22 Mac 2016

22 Mac 2001 : Majlis Raja-raja Benarkan PAS Guna Nama Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 2001, Majlis Raja-raja telah membenarkan dan menggalakkan mana-mana pertubuhan dan parti politik termasuk PAS untuk menggunakan nama Islam pada pertubuhan mereka. Majlis Raja-raja yang menerima keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berhalangan untuk membenarkan PAS terus menggunakan nama Islam walaupun terdapat desakan kuat dari Umno yang mahu perkataan Islam pada nama PAS diharamkan. Baginda semua membuat keputusan untuk membenarkan parti politik dan pertubuhan lain menggunakan nama Islam dengan syarat tidak disalahgunakan untuk mengeliru dan menyelewengkan aqidah dan pemikiran rakyat, sebaliknya ia mesti digunakan dengan ilmu, hikmah dan ihsan.

Isu penggunaan nama Islam pada PAS ini telah lama dibangkitkan oleh Umno kerana mereka mendapati ia menjadi punca kekuatan PAS terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 29 November 1999. Sebelumnya, pada 14 April 1998, Ahli Parlimen Yan, Datuk Badaruddin Aminuddin telah mendesak di Dewan Rakyat supaya Islam pada nama PAS dihapuskan. Selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 itu, Dr Mahathir Mohamed, Presiden Umno pada 19 Disember 1999 telah mendakwa kemerosotan undi Umno adalah kerana fitnah yang dibuat oleh PAS. Beliau menegaskan tiga langkah akan diambil untuk membendung pengaruh PAS iaitu mengurangkan keberkesanan Harakah melalui pengurangan permit penerbitan kepada dua kali sebulan, mengharamkan perkataan Islam pada nama PAS dan menyekat ceramah politik PAS.

Bagi merealisasikan tujuan tersebut, pada 30 Januari 2000, Umno telah menuduh PAS mengeluarkan fatwa-fatwa politik yang merosakan aqidah, sehingga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mencabar Umno pada 6 Februari 2000 untuk bersemuka jika benar PAS berbuat demikian. Sebaliknya, Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Dato' Onn Ismail pada 12 Mac 2000 terus mendakwa perkataan Islam pada nama PAS mengelirukan rakyat. Ekoran itu, pada 31 Mac 2000, Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan keputusan mereka yang membenarkan penggunaan nama Islam pada parti politik.

Namun begitu, pada 16 Mac 2000, Dr Mahathir terlebih dahulu mendesak Majlis Raja-raja supaya campur tangan untuk mengharamkan nama Islam pada PAS. Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor pada 23 Mac 2000 mencadangkan muzakarah antara kedua-dua parti dalam isu ini, manakala Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz pada 25 Mac 2000 menolak Raja-raja Melayu dilibatkan dalam pergolakan politik ini. Setelah ia reda seketika, pada 10 Disember 2000, Dr Mahathir membangkitkan pula isu perpecahan Melayu, dan pada 24 Disember 2000, Umno menyatakan kesediaan berunding dengan PAS dan Parti Keadilan Nasional (PKN). Menjawab tawaran ini, Presiden PAS pada 22 Februari 2001 meletakkan syarat supaya Umno menghentikan cadangan mereka menghapuskan Islam pada nama PAS untuk membolehkan mereka berunding, tetapi ditolak oleh Umno. Menurut Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Tan Sri Dr Ismail Ibrahim, bahawa majlis itu bermesyuarat khas dalam bulan Februari 2001 untuk mengekalkan fatwa asalnya sebelum ia dibawa ke Majlis Raja-raja pada 22 Mac 2001. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-188 pada 22 Mac 2001 ini, telah diputuskan bahawa perkataan Islam boleh digunakan oleh parti politik termasuk PAS.

Tiada ulasan: