12 Mac 2016

12 Mac 1966 : PAS Menggugat Dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Krian Laut

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1966, telah berlangsung Pilihan Raya Kecil Parlimen Krian Laut, Perak ekoran kematian Ahli Parlimennya, Abdul Rauf Abdul Rahman pada 19 Januari 1966. PAS telah meletakkan Ahli Jawatankuasa Agungnya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Krian Laut yang merupakan salah satu kubu kuat PAS semenjak awal 1950-an lagi. Perikatan pula meletakkan calon baru, Sulaiman Haji Taib untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kawasan Parlimen Krian Laut menjadi tumpuan kerana kawasan ini adalah kubu terawal PAS di mana cawangan PAS keempat, PAS Cawangan Krian ditubuhkan di sini pada 6 Julai 1952, selain PAS pernah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ketiga di sini pada 12-14 Ogos 1954. Dalam Pilihan Raya Umum 1955, Bendahari Agung PAS, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah menjadi calon tunggal PAS yang memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan bagi kerusi Krian, manakala calon Majlis Undangan Negeri Perak di kawasan Krian Barat, Mohd Kamal Ahmad menjadi calon tunggal PAS yang menang di peringkat negeri. Kawasan Krian dipecah dua pada 1959 iaitu Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar, dan Krian Darat, yang kini dikenali sebagai Bagan Serai.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959, calon Perikatan yang juga Ketua Umno Krian, Abdul Rauf Abdul Rahman berjaya memenangi kerusi Parlimen Krian Laut dan dapat dipertahankan oleh beliau pada 1964 dengan majoriti sebanyak 2,657 undi. Dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut mempunyai 26,954 pengundi dengan 18,634 pengundi Melayu, 6,801 pengundi Cina dan 1,518 pengundi India. Persaingan dianggap sangat sengit kerana kedua-dua parti pernah memenangi kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan ini, lebih-lebih lagi calon PAS adalah bekas Adun Gunung Semanggol (1959-1964). Populasi pengundi Melayu keturunan Banjar yang ramai di sini telah memberi kelebihan kepada PAS, tetapi diimbangi oleh pengundi bukan Melayu yang berjumlah melebihi 30 peratus. Berita Harian pada 10 Mac 1966 melaporkan bahawa kedua-dua parti telah membawa "bala bantuan" untuk merebut kerusi tersebut.

Pilihan Raya Kecil yang berlangsung pada 12 Mac 1966 ini akhirnya memberikan kemenangan kepada calon Perikatan yang memperoleh sebanyak 11,206 undi, manakala calon PAS mendapat 8,484 undi dengan 546 undi rosak. Perikatan mempertahankan kerusi Parlimen Krian Laut ini dengan majoriti 2,722 undi. Walaupun PAS kalah dalam pilihan raya kecil ini, Krian Laut yang kini dikenali sebagai Parit Buntar kekal menjadi kubu PAS sehingga PAS berjaya merampas semula kerusi ini melalui Dato' Hassan Mohd Ali pada 1999, kemudian PAS memenanginya lagi pada 2008 dan 2013 melalui Dato' Dr Mujahid Yusof, sebelum beliau menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada 2015.

Tiada ulasan: