Di dalam Kitab Maza Yakni Intima' Lil Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Al-Marhum Ustaz Fathi Yakan telah meletakkan berberapa ciri khusus Harakah Islamiyah. Diantaranya adalah seperti berikut:
1. Menjauhi Pengaruh Pemerintahan dan Ahli-ahli Politik
Adalah menjadi kebiasaan bahawa sebahagian dari anggota Harakah Islamiyah adalah terdiri dari pegawai pemerintah dan ahli-ahli politik. Dengan keanggotaan seperti ini mestilah dijaga supaya Harakah Islamiyah tidak diperalat dan diperdagang oleh dua golongan di atas, agar ia kekal dengan sifat bersih, benar dan ikhlas dalam perjuangan.
2. Beransur-ansur Dalam Setiap Gerak Langkah
Harakah Islamiyah mestilah beransur-ansur dalam gerak kerjanya kerana ia menyedari bahawa jalan yang akan dilalui adalah hebat dan jauh manakala matlamatnya pula adalah besar dan mulia. Sebenarnya beransur-ansur di dalam langkah-langkah kerja dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja tertentu mengikut keperluan akan membawa jama'ah kepada matlamat sebagaimana yang dikehendaki.
Al-Imam Hassan Al-Banna telah menetapkan bahawa dakwah ini mempunyai tiga marhalah iaitu:
a. Marhalah Ta'rif (Pengenalan)
Marhalah ini dimulakan dengan menyiarkan fikrah secara umum tentang Islam kepada orang ramai. Cara yang dijalankan diperingkat ini ialah dengan menimbulkan kesedaran, memberi pengajaran, mendirikan institusi yang memberi faedah dan lain-lain cara yang praktikal.
b. Marhalah At-Takwin (Pembentukan)
Marhalah ini dilaksanakan dengan cara memilih anasir-anasir yang baik (dari marhalah pertama) dan sanggup untuk memikul beban jihad dengan cara menggembleng tenaga mereka dalam kerja-kerja dakwah. Susunan kerja dakwah dalam marhalah ini adalah bersifat kesufian dari sudut kerohanian dan bersifat ketenteraan dari sudut gerak kerja.
Dakwah pada peringkat ini tidak dapat dilaksanakan kecuali oleh orang yang benar-benar mempunyai kesediaan untuk memikul bebanan jihad yang berat dan memakan waktu yang amat panjang. Persediaan paling awal di peringkat ini ialah "Ketaatan yang tidak berbelah bagi" (kepada perjuangan Islam).
c. Marhalah At-Tanfiz (Perlaksanaan)
Dakwah pada peringkat ini adalah jihad yang tidak mengenal penat lelah dan kerehatan malah amal yang tidak mengenal putus asa demi mencapai matlamat yang diperjuangkan. Ujian dan cabaran tidak dapat dihadapi melainkan oleh orang-orang yang benar keimanannya. Kejayaan di peringkat ini tidak akan dapat dicapai kecuali dengan cara memberi ketaatan yang sempurna dan mutlak.
3. Mengutamakan Kerja dan Hasil Dari Propaganda
Sebenarnya Harakah Islamiyah mengambil pendirian demikian adalah kerana beberapa perkara yang di antaranya ialah:
a. Ajaran Islam itu sendiri menyebut soal amal ini secara khusus kerana takut (khuatir) kalau-kalau amal berkenaan diresapi oleh sifat riya' yang akibatnya membawa kepada kebinasaan kepada amal yang dilakukan.
b. Adalah menjadi tabiat amal Islami, di mana ia tidaklah berlandaskan propaganda yang berlebihan dan tidak pula membangkitkan semangat yang tidak dihiasi dengan amal.
c. Harakah Islamiyah tidak membuang tenaga dan masa kecuali kepada kerja-kerja yang membawa hasil dan pembinaan.
d. Islam juga mewajibkan supaya Harakah Islamiyah dan anggotanya melaksanakan kerja-kerja Islam secara berstrategi. Pernah suatu ketika dahulu, sewaktu umat Islam berada di dalam kesulitan dan memerlukan kerahsiaan, Rasulullah S.A.W bersabda:
"Mintalah pertolongan dalam melaksanakan hajat-hajat kamu dengan (cara) rahsia".
4. Siasah Nafas Panjang
Tanggungjawab yang besar dan berat yang dibebankan ke atas bahu para petugas di medan dakwah membuktikan betapa perjalanan dakwah ini adalah panjang dan jauh, gerak kerjanya terlalu sukar dan jihadnya adalah sengit. Oleh itu mereka yang mengikuti jalan ini wajib mempunyai persediaan untuk menghadapi segala bentuk kekerasan, kesukaran dan pengorbanan.
Allah
Berfirman, yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-'Ankabut 29: Ayat 2-3)
Orang-orang yang menggabungkan diri dengan Harakah Islamiyah mestilah berpegang teguh kepada siasah nafas panjang, supaya dengan cara ini dakwah ke jalan Allah dapat dilakukan dengan pandangan yang jelas dan dengan niat menuntut keredaan Allah s.w.t. Mereka tidak akan mundur di tengah perjalanan dan tidak tergesa-gesa hendak merasai hasil kerja sebelum tiba waktunya. Ini semua tidak akan berlaku kecuali setelah mereka memahami bahawa kerajaan Islam adalah wasilah untuk mencapai matlamat perjuangan.
Kalaulah sekiranya mereka berjaya melaksanakan pemerintahan Islam, mereka bersyukur kepada Allah. Jika mereka tidak berjaya, tidak pula berputus asa, tidak kecewa dan tidak akan merasa takut. Dengan usaha kerja tersebut bermakna mereka telah
menunaikan amanah dan telah melaksanakan kewajipan dakwah, firman Allah, yang bermaksud:
"Dan kemenangan itu hanya dari Allah".
(Surah Al-Anfal 8: ayat 10)
Boleh jadi ada orang berkata: "Bagaimanakah keadaannya dengan parti-parti politik yang bertindak secara kotor dan menjadi talibarut penjajah telah berjaya menubuhkan kerajaan dan mendapat kekuasaan di sana-sini dalam waktu yang begitu singkat dengan cara yang begitu mudah?"
Untuk menjawab persoalan tersebut kita mengatakan bahawa kedua-dua jalan (jalan perjuangan Islam dan jalan parti-parti politik) itu adalah berbeza kerana Harakah Islamiyah tidak akan sampai kepada matlamatnya kecuali dengan cara yang berbeza dan bersih. Sekiranya anda rela ditunggangi oleh kekuatan seperti ini atau diperalat oleh penjajah atau yang seumpamanya anda akan mencapai tujuan seperti yang mereka sampai.
5. Amal: Terus-terang dan Tanzim Rahsia
Seterusnya beramal untuk Islam tidak sepatutnya dijadikan sebagai suatu rahsia yang dijalankan oleh para pendakwah di belakang tabir, semata-mata kerana takut mereka ditangkap atau menganggap apa ymereka lakukan sebagai satu hikmah atau maslahah. Ini adalah kerana seruan Islam mestilah dilakukan secara lantang dan kalimah kebenaran mestilah diucapkan kerana orang yang berdiam diri dari memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu.
Rasulullah s.a.w memperingatkan:
"Barangsiapa dari kalangan kamu melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangan, jika ia tidak mampu maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya, jika ia tidak mampu cegahlah dengan hatinya. Jika demikian itu adalah selemah-lemah iman".
(Hadith riwayat Muslim)
Oleh yang demikian seorang pendakwah itu mestilah memperkatakan tentang kalimah kebenaran di mana saja ia bekerja dan di mana saja beliau berada, sama ada kebenaran itu disuarakannya melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui perkataan yang mampu beliau ucapkan atau melalui tulisan yang mampu beliau sebarkan sebagaimana yang diperintahkan oleh
Allah, yang bermaksud:
"Serulah (semua manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmat dan pengajaran yang baik".
(Surah Al-Nahl 16: Ayat 125)
Namun demikian kenyataan di atas tidaklah bermakna Harakah Islamiyah perlu mendedahkan segala perkara seperti taktik (khittah) dan penyusunan (tanzim).
Secara mutlak dapatlah dikatakan bahawa pendedahan seperti ini tidaklah membawa apa-apa kebaikan bahkan perbuatan demikian menunjukkan kejahilan tentang Islam itu sendiri dan ini adalah mendedahkan harakah dan anggotanya kepada tipu daya jahat dan penyeksaan oleh musuh-musuh Islam.
Kaedah yang mesti menjadi pegangan dalam hal ini ialah "Amal secara terus terang dan kerahsiaan tanzim". Ini berdasarkan amal yang ditujukan oleh
Rasulullah s.a.w di dalam sabdanya:
"Mintalah pertolongan dalam memenuhi hajat kamu (dengan cara) rahsia".
Sabdanya lagi:
"Peperangan itu adalah tipu daya".
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Pengasingan Jiwa Bukan Jasad
Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan tentang Uzlah Syu'uriyyah (pengasingan jiwa) yang diutarakan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di mana beliau berkata:
"Sesungguhnya menjadi satu kemestian supaya wujud satu barisan hadapan yang berazam mencapai cita-cita ini, terus mara di jalan ini, mara terus dalam menghancurkan jahiliyyah yang bermaharajalela di serata pelusuk bumi, mara terus dalam usaha mengasingkan jiwa dari satu sudut di samping mengadakan hubungan (jasadiyah) dengan jahiliyyah di sudut yang lain.”
Pengertian Uzlah yang dimaksudkan oleh Al-Syahid Sayyid Qutb di sini ialah 'uzlah syu'uriyyah' (pengasingan jiwa) dari dikotori atau dijangkiti oleh noda-noda masyarakat jahiliyyah, memisahkan jiwa dengan cara merasai ketinggian iman di samping terus mara dalam gerak kerja menghapuskan jahiliyyah dengan mendedahkan kepalsuan, mencabar kebatilan, terus berkorban dan berjihad tanpa takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela.
'Uzlah di sini adalah bermakna perbezaan, yakni perbezaan di antara golongan yang beriman dengan golongan yang kufur, perbezaan dari sudut pemikiran dan pandangan, perbezaan dari sudut akhlak dan tatasusila hidup, perbezaan dari sudut perasaan dan kepekaan. Inilah bentuk 'uzlah yang diseru oleh Islam dan inilah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam banyak hadis.
Antaranya yang bermaksud:
"Jadilah kamu orang yang kuat daya ciumannya di kalangan manusia".
Sabda Rasulullah s.a.w lagi, maksudnya:
"Jangan seseorang dari kamu menjadi orang yang tidak punya pendirian dengan berkata: "Aku bersama orang ramai, jika sekiranya mereka berbuat baik aku pun berbuat baik, jika mereka melakukan kejahatan akupun turut melakukan kejahatan...tetapi hendaklah kamu menetapkan pendirian kamu, maka jika sekiranya manusia berbuat baik, maka hendaklah kamu berbuat baik, tetapi jika mereka berbuat jahat maka hendaklah kamu menjauhkan diri dari berbuat jahat terhadap mereka".
(Hadith riwayat Tirmizi)
Inilah pengertian 'uzlah yang dimaksudkan manakala dari sudut gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah tidak ada 'uzlah sama sekali dan tidak ada pengasingan diri. Sekiranya berlaku pengasingan diri nescaya terhentilah gerak kerja, harakah, pergaulan dan dakwah. Dan ingatlah para petugas amal Islami hari ini berhadapan dengan berbagai kumpulan dan golongan manusia. Oleh itu mereka tidak harus berpegang kepada satu hukum atau satu cara sahaja dalam pergaulan dengan mereka.
Setiap petugas Amal Islami juga haruslah menyedari beberapa jenis manusia yang perlu dihadapi oleh seoran pendakwah. Diantaranya adalah :
1. Di kalangan orang ramai terdapat orang-orang yang telah beriman dan telah berpegang teguh dengan hukum-hakam Islam dalam kehidupan peribadi tetapi tidak melaksanakan kewajipan-kewajipan amal haraki (dalam sebuah jama'ah). Dalam hal ini para pendakwah tidak boleh menyamakan mereka dengan orang atau golongan lain.
2. Selain dari golongan di atas terdapat orang-orang yang menganut agama dan berbangga dengan Islam dalam keadaan mereka sendiri jahil. Mereka ini tidak berpegang dengan hukum-hakam Islam dan mereka ini adalah golongan umat Islam yang terbesar pada hari ini. Para pendakwah tidak seharusnya menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan orang-orang kafir.
3. Ada pula dari kalangan manusia yang menjadi musuh ketat kepada Islam, mereka ini memusuhi Allah dan rasulNya sama ada secara peribadi atau bersama dalam parti-parti politik atau pemimpin-pemimpin kerajaan.
Sikap dan pendirian para pendakwah terhadap golongan di atas semestinya berbeza di antara satu sama lain.
Perbezaan ini adalah atas perkiraan dekat atau jauhnya mereka dengan Islam, sejajar dengan penerimaan dan penolakan mereka terhadap Islam, yakni bergantung kepada sikap kepatuhan atau permusuhan mereka terhadap Islam.
Ada di kalangan mereka perlu diberi bimbingan dan asuhan, ada pula yang perlu diberi kesedaran dan ilmu pengetahuan tentang Islam, ada juga yang tidak boleh dihadapi kecuali dengan pedang sementara golongan yang lain pula menjadi penyakit yang sangat berbahaya.
Kesemua ini menuntut para pendakwah mempunyai hubungan yang mendalam dan meluas dengan masyarakat, kerana masyarakat adalah bumi tempat mereka beramal dan berjihad.
7. Matlamat Tidak Menghalalkan Cara
Kuman-kuman kerosakan yang dibawa oleh aliran-aliran pemikiran dan sistemsistem yang bukan Islam iaitu teori Micheaveli (yang berpegang kepada kaedah matlamat menghalalkan cara) atau dengan kata lain mengutamakan diri sendiri dengan cara melanggar prinsip-prinsip dan teori-teori yang mereka sendiri laungkan dan serukan.
Berapa banyak dari doktrin dan keyakinan aliran pemikiran Micheaveli ini yang telah terkeluar dari landasannya apabila cuba dilaksanakan secara praktikal sama ada di peringkat pemerintahan ataupun di dalam peringkat perlaksanaan sistem parlimen.
Pada hakikatnya aliran-aliran pemikiran ini tidak dapat menentukan untuk dirinya dan para penganutnya satu keyakinan yang dapat memelihara mereka dari melakukan penyelewengan dan sikap pura-pura. Mereka tidak membezakan sifat-sifat ini dengan apa yang mengambil tempat dalam kancah pertarungan politik dan pemikiran, mereka juga tidak dapat membezakan secara jelas dalam tindak tanduk ahli-ahli politik tradisional dan para pemimpin akidah.
Oleh yang demikian maslahah atau kepentingan rakyat telah berubah menjadi kepentingan parti. Kepentingan parti pula bertukar menjadi kepentingan peribadi bagi pemimpin-pemimpin parti.
Oleh yang demikian isu-isu yang berhubung dengan persoalan umat telah menjadi kertas kerja-kertas kerja yang membawa keuntungan, menjadi barang yang diperdagangkan, bolah ditawar-menawar di pasaran. Musuh di masa lampau, kini menjadi teman rapat, temanteman rapat hari ini esoknya menjadi musuh ketat. Beginilah keadaannya hinggalah ideologi atau fahaman-fahaman ini tidak membawa sebarang erti lagi, yang tinggal hanayalah nama, slogan-slogan yang dusta lagi palsu.
Inilah keadaan yang berlaku dalam kancah perebutan kuasa dan ideologiideologi ciptaan manusia dan pertarungan inilah yang menjelaskan dan mendedahkan rahsia pergolakan yang tersembunyi dalam ideologi-ideologi tersebut dan inilah sebab yang membolehkannya berkembang dan mendapat kekuasaan dalam masa yang singkat.
Pada hakikatnya ideologi-ideologi ini tidaklah terikat dengan akidah dan akhlak dalam erti kata yang sebenarnya malah ia juga tidak mempunyai sikap dan pendirian yang jelas. Yang ada pada mereka hanyalah strategi yang digunakan untuk menindas yang lain dan pertarungan yang sengit untuk mendapat ruang mempergunakan keadaan-keadaan tertentu dan memperniagakan persoalan-persoalan umat walaupun dengan harga yang murah, sekalipun terpaksa mengorbankan ummah itu sendiri atau bangsa seluruhnya.
Tetapi apa yang berlaku dalam Islam dan apa yang diandaikan berlaku adalah berbeza sama-sekali dengan apa yang berlaku dalam ideologi-ideologi tersebut kerana Harakah Islamiyah tidak memisahkan dalam tindakan mereka di antara matlamat dan cara mencapainya, sama ada dari kewajipan syarak, akidah mahupun akhlak.
Para petugas yang bekerja untuk Islam pula tidak bekerja kerana kepentingan diri atau menurut keinginan mereka sendiri, malahan mereka terikat dengan panduan-panduan tertentu, terikat dengan tuntutan akidah dan akhlak. Mereka sendiri tidak boleh melepaskan diri dari tuntutan-tuntutan tersebut atau bertindak merobohnya.