01 Mac 2016

01 Mac 1981 : Tuan Guru Nik Abdul Aziz Dilantik Sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan Ke-6

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1981, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan yang keenam menggantikan Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Kelantan, Haji Mohd Amin Yaakub yang melepaskan jawatannya pada akhir Februari 1981. Perlantikan ini merupakan sebahagian dari rancangan PAS untuk merampas semula Kelantan dalam Pilihan Raya Umum 1982 setelah kejatuhan PAS pada 1978.

Sebelum perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, PAS Kelantan telah dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda (1954-1962), Ustaz Khaidir Khatib (1963-1968), Haji Mohd Nor Yusof (1968-1971), Dato' Ishak Lotfi Omar (1971-1978) dan Haji Mohd Amin (1978-1981). Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini telah memulakan era kepemimpinan ulamak di Kelantan lebih awal sehingga suara rasmi PAS, Suara Islam telah menyiarkan berita perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan tajuk utama "Ulamak Pimpin PAS Kelantan.".

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, seorang ulamak lulusan dari India, Pakistan dan Mesir merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Nik Mat Alim bin Raja Banjar, anggota Majlis Ulamak MAIK. Beliau yang menyertai PAS pada September 1967 telah menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir pada 21 Oktober 1967, sebelum dilantik sebagai Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat pada 19 April 1968. Selain menganggotai pimpinan PAS Pusat, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga dilantik sebagai Ahli Badan Perhubungan PAS Kelantan semenjak 1968.

Ekoran dari krisis kepemimpinan PAS Kelantan pada 1977 yang menyebabkan PAS kehilangan kerajaan pada 1978, Dato' Ishak Lotfi telah meletakkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan dan sebuah Jemaah Pesuruhjaya yang dipengerusikan oleh Haji Mohd Amin telah dibentuk pada 20 Mac 1978. Jemaah Pesuruhjaya ini terus berfungsi sehinggalah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1 Mac 1981.

Semenjak kepemimpinan beralih tangan, PAS Kelantan terus mengorak langkah dan melakukan kebangkitan sehingga berjaya menguasai semula Kelantan pada 21 Oktober 1990. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz telah memimpin PAS Kelantan selama 32 tahun sebelum diambil alih oleh Ustaz Dato' Haji Ahmad Yaakub pada 1 Disember 2013.

Tiada ulasan: