31 Mac 2016

31 Mac 2000 : PAS Haramkan Premis Judi Sebagai Agenda Laksana Syariat Islam Di Terengganu

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2000, Kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menguatkuasakan pengharaman judi dengan menamatkan semua lesen premis perjudian di seluruh Negeri Terengganu. PAS telah menguasai Negeri Terengganu setelah mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999 melalui gabungan Barisan Alternatif (BA) yang turut dianggotai oleh PKN, DAP dan PRM. Pada 30 November 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu telah diangkat sebagai Menteri Besar.

Dalam Manifesto PAS Terengganu yang bertajuk 'Membangun Mengikut Islam,' PAS telah menggariskan lapan tawaran penting, antaranya:

I. Mentadbir kerajaan berdasarkan al-Quran dan Sunnah;
II. Mengamalkan konsep syura dalam pentadbiran;
III. Mendaulatkan Darul Iman dengan Islam sebagai ad-Diin;
IV. Mewujudkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum tanpa diskriminasi;
V. Mewujudkan kerajaan yang bersih tanpa rasuah, ketidakadilan, diskriminasi dan salah guna kuasa;
VI. Menutup semua kegiatan haram termasuk perjudian dan mengawal minuman keras;
VII. Menangani masalah sosial; dan
VIII. Membangunkan sumber manusia sebagai asas pembangunan.

Bagi menjayakan lapan tawaran ini, Kerajaan PAS Terengganu telah meletakkan dua prinsip penting dalam pentadbiran iaitu pentadbiran berasaskan al-Quran dan Sunnah serta mengamalkan konsep syura dalam pentadbiran dan pengurusan. Antara pembaharuan yang dibuat dalam mencapai sasaran tersebut ialah mewujudkan pasukan pentadbiran dan pengurusan terbaik, menubuhkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), melantik ADUN wanita dan bukan Islam, waktu kerja lima hari seminggu, cuti bersalin 90 hari, mengukuhkan Amanah Saham Darul Iman (ASDI), perlindungan wanita dan orang bukan Islam dan lain-lain.

Dalam konteks penguatkuasaan syariat secara khusus, Kerajaan PAS Terengganu telah memperkasakan peranan masjid, mengukuhkan pentadbiran zakat, menghapuskan rasuah dan memastikan sumber kewangan halal, menubuhkan hisbah, inovasi pendidikan melalui menubuhkan pelbagai institusi pendidikan integrasi, mengawal jualan arak, mewujudkan Tabung Darul Iman (TDI), menubuhkan halal hub, menggubal undang-undang jenayah syariah dan lain-lain. Antara langkah terpenting dalam perlaksanaan syariat ini ialah keputusan Kerajaan PAS Terengganu untuk menamatkan semua lesen premis judi di seluruh Terengganu mulai 31 Mac 2000 yang sekali gus menjadikan judi adalah aktiviti haram di negeri tersebut.

30 Mac 2016

30 Mac 1962 : Mesyuarat Agung Khas Pinda Undang-undang Tubuh Bagi Perkasakan PAS Dipersetujui

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1962, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 bagi membolehkan satu pindaan ke atas Undang-undang Tubuh PAS 1955 dibuat bagi memperkasakan PAS selepas negara mencapai kemerdekaan. Sejak Undang-undang Tubuh PAS didaftarkan dengan kerajaan pada 31 Mei 1955, ia telah tiga kali dipinda oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS iaitu pada 26-28 Disember 1955 berkaitan disiplin parti untuk menghalang ahli PAS menjadi ahli parti lain serentak; pada 24-25 Ogos 1957 yang menetapkan pemilihan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibuat dua tahun sekali; dan pada 25-27 Disember 1958 yang mengubah nama PAS.

Pada 26-28 September 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah memperkasakan PAS dan mengarahkan Prof Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS untuk menyediakan sebuah kertas kerja yang "boleh memberi nafas baru kepada perjuangan PAS." Dalam kertas yang dirangka pada 26 September 1961 bertajuk "Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)," Prof Zulkifli telah mencadangkan pelbagai bentuk susunan semula PAS, termasuk meminda undang-undang tubuhnya. Bagi tujuan pindaan undang-undang tubuh ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Mac 1962 telah bersetuju diadakan satu Mesyuarat Agung Khas.

Prof Zulkifli mencadangkan beberapa perubahan untuk memperkemaskan pernyataan dasar, tujuan dan usaha-usaha yang menjadi perkara pokok dalam perlembagaannya. Antara cadangan penting Prof Zulkifli ialah supaya PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam, selain perubahan struktur organisasi dan mesyuarat agung.

Antara cadangan perubahan yang diterima dalam Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 ialah:

I. Mewujudkan raison d'être (Muqaddimah) sebagai penegasan tujuan PAS;
II. Memasukkan 'Qias' sebagai sumber hukum selain al-Quran, Sunnah dan Ijmak yang sekali gus meletakkan PAS sebagai gerakan Ahli Sunnah wal Jamaah;
III. Menukar cogan kata PAS dari 'Merdeka' kepada 'Allahu Akbar';
IV. Menetapkan lapan tujuan PAS dengan sasaran utama untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang melaksanakan hukum Allah dan seluruh pegangan dan pandangan hidup Islam. Inilah kali pertama PAS menyatakan secara jelas tujuannya untuk mewujudkan pemerintahan Islam;
V. Memberi kuasa kepada Yang Dipertua Agung PAS untuk melantik Bendahari Agung sebagai mana melantik Setiausaha Agung; dan
VI. Organisasi PAS di peringkat Cawangan (sekarang Kawasan) dan Negeri disusun semula seperti mewujudkan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri menggantikan Pesuruhjaya PAS Daerah dan menghapuskan Dewan Ulamak PAS Cawangan, di mana Dewan Ulamak PAS hanya wujud di peringkat Pusat dan Negeri sahaja.

Cadangan yang asalnya telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3-5 Disember 1961 ini telah gagal dibawa ke Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 kerana masalah korum. Ia kemudian dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 - 2 Januari 1963 dan diluluskan.

29 Mac 2016

29 Mac 1982 : Spekulasi Bakal Pemimpin PAS Berakhir Ekoran Anwar Sertai UMNO

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1982, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Anwar Ibrahim telah mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno dalam rangka 'membersihkan Umno dari dalam.' Dengan penyertaannya Anwar ke dalam Umno ini, ia telah menamatkan spekulasi bahawa Anwar adalah bakal Yang Dipertua Agung PAS selepas Dato' Mohd Asri Haji Muda. Semenjak krisis politik di Kelantan pada 1977 yang membawa kepada kekalahan PAS di Kelantan, Anwar selaku Presiden ABIM disebut-sebut sebagai layak memimpin PAS.

Anwar yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Kampung Cheruk Tokkun, Bukit Mertajam adalah lulusan Universiti Malaya pada 1971. Semasa bergelar mahasiswa, beliau telah memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), sebelum memimpin ABIM selama 10 tahun mulai 1972. Selain mengasaskan Yayasan Anda, Anwar juga adalah Presiden Majlis Beliau Malaysia (MBM) yang ditahan ISA pada 1974 selama dua tahun kerana demonstrasi isu kemiskinan Baling. Beliau yang menolak tawaran untuk dilantik sebagai wakil Malaysia dalam United Nation Council of Youth juga adalah pemimpin World Assembly of Muslim Youth (WAMY) mewakili rantau Asia-Pasifik.

Penglibatan Anwar dengan ABIM yang dilihat pro PAS pada 1970-an telah menyebabkan ahli-ahli PAS menganggap beliau sebagai 'Pemimpin al-Kahfi' yang disebut-sebut akan menyertai dan memimpin PAS. Dalam Pilihan Raya Umum 1978 selepas kekalahan Kelantan, Anwar bersama ABIM telah berkempen membantu PAS. Tokoh Gerakan Islam Indonesia, Pak Natsir yang menyifatkan 'PAS lesu darah' telah mengarahkan ABIM melakukan 'blood transfer' untuk mengukuhkan PAS. Beberapa tokoh ABIM seperti Ustaz Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad, Ustaz Yahya Othman, Syed Ibrahim Abdul Rahman dan lain-lain telah menyertai PAS dan bergiat aktif dalam kepemimpinan PAS. Bahkan, telah tersebar cerita tawaran Dato' Mohd Asri bahawa beliau bersedia untuk berundur untuk memberi laluan kepada Anwar untuk memimpin PAS.

Penulis terkenal, Subky Latif ketika menulis buku 'Siapa Ganti Asri' telah menamakan Anwar sebagai calon paling layak mengambil alih kepemimpinan PAS. Bahkan, akhbar The Straits Times Singapura pada 3 September 1980 turut menamakan Anwar sebagai tokoh yang layak mengetuai PAS selepas krisis politik Kelantan. Disebarkan kenyataan Anwar bahawa ABIM menggalakkan ahli-ahlinya memilih berjuang mengikut corak politik Islam, pada Ogos 1980, Pengerusi DAP, Dr Chen Man Hin turut membuat ramalan bahawa Anwar akan menjadi pemimpin utama PAS.

Namun begitu, seluruh spekulasi dan ramalan tersebut telah berakhir apabila Anwar mengumumkan penyertaannya beliau ke dalam Umno pada 29 Mac 1982 sebagai 'ijtihad perbadi' kerana "kagum dan yakin dengan pentadbiran dan corak perjuangan Dr Mahathir." Penglibatan Anwar dalam Umno selama 16 tahun untuk "membaiki dari dalam" telah berakhir apabila beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Meteri pada 2 September 1998 kerana dituduh oleh Umno terlibat dengan skandal seks liwat sejak dalam Perhimpunan Agung Umno 1997 lagi.

28 Mac 2016

28 Mac 2009 : PAS Serah Memo Kepada Yang Dipertuan Agong Halang Najib Dilantik Sebagai Perdana Menteri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2009, PAS telah menyertai parti-parti Pakatan Rakyat (PR) untuk mengemukakan satu memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah untuk memohon menangguhkan perlantikan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta kesemua 70 orang Ahli Parlimen PR telah mengemukakan permohonan ini kepada Istana Negara.

Populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Haji Abdullah Ahmad Badawi yang terjejas teruk ekoran kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum 2008 telah mengumumkan perletakan jawatannya dan akan mengadap Tuanku Sultan Mizan pada 2 April 2009 untuk memaklumkan hal tersebut. Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah yang menjadi Perdana Menteri sejak 2003.

PAS bersama-sama parti-parti pembangkang berpandangan bahawa Datuk Seri Mohd Najib tidak wajar diberikan peluang menjadi Perdana Menteri kerana namanya telah terpalit dengan beberapa skandal besar yang masih belum dibersihkan. Antara isu-isu besar yang dikaitkan dengan beliau ialah isu pembelian kapal selam Scorpone dari Perancis di mana dikatakan berlaku penyelewengan dalam pembayaran komisyennya. Malaysia juga dikejutkan oleh berita pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibu yang dikaitkan secara langsung dengan nama beliau dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor. Atas asas ini, PAS melihat perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri perlu ditangguhkan sehingga sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk menyiasat semua dakwaan tersebut.

Di samping itu juga, tersebar khabar angin bahawa satu usul undi tidak percaya akan dibuat terhadap di Parlimen jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. Ekoran dari khabar angin tersebut, Datuk Seri Abdullah dalam ulasannya selepas Perhimpunan Agung Umno pada 29 Mac 2009 menjelaskan hal tersebut sebagai tidak perlu. Namun begitu, di sebalik desakan pembangkang supaya Datuk Seri Mohd Najib disiasat di atas semua tuduhan tersebut, pada 3 April 2009, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kemudiannya dilingkari oleh pelbagai skandal seperti 1MDB, wang sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadi dan juga pelbagai krisis dalaman Umno.

27 Mac 2016

27 Mac 2015 : DAP Sabah Umum Pakatan Politik Baru Tanpa PAS Kerana Protes Hudud

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2015, DAP Sabah telah mengumumkan cadangan mereka untuk membentuk Pakatan Rakyat Baru (PRB) di Sabah yang melibatkan DAP, PKR dan beberapa parti kecil lain tanpa penglibatan PAS. Menurut Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, tindakan DAP Sabah ini adalah sebagai protes terhadap usaha PAS untuk melaksanakan hudud, dan menurut beliau, tindakan ini adalah selaras dengan pendirian Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

DAP telah mengambil sikap yang keras terhadap PAS setelah Kerajaan PAS Kelantan mengumumkan hasil kejayaan Jawatankuasa Teknikal Hudud dan PAS akan membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan undang-undang syariah dilaksanakan di Kelantan. Bertindak terhadap cadangan PAS ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada 24 Februari 2015 telah mengumumkan bahawa DAP telah hilang kepercayaan kepada PAS kerana 'mengkhianati' PR dengan cuba membawa Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen untuk membolehkan PAS melaksanakan hudud. Atas kenyataan DAP ini, PAS Labuan telah menggantung semua kerjasama dengan DAP sehingga DAP Sabah mencadangkan pembentukan PRB.

Isu perlaksanaan hudud telah lama diperjuangkan oleh PAS, bahkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) Kelantan telah diluluskan sejak 23 November 1993, jauh lebih awal sebelum PR ditubuhkan pada 1 April 2008. Setelah melalui pelbagai proses, pada 23 Februari 2015, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah telah mengumumkan bahawa Kelantan telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hudud. Jawatankuasa Teknikal Hudud Nasional dan Jawatankuasa Teknikal EKJS II Kelantan telah bersetuju supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipinda bersama Perkara 76A(1) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hudud dilaksanakan.

Bertindak dari keperluan ini, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Akta 355 di Dewan Rakyat yang mula bersidang pada 9 Mac 2015. Pada 16 Mac 2015, DUN Kelantan telah meluluskan pindaan EKJS II Kelantan 1993 untuk memperkemaskan perlaksanaan hudud di Kelantan. Kerana sikap PAS yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan undang-undang jenayah syariah ini, DAP sebagai sekutu PAS telah menuduh PAS mengkhianati PR dan mula memusuhi PAS. Tindakan DAP Sabah yang cuba membentuk PRB pada 27 Mac 2015 tanpa penglibatan PAS ini adalah antara usaha terawal DAP dalam menghalang undang-undang Islam dari dilaksanakan di negara ini.

26 Mac 2016

26 Mac 2003 : PAS Kutuk Negara Arab Jadi Dalang Amerika Hancurkan Iraq

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2003, Pemangku Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengutuk tindakan negara-negara Arab yang menjadi dalang dengan memberi maklumat perisikan kepada Amerika Syariat (AS) dan sekutunya untuk menghancurkan Iraq. Menurut Ketua Pembangkang itu, pendedahan Naib Presiden Iraq, Taha Yassin Ramadhan mengenai tindakan beberapa negara Arab tersebut adalah amat memalukan umat Islam kerana mereka telah bersekongkol dengan tentera asing untuk menceroboh negara umat Islam.

Krisis ini tercetus di Teluk Parsi pada awal tahun 2003 apabila AS mengumumkan akan melancarkan serangan ke atas Iraq yang dipimpin oleh Saddam Hussein yang didakwa gagal menghapuskan senjata pemusnah dalam jangka waktu yang ditetapkan. Cadangan serangan ini dibuat oleh AS, Britain dan Sepanyol dengan membelakangkan laporan dua pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Hans Blix dan Mohammed al-Baradei. PAS berpandangan bahawa cadangan Perancis supaya siasatan diteruskan adalah lebih baik dari berperang kerana Resolusi 1441 Majlis Keselamatan PBB telah mengarahkan agar Iraq memberikan kerjasama dalam siasatan ini.

Perang Iraq yang dikenali sebagai Operasi Kebebasan Iraq telah bermula pada 20 Mac 2003 dan berlangsung selama lapan tahun 270 hari berakhir 15 Disember 2011. Dalam perperangan ini, AS telah berjaya menceroboh Iraq dan menggulingkan Kerajaan Parti Baath sekali gus menghukum mati Saddam Hussein. Akibat perperangan ini, walaupun AS berjaya mengadakan pilihan raya untuk kerajaan demokrasi, tetapi ia telah menimbulkan pemberontakan dan keganasan sehingga hari ini. Perang ini telah membunuh 113,728 orang awam dan 37,120 tentera.

Dalam membantah perang ini, pada 10 Mac 2003, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengumumkan bahawa PAS akan mengadakan himpunan aman di Keduataan AS pada 14 Mac 2003, dan satu usul tergempar akan dibawa ke Parlimen untuk membincangkan isu ini. Apabila perang tercetus pads 20 Mac 2003, PAS telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk serangan ini di mana keangkuhan AS dan sekutunya telah membelakangkan PBB, di samping itu wakil-wakil rakyat PAS turut mengecam Presiden AS, George W Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair ketika membahas usul Perdana Menteri tentang perang ini di Dewan Rakyat. Ekoran daripada pendedahan Naib Presiden Iraq tentang peranan negara-negara Arab dalam membantu AS menghancurkan Iraq, pada 26 Mac 2003, PAS telah mengambil pendirian mengutuk perbuatan khianat tersebut yang dilihat merugikan umat Islam.

25 Mac 2016

25 Mac 1998 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bawa Usul Isu Murtad Ke Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1998, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul tergempar di bawah Perkara 18 Peraturan Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang bagi membolehkan isu murtad dibincangkan di Dewan Rakyat. Usul ini kemudiannya ditolak setelah dibentangkan kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail berpandangan ia tidak perlu disegerakan walaupun merupakan perkara tertentu dan berkepentingan ramai.

Isu murtad ini menjadi isu yang menggemparkan negara sejak 1996 apabila tercetus dua isu murtad yang paling terkenal iaitu kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang menjadi Kristian pada November 1997. Isu ini menjadi lebih panas apabila Ustaz Shaari Bustamah, Mufti Wilayah Persekutuan mendedahkan bahawa sehingga 1989, terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dengan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan pada 1998 sahaja, sedangkan sehingga Julai 1997 ada hampir 3,000 kes seumpama ini di ibu kota tersebut.

Menyedari gejala murtad semakin menular ini, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-43 pada 30 Mei - 1 Jun 1997 telah memutuskan supaya PAS menangani isu murtad ini, sekali gus mendesak pemerkasaan Badan Petugas Pencegah Murtad yang ditubuhkan oleh PAS Pusat pada 11 November 1996. Pada 22 Februari 1998, PAS telah memutuskan untuk mengadakan siri-siri ceramah perdana isu murtad melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi di seluruh negara, selain menggerakkan kempen kesedaran melalui PAS Negeri dan Kawasan. Sebagai tindakan lanjutan, pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Timbalan Presiden PAS membawa usul persendirian bagi mewujudkan undang-undang pencegahan murtad dengan membolehkan tindakan diambil ke atas orang yang murtad dan juga orang yang memurtadkan.

Sebagai langkah awal, pada 25 Mac 1998, Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah mengemukakan usul di bawah Perkara 18 kepada Dewan Rakyat untuk membincangkan masalah murtad ini. Ekoran penolakan oleh Dewan Rakyat, PAS Pusat pada 18 April 1998 mengarahkan supaya supaya Timbalan Presiden PAS bersama Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Wan Jamil Mahmud, Ustaz Mohd Amar Abdullah dan Senator Ustazah Jamilah Ibrahim menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara ini. Dalam masa yang sama, PAS telah meningkatkan usaha supaya Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II dapat dilaksanakan. Pada 15-17 Mei 1998, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 telah mendesak Kerajaan Pusat supaya mewujudkan undang-undang pencegahan murtad, sehingga pada 2 September 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bertindak mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian untuk mewujudkan undang-undang bagi mencegah murtad, tetapi ia tidak dilayan oleh kerajaan.

24 Mac 2016

24 Mac 1983 : Dato' Asri Muda Keluar PAS Tubuhkan HAMIM

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1983, bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah membawa penyokong-penyokongnya untuk menubuhkan parti serpihan PAS, Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM). Pergolakan politik dalaman PAS telah sampai ke kemuncak apabila Dato' Mohd Asri meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung PAS dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23 Oktober 1982. Ekoran itu, para penyokong Dato' Mohd Asri yang diketuai oleh Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad (Dato' Nik Man) telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bertindak yang bertujuan untuk membawa Dato' Mohd Asri kembali memimpin PAS. Walau bagaimanapun, jawatankuasa ini telah bertindak mengadakan perhimpunan-perhimpunan yang menentang PAS, termasuk menganjurkan fitnah bahawa PAS dikuasai oleh elemen Syiah kesan dari Revolusi Iran.

Berlanjutan dari tindakan para penyokong Dato' Mohd Asri ini, pada 6 Januari 1983, PAS Kelantan telah membuat aduan tatatertib terhadap sekumpulan bekas pemimpin PAS yang menyebabkan Jawatankuasa Tatatertib PAS pada 23 Januari 1983 telah mengambil tindakan terhadap 13 bekas pemimpin PAS termasuk Dato' Mohd Asri yang digantung keahlian. Pada 31 Januari 1983, Dato' Sudin Wahab dan Dato' Abu Bakar Umar bersama 13 bekas pemimpin PAS tersebut telah mengadakan mesyuarat di Kota Bharu yang kemudiannya menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang dipimpin oleh Dato' Mohd Asri.

Jawatankuasa Bertindak pimpinan Dato' Mohd Asri ini telah memutuskan bahawa mereka tidak akan mengemukakan rayuan terhadap tindakan tatatertib itu, sebaliknya akan menubuhkan sebuah lagi Jawatankuasa Bertindak yang serupa di Kedah dan Perlis. Tindakan ini menyebabkan PAS Pusat pada 16 Februari 1983 mengeluarkan ancaman untuk memecat keahlian Dato' Mohd Asri dan 10 penyokongnya, sedangkan Jawatankuasa Bertindak Kedah dan Perlis cuba menjadi pendamai antara PAS dan Kumpulan Dato' Mohd Asri. Pada 22 Februari 1983, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri telah mempertegaskan pendirian PAS bahawa semua Jawatankuasa Bertindak adalah jawatankuasa haram dan mengarahkan semua pimpinan dan ahli PAS supaya jangan terlibat.

Dato' Mohd Asri sebaliknya pada 23 Februari 1983 telah mengumumkan keluar dari PAS yang diikuti oleh para penyokongnya. Sebulan kemudian, pada 24 Mac 1983, Dato' Mohd Asri telah mengumumkan penubuhan parti Islam yang baru, HAMIM yang menyebabkan PAS kehilangan empat daripada lima kerusi Parlimen apabila Dato' Abu Bakar Umar (Kota Setar), Mohd Zain Abdullah (Bachok), Wan Ibrahim Wan Abdullah (Pasir Mas) dan Haji Hassan Mohamad (Rantau Panjang) menyertai parti tersebut. Pada 9 Jun 1983, pendaftaran HAMIM telah diluluskan dan dalam Mesyuarat Agung Khas HAMIM pada 2 Julai 1983, Dato' Mohd Asri dipilih secara sebagai Yang Dipertua Agung HAMIM, manakala Ahmad Shukri Abdul Shukur sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung, Wan Ismail Ibrahim dan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Naib-naib Yang Dipertua Agung.

HAMIM yang menyertai BN pada 1985 dengan bantahan Berjasa telah diberi dua kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum 1986 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Bachok dan dua DUN di Chetok dan Meranti. Namun bagitu, pada 17 November 1988, Dato' Mohd Asri telah meletakkan jawatan dan cuba membubarkan HAMIM tetapi gagal. Ekoran itu, Dato' Mohd Asri telah menyertai Umno pada 22 November 1988 dan Ustaz Abdul Wahab Yunus yang memangku jawatan Yang Dipertua Agung HAMIM tewas kepada Dato' Sudin Wahab pada 1989 yang menyebabkan Ustaz Abdul Wahab menubuhkan pula serpihan HAMIM, Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan). Sedangkan Dato' Sudin Wahab membawa HAMIM bekerjasama dengan PAS dan Berjasa melalui Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Pada 1999, Parti Ikatan telah diambil alih oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk Parti Keadilan Nasional (PKN).

23 Mac 2016

23 Mac 1992 : Kerajaan PAS Kelantan Digugat Dengan Isu Lamborghini Sultan Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1992, usaha menggugat Kerajaan PAS Kelantan telah melalui tahap yang lebih mencabar apabila berita tentang kereta Lamboghini Daiblo 'dilarikan' oleh Sultan Kelantan didedahkan kepada umum. Isu kereta Lamboghini ini telah berbangkit kerana permusuhan Umno dengan Istana Kelantan yang menyebabkan baginda Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra bertindak membawa keluar kereta tersebut dari Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada 19 Mac 1992, tetapi mula disensasikan pada 23 Mac 1992. Serangan peribadi terhadap Sultan Kelantan ini berkait rapat usaha Umno menggugat Kerajaan PAS Kelantan yang dituduh oleh mereka menang kerana campur tangan Sultan Kelantan dalam politik kepartian.

Isu Lamborghini ini bermula apabila Sultan Kelantan bertitah kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan dalam bulan November 1991 tentang hasrat Baginda untuk membeli kereta tersebut dari Itali dengan wang Baginda sendiri dengan dikecualikan cukai import. Pada 2 Mac 1992, ketika kereta tersebut telah tiba di Subang, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Kastam enggan membenarkan kereta tersebut dikeluarkan dari Kompleks Kargo sehingga Sultan Kelantan membayar duti import yang dianggarkan bernilai RM2.6 juta. Usaha Sultan Kelantan untuk berunding dengan pihak kastam dan Menteri Kewangan telah gagal sehingga 16 Mac 1992, yang menyebabkan Baginda bertindak pada 19 Mac 1992 untuk mengambil sendiri kereta tersebut di Kompleks Kargo Subang itu.

Isu Sultan Kelantan dimainkan oleh Umno sejak akhir 1990 apabila mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 21 Oktober 1990 yang didakwa berpunca dari pergeseran Sultan Kelantan dengan Umno dan hubungan rapat Baginda dengan pakatan PAS-APU. Pada 1 Disember 1990, Perhimpunan Agung Umno telah meluluskan usul untuk menyekat Raja-raja Melayu dari terlibat dalam politik, yang diikuti oleh siri-siri penghinaan terhadap Sultan Kelantan seperti perhimpunan haram di hadapan Bangunan Umno Kelantan diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ibrahim Ali yang diikuti pula oleh kenyataan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Che Alwi Che Ahmad yang menuduh Sultan Kelantan berpolitik. Far Eastern Economic Review pada 28 November 1991 melaporkan serangan Umno terhadap Sultan Kelantan dan Raja-raja Melayu secara terbuka di media.

Untuk melegitimasikan tindakan Umno terhadap Sultan Kelantan dalam usaha mereka menggugat Kerajaan PAS Kelantan ini, maka isu kereta Lamboghini ini menjadi senjata terbaik Umno. Walaupun isu ini pada asalnya hanyalah isu pentadbiran antara Istana Kelantan dengan Kerajaan PAS Kelantan dan Menteri Kewangan, tetapi pada 23 Mac 1992, rakyat Kelantan dikejutkan oleh pendedahan kepada media kononnya Sultan Kelantan telah 'melarikan' kereta tersebut tanpa membayar cukai. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 24 Mac 1992 ketika mengulas isu ini menyifatkan ia adalah satu penganiayaan terhadap Sultan Kelantan sekali gus memalukan Kerajaan PAS Kelantan, sedangkan sejak 2 hingga 21 Mac 1992 Kerajaan Kelantan telah berusaha untuk berunding dengan Menteri Kewangan, tetapi ia tidak dilayan.

22 Mac 2016

22 Mac 2001 : Majlis Raja-raja Benarkan PAS Guna Nama Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, Majlis Raja-raja telah membenarkan dan menggalakkan mana-mana pertubuhan dan parti politik termasuk PAS untuk menggunakan nama Islam pada pertubuhan mereka. Majlis Raja-raja yang menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berhalangan untuk membenarkan PAS terus menggunakan nama Islam walaupun terdapat desakan kuat dari Umno yang mahu perkataan Islam pada nama PAS diharamkan. Baginda semua membuat keputusan untuk membenarkan parti politik dan pertubuhan lain menggunakan nama Islam dengan syarat tidak disalahgunakan untuk mengeliru dan menyelewengkan aqidah dan pemikiran rakyat, sebaliknya ia mesti digunakan dengan ilmu, hikmah dan ihsan.

Isu penggunaan nama Islam pada PAS ini telah lama dibangkitkan oleh Umno kerana mereka mendapati ia menjadi punca kekuatan PAS terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Sebelumnya, pada 14 April 1998, Ahli Parlimen Yan, Datuk Badaruddin Aminuddin telah mendesak di Dewan Rakyat supaya Islam pada nama PAS dihapuskan. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 itu, Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno pada 19 Disember 1999 telah mendakwa kemerosotan undi Umno adalah kerana fitnah yang dibuat oleh PAS. Beliau menegaskan tiga langkah akan diambil untuk membendung pengaruh PAS iaitu mengurangkan keberkesanan Harakah melalui pengurangan permit penerbitan kepada dua kali sebulan, mengharamkan perkataan Islam pada nama PAS dan menyekat ceramah politik PAS.

Bagi merealisasikan tujuan tersebut, pada 30 Januari 2000, Umno telah menuduh PAS mengeluarkan fatwa-fatwa politik yang merosakan aqidah, sehingga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Umno pada 6 Februari 2000 untuk bersemuka jika benar PAS berbuat demikian. Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Dato' Onn Ismail pada 12 Mac 2000 terus mendakwa perkataan Islam pada nama PAS mengelirukan rakyat. Ekoran itu, pada 31 Mac 2000, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan keputusan mereka yang membenarkan penggunaan nama Islam pada parti politik.

Namun begitu, pada 16 Mac 2000, Dr Mahathir terlebih dahulu mendesak Majlis Raja-raja supaya campur tangan untuk mengharamkan nama Islam pada PAS. Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Mac 2000 mencadangkan muzakarah antara kedua-dua parti dalam isu ini, manakala Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz pada 25 Mac 2000 menolak Raja-raja Melayu dilibatkan dalam pergolakan politik ini. Setelah ia reda seketika, pada 10 Disember 2000, Dr Mahathir membangkitkan pula isu perpecahan Melayu, dan pada 24 Disember 2000, Umno menyatakan kesediaan berunding dengan PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKN). Menjawab tawaran ini, Presiden PAS pada 22 Februari 2001 meletakkan syarat supaya Umno menghentikan cadangan mereka menghapuskan Islam pada nama PAS untuk membolehkan mereka berunding, tetapi ditolak oleh Umno. Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, bahawa majlis itu bermesyuarat khas dalam bulan Februari 2001 untuk mengekalkan fatwa asalnya sebelum ia dibawa ke Majlis Raja-raja pada 22 Mac 2001. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-188 pada 22 Mac 2001 ini, telah diputuskan bahawa perkataan Islam boleh digunakan oleh parti politik termasuk PAS.

21 Mac 2016

21 Mac 1964 : Amanat Yang Dipertua Agung PAS Ganti Manifesto Pilihanraya Umum 1964

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1964, Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengeluarkan 'Amanat Yang Dipertua Agung PAS' bagi menggantikan Manifesto PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Kedua pada 25 April 1964. PAS tidak mengeluarkan manifesto atau tawaran-tawaran politiknya dalam Pilihan Raya Umum 1964 ini kerana suasana tekanan politik yang sangat kuat dihadapi oleh PAS setelah berlaku krisis politik dengan Indonesia sejak 1963, sehingga negara itu mengisytiharkan konfrantasi pada 3 September 1964.

Pilihan Raya Umum 1964 diadakan dalam suasana politik yang tegang dan PAS menerima tekanan yang berat bermula dari usaha menjatuhkan Kerajaan PAS Terengganu pada 1961, kemudian PAS dituduh sebagai pengkhianat negara kerana menentang penubuhan Malaysia, selain menggunakan isu kafir-mengkafir untuk menyerang PAS sehingga beberapa Ulamak ditahan ISA pada 1963. PAS yang menggagaskan Melayu Raya dituduh pula sebagai agen Indonesia, sehingga Dr Burhanuddin al-Helmy dan Naib Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani ditahan ISA pada 1965. Sedangkan sebelum itu, Dr Burhanuddin al-Helmy telah didakwa di mahkamah sehingga beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen pada 29 November 1963. Dalam suasana tekanan politik merosakan imej PAS ini, Perikatan membubarkan Parlimen pada 1 Mac 1964 sementara PAS terus dikaitkan sebagai pengkhianat yang bersekongkol dengan Indonesia.

Menyedari kedudukan PAS ini, PAS telah meletakkan sejumlah calon dalam Pilihan Raya Umum 1964 dengan sasaran untuk menjadi pembangkang yang kuat, bukan untuk memerintah. PAS hanya meletakkan 53 calon dari 104 kerusi yang dipertandingkan. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7 Mac 1964 memutuskan supaya PAS tidak mengeluarkan manifesto yang bermaksud PAS menyertai pilihan raya ini bukan untuk membentuk kerajaan, tetapi untuk berperanan mengimbangi Kerajaan Perikatan sahaja.

Sebagai ganti kepada manifesto ini, PAS pada 21 Mac 1964 telah mengeluarkan siaran bertajuk 'Amanat Dr Burhanuddin al-Helmy Yang Dipertua Agung PAS' di mana PAS membuat seruan-seruan berikut:

I. Rakyat jangan terikut-ikut, terugah dan takut dalam melaksanakan tugas-tugas demokrasi di negara ini;
II. Rakyat jangan terkeliru, terkecewa dan tertipu dengan pancingan undi yang boleh merosakkan cita-cita bangsa Melayu dan agama Islam;
III. Rakyat mesti mengundi PAS sebagai peluang terakhir untuk menebus kembali hak bumiputera bangsa Melayu dari kezaliman politik dan perampasan hak ketuanan Melayu yang menjadikan orang Melayu merempat di negara sendiri; dan 
IV. Rakyat mesti mengundi PAS untuk meneruskan perjuangan politik Islam, iaitu amar makruf nahi mungkar.

Setelah berlangsungnya Pilihan Raya Umum 1964, PAS telah memenangi sembilan kerusi Parlimen dan 25 kerusi DUN daripada 153 kerusi yang ditandingi oleh PAS. PAS juga berjaya mengekalkan kerajaan di Kelantan dengan menguasai 21 kerusi DUN, di samping mengaut 14.6 peratus undi popular iaitu kemerosotan sebanyak 8.4 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 1959.

20 Mac 2016

20 Mac 1987 : Kursus Kewartawanan Sebagai Persiapan Penerbitan Akhbar Harakah

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat telah berjaya menyempurnakan kursus kewartawanan sebagai persiapan terakhir untuk penubuhan lidah rasmi PAS yang baru, Harakah. Sebelum itu, Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat telah menyusun langkah-langkah persiapan dalam aspek-aspek yang lain, ekoran permohonan semula PAS untuk mendapatkan permit penerbitan lidah rasminya sejak 1986.

Sebelum terbitnya Harakah, PAS pernah memiliki lidah rasminya iaitu Suara Islam (1956-1962), Bulan Bintang (1967-1971), Berita PAS (1973-1974 dan 1982) dan Suara Islam (1979-1981). Walau bagaimanapun, semenjak 1982 PAS tidak lagi memiliki lidah rasmi dan Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS hanya menerbitkan majalah isu mingguan yang tidak berkala pada 1986-1987, selain menerbitkan akhbar al-Harakah tanpa permit sejak 1985 sehingga diserbu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Atas tindakan KDN ini, PAS telah memohon untuk mendapatkan permit penerbitan Harakah. Lajnah Dakwah dan Penerangan PAS Pusat pada 22 Disember 1986 dan 27 Februari 1987 telah memutuskan untuk memohon permit penerbitan tersebut. Lanjutan itu, PAS telah menyusun tenaga-tenaga pakar dalam kewartawanan termasuk wartawan terkenal, Haji Ahmad Subky Abdul Latif, selain Ustaz Nakhaie Ahmad selaku Ketua Penerangan PAS Pusat. Mereka telah mengadakan siri-siri kursus kewartawanan sebagai persiapan untuk menubuhkan Harakah bermula 14 Mac 1987. Pada 15 Mac 1987, diadakan kursus lanjutan selama enam hari.

Kursus kewartawanan yang berakhir pada 20 Mac 1987 ini telah berjaya mempersiapkan jentera kerja Harakah, terutama apabila KDN meluluskan permit penerbitan Harakah pada 3 April 1987 dan edisi pertama Harakah berjaya diterbitkan 3 April 1987 itu juga, dengan memberi liputan terhadap Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-33 yang julung kali diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar. Pada permulaan penerbitannya, Harakah dipimpin oleh Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad selaku Pengarang Harakah dan ia diterbitkan dua kali seminggu setiap Isnin dan Jumaat. Walau bagaimanapun, pada 12 April 2001, permit penerbitan Harakah dikurangkan kepada dua kali sebulan hingga 24 Jun 2008.

Pada 23 Mac 2009, Harakah telah digantung selama tiga bulan oleh KDN, tetapi ditarik balik Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak pada 5 April 2009 sempena perlantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Pada 8 Julai 2010, sekali lagi Harakah telah dikenakan tunjuk sebab oleh KDN dengan tidak diperbaharui permit penerbitannya. Namun begitu, Harakah telah berjaya melangkah maju dengan berjaya menubuhkan portal online, Harakahdaily sejak 19 Ogos 2001. Dan kini Harakah telah berjaya menerbitkan naskah bercetaknya untuk edisi ke-2131.

19 Mac 2016

19 Mac 1978 : Haji Mohd Amin Dilantik Mempengerusikan Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah melantik Ahli Dewan Negara, Senator Haji Mohd Amin Yaakub sebagai Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Dato' Haji Ishak Lotfi Omar yang meletakkan jawatan ekoran kekalahan PAS dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978. Haji Mohd Amin merupakan pemimpin tertinggi PAS Kelantan yang kelima setelah Ustaz Mohd Asri Haji Muda(1954-1962), Ustaz Khaidir Khatib (1962-1968), Haji Mohd Noor Yusof (1968-1971) dan Dato' Ishak Lotfi (1971-1978). Berbeza dengan penjawat sebelumnya yang dikenali sebagai Pesuruhjaya, beliau yang dilantik dalam suasana krisis ini ditugaskan sebagai Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Haji Mohd Amin adalah anak kelahiran Pasir Tumbuh, Kota Bharu yang dilahirkan pada 1926 dan merupakan bekas guru sekolah agama dan penulis petisyen penilai di Bachok sebelum 1959. Beliau yang mulai menjadi ADUN Bachok Tengah semenjak 1959 hingga 1974 adalah juga anggota Exco Kerajaan Kelantan (1962-1974), sebelum dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (1974-1980). Dalam kepemimpinan parti, beliau pernah menjadi Setiausaha PAS Bachok (1956-1959) dan Yang Dipertua PAS Bachok (1959-1964) sekali gus sebagai Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan, selain turut menduduki Jawatankuasa Kerja Agung PAS. Setelah tidak mempengerusikan Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan. 

Perlantikan Senator Haji Mohd Amin ini adalah berpunca dari krisis politik Kelantan sejak 1974 yang membawa kepada penubuhan beberapa serpihan PAS seperti Revolusi 14 Mac 1974, Barisan Bebas Bersatu (BBB), Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM), Parti Progresif Islam (PPI) dan Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) sehingga akhirnya PAS kehilangan Kelantan dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978. Mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan ini, pada 16 Mac 1978, Dewan Harian PAS Kelantan telah memutuskan untuk meletakkan jawatan yang melibatkan Pesuruhjaya (Dato' Haji Ishak Lotfi), Timbalan-timbalan Pesuruhjaya (Wan Ismail Ibrahim, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad dan Cikgu Mohd Zain Abdullah), Setiausaha (Ustaz Salahuddin Abdullah) dan Bendahari (Nik Mustafa Shafie). Keputusan Dewan Harian PAS Kelantan ini telah diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 19 Mac 1978 dan sekali gus PAS Pusat membentuk Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan yang bertanggungjawab untuk memulihkan semula PAS Kelantan setelah krisis ini.

Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan yang dilantik pada 19 Mac 1978 ini terdiri daripada Haji Mohd Amin (Pengerusi), Ustaz Nik Abdullah Arshad, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar dan Haji Hassan Mohamad (Timbalan-timbalan Pengerusi), Ustaz Ismail Awang (Setiausaha) dan Wan Mahmud Wan Sulaiman (Bendahari). Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan ini kekal sehingga Haji Mohd Amin melepaskan jawatannya pada 1 Mac 1981 untuk membolehkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan serentak dengan pembubaran Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan.

18 Mac 2016

18 Mac 1987 : Penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS Diluluskan Pendaftaran Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1987, Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meluluskan Pindaan Perlembagaan PAS yang dibuat oleh Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-29 pada 30 April - 1 Mei 1983 yang bertujuan untuk mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS sebagai satu badan tertinggi yang mengawal dasar PAS. Pembentukan institusi baru ini adalah lanjutan dari keputusan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-28 pada 23-24 Oktober 1982 yang menetapkan supaya PAS mempelopori kepemimpinan ulamak, mengamalkan kepemimpinan ulamak dan meminda Perlembagaan PAS (Pindaan) 1977 untuk menerapkan konsep kepemimpinan ulamak.

Pada 4 November 1982, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membentuk Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Ustaz Hassan Shukri, Setiausaha Agung PAS untuk mengkaji pindaan ini sebelum ia dikemukakan ke Muktamar Tahunan PAS 1983. Antara perkara utama dimasukkan dalam pindaan ini ialah mewujudkan sebuah Majlis Syura Ulamak PAS yang dianggotai oleh 12 orang ulamak yang diketuai oleh seorang Mursyidul Am. Majlis ini diberi kuasa untuk menafsir, menjelas dan menghuraikan dasar PAS, menafsir Perlembagaan PAS, mengeluarkan arahan supaya dasar PAS dipatuhi, memelihara supaya dasar dan ketetapan PAS dipatuhi serta mengawal tatatertib PAS.

Dengan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan PAS (Pindaan) 1987 kepada Majlis Syura Ulamak PAS ini, maka ia menjadi badan tertinggi dalam PAS walaupun ia tidak memiliki kuasa eksekutif. Kuasa Yang Dipertua Agung (kini Presiden) PAS sebagai ketua parti juga tertakluk kepada keputusan Majlis Syura Ulamak PAS supaya "pemantauan dasar PAS itu lebih terjamin dari segi sandarannya kepada kehendak-kehendak syariat Islam." Ahli-ahli Majlis Syura Ulamak PAS dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS sendiri. Dengan wujudnya Majlis Syura Ulamak PAS ini, maka PAS menjadi sebuah gerakan Islam yang mengamalkan kepemimpinan ulamak.

Ekoran dari kelulusan penubuhan Majlis Syura Ulamak PAS pada 18 Mac 1987, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 21 Jun 1987 telah bersetuju mewujudkan Majlis Syura Ulamak PAS dengan segera dan mesyuarat pertama Majlis Syura Ulamak PAS diadakan pada 20 Oktober 1987 yang dihadiri oleh empat ahli lantikan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dan empat ahli lantikan Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat, sekali gus membolehkan Majlis Syura Ulamak PAS melantik empat lagi ahlinya, selain melantik Ustaz Hassan Shukri sebagai Setiausahanya dan Ustaz Fadzil Mohd Noor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS. Pada 16 November 1987, Majlis Syura Ulamak PAS telah melantik Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Haji Yusof Rawa sebagai Mursyidul Am PAS yang pertama. Beliau memegang jawatan ini sehingga 1994 sebelum diganti oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994-2013) dan Prof Datuk Dr Harun Din (2013-kini).

17 Mac 2016

17 Mac 2008 : Ir. Nizar Jamaluddin Angkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Perak Ke-10

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2008, Setiausaha PAS Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang juga Adun Pasir Panjang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang kesepuluh menggantikan Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali ekoran kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. Mohamad Nizar, seorang jurutera yang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampar, Perak merupakan lulusan Aston University of Science and Technology, Birmingham dan pernah berkhidmat dalam pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Dalam PAS, Mohamad Nizar merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, selain pernah menjadi Bendahari PAS Perak (2001-2006), sebelum dilantik sebagai Setiausaha PAS Perak sejak 2006.

Kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 telah menimbulkan krisis politik kerana parti-parti pembangkang tidak dapat membentuk kerajaan apabila Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh PAS dan PKR menguasai 13 kerusi (PKR 7, PAS 6), manakala DAP menguasai 18 kerusi, berbanding kerusi Umno sebanyak 28 kerusi. Gabungan ketiga-tiga parti ini sangat sulit untuk membentuk kerajaan kerana Perlembagaan Perak menghendakkan seorang Melayu Islam sebagai Menteri Besar, sedangkan DAP tidak mempunyai Adun Melayu, manakala PKR pula tidak mempunyai tokoh kerana masalah akademik Adun-adunnya. Akhirnya Mohamad Nizar yang menduduki jawatan tertinggi dalam PAS Perak di kalangan Adun PAS dinamakan sebagai calon Menteri Besar.

Setelah ketiga-tiga parti bersetuju menamakan Mohamad Nizar sebagai calon Menteri Besar, beliau dibantah oleh akar umbi DAP yang mendesak supaya Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, seorang Cina beragama Kristian sebagai Menteri Besar, tetapi tidak mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Sultan Perak. Oleh kerana Sultan Perak mahukan seorang Melayu Islam sebagai Menteri Besar, pada 13 Mac 2008, Mohamad Nizar dijadualkan akan mengangkat sumpah, tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengancam bahawa DAP akan memboikot majlis pentauliahan dan angkat sumpah itu atas alasan PAS bukan parti terkuat di kalangan parti pembangkang di Perak, sebaliknya DAP mahukan calon dari PKR dinamakan.

Lanjutan dari itu, Istana Perak telah menangguhkan majlis angkat sumpah sehingga kesemua 31 Adun dari ketiga-tiga parti bermesyuarat dan mengemukakan surat persetujuan yang ditandatangani oleh mereka semua kepada istana. Hasilnya, pada 17 Mac 2008, Mohamad Nizar telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-10 di hadapan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Kesan dari pembentukan Kerajaan Perak ini, parti-parti PAS, PKR dan DAP telah membentuk kerjasama politik yang baru, dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) pada 1 April 2008. Namun begitu, Kerajaan PR Perak telah tumbang pada 5 Februari 2009 kerana beberapa Adun PKR dan DAP melompat parti dan pemimpin Umno, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar yang baru. 96 hari kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohamad Nizar kekal sebagai Menteri Besar yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya pada 29 Mei 2009.

16 Mac 2016

16 Mac 1975 : Menteri Besar Kelantan Diprotes ADUN Kerana Tidak Wala' Pada Parti

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1975, 20 orang Adun Kelantan telah mengutuskan protes kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda untuk melahirkan keresahan mereka terhadap kepemimpinan Dato' Mohamed Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. Mereka mendakwa Menteri Besar itu tidak memberi walak kepada parti dengan mengutamakan Umno berbanding PAS, tidak mengendahkan keputusan parti, selalu bertindak menyulitkan Adun-adun PAS dan suka membuat janji-janji besar yang sukar dilaksanakan dalam pentadbiran kerajaan. Atas alasan-alasan ini, 20 Adun PAS tersebut berpandangan bahawa PAS perlu bertindak terhadap Menteri Besar sebelum ia menjadi krisis.

Dato' Mohamed Nasir yang dipilih menjadi Menteri Besar yang baru menggantikan Dato' Ishak Lotfi Omar selepas Pilihan Raya Umum 1974, adalah Menteri Besar yang dilantik atas kehendak Umno, sedangkan PAS Kelantan pada 12 September 1974 telah menamakan Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar dan Ustaz Salahuddin Abdullah sebagai Timbalan Menteri Besar yang telah pun mendapat perkenan Sultan Yahya Petra, Sultan Kelantan. Dengan peranan Pengerusi Umno Kelantan, Tengku Razaliegh Hamzah yang mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein supaya menolak calon yang dikemukakan PAS, Dato' Mohamed Nasir dinamakan oleh Tun Abdul Razak sebagai Menteri Besar yang baru.

Perlantikan ini telah menjadi isu dalam PAS Kelantan kerana Dato' Mohamed Nasir bukan sahaja tidak dipilih oleh PAS, tetapi beliau diketahui tidak berminat dengan jawatan tersebut dan pernah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 1972. Atas sebab-sebab yang disenaraikan, 20 Adun PAS telah mendesak PAS Pusat untuk bertindak menukar Menteri Besar supaya pentadbiran kerajaan menjadi lebih cekap, dan apa yang lebih penting supaya parti dapat menguasai kerajaan, bukannya mengikut telunjuk Umno. 20 Adun tersebut telah mengancam akan membuat undi tidak percaya kepada Menteri Besar itu di DUN jika tiada sebarang tindakan dari PAS. 

Bertindak balas terhadap desakan ini, Dato' Mohamed Nasir pada 5 Mei 1975 telah menyerang pimpinan PAS Kelantan dengan beberapa tuduhan seperti penyelewengan balak di sempadan Perak, Kerajaan Kelantan tidak menyokong Pusat dalam pembukaan tanah baru dan berlaku rasuah dalam kerajaan. Tuduhan-tuduhan ini adalah merujuk kepada Kerajaan Kelantan sebelum beliau yang dipimpin oleh Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Ishak Lotfi antara 1973 hingga 1974. Hal ini telah menimbulkan kemarahan PAS Kelantan dan mereka mendakwa ia berpunca daripada anggapan Dato' Mohamed Nasir bahawa beliau dilantik oleh Umno, bukannya PAS. Pada 10 Mei 1975, Dewan Pemuda PAS Kelantan telah mendesakkan Menteri Besar itu meletakkan jawatan atas sikap beliau tersebut. Berlanjutan dari isu-isu inilah, tercetus krisis kepemimpinan dalam Kerajaan Kelantan pada 1976-1977 yang berakhir dengan pemecatan keahlian Dato' Mohamed Nasir pada 10 Oktober 1977, diikuti usul undi tidak percaya terhadap beliau di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977.

15 Mac 2016

15 Mac 1986 : PAS Setuju Kaji Bukan Islam Jadi Calon PAS Dalam Pilihanraya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, PAS Pusat telah bersetuju untuk membuat kajian bagi membolehkan orang bukan Islam bertanding dalam pilihan raya menggunakan simbol PAS. Perkara ini timbul kerana strategi dakwah PAS yang berubah semenjak 1981 dengan memberi fokus kepada orang bukan Islam, khususnya orang Cina melalui penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC) pada 22 Januari 1986, setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 November 1985 mengambil langkah membentuk kerjasama politik dengan orang Cina dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986.

PAS telah memulakan langkah dengan mengadakan siri-siri dialog dan penerangan tentang Islam Kepada masyarakat Cina, sehingga akhirnya dapat membentuk kerjasama politik melalui CCC. Menjelang Pilihan Raya Umum 1986, timbul isu kedudukan calon-calon bukan Islam yang mewakili PAS. Pada peringkat awal, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad mengatakan calon-calon CCC akan bertanding sebagai calon Bebas yang akan disokong dan diundi oleh PAS, sedangkan Setiausaha Agung CCC, Ghazali Ho mahu calon CCC menggunakan simbol PAS. Penasihat Undang-undang PAS, Haji Wan Mutalib Embong, sebaliknya menjelaskan bahawa Perlembagaan PAS tidak membenarkan demikian.

Kekeliruan ini telah dimanipulasikan oleh BN di mana MCA mendakwa bahawa CCC telah diperdaya oleh PAS dan menuduh PAS tidak jujur terhadap orang Cina. Ketua Pemuda Umno, Anwar Ibrahim paling lantang menyerang PAS dalam isu ini dengan menuduhkan PAS mengadakan helah politik untuk memperdaya orang Cina melalui CCC, mendakwa PAS gila talak kerana membuat pakatan sulit dengan Cina, mencabar PAS membuat penjelasan kepada pengundi Melayu tentang hubungan PAS dengan orang Cina serta menuduh PAS menerima bantuan kewangan daripada tauke Cina. Keadaan ini meruncingkan semula hubungan PAS dengan orang Cina.

Menangani masalah ini, Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 15 Mac 1986 telah memutuskan supaya satu kajian dibuat untuk menentukan sama ada orang bukan Islam boleh menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1986 atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, kajian ini tidak dapat disempurnakan kerana kesuntukan waktu ekoran pembubaran Parlimen pada 19 Julai 1986 sebelum kajian ini selesai. Namun begitu, bagi membuktikan keikhlasannya, PAS telah meletakkan tiga calon Cina untuk kawasan Parlimen iaitu Mohd Ridhuan Daniel Oon (Merbuk), Mohd Kamal Koh (Nibong Tebal) dan Ghazali Ho (Tanjung Mal), di samping tiga calon DUN iaitu Mohd Kamal Koh (Seberang Jaya, Pulau Pinang), Ghazali Ho (Sungkai, Perak) dan Kamal Leang (Gunung Lambak, Johor).

14 Mac 2016

14 Mac 1974 : Gerakan Revolusi 14 Mac Biakkan Fitnah Terhadap Menteri Besar Kelantan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Yang Dipertua PAS Cawangan Pasir Mas, Cikgu Ahmad Fakharuddin Abdullah telah melancarkan Gerakan Revolusi 14 Mac 1974 yang kononnya bertujuan untuk mendesak Menteri Besar Kelantan, Dato' Ishak Lotfi Omar supaya meletakkan jawatan atas beberapa tuduhan yang didakwakan. Mereka mendakwa Dato' Ishak Lotfi melakukan penyelewengan dalam urusan balak, lemah dalam mentadbir kerajaan, korup, gagal meningkatkan syiar Islam dan beberapa tuduhan lain berkait penyelewengan, tetapi tidak dapat membuktikannya di mahkamah. Gerakan ini dikatakan tidak bertujuan untuk menumbangkan PAS, tetapi untuk menumbangkan tokoh-tokoh tertentu terutama Menteri Besar dan beberapa individu dalam PAS Kelantan.

Pergolakan dalam politik Kelantan ini mulai berlaku semenjak PAS membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973 dan Dato' Ishak Lotfi menjadi Menteri Besar semula menggantikan Dato' Mohd Asri Haji Muda. Serangan fitnah ini bermula dengan pelancaran Gerakan Revolusi 14 Mac di Pasir Mas, diikuti oleh Gerakan Revolusi 20 Mac di Machang oleh Haji Mohd Yusof Nor serta desakan Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 16 Mac 1974 dan PAS Cawangan Pasir Mas Hilir pada 29 Mac 1974 yang bertujuan mendesakkan Dato' Ishak Lotfi meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

PAS Kelantan dalam menangani gerakan ini, pada 30 Mac 1974 telah mengeluarkan satu siaran khas untuk menjawab semua fitnah dan tuduhan terhadap pimpinan PAS Kelantan dan Kerajaan Negeri Kelantan yang bertajuk "Menghapuskan Kekeliruan di Sekitar Tuduhan-tuduhan dan Fitnah-fitnah Terhadap Pemimpin dan Tokoh-tokoh PAS di Kelantan." Jawatankuasa Kerja Agung PAS pula pada 30 Mei 1974 telah menggantung PAS Cawangan Pasir Mas Hilir yang menjadi dalang fitnah ini, diikuti tindakan disiplin ke atas Cikgu Ahmad Fakharuddin, Daud Yatimee Ahmad, Hussin Yaakub dan Yusof ISA dengan memecat keahlian mereka pada 9 Jun 1974.

Kesan daripada tindakan tegas PAS ini, Gerakan Revolusi 14 Mac telah mengumpulkan semua pihak dalam PAS yang tidak berpuas hati dengan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda termasuk Ustaz Amaluddin Darus dan Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menentang PAS. Dalam Pilihan Raya Umum Kelima pada 24 Ogos 1974, Gerakan Revolusi 14 Mac telah bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN untuk menentang PAS atas nama Barisan Bebas Bersatu (BBB), tetapi tewas semuanya. Mereka kemudian bergabung membentuk parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) pada 1975, sebelum bergabung dengan kumpulan Dato' Mohamed Nasir, Parti Progresif Islam (PPI) bagi menubuhkan Barisan Jamaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) pada 1977.

13 Mac 2016

13 Mac 1963 : Usul PAS Tangani Krisis Politik Dengan Indonesia Ditolak Dewan Rakyat

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul yang dikemukakan oleh PAS yang mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) supaya krisis politik antara Malaysia dan Indonesia diselesaikan secara aman, dan jika perlu dirujuk kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Usul yang dibawa oleh Yang Dipertua Agung PAS, Prof Dr Burhanuddin al-Helmy (Besut) ini berbunyi "bahawa bagi kepentingan kebijakan politik dan ketenteraman hidup negara dan rakyat PTM, Dewan (Rakyat) ini menetapkan bahawa kerajaan dan rakyat PTM hendaklah menjalankan ikhtiar-ikhtiar yang aman dan damai di dalam perhubungan-perhubungannya dengan negara tetangga dan sekiranya ada ketegangan-ketegangan yang meruncing hendaklah Kerajaan PTM mengadu hal ini kepada PBB bagi penyelesaian secara damai."

Isu ini telah merebak ekoran cadangan penubuhan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pada 27 Mei 1961. PAS yang menentang penubuhan Malaysia dan mencadangkan Melayu Raya telah menerima pelbagai tuduhan yang berbau anti Malaysia. Dalam masa yang sama, Indonesia telah melancarkan konfrantasi sehingga memaksa Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 3 September 1964 berakhir dengan perjanjian antara kedua-dua negara pada 11 Ogos 1966.

PAS yang mengambil sikap menolak sebarang bentuk kekerasan dalam hubungan dengan negara jiran, mahukan semua pertikaian kedua-dua negara diselesaikan secara damai. Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 15-16 Februari 1963 telah mengambil pendirian supaya satu usul dikemukakan kepada Dewan Rakyat agar pertikaian ini diselesaikan secara damai dan sekiranya ia tidak dapat diselesaikan, ia harus dirujuk ke PBB sebagai jalan penyelesaian damai.

Dr Burhanuddin al-Helmy telah mengemukakan usul ini di Dewan Rakyat pada 11 Mac 1963 dan dibahas sebagai sokongan oleh lima ahli Parlimen PAS iaitu Dato' Mohd Asri Haji Muda (Pasir Puteh), Khadijah Sidek (Dungun), Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir), Dato' Raja Mohd Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu) dan Tuan Guru Haji Hussein Rahimin Mat Saman (Kota Bharu Hulu) pada 12-13 Mac 1963. Oleh kerana Perikatan mahu memanipulasikan isu konfrantasi ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1964 dengan menuduh pemimpin PAS sebagai pengkhianat negara, melakukan kegiatan subversif yang ditaja Indonesia dan bekerjasama dengan Indonesia untuk melancarkan konfrantasi terhadap negara, maka pada 13 Mac 1963, Dewan Rakyat telah menolak usul ini dengan undian yang menyebabkan isu ini berpanjangan sehingga selepas Pilihan Raya Umum 1964. Ia hanya berakhir dengan perjanjian pada 11 Ogos 1966 antara kedua-dua negara.

12 Mac 2016

12 Mac 1966 : PAS Menggugat Dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Krian Laut

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1966, telah berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Krian Laut, Perak ekoran kematian Ahli Parlimennya, Abdul Rauf Abdul Rahman pada 19 Januari 1966. PAS telah meletakkan Ahli Jawatankuasa Agungnya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Krian Laut yang merupakan salah satu kubu kuat PAS semenjak awal 1950-an lagi. Perikatan pula meletakkan calon baru, Sulaiman Haji Taib untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kawasan Parlimen Krian Laut menjadi tumpuan kerana kawasan ini adalah kubu terawal PAS di mana cawangan PAS keempat, PAS Cawangan Krian ditubuhkan di sini pada 6 Julai 1952, selain PAS pernah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga di sini pada 12-14 Ogos 1954. Dalam Pilihan Raya Umum 1955, Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah menjadi calon tunggal PAS yang memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan bagi kerusi Krian, manakala calon Majlis Undangan Negeri Perak di kawasan Krian Barat, Mohd Kamal Ahmad menjadi calon tunggal PAS yang menang di peringkat negeri. Kawasan Krian dipecah dua pada 1959 iaitu Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar, dan Krian Darat, yang kini dikenali sebagai Bagan Serai.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, calon Perikatan yang juga Ketua Umno Krian, Abdul Rauf Abdul Rahman berjaya memenangi kerusi Parlimen Krian Laut dan dapat dipertahankan oleh beliau pada 1964 dengan majoriti sebanyak 2,657 undi. Dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut mempunyai 26,954 pengundi dengan 18,634 pengundi Melayu, 6,801 pengundi Cina dan 1,518 pengundi India. Persaingan dianggap sangat sengit kerana kedua-dua parti pernah memenangi kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan ini, lebih-lebih lagi calon PAS adalah bekas Adun Gunung Semanggol (1959-1964). Populasi pengundi Melayu keturunan Banjar yang ramai di sini telah memberi kelebihan kepada PAS, tetapi diimbangi oleh pengundi bukan Melayu yang berjumlah melebihi 30 peratus. Berita Harian pada 10 Mac 1966 melaporkan bahawa kedua-dua parti telah membawa "bala bantuan" untuk merebut kerusi tersebut.

Pilihan Raya Kecil yang berlangsung pada 12 Mac 1966 ini akhirnya memberikan kemenangan kepada calon Perikatan yang memperoleh sebanyak 11,206 undi, manakala calon PAS mendapat 8,484 undi dengan 546 undi rosak. Perikatan mempertahankan kerusi Parlimen Krian Laut ini dengan majoriti 2,722 undi. Walaupun PAS kalah dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar kekal menjadi kubu PAS sehingga PAS berjaya merampas semula kerusi ini melalui Dato' Hassan Mohd Ali pada 1999, kemudian PAS memenanginya lagi pada 2008 dan 2013 melalui Dato' Dr Mujahid Yusof, sebelum beliau menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada 2015.

11 Mac 2016

11 Mac 1978 : PAS Hilang Kerajaan Kelantan Kerana Sabotaj Parti Serpihan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS telah mencatat pengalaman terburuk dalam sejarahnya apabila Kerajaan Kelantan yang dipegang semenjak 1959 telah jatuh ke tangan BN ekoran krisis kepemimpinan yang tercetus dalam PAS semenjak Pilihan Raya Umum 1974. Sebelum ini PAS telah diberi mandat untuk memerintah semenjak Pilihan Raya Umum Pertama pada 1959, diikuti oleh siri-siri pilihan paya pada 1964, 1969 dan 1974, sebelum tewas pada 1978 setelah 18 tahun usia kerajaannya.

Krisis kepemimpinan PAS bermula sejak 1974 kerana PAS menyertai BN sehingga terdapat ahli PAS menubuhkan serpihan seperti Revolusi 14 Mac dan parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM) sebelum Pilihan Raya Umum 1974. Selepas pilihan raya ini, konflik beralih kepada isu perlantikan Menteri Besar Kelantan di mana PAS memilih Wan Ismail Ibrahim sebagai calon, tetapi ditolak oleh Umno sehingga akhirnya Dato' Mohamed Nasir menjadi Menteri Besar. Isu Dato' Mohamed Nasir membarah pada 1977 yang membawa kepada pemecatan beliau daripada PAS pada 10 Oktober 1977.

Kesan dari pemecatan ini, PAS telah berpecah di mana penyokong Dato' Mohamed Nasir dengan kerjasama Umno telah menubuhkan Parti Progresif Islam (PPI) pada 25 September 1977, dan setelah beliau dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, PPI yang bergabung dengan IMAM telah membentuk Barisan Jamaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA). Penyokong-penyokong Dato' Mohamed Nasir yang diketuai oleh Ketua Pemuda BERJASA, Ibrahim Ali telah melakukan demonstrasi dan rusuhan di Kota Bharu sehingga ia menjadi alasan Kerajaan Pusat mendaruratkan Kelantan melalui akta parlimen pada 8 November 1977. Akta Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977 ini menjadi punca PAS dipecat daripada BN pada 13 Disember 1977.

Dalam suasana politik yang gawat ini, Kelantan ditadbir secara MAGERAN dengan Hashim Aman sebagai pengarah. Pada 12 Februari 1978, MAGERAN dimansuhkan dan darurat ditamatkan, diikuti oleh pembubaran DUN Kelantan pada 13 Februari 1978. Pilihan Raya Negeri Kelantan yang diadakan berasingan ditetapkan pada 11 Mac 1978. PAS meletakkan calon di semua 36 kerusi dan mengeluarkan manifesto bertajuk 'Undilah Bulan Purnama untuk Menjamin Kedaulatan Agama, Bangsa dan Negara' pada 6 Mac 1978.

Dalam Pilihan Raya Negeri pada 11 Mac 1978 ini, 34 orang calon PAS telah tewas kepada calon Umno (22 kerusi), BERJASA (11 kerusi) dan MCA (1 kerusi). PAS hanya menang dua kerusi iaitu Sering (Ustaz Nik Abdullah Arshad) dan Manik Urai (Wan Abdullah Wan Su) yang menyebabkan Kerajaan PAS yang berusia 18 tahun ini tumbang dan diganti oleh Kerajaan BN yang dipimpin oleh Dato' Mohamed Yaacob sebagai Menteri Besar. Faktor utama kekalahan PAS ini ialah peranan BERJASA yang memecahkan undi melalui strategi susunan Umno iaitu pertandingan tiga penjuru di kerusi marginal.

10 Mac 2016

10 Mac 1980 : Dr. Mahathir Terancam Dengan Teori Domino Yang Dibangkitkan Dato' Asri Muda

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1980, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed telah mempersoalkan teori domino yang dibangkitkan oleh Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda dalam Ucapan Dasar Muktamar Khas PAS pada 2 Mac 1980. Dr Mahathir berpandangan bahawa teori domino boleh melemahkan semangat rakyat negara ini, sedangkan Dato' Mohd Asri mempersoalkan salah guna ISA yang sepatutnya digunakan terhadap komunis, tetapi disalah gunakan untuk menyekat kebangkitan Islam.

Teori domino ialah teori spekulasi tentang perluasan pengaruh komunis di mana apabila satu negara terkena pengaruh komunis, negara sekitarnya juga akan dijangkiti oleh komunis melalui kesan domino. Teori yang terkenal sejak dekad 1950-an ini menurut Presiden Amerika Syariat, Dwight D Eisenhower, bahawa pengaruh komunis boleh berkembang mengikut prinsip "domino jatuh," di mana apabila kita memiliki sebaris domino, dengan menjatuhkan domino pertama, semua domino lain akan jatuh satu persatu sehingga domino terakhirnya. Teori perkembangan komunis ini menakutkan Barat sekiranya ada negara Asia Tenggara yang jatuh ke tangan komunis.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Khas PAS itu, Yang Dipertua Agung PAS telah mengkritik tindakan zalim Kerajaan BN yang menahan 13 ahli PAS kerana terlibat dalam demonstrasi isu padi di Alor Setar pada 19 Januari 1980. Dato' Mohd Asri menjelaskan hakikat Malaysia sedang diancam oleh perluasan pengaruh komunis kerana kedudukan Hanoi yang menguasai Phnom Penh dan mulai mengancam Thailand dengan kawalan Moscow ketika itu. Sempadan Malaysia sendiri sedang diancam oleh Parti Komunis Malaya (PKM) melalui radio sulit, Suara Revolusi Malaya (SRM) yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Demokratik Malaya (SDM). PKM turut terbabit menubuhkan Parti Persaudaraan Islam (PAPERI) pada 1965, selain Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM) untuk meluaskan pengaruh komunis.

Inilah yang dimaksudkan sebagai teori domino oleh pemimpin tertinggi PAS itu. Tetapi menurut Dato' Mohd Asri, ISA yang digubal pada 1960 untuk membendung pengaruh komunis disalahgunakan untuk menyekat kebangkitan Islam dengan menahan pimpinan dan ahli PAS, terutama setelah berlakunya Revolusi Iran pada 1979.

Dr Mahathir yang memberikan respon negatif terhadap teori domino ini diketahui umum peranan pengaruh komunis dalam menonjolkan Dr Mahathir sebagai pemimpin besar Umno. Pada 1976, lima orang yang dikaitkan dengan komunis ditahan ISA oleh Dato' Hussein Onn iaitu Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail yang terkenal sebagai Tiga Abdul, selain Kassim Ahmad dan Dr Syed Husin Ali. Abdullah Ahmad atau Dolah Kok Lanas (DKL) sebagai Setiausaha Politik Tun Abdul Razak Hussein diketahui umum telah menggunakan ucapan Tun Razak yang ditulisnya untuk membolehkan Dr Mahathir disokong oleh Tun Razak sebagai salah seorang Naib Presiden Umno pada 1975. Kerana itu, dalam isu ini, Dr Mahathir telah menuduh PAS berat sebelah iaitu menentang ISA apabila ahli PAS ditangkap, tetapi berdiam diri bila ahli Umno (DKL) ditangkap. Sedangkan PAS berpegang ISA digubal untuk menghapuskan komunis.

09 Mac 2016

09 Mac 1952 : PAS Tubuh Cawangan Pertama Di Pulau Pinang

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, PAS telah menubuhkan Cawangan pertamanya, iaitu PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang berpusat di Bandar Raya Georgetown. Cawangan ini telah ditubuhkan dalam usaha PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di seluruh Tanah Melayu. PAS telah memulakan pergerakannya semenjak ia ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibentuk pada 24 November 1951 dengan berpusat di Kepala Batas, Sebarang Perai. Dengan tertubuhnya Cawangan PAS di Pulau Pinang, sayap PAS mulai berkembang keluar.

Usaha memperluaskan pengaruh PAS telah dimulakan semenjak awal 1952, di mana pada 2 Februari 1952, PAS telah mengadakan taklimat tentang tujuan perjuangannya kepada Persatuan Ulamak Kedah (PUK), sehingga ada syor supaya PUK menjadi anggota gabungan PAS. Pada 3 April 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu bagi merealisasikan tujuan PAS untuk merapatkan hubungan umat Islam di negara ini.

PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 9 Mac 1952 sebagai cawangan yang pertama PAS telah dipimpin oleh ulamak reformis terkenal, Sheikh Haji Ibrahim Mohd Akib atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Ibrahim Aqibi sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan. Pimpinan pengasas yang lain ialah Haji Ahmad Mokhtar (Setiausaha), Din Chik (Penolong Setiausaha), S.A Rahman (Bendahari) serta M.Y Merican, Mohd Shariff Mohd Ali, B.D Merican, Kassim Baba, Sheikh Abdul Latif Jalaluddin, Abdullah Mohd Mia Ibrahim, Abdul Hamid Amin, Abdullah Ishak, Mohd Rejab Yunus K.P, Haji Hussein Daik Sawi, Ahmad Zakaria, Jaafar Abdul Samad, Kassim Ali Hashim Ali, Mohd Sulaiman Babachan Khan, Syed Abbas al-Habsyi, Haji Ahmad Din, Anwar Hashim, Dasimah Dasir, Jah Said dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor.

Setelah tertubuhnya PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang ini, cawangan-cawangan PAS mulai berkembang dengan penubuhan Cawangan PAS Bukit Mertajam (20 April 1952), Perak (26 April 1952), Bukit Besar (April 1952), Perlis (8 Mei 1952), Kerian (6 Julai 1952) dan Kuala Lumpur (13 Julai 1952). PAS mula berkembang di Pantai Timur apabila Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol membuat taklimat tentang PAS di Pasir Puteh, Kelantan pada 9 September 1952. Sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26 Ogos 1953, PAS berjaya menubuhkan 13 lagi cawangan menjadi 20 buah. Cawangan tersebut ialah Bayan Lepas, Pokok Sena, Kubang Semang (Pulau Pinang), Titi Serong, Hilir Perak (Perak), Sentul, Sungai Penchala (Selangor), Rembau, Johol (Negeri Sembilan), Bukit Aping, Sungai Korok (Kedah) dan Pasir Mas (Kelantan).

PAS Cawangan Singapura yang juga ditubuhkan dalam tahun 1952 pula gagal mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan Singapura. Di samping itu, PAS turut melantik Wakil Tetap PAS di beberapa bandar untuk mengembangkan PAS iaitu di Machang, Gerik, Ipoh, Kuala Kangsar, Parit, Manong, Tanjung Karang dan Melaka. PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang walau bagaimanapun lumpuh ekoran pergeseran Kaum Muda - Kaum Tua antara pemimpin reformis, Haji Ibrahim Aqibi (Yang Dipertua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang) dengan Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS) pada 1953. Antara tokoh ternama dalam cawangan ini selain Haji Ibrahim Aqibi ialah Haji Ahmad Mokhtar (Pemeriksa Kira-kira PAS) dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor (Ketua Dewan Muslimat PAS).

08 Mac 2016

08 Mac 1988 : Nakhaie Syor Barisan Islamiyah Sebagai Gabungan Pembangkang Islam Dan UMNO Era Mahathir

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1988, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad telah mengemukakan satu cadangan kepada Majlis Syura Ulamak PAS supaya ditubuhkan Barisan Islamiah, iaitu sebuah badan gabungan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, termasuk Umno untuk menyatukan umat Islam. Idea penubuhan Barisan Islamiah ini telah dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie semenjak akhir November 1987 lagi, dan beliau yang juga Naib Yang Dipertua Agung PAS kemudiannya mengemukakan secara rasmi kepada Majlis Syura Ulamak PAS.

Gagasan ini ketika dilontarkan oleh Ustaz Nakhaie telah mendapat respon positif daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno dan Pak Yusof Rawa, Yang Dipertua Agung PAS. PAS bersikap positif kerana perpaduan adalah tuntutan Islam, sedangkan Umno pada 24 November 1987 dilaporkan bersetuju jika ia bertujuan untuk Islam. Usulan Ustaz Nakhaie ini telah dibincangkan secara dasar pada 8 Mac 1988, tetapi ia ditarik balik oleh pencadangnya dalam mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS pada 4 Julai 1988 kerana didakwa tidak mendapat perhatian serius pimpinan PAS.

Dalam Persidangan Agung Perpaduan dan Politik Islam anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat pada 21 Ogos 1988, Ustaz Nakhaie mencadangkan supaya sebuah panitia ditubuhkan untuk menganjurkan Perhimpunan Umat Melayu Kedua bagi membincangkan pendekatan baru politik umat Islam setelah Umno diharamkan pada 4 Februari 1988. Cadangan-cadangan Ustaz Nakhaie yang dilihat oleh pimpinan PAS sebagai satu usaha menghidupkan semua Team A Umno yang dipimpin oleh Dr Mahathir dengan membuat pakatan parti-parti pembangkang dan NGO Islam + Umno Mahathir atas nama perpaduan umat, sedangkan ketika itu Umno sedang melakukan tangkapan ISA sejak Oktober 1987, di mana nama Ustaz Nakhaie dikatakan turut tersenarai. Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas yang dijangka mengendalikan kes Umno telah digantung tugas pada 26 Mei 1988 yang menyebabkan usaha memulihkan Umno terbengkalai.

Di sebalik kedinginan sikap pimpinan PAS terhadap cadangan Ustaz Nakhaie yang juga Ketua Penerangan PAS itu, PAS turut menerima usulan daripada Setiausaha Agung PAS, Ustaz Hassan Shukri pada 9 Oktober 1988 dalam kertasnya, 'Tinjauan Ringkas Politik Semasa dan Sikap Yang Perlu Diambil Oleh PAS' yang mencadangkan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Team B yang dipimpin oleh Tengku Razaliegh Hamzah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum 1990. PAS bersikap positif terhadap cadangan Setiausaha Agungnya, tetapi dilihat tidak berminat dengan usulan Naib Yang Dipertua Agungnya.

Kecewa dengan pendirian PAS yang tidak mahu memberi nafas baru bagi menghidupkan semula Umno (Baru), Ustaz Nakhaie telah meletakkan semua jawatan beliau dalam PAS pada 20 Ogos 1988 atas alasan berkecil hati dengan satu kenyataan Pak Yusof Rawa, yang kemudiannya diterima oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 September 1988, manakala kedudukan beliau dalam Majlis Syura Ulamak PAS berakhir pada 30 Oktober 1988. Pada 2 Januari 1989, Ustaz Nakhaie membuat kenyataan bahawa tindakan PAS bekerjasama dengan serpihan Umno, Semangat 46 merugikan umat, dan pada 27 April 1989, Ustaz Nakhaie yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Biro Agama Umno dan pimpinan ABIM sebelum aktif dalam PAS telah mengumumkan penyertaannya ke dalam Umno (Baru) pimpinan Dr Mahathir.

07 Mac 2016

07 Mac 1974 : PAS Setuju Sertai BN Kerana Tidak Terikat Sebagai Satu Pertubuhan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1974, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju menerima Perlembagaan BN dan bersetuju PAS menyertai gabungan parti-parti tersebut setelah berjaya meletakkan PAS sebagai parti yang tidak terikat dengan BN. Menurut Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda, BN bukannya sebuah 'pertubuhan' yang mengikat parti-parti anggotanya, sebaliknya ia adalah sebuah 'gabungan' berbentuk konfederasi di mana setiap parti anggotanya adalah bebas dan mempunyai identiti tersendiri.

Isu keterikatan PAS kepada rakan gabungan telah menjadi topik utama dalam penetapan hukum ketika pembentukan Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1972. Kemudian, apabila BN dicadangkan dalam mesyuarat antara parti-parti yang menganggotai Kerajaan Campuran pada 17 Januari 1974, PAS telah bersetuju secara umum untuk menyertai kerjasama ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum 1974, tetapi tidak bersetuju dengan apa-apa syarat yang mengikat PAS, lebih-lebih lagi apabila Perlembagaan BN menyebut kerjasama BN ini sebagai 'pertubuhan' yang bermaksud semua parti meleburkan diri ke dalam BN.

Dewan Ulamak PAS Pusat yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 27 Januari 1974 telah menetapkan hukum harus PAS bekerjasama dengan BN dengan syarat ia tidak menghilangkan identiti PAS sebagai sebuah parti politik Islam. Pada 13 Februari 1974, Jawatankuasa Politik dan Ekonomi PAS bersetuju supaya PAS meminda draf Perlembagaan BN dengan menukar istilah 'pertubuhan' kepada ' gabungan' untuk membolehkan PAS menyertai BN sebagai sebuah parti yang beridentiti sendiri dan tidak melebur dalam BN.

Pendirian Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 7 Mac 1974 ini membolehkan penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN tanpa mengikat PAS secara mutlak. Tindakan PAS menyertai BN pada 1 Jun 1974 kemudiannya telah mendapat pengesahan dari Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-20 pada 13-15 Jun 1974 kerana ketidakterikatan PAS dengan BN, dan sekali gus membolehkan PAS menyertai Pilihan Raya Umum pada 24 Ogos 1974 atas nama BN dan menggunakan simbol Dacing.

Kerana sifat PAS yang tidak terikat dengan BN dan memiliki identiti sendiri ini, semua calon PAS berkewajipan memberi walak dan ketaatan kepada PAS, bukannya kepada BN. Pendirian PAS ini boleh dilihat dalam beberapa kes:

I. Pemecatan Dato' Mohamed Nasir pada 10 Oktober 1977 antara lain kerana Menteri Besar Kelantan itu menganggap dirinya Menteri Besar BN, bukannya Menteri Besar PAS sehingga beliau tidak mengikut arahan PAS;
II. PAS mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Dato' Mohamed Nasir di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977 kerana Menteri Besar itu tidak mentaati arahan PAS, sebaliknya mengikut telunjuk Umno;
III. PAS mengarahkan semua wakil rakyatnya meletakkan jawatan dari kerajaan pada 6 November 1977 kerana PAS menentang Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977 yang dikemukakan oleh Kerajaan BN;
IV. Keahlian Timbalan Yang Dipertua Agung PAS yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Hassan Adli Mohd Arshad telah terlucut pada 8 November 1977 kerana menyokong Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977; dan
V. PAS membawa kerusi-kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum 1974 atas nama BN menjadi kerusi PAS atas sifatnya yang tidak terikat dengan gabungan ini pada 13 Disember 1977.

Semua tindakan PAS ini tidak dianggap sebagai pengkhianatan PAS terhadap BN, kerana penyertaan PAS dalam BN adalah atas sifatnya yang tidak terikat, sebaliknya menjadi anggota gabungan yang bebas dan beridentiti sendiri.

06 Mac 2016

06 Mac 1978 : PAS Kelantan Keluarkan Manifesto Hadapi Pilihanraya Negeri

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1978, PAS Kelantan telah mengeluarkan manifesto bertajuk 'Undilah Bulan Purnama untuk Menjamin Kedaulatan Agama, Bangsa dan Negara' bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang diadakan pada 11 Mac 1978. Pilihan Raya Negeri ini diadakan berasingan pada 1978 ekoran krisis kepemimpinan Kerajaan Kelantan yang membawa kepada perisytiharan darurat pada 8 November 1977. Penamaan darurat pada 12 Februari 1978 telah diikuti oleh pembubaran DUN dan pebetapan tarikh pembuangan undi.

Keadaan dalaman PAS sedang berkrisis ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri ini kerana Dato' Mohamed Nasir, Menteri Besar Kelantan telah menubuhkan Berjasa bersama pengikutnya setelah beliau disingkirkan dari PAS. Kumpulan Dato' Mohamed Nasir pada mulanya menubuhkan Parti Progresif Islam (PPI) pada 25 September 1977, tetapi menukar namanya kepada Barisan Jamaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) setelah ia bergabung dengan satu lagi serpihan PAS iaitu parti Ikatan Muslim Insaf Malaysia (IMAM). Ekoran tindakan Dato' Mohamed Nasir mengkhianati PAS, beliau dikenakan undi tidak percaya di DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977, lalu mengakibatkan perpecahan besar dalam PAS khususnya di Kelantan.

Bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ini, PAS Kelantan telah mengeluarkan satu manifesto sebagai tawaran kepada Rakyat Kelantan jika mereka mengekalkan PAS sebagai kerajaan. Manifesto ini mempunyai pengenalan yang menjelaskan tentang krisis politik Kelantan yang berlaku akibat sabotaj pihak ketiga ketika PAS berada dalam BN yang berakhir dengan darurat. PAS menganggap krisis ini sebagai "sendiwara politik yang amat ketara.".

Manifesto PAS Kelantan yang dikeluarkan pada 6 Mac 1978 ini mengandungi janji-janji PAS tentang lima perkara iaitu politik, pentadbiran, agama, kewangan dan pembangunan ekonomi. PAS telah menawarkan satu sistem politik berasaskan Islam dalam konteks federalisme di Malaysia, di samping mengekalkan pentadbiran cekap dengan dasar yang adil. Dalam konteks agama, PAS menawarkan pengenalan pentadbiran agama, perluasan tabligh dan dakwah, menaikkan taraf YPTIK kepada sebuah universiti Islam dan memajukan sekolah-sekolah agama. Dari sudut kewangan dan ekonomi, PAS menawarkan perbelanjaan berhemat dan penubuhan perbadanan-perbadanan untuk Memajukan ekonomi negeri.

05 Mac 2016

05 Mac 1976 : PAS Dapat Tambahan Kerusi Dalam Rombakan Kabinet Era Tun Hussein Onn

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, PAS telah mendapat tambahan kerusi menteri dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn yang dibentuk ekoran kematian Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976. Tambahan jawatan menteri ini adalah kenaikan pangkat Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dari Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.

Selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah mengambil pendirian pada 15 Januari 1976 supaya PAS dapat meningkatkan peranannya dalam kerajaan dengan lebih positif, di mana PAS menuntut tambahan jawatan dalam kabinet termasuk diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang akan diisi oleh PAS, tambahan satu jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen serta kenaikan pangkat seorang Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri. PAS juga menuntut supaya jawatan Menteri Pertahanan diserahkan kepada PAS, selain mengekalkan Kementerian Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas yang dipegang oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam pembentukan kabinet pertama selepas menyertai BN pada 1 Januari 1973, PAS diberikan jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas (Dato' Mohd Asri), Timbalan Perusahaan Utama (Ustaz Haji Yusof Rawa) selain Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (Ustaz Abu Bakar Hamzah). Selepas Pilihan Raya Umum 1974, PAS diberikan tambahan jawatan dalam kabinet dengan seorang Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen. Mereka yang menjawat jawatan-jawatan ini ialah Dato' Mohd Asri (Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas), Dato' Ustaz Hassan Adli (Timbalan Menteri Buruh), Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Cikgu Mustafa Ali (Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian).

Hasil desakan PAS ini, rombakan kabinet pasca Tun Razak yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn pada 5 Mac 1976 telah melantik dua orang Menteri dari PAS iaitu Dato' Mohd Asri (Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah) dan Dato' Ustaz Hassan Adli (Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan), seorang Timbalan Menteri iaitu Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) serta dua orang Setiausaha Parlimen iaitu Cikgu Mustafa Ali (Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) dan Zahari Awang (Kementerian Luar Negeri). Zahari Awang kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dalam rombakan kabinet pada 14 April 1977, selain kenaikan pangkat Cikgu Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta perlantikan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan.

04 Mac 2016

04 Mac 2002 : PAS Anjur Makan Malam Cari Dana Bantu Wakil Rakyat DAP Yang Digantung Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2002, PAS Kelantan telah menganjurkan satu Majlis Makan Malam Membantu Ahli Parlimen Batu Gajah untuk membantu wakil rakyat DAP yang telah digantung keahlian oleh Dewan Rakyat pada 12 Disember 2001. Majlis makan malam ini bertujuan mengumpul dana untuk membantu Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan yang telah digantung tanpa elaun selama enam bulan kerana mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tun Mohamed Zahir Ismail.

PAS telah mengadakan beberapa siri majlis pengumpulan dana untuk membantu ahli parlimen tersebut bermula dengan Majlis Jamuan Teh anjuran PAS Kawasan Ampang pada 2 Februari 2002, sebelum majlis makan malam di Kota Bharu ini. Majlis ini diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dengan kerjasama PAS Kota Bharu dan dihadiri oleh beberapa pemimpin PAS seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Haji Anuar Tan Abdullah, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Turut hadir ialah wakil DAP, Lim Kit Siang dan Fong Po Kuan, manakala PKN diwakili oleh Ahli Parlimen Peringat, Ustaz Mohamad Mustafa.

Isu ini tercetus ekoran tindakan Ahli Parlimen Batu Gajah itu mengkritik Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kemudiannya menyebabkan satu usul tindakan tatatertib dikemukakan untuk menggantung keangotaan beliau selama enam bulan tanpa elaun. Usul ini dikatakan tidak mengikut Peraturan Dewan Rakyat kerana tidak mencukupi tempoh tujuh hari, tetapi ia dibenarkan oleh Tun Mohamad Zahir untuk dibentang, dan ia tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat terlebih dahulu. Keadaan ini menyebabkan Ahli Parlimen Batu Gajah itu dianggap teraniaya.

Apa yang menarik dalam isu ini ialah tindakan PAS menganjurkan program-program untuk mengutip dana bagi membantu dan membela ahli parlimen DAP sehingga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan bahawa tindakan ini dibuat atas semangat mempertahankan keadilan dan kemanusiaan. Walhal sebelum ini, DAP merupakan sekutu PAS dalam Barisan Alternatif (BA) yang telah memutuskan hubungan dengan PAS dan keluar dari BA sejak 22 September 2001 kerana isu negara Islam. PAS sebaliknya mengambil sikap politik matang dengan tidak memusuhi ahli-ahli DAP, walaupun DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS. Penganjuran Majlis Makan Malam yang turut dihadiri oleh Mursyidul Am PAS pada 4 Mac 2002 ini adalah untuk membantu ahli DAP yang digantung selama enam bulan tanpa elaun di Parlimen tanpa menghiraukan status hubungan kedua-dua parti.

03 Mac 2016

03 Mac 1967 : Akta Bahasa Kebangsaan Lulus Dengan Bangkangan PAS

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1967, Dewan Rakyat telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dengan bangkangan kuat daripada PAS. PAS sejak awal tidak bersetuju dengan akta ini kerana kegagalan Umno menunaikan janji mereka untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Februari 1967 oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra dengan tujuan untuk memantapkan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan setelah genap 10 tahun mencapai kemerdekaan. Akta ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 1967.

Walau bagaimanapun, PAS telah menyifatkan akta ini sebagai memungkiri janji Tunku Abdul Rahman Putra dalam Mesyuarat Agung Umno pada 4 Jun 1955 yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun selepas merdeka. Tunku Abdul Rahman telah berjanji supaya semua urusan rasmi dalam pentadbiran dan pendidikan akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya setelah 10 tahun bahasa Inggeris turut digunakan dalam pentadbiran.

PAS telah mengkritik akta 11 fasal ini tentang:

1. Kebenaran untuk kerajaan menggunakan bahasa kaum-kaum lain dalam urusan rasmi;
2. Kebenaran untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam apa-apa urusan rasmi yang difikirkan patut;
3. Kebenaran untuk bahasa Inggeris digunakan di Parlimen dan DUN;
4. Kebenaran penggunaan bahasa Inggeris dalam teks undang-undang;
5. Kebenaran untuk undang-undang bertulis sebelum 1 September 1967 menggunakan bahasa Inggeris;
6. Kebenaran menggunakan bahasa Inggeris di mahkamah;
7. Akta hanya berkuat kuasa di Semenanjung sahaja, tidak di Sabah dan Sarawak; dan
8. Menukarkan tulisan Jawi dengan tulisan Rumi.

Dengan kelonggaran akta ini, pada pandangan PAS, Tunku Abdul Rahman adalah seorang pemimpin yang terlalu tunduk kepada desakan orang bukan Melayu. Ketika membahaskan Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 pada 2 Mac 1967, Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda telah menyifatkan tindakan Kerajaan Perikatan ini sebagai "tambahan dosa dan jenayah politik Umno terhadap bangsa Melayu". Sebelum ini, Umno menuduh PAS sebagai pengkhianat negara kerana isu Konfrantasi Indonesia, tetapi kini PAS mengembalikan paku buah keras kepada Umno. Ucapan Dato' Mohd Asri di Parlimen ini diterbitkan dengan tajuk 'Rakyat Menggugat.'.

Walaupun akta ini ditentang hebat oleh PAS, pada 3 Mac 1967, ia telah diluluskan oleh Dewan Rakyat untuk digabungkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, yang menyebabkan PAS pada 6 Ogos 1967 telah mengemukakan usul di Parlimen melalui Ustaz Abu Bakar Hamzah untuk menjadikan Melayu sebagai rupa bangsa bagi Malaysia. Kesan terbesar akta ini ialah terhapusnya tulisan Jawi dari sistem pendidikan negara.