09 Ogos 2009

PAS: Parti Tarbiyyah, Dakwah & Siyasah

Segala Puji bagi Allah Ta'ala serta Salawat dan Salam kepada Nabi SAW, saya telah berintima' dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) secara rasmi sebagai ahli ke 886,684 pada hari ini. Mungkin ada di antara rakan-rakan saya yang tertanya; Bukankah politik itu sesuatu yang kotor? Bagaimana perjuangan PAS sebenarnya?

Sebelum itu, marilah sama-sama kita berlapang dada dan cuba menyelusuri penulisan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi. Moga ada sedikit manfaat bagi mereka yang cuba mencari kebenaran:

BAGAIMANA PAS MEMPERJUANGKAN ISLAM DI MEDAN POLITIK ?
Oleh : Al-Fadhil Ustaz Nasruddin Hassan At-Tantawi [Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat]

Masih ada mereka yang gagal memahami, bagaimana PAS berjuang sehingga masih kedengaran suara yang mengatakan perjuangan PAS salah, bida'ah, sesat, tidak mengikut sunnah, bercanggah dengan syariat, hanya mementingkan politik, meragukan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS.

Terlebih dahulu saya akui bahawa PAS tidak sunyi daripada kelemahan dan kesilapan sebagai sebuah organisasi yang dipimpin oleh manusia. Namun kesilapan dan kelemahan itu tidaklah membawa PAS terbabas ke ‘gaung dalam’ yang membunuh aqidah dan mencederakan syakhsiyyah sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam .

Sebaliknya kelemahan dan kesilapan yang berlaku, bukan sahaja masih boleh diperbaiki dan disempurnakan tetapi nyata PAS mempunyai cara dan kaedah yang cukup baik untuk terus memantau perjalanan organisasinya agar menepati objektif dan ghayahnya (matlamat). Organisasi PAS juga mempunyai pelbagai medium untuk memastikan segala misi dan visi perjuangannya berjalan berasaskan syara’.

Kepimpinan Ulama’, Jawatan Kuasa Disiplin Parti, Muktamar Tahunan, Majlis Syura Ulama’, Mesyuarat Dewan Harian, Mesyuarat Bulanan, Mesyuarat Khas, Liqa’ Fikri, Tamrin, Mukhayyam, Kuliah Haraki, Usrah Mingguan, Konvensyen PAS Negeri, Ijtimak Pilihanraya, Kuliah Agama dan banyak lagi cara dan kaedah untuk PAS mengawal organisasinya berjalan melandasi syariat Ilahi dan sunnah an Nabawi.

Jika terdapat perbezaan dalam approach atau method perjuangan PAS berbanding kumpulan Islam yang lain, ini tidak bermakna PAS salah dan bercanggah dengan syariat dan sunnah. Secara umumnya, wajar saya tegaskan bahawa PAS bergerak dalam ruang orientasi yang saya pecahkan secara kasar kepada 3 ruang utama iaitu :
  1. Tarbiyyah dan Pengkaderan (pembinaan dan pembentukan);
  2. Dakwah (penerangan); dan
  3. Lapangan Siasah (politik)

Asas Pertama: Tarbiyah dan Pengkaderan

Aset penting yang meletakkan PAS terus istiqamah dan komited dengan perjuangan ialah agenda tarbiyyah dan pengkaderan yang menjadi nadi kepada pergerakkan PAS. Tarbiyah digerak dan diaktifkan untuk membina :
  • Aqidah yang benar berasaskan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah;
  • Fikrah yang syumul sebagaimana syumulnya ajaran Islam itu sendiri;
  • Syakhsiyah yang solehah berasaskan akhlak mahmudah bimbingan Rasulullah S.A.W.

Sementara pengkaderan pula berfungsi untuk membina :
  • Kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa;
  • Organisasi yang mantap dan hebat;
  • Tindakan yang strategik dan berkesan.

Memastikan perkara ini berlaku dalam PAS, Lajnah Tarbiyah dibentuk pada semua peringkat organisasi PAS, bermula dari peringkat Pusat, Negeri, Kawasan bahkan cawangan. Begitu juga di peringkat dewan-dewan seperti Dewan Ulama’, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat turut meletakkan Lajnah Tarbiyah antara Lajnah kanan yang diberi tumpuan utama.

Aktiviti asas bagi melaksanakan cita-cita tarbiyah banyak tertumpu kepada pembentukkan usrah di pelbagai peringkat (kepimpinan atau ahli), tamrin, liqa fikri dan pelbagai program atau aktiviti semasa yang dilihat perlu dari masa ke semasa dengan berbagai wajah yang menghormati kepentingan kepelbagaian approach.

Asas Kedua: Dakwah (Penerangan)

Berlandaskan perintah Allah yang mewajibkan setiap individu muslim menyampai dan menyebarkan Islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat prinsipal sifatnya. Biarpun PAS menghadapi aneka halangan dan ancaman yang menghalang kemaraan dakwah Islam ke tengah masyarakat, dakwah untuk menginsafkan ummah agar kembali kepangkuan Islam serta berjuang mendaulatkannya tetap diteruskan.

Ada dikalangan pemimpin PAS yang dibunuh, dipenjara, dibuang daerah dan dikenakan pelbagai tindakan kerana dakwah mereka. Namun, segalanya tidak menghalang PAS daripada terus melaksanakan amanah besar ini sebagai sebuah Gerakan Islam yang pastinya bertanggungjawab terhadap masa depan ummah.

Tugas dakwah ini digalas oleh semua, dari Presiden hinggalah ahli biasa dengan peranan masing-masing berasaskan keupayaan atau kemahiran mereka malah turut menghormati tahap keupayaan masing-masing.

Maudhu' (kandungan) dakwah PAS sangat jelas, menepati apa yang diajar oleh Allah Taala. Perkara ini dapat dipastikan pada Fasal 6 Perlembagaan PAS. PAS menggariskan usaha-usaha dakwah sebagai aktiviti teras dalam dalam perlembagaannya;
  • Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan; dan
  • Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.
PAS mendekati semua lapisan masyarakat. Bermula dengan masyarakat yang tertindas hinggalah pemimpin yang menindas dan ummat yang lesu hinggalah ulama' yang bisu. Pelbagai pendekatan diketengahkan dalam membawa mesej perjuangan.

Dewan Pemuda PAS membawa pendekatan Pemuda sebagai Duta Kasih Sayang dan Penyelamat. Pendekatan dakwah PAS melengkapi 2 kategori utama :
  • Dakwah Ammah (umum); dan
  • Dakwah Fardiyah (khas)

Dakwah PAS tidak bermusim dan tidak juga tertakluk kepada kepentingan pengaruh individu dan politik. Biarpun nanti selepas tamatnya pilihanraya, PAS tetap meneruskan aktiviti dakwahnya kepada masyarakat, demikian juga sehari selepas dibebaskan dari penjara pimpinan PAS terus melangsungkan dakwahnya. Inilah cita-cita PAS.

Sekalipun dakwah yang dibawa oleh PAS tidak popular malah menerima tentangan sengit daripada pelbagai pihak, PAS tetap menunaikan tanggungjawab dakwahnya dengan memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai peri pentingnya Negara kita melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam itu.

Asas Ketiga : Lapangan Siasah (politik)

Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuklah politik. Mengasingkan politik dari perjuangan Islam ertinya mengurangkan sukatan perjuangan Islam yang telah diperjuangkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

PAS meletakkan politik sebahagian dari tanggungjawab perjuangan yang mesti diperjuangkan. Kini kuasa politik berada ditangan UMNO dan BN yang enggan melaksanakan syariat meskipun berbuih mulut mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam.

PAS berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik dari golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam dan PAS telah berijtihad untuk menggunakan pendekatan aman dan damai tanpa peperangan dan pertumpahan darah, dalam usaha PAS mahu mengambil alih kuasa politik tersebut.

Realiti ini membawa PAS mendaftarkan organisasinya di bawah Pendaftar Pertubuhan dan ia sah untuk bergerak di sisi undang-undang Negara waktu ini. Semua orang boleh mengakui bahawa Islam tidak boleh dilaksanakan tanpa kuasa politik. Justeru itu, penglibatan di bidang politik (siasah) adalah kewajipan besar untuk kembali mengangkat Islam ini ke tempat yang selayaknya sebagai agama suci.

KESIMPULAN

Saya tidak nampak alasan yang munasabah bagi pihak yang menolak dan meragui hala tuju perjuangan PAS. Mereka barangkali boleh untuk tidak menyertai PAS, tetapi untuk mereka menolak dan menafikan perjuangan PAS adalah suatu yang sangat tidak adil.

Kelemahan dan kesilapan boleh diperbaiki jika ada. Menolak dan menafikan atau meragui perjuangan sucinya memerlukan alasan yang konkrit dan dalil yang pasti, bukan beralaskan emosi dan sentimen perbezaan ideologi. Saya selalu menegaskan kepada umum, jika terdapat suatu yang dilakukan oleh PAS bercanggah dengan syariat dan sunnah, sila nyatakan! Jika ia berbentuk dakwaan, sila kemukakan bukti!

Kita mencari kebenaran. Andai benar atau ada PAS melakukan perkara yang bercanggah dengan syariat atau terkeluar dari manhaj perjuangan Islam sehingga menimbulkan keraguan, saya dan seluruh ahli PAS yang ikhlas terhadap perjuangan pasti akan menyanggahinya. Namun begitu, janganlah tuduhan melulu tanpa lampiran bukti, dakwaan palsu tanpa kepastian dalil dan emosi berprasangka tanpa berlaku adil.