15 Mac 2016

15 Mac 1986 : PAS Setuju Kaji Bukan Islam Jadi Calon PAS Dalam Pilihanraya

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1986, PAS Pusat telah bersetuju untuk membuat kajian bagi membolehkan orang bukan Islam bertanding dalam pilihan raya menggunakan simbol PAS. Perkara ini timbul kerana strategi dakwah PAS yang berubah semenjak 1981 dengan memberi fokus kepada orang bukan Islam, khususnya orang Cina melalui penubuhan Majlis Perunding Cina (CCC) pada 22 Januari 1986, setelah Jawatankuasa Kerja Agung PAS pada 9 November 1985 mengambil langkah membentuk kerjasama politik dengan orang Cina dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ketujuh pada 3 Ogos 1986.

PAS telah memulakan langkah dengan mengadakan siri-siri dialog dan penerangan tentang Islam Kepada masyarakat Cina, sehingga akhirnya dapat membentuk kerjasama politik melalui CCC. Menjelang Pilihan Raya Umum 1986, timbul isu kedudukan calon-calon bukan Islam yang mewakili PAS. Pada peringkat awal, Naib Yang Dipertua Agung PAS, Ustaz Nakhaie Ahmad mengatakan calon-calon CCC akan bertanding sebagai calon Bebas yang akan disokong dan diundi oleh PAS, sedangkan Setiausaha Agung CCC, Ghazali Ho mahu calon CCC menggunakan simbol PAS. Penasihat Undang-undang PAS, Haji Wan Mutalib Embong, sebaliknya menjelaskan bahawa Perlembagaan PAS tidak membenarkan demikian.

Kekeliruan ini telah dimanipulasikan oleh BN di mana MCA mendakwa bahawa CCC telah diperdaya oleh PAS dan menuduh PAS tidak jujur terhadap orang Cina. Ketua Pemuda Umno, Anwar Ibrahim paling lantang menyerang PAS dalam isu ini dengan menuduhkan PAS mengadakan helah politik untuk memperdaya orang Cina melalui CCC, mendakwa PAS gila talak kerana membuat pakatan sulit dengan Cina, mencabar PAS membuat penjelasan kepada pengundi Melayu tentang hubungan PAS dengan orang Cina serta menuduh PAS menerima bantuan kewangan daripada tauke Cina. Keadaan ini meruncingkan semula hubungan PAS dengan orang Cina.

Menangani masalah ini, Jawatankuasa Harian PAS Pusat pada 15 Mac 1986 telah memutuskan supaya satu kajian dibuat untuk menentukan sama ada orang bukan Islam boleh menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1986 atau sebaliknya. Walau bagaimanapun, kajian ini tidak dapat disempurnakan kerana kesuntukan waktu ekoran pembubaran Parlimen pada 19 Julai 1986 sebelum kajian ini selesai. Namun begitu, bagi membuktikan keikhlasannya, PAS telah meletakkan tiga calon Cina untuk kawasan Parlimen iaitu Mohd Ridhuan Daniel Oon (Merbuk), Mohd Kamal Koh (Nibong Tebal) dan Ghazali Ho (Tanjung Mal), di samping tiga calon DUN iaitu Mohd Kamal Koh (Seberang Jaya, Pulau Pinang), Ghazali Ho (Sungkai, Perak) dan Kamal Leang (Gunung Lambak, Johor).

Tiada ulasan: