25 Mac 2016

25 Mac 1998 : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Bawa Usul Isu Murtad Ke Parlimen

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1998, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengemukakan usul tergempar di bawah Perkara 18 Peraturan Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang bagi membolehkan isu murtad dibincangkan di Dewan Rakyat. Usul ini kemudiannya ditolak setelah dibentangkan kerana Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Zahir Ismail berpandangan ia tidak perlu disegerakan walaupun merupakan perkara tertentu dan berkepentingan ramai.

Isu murtad ini menjadi isu yang menggemparkan negara sejak 1996 apabila tercetus dua isu murtad yang paling terkenal iaitu kes Hartina Kamaruddin yang memeluk agama Hindu pada Mac 1996 dan kes Nor Aishah Bokhari yang menjadi Kristian pada November 1997. Isu ini menjadi lebih panas apabila Ustaz Shaari Bustamah, Mufti Wilayah Persekutuan mendedahkan bahawa sehingga 1989, terdapat 4,776 kes permohonan menukar nama kepada nama bukan Islam dengan 516 kes murtad di Wilayah Persekutuan pada 1998 sahaja, sedangkan sehingga Julai 1997 ada hampir 3,000 kes seumpama ini di ibu kota tersebut.

Menyedari gejala murtad semakin menular ini, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-43 pada 30 Mei - 1 Jun 1997 telah memutuskan supaya PAS menangani isu murtad ini, sekali gus mendesak pemerkasaan Badan Petugas Pencegah Murtad yang ditubuhkan oleh PAS Pusat pada 11 November 1996. Pada 22 Februari 1998, PAS telah memutuskan untuk mengadakan siri-siri ceramah perdana isu murtad melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Noor dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi di seluruh negara, selain menggerakkan kempen kesedaran melalui PAS Negeri dan Kawasan. Sebagai tindakan lanjutan, pada 21 Mac 1998, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah memutuskan supaya Timbalan Presiden PAS membawa usul persendirian bagi mewujudkan undang-undang pencegahan murtad dengan membolehkan tindakan diambil ke atas orang yang murtad dan juga orang yang memurtadkan.

Sebagai langkah awal, pada 25 Mac 1998, Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah mengemukakan usul di bawah Perkara 18 kepada Dewan Rakyat untuk membincangkan masalah murtad ini. Ekoran penolakan oleh Dewan Rakyat, PAS Pusat pada 18 April 1998 mengarahkan supaya supaya Timbalan Presiden PAS bersama Dr Daeng Sanusi Mariok, Ustaz Wan Jamil Mahmud, Ustaz Mohd Amar Abdullah dan Senator Ustazah Jamilah Ibrahim menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara ini. Dalam masa yang sama, PAS telah meningkatkan usaha supaya Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan II dapat dilaksanakan. Pada 15-17 Mei 1998, Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-44 telah mendesak Kerajaan Pusat supaya mewujudkan undang-undang pencegahan murtad, sehingga pada 2 September 1999, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bertindak mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian untuk mewujudkan undang-undang bagi mencegah murtad, tetapi ia tidak dilayan oleh kerajaan.

Tiada ulasan: