08 Januari 2009

Saya Mesti Yakin Bahawa Beramal Untuk Islam Adalah Wajib!

Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan berberapa sudut kewajipan beramal dengan Islam. Antaranya adalah:

Pertama: Wajib Dari Sudut Prinsip (Mabda')

Beramal atau bekerja untuk (menegakkan seluruh ajaran) Islam pada prinsipnya adalah wajib kerana beramal atau bekerja adalah sesuatu yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah Ta'ala kepada seluruh umat manusia, didahului oleh para Nabi dan para Rasul kemudian ke atas umat manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat kelak.

Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah Taa’la yang bermaksud: 
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
(Surah Al-Asr, Ayat:1 - 3)

Allah Ta’ala berfirman lagi, yang bermaksud: 
“Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau menyampaikan perutusanNya.”
(Surah Al-Maaidah, Ayat: 67)

Dalam sunnah Rasulullah S.A.W. yang mulia, terdapat riwayat-riwayat yang mempunyai hubungan secara khusus tentang dakwah kepada kebenaran dan menentang kebatilan. 

Di antaranya ialah sabda Rasulullah S.A.W.: 
"Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan - kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi."
(Hadis riwayat Tirmizi)
Sabda baginda yang lain:
"Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Perintahlah (manusia) supaya melakukan perkara-perkara yang makruf (yang baik) dan cegahlah mereka dari melakukan perkara-perkara yang mungkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi."
(Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Kedua: Wajib dari Sudut Hukum

Beramal untuk Islam adalah wajib dilihat dari sudut hukum kerana tidak berjalannya syariat Allah di atas muka bumi dan penguasaan sistem serta undang-undang ciptaan manusia ke atas masyarakat manusia hari ini telah mewajibkan umat Islam bekerja menegakkan masyarakat Islam dan mengembalikan cara hidup Islam. Umat Islam juga wajib bekerja supaya manusia tunduk mengabadikan diri kepada Allah di dalam iktikad keyakinan, akhlak dan sistem hidup mereka berdasarkan dalil dari Al-Quran yang menyebut, maksudnya:
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."
(Surah An-Nisa', Ayat: 65)

Allah Ta’ala berfirman lagi, yang bermaksud:
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)."
(Surah Asy-Syura, Ayat: 10)

Apabila menegakkan masyarakat Islam dan melaksanakan hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah itu hukumnya wajib maka kerja-kerja yang membawa kepada kewujudan masyarakat Islam dan terlaksananya hokum Allah turut menjadi wajib berdasarkan kaedah syarak:

 ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب 
 “Sesuatu perkara yang tidak dapat disempurnakan sesuatu yang wajib melainkan dengannya, maka ia menjadi wajib"

Sebahagian besar dari negara-negara (umat) Islam, kalau pun tidak dapat dikatakan seluruhnya diperintah oleh sistem-sistem ciptaan manusia yang merupakan campur aduk dari sistem undang-undang Rumani, Yunan, Perancis dan sebagainya. Demikian juga sistem ekonomi yang menguasai negara-negara tersebut adalah sistem ekonomi Kapitalisme dan Sosialisme.

Ini adalah penyebab utama yang mendesak umat Islam supaya menyusun gerak-kerja untuk meruntuhkan sistem jahiliah dalam bentuk seperti ini dan kewajipan mengembalikan kehidupan Islam adalah menjadi fardu ain ke atas setiap muslim sehingga kepimpinan dan kekuasaan kembali ke pangkuan Islam.

Selain dari itu masih banyak kewajipan-kewajipan syariah yang perlaksanaan dan amalannya bergantung kepada adanya khalifah atau Imam sedangkan pelantikan Khalifah (Imam) itu sendiri sangat bergantung kepada wujudnya kekuasaan Islam. Oleh itu, seluruh undang-undang yang berkaitan dengan sistem-sistem Islam sama ada di dalam bidang kemasyarakatan, ekonomi, politik malah kesemua undang-undang yang berkadengan hukum, kanun keseksaan, perdamai, peperangan, jihad, gencatan senjata, perjanjian damai, muamalat, kemasyarakatan dan ekonomi, semuanya ini dan sebagainya adalah di antara bidang-bidang Syariat Islam yang tidak mungkin terlaksana kecuali melalui sebuah Negara yang teguh di atas dasar-dasar Islam.

Ketiga: Wajib Dari Sudut Tuntutan (Darurat)

Beramal dan bekerja untuk Islam juga merupakan satu kewajipan jika dilihat dari sudut tuntutan untuk menghadapi cabaran-cabaran zaman kini dan serangan musuh-musuh Islam. Ianya adalah satu kewajipan kerana dengannya dapat menyekat penularan fahaman kebendaan dan ateis (tidak percayakan tuhan) yang berusaha menggugat kewujudan Islam. Sekiranya dilihat dengan pemerhatian yang teliti kepada nasib yang dialami oleh negara-negara umat Islam hari ini maka sudah pasti ia menjadi bukti menguatkan lagi tuntutan tersebut adalah tanggungjawab yang wajib di sisi syariat di mana umat Islam tadi seharusnya berdiam diri dan memandang ringan.

Kita dapati banyak negara-negara (Umat Islam) yang mengadu dan merintih dengan penuh penderitaan kerana dikuasai oleh keserakahan orang-orang bukan Islam (kafir) sebagaimana yang dialami oleh rakyat Palestine, Kashmir, Eitrea, Qibrash, Bukhara, Samarkand dan lain-lain. Manakala beberapa negara lain pula menderita kerana cengkaman kuasa golongan minoriti yang berniat jahat ke atas umat Islam, mereka memerintahkan Umat Islam dengan kekuatan besi dan api. 

Kita dapati juga beberapa bahagian dari negara Umat Islam yang lain mengadu mengenai penderitaan mereka yang disebabkan oleh kekuasaan parti-parti puak kiri (yang terdiri dari sosialis dan komunis) atau puak kanan (yang berkefahaman kapitalis) dalam negara mereka. Begitu juga keadaan hidup di beberapa tempat yang lain yang berada di dalam suasana pertumpahan darah yang hebat hasil dari perebutan kuasa di antara kekuatan puak kiri dan puak kanan. Selain dari hal-hal yang tersebut di atas, sebenarnya betapa perlunya amal Islami sekalipun secara darurat, dari menyahut cabaran-cabaran dari dalam yang berupa kuncu-kuncu, tali barut dan penyokong musuh Islam. 

Firman Allah Taa’la, yang bermaksud:
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata.”
(Surah Al-Anfaal, Ayat: 39)
Keempat: Wajib Secara Individu Mahupun Jemaah

Tanggungjawab beramal dan bekerja untuk Islam dari sudut kewajipan syarak (taklifi) adalah satu tanggungjawab ke atas individu (fardi) sama seperti kewajipan-kewajipan dan tanggungjawab syariat yang lain di mana ganjaran pahala diberikan apabila dilaksanakan tanggungjawab tersebut dan dibalas dengan dosa apabila ia ditinggalkan.

Firman Allah Taa’la, yang bermaksud:
“Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan Neraka Saqar itu?"
(Surah Al-Muddaaththir, Ayat: 27)

Firman Allah Taa’la lagi, yang bermaksud:
“Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri."
(Surah Maryam, Ayat: 95)

Supaya orang lain itu semuanya turut serta dalam kerja-kerjanya membina masyarakat dan memakmurinya iaitu dengan membina kehidupan masyarakat atas dasar kebenaran (Al-Haq) dan memakmurkan dengan kebaikan, maka Islam telah menentukan ke atas setiap orang Islam bertanggungjawab memberikan khidmat dan pengorbanan mereka untuk Islam mengikut batas kemampuan masing-masing, selama mana insan itu berada dalam keadaan baligh, akal yang sihat dan ada kemampuan.

Tiada ulasan: