27 Oktober 2025

Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS : Untung Siapa Sebenarnya?

Ada sebilangan rakyat kita kagum dengan ‘seni diplomasi’ pemimpin negara (dan budaya tarian) yang dipersembahkan kepada Presiden Amerika Syarikat (“AS”), Donald J. Trump baru-baru ini. Hakikatnya, perjanjian perdagangan dua hala yang ditandatangani antara Malaysia dan AS pada 26 Oktober 2025 boleh mencetuskan kebimbangan besar di kalangan rakyat.

Walaupun kerajaan Malaysia menyatakan bahawa perjanjian ini akan membuka peluang pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, perjanjian ini juga dilihat lebih banyak menguntungkan AS. Ia bukan sekadar satu perjanjian perdagangan biasa, tetapi satu bentuk pengikatan dasar yang boleh melemahkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Antara kebimbangan utama kita adalah mengenai liberalisasi tarif dan kuota terhadap barangan import dari AS. Sebagai contoh, kuota import daging, tenusu, telur, dan produk pertanian AS akan meningkat dan diberikan akses pasaran secara bebas daripada duti. Ini memberi kesan langsung kepada penternak dan petani tempatan yang selama ini bergantung pada permintaan domestik. Sebagai contoh, seorang penternak kecil di Perak atau penanam sayur di Cameron Highlands akan menghadapi persaingan dengan produk import yang jauh lebih murah dan disubsidi oleh kerajaan AS, sesuatu yang tidak mampu ditandingi oleh pengusaha tempatan kecil. Adakah ia juga akan mengancam industri halal negara?

Selain sektor pertanian, perjanjian ini juga membuka pasaran automotif Malaysia kepada kenderaan buatan AS tanpa sekatan kuantiti dan dengan piawaian teknikal mereka diterima secara automatik. Ini bermaksud kereta buatan tempatan seperti Proton dan Perodua akan berdepan tekanan hebat kerana rakyat mungkin memilih kenderaan import lebih murah dan moden. Kesan ini bukan sahaja terhadap pengeluar besar, tetapi juga kepada bengkel-bengkel kecil, pembekal alat ganti tempatan dan pekerja industri automotif tempatan.

Perjanjian ini juga melarang Malaysia mengenakan cukai digital terhadap syarikat teknologi AS. Platform digital asing seperti Facebook, Instagram, dan Whatsapp akan terus meraih keuntungan besar daripada pengguna Malaysia tanpa memberi pulangan cukai kepada negara. Bagi peniaga kecil yang menggunakan platform digital untuk berniaga, mereka terpaksa menanggung caj perkhidmatan tinggi, sementara syarikat asing tidak menyumbang kembali kepada ekonomi negara. Ini mewujudkan ketidakseimbangan ekonomi digital antara pemain tempatan dan gergasi luar.

Malaysia juga telah menyatakan komitmen kita untuk melabur sebanyak USD70 bilion ke AS dalam tempoh 10 tahun. Siapakah yang tidak akan bimbang, melainkan kita sebagai rakyat Malaysia pasti akan merasakan bahawa pelaburan besar ini akan memberi kesan kepada perbelanjaan domestik. Tidak mustahil bahawa rakyat sekali lagi akan berhadapan dengan pemotongan subsidi, pengurangan perkhidmatan awam atau peningkatan cukai untuk menampung komitmen tersebut. Dalam keadaan ekonomi rakyat yang semakin mencabar, komitmen sebegini dilihat sebagai beban yang tidak adil.

Lagi menakutkan apabila perjanjian ini juga berkait dengan aspek kedaulatan negara. Malaysia perlu menyelaraskan dasar perdagangan dan sekatan import dengan AS. Sekiranya Malaysia bekerjasama dengan negara lain yang dianggap “ancaman” oleh AS, perjanjian ini boleh ditamatkan secara sepihak. Ini memberi gambaran bahawa Malaysia terpaksa tunduk kepada kepentingan kuasa luar, bukan membuat keputusan atas dasar kepentingan nasional sendiri!

Kesimpulan yang mungkin dapat kita terjemahkan adalah: perjanjian ini bukan sekadar perihal perdagangan, tetapi menyentuh periuk nasi, kos sara hidup dan masa depan ekonomi tempatan. Petani yang selama ini bertahan dengan hasil tanah, peniaga kecil yang bergantung pada perniagaan domestik, dan pekerja industri tempatan akan menjadi pihak paling terkesan. Kita bukan menolak kemajuan, tetapi mahukan dasar yang adil dan tidak menindas rakyat sendiri demi keuntungan luar.

Kata orang bijak pandai, “Berhati-hatilah apabila musuh memujimu”. Bila musuh memuji, ditambah pula yang memuji itu adalah musuh umat Islam, maka peganglah peringatan Allah Ta’ala sebagaimana firman-Nya di dalam Al-Quran (QS. 2:120).

Tiada ulasan: