30 Mac 2016

30 Mac 1962 : Mesyuarat Agung Khas Pinda Undang-undang Tubuh Bagi Perkasakan PAS Dipersetujui

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1962, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah bersetuju supaya PAS mengadakan satu Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 bagi membolehkan satu pindaan ke atas Undang-undang Tubuh PAS 1955 dibuat bagi memperkasakan PAS selepas negara mencapai kemerdekaan. Sejak Undang-undang Tubuh PAS didaftarkan dengan kerajaan pada 31 Mei 1955, ia telah tiga kali dipinda oleh Mesyuarat Agung Tahunan PAS iaitu pada 26-28 Disember 1955 berkaitan disiplin parti untuk menghalang ahli PAS menjadi ahli parti lain serentak; pada 24-25 Ogos 1957 yang menetapkan pemilihan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibuat dua tahun sekali; dan pada 25-27 Disember 1958 yang mengubah nama PAS.

Pada 26-28 September 1961, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah membincangkan langkah-langkah memperkasakan PAS dan mengarahkan Prof Zulkifli Mohamed, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS untuk menyediakan sebuah kertas kerja yang "boleh memberi nafas baru kepada perjuangan PAS." Dalam kertas yang dirangka pada 26 September 1961 bertajuk "Kedudukan dan Penyusunan Semula (PAS)," Prof Zulkifli telah mencadangkan pelbagai bentuk susunan semula PAS, termasuk meminda undang-undang tubuhnya. Bagi tujuan pindaan undang-undang tubuh ini, Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 30 Mac 1962 telah bersetuju diadakan satu Mesyuarat Agung Khas.

Prof Zulkifli mencadangkan beberapa perubahan untuk memperkemaskan pernyataan dasar, tujuan dan usaha-usaha yang menjadi perkara pokok dalam perlembagaannya. Antara cadangan penting Prof Zulkifli ialah supaya PAS membuka keahlian kepada orang bukan Islam, selain perubahan struktur organisasi dan mesyuarat agung.

Antara cadangan perubahan yang diterima dalam Undang-undang Tubuh PAS (Pindaan) 1963 ialah:

I. Mewujudkan raison d'être (Muqaddimah) sebagai penegasan tujuan PAS;
II. Memasukkan 'Qias' sebagai sumber hukum selain al-Quran, Sunnah dan Ijmak yang sekali gus meletakkan PAS sebagai gerakan Ahli Sunnah wal Jamaah;
III. Menukar cogan kata PAS dari 'Merdeka' kepada 'Allahu Akbar';
IV. Menetapkan lapan tujuan PAS dengan sasaran utama untuk mewujudkan pemerintahan Islam yang melaksanakan hukum Allah dan seluruh pegangan dan pandangan hidup Islam. Inilah kali pertama PAS menyatakan secara jelas tujuannya untuk mewujudkan pemerintahan Islam;
V. Memberi kuasa kepada Yang Dipertua Agung PAS untuk melantik Bendahari Agung sebagai mana melantik Setiausaha Agung; dan
VI. Organisasi PAS di peringkat Cawangan (sekarang Kawasan) dan Negeri disusun semula seperti mewujudkan jawatan Pesuruhjaya PAS Negeri menggantikan Pesuruhjaya PAS Daerah dan menghapuskan Dewan Ulamak PAS Cawangan, di mana Dewan Ulamak PAS hanya wujud di peringkat Pusat dan Negeri sahaja.

Cadangan yang asalnya telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 3-5 Disember 1961 ini telah gagal dibawa ke Mesyuarat Agung Khas pada 22 April 1962 kerana masalah korum. Ia kemudian dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-11 pada 31 Disember 1962 - 2 Januari 1963 dan diluluskan.

Tiada ulasan: