorang muslim, maka kita wajib bekerja untuk Islam. Kita patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Kita harus bekerja keras untuk mengujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam.

Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Kami akan menguatkan tenaga dan daya usahamu dengan saudaramu (Harun)."
(Surah Al-Qasas, Ayat: 35)
Allah Ta’ala berfirman lagi, yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."
(Surah Al-Maidah, Ayat: 2)
KESIMPULAN

Berdasarkan penerangan di atas, maka jelaslah bahawa tiada tujuan lain yang lebih mulia untuk hidup di muka bumi Allah Ta'ala melainkan untuk satu perkara, iaitu Islam.  

Tiada ulasan: