15 November 2025

Belanjawan Selangor 2026 : Antara Pelaburan Mega Dan Keperluan Rakyat

Belanjawan Selangor 2026 dibentangkan dengan lenggok bahasa sastera, teori ekonomi Barat dan analogi hutan seolah-olah ia sebuah karya falsafah, bukannya dokumen fiskal yang sepatutnya menjawab keresahan rakyat. Kerajaan Selangor menonjolkan angka yang kelihatan gah seperti rizab negeri yang kini mencecah RM4.8 bilion, namun persoalan asas yang tidak dijawab ialah: apakah manfaat angka tersebut kepada rakyat yang masih bergelut membayar sewa rumah, menanggung kos makanan yang meningkat serta berdepan pasaran kerja yang tidak stabil? Sekiranya rizab terus meningkat tetapi rakyat terus menanggung tekanan hidup, maka itu bukan kemajuan, itu hanyalah pencitraan politik yang cuba menutup ketidakefektifan dasar.

Belanjawan Selangor 2026 juga memperlihatkan defisit RM430 juta, walaupun Kerajaan Selangor mendakwa kedudukan kewangan kukuh dan perbelanjaan berhemah. Rakyat melihat situasi ini sebagai kegagalan Kerajaan Selangor menyusun keutamaan fiskal secara telus dan bertanggungjawab. Defisit sebegini menggambarkan kecenderungan Kerajaan Selangor berbelanja secara populis, meluluskan projek mega tanpa menimbang kemampuan sebenar dan mengabaikan impak jangka panjang kepada kedudukan fiskal negeri. Tidak salah rasanya jika Kerajaan Selangor mengalihkan 10 hingga 15 peratus perbelanjaan pembangunan yang kini banyak tertumpu kepada projek-projek berskala besar kepada program peningkatan pendapatan isi rumah, subsidi pengangkutan serta bantuan perumahan rakyat, langkah yang jauh lebih bermakna dan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.

Kerajaan Selangor turut berbangga dengan rekod 948 projek pelaburan bernilai RM34.6 bilion yang dikatakan berjaya mencipta 31,886 pekerjaan sepanjang enam bulan pertama 2025. Namun rakyat tertanya-tanya: berapa ramai anak Selangor sendiri yang mendapat pekerjaan berkualiti melalui pelaburan ini? Adakah pekerjaan itu bersifat sementara, menggunakan tenaga luar, atau menawarkan gaji rendah? Hakikatnya, angka pelaburan tidak bermakna jika ia tidak meningkatkan taraf hidup rakyat tempatan. Kerajaan Selangor wajar meletakkan syarat baharu: semua pelaburan baharu wajib mengisi sekurang-kurangnya 60 peratus jawatan dengan tenaga kerja tempatan, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi. Selain itu, Kerajaan Selangor boleh menubuhkan Dana Mobiliti Pekerja Selangor untuk membantu anak muda beralih ke sektor berpendapatan tinggi, serta Elaun Transisi Kerjaya selama enam bulan bagi graduan menganggur supaya mereka tidak terus terperangkap dalam kitaran pengangguran.

Kerajaan Selangor juga menguar-uarkan pelbagai projek mega seperti IDRISS, IC Design Park, Aero Park dan Automotive Valley sebagai mercu pembangunan. Namun apabila dilihat lebih teliti, banyak projek ini lebih menguntungkan pemaju berbanding rakyat. Contohnya pembangunan semula Kampung Fajar yang hanya menyediakan 177 unit rumah mampu milik berbanding 441 unit rumah harga bebas. Ketidakseimbangan ini menunjukkan keutamaan Kerajaan Selangor yang lebih berpihak kepada pemaju. Kerjaan Selangor perlu memastikan semua pembangunan negeri mewajibkan nisbah 1:1 antara unit rumah mampu milik dan unit harga bebas, selain menghadkan harga rumah mampu milik kepada tidak lebih RM250,000. Tidak salah juga sekiranya Kerajaan Selangor mewujudkan skim Sewa-Beli Selangor bagi M40 yang tersepit, tidak cukup miskin untuk bantuan tetapi tidak cukup kaya untuk pinjaman bank.

Selain itu, pelaksanaan Fi Kelestarian ke atas sektor pelancongan dan perhotelan hanya akan membebankan rakyat dan pelancong tempatan apabila kos tersebut dipindahkan kepada pengguna. Walaupun pengecualian cukai hiburan diberi kepada beberapa kategori, ia hanyalah pembaikan kecil yang tidak menyelesaikan masalah struktur. Fi Kelestarian sebenarnya perlu ditangguhkan sehingga Kerajaan Selangor membuktikan keberkesanan program pemulihan ekologi, dan digantikan dengan cukai khas terhadap syarikat pusat data besar yang menggunakan tenaga tinggi tetapi menikmati pelbagai insentif.

Kerajaan Selangor turut menonjolkan hasil baharu melalui caj abstraksi air, dasar pelepasan sifar dan pembangunan ‘dark fibre network’, namun rakyat tidak melihat penurunan dalam bil air, bil internet atau kos utiliti lain. Justeru, hasil baharu ini perlu disalurkan untuk menurunkan kadar air bagi golongan B40 serta menyediakan “internet asas rakyat” berkelajuan minimum 100 Mbps pada harga mampu bayar di kawasan yang diliputi rangkaian ‘dark fibre’ negeri.

Kesimpulannya, Belanjawan Selangor 2026 jelas menunjukkan Kerajaan Selangor lebih ghairah mengejar pelaburan, menghimpun rizab dan membina projek mega berbanding menyelesaikan masalah rakyat bawahan. Negeri Selangor kaya, tetapi kekayaan itu tidak dirasai sama rata. Rakyat yakin bahawa Selangor boleh menjadi negeri yang lebih baik dengan belanjawan yang memfokuskan kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi setara, perlindungan sosial yang kukuh, serta penggunaan rizab negeri untuk faedah langsung kepada semua, bukan sekadar angka politik. Selangor tidak memerlukan kerajaan yang hanya pandai berpidato, Selangor perlukan kerajaan yang benar-benar mendahulukan rakyat.

Tiada ulasan: