05 Mac 2016

05 Mac 1976 : PAS Dapat Tambahan Kerusi Dalam Rombakan Kabinet Era Tun Hussein Onn

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1976, PAS telah mendapat tambahan kerusi menteri dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn yang dibentuk ekoran kematian Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976. Tambahan jawatan menteri ini adalah kenaikan pangkat Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad dari Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan.

Selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein, PAS telah mengambil pendirian pada 15 Januari 1976 supaya PAS dapat meningkatkan peranannya dalam kerajaan dengan lebih positif, di mana PAS menuntut tambahan jawatan dalam kabinet termasuk diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua yang akan diisi oleh PAS, tambahan satu jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen serta kenaikan pangkat seorang Setiausaha Parlimen kepada Timbalan Menteri. PAS juga menuntut supaya jawatan Menteri Pertahanan diserahkan kepada PAS, selain mengekalkan Kementerian Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas yang dipegang oleh Dato' Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS.

Dalam pembentukan kabinet pertama selepas menyertai BN pada 1 Januari 1973, PAS diberikan jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas (Dato' Mohd Asri), Timbalan Perusahaan Utama (Ustaz Haji Yusof Rawa) selain Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (Ustaz Abu Bakar Hamzah). Selepas Pilihan Raya Umum 1974, PAS diberikan tambahan jawatan dalam kabinet dengan seorang Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen. Mereka yang menjawat jawatan-jawatan ini ialah Dato' Mohd Asri (Menteri Tanah dan Galian dan Tugas-tugas Khas), Dato' Ustaz Hassan Adli (Timbalan Menteri Buruh), Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) dan Cikgu Mustafa Ali (Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian).

Hasil desakan PAS ini, rombakan kabinet pasca Tun Razak yang dibuat oleh Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn pada 5 Mac 1976 telah melantik dua orang Menteri dari PAS iaitu Dato' Mohd Asri (Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah) dan Dato' Ustaz Hassan Adli (Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan), seorang Timbalan Menteri iaitu Dato' Abu Bakar Umar (Timbalan Menteri Kesihatan) serta dua orang Setiausaha Parlimen iaitu Cikgu Mustafa Ali (Kementerian Perdagangan dan Perindustrian) dan Zahari Awang (Kementerian Luar Negeri). Zahari Awang kemudiannya ditukarkan ke Kementerian Perumahan dan Kemajuan Perkampungan dalam rombakan kabinet pada 14 April 1977, selain kenaikan pangkat Cikgu Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta perlantikan Ustaz Abdul Wahab Yunus sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan.

Tiada ulasan: