4 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Kemasukan Terawal Islam Di Nusantara

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Kebangkitan Islam selepas hijrahnya Nabi SAW ke Madinah pada 622M telah mempercepatkan proses pengembangan Islam di seluruh dunia. Kejayaan Fathu Mekah (8H) dan kekalahan Rom dalam Perang Tabuk (9H) telah menyebabkan bangsa Arab berbondong-bondong memeluk Islam. Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab (634-644M), Islam telah berkembang keluar dari Tanah Arab sehingga Rom Timur dan Parsi dapat ditundukkan. Akhirnya, pada zaman Khafilah Othman bin Affan (644-656M), Islam mula bertebar luas. Di sebelah barat, Islam telah sampai ke Qairuwan (Tunisia), manakala di sebelah timur, ia sudah memasuki Transoxiana (Asia Tengah). Yang menarik, pada zaman inilah dikirimkan para pendakwah ke sebelah timur Asia untuk mengembangkan Islam. Sahabat yang terkenal, Saad Abi Waqqas telah tiba di Kanfu (Guangzhou), China dan ada pendakwah yang sudah menjejaki Nusantara pada zaman khalifah ketiga ini.

Komentar Prof Hamka tentang Surah al-Insan (76: 5) berkait perkataan “kaafura” telah menunjukkan bahawa Alam Melayu telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan orang Arab. Bahkan, orang Arab Mekah juga berperanan membawa barang dagangan dari Nusantara ke Barat (lihat al-Quran, 106: 1-4). Kedudukan Nusantara yang berada pada laluan utama perdagangan timur-barat, telah menjadikan kepulauan ini sebagai daerah yang paling senang dimasuki oleh pendakwah Islam. Atas faktor hubungan awal yang telah terbina antara orang Melayu dan Arab, ketika Islam mula dikembangkan keluar dari Asia Barat, rantau Nusantara menjadi sasaran terawal, selain China. Ketika munculnya daulah Islam yang besar seperti Daulah Umayyah, di Nusantara wujud Empayar Sriwijaya yang beragama Buddha, dan dikatakan hubungan diplomatik antara kedua-dua kerajaan sudah wujud pada zaman Khalifah Sulaiman Abdul Malik (715-717M).

Ketibaan Terawal Islam

Adalah dicatatkan bahawa ketika Rasulullah SAW mula mengirimkan utusan kepada kerajaan-kerajaan untuk mengajak kepada Islam, pada 628M, Baginda SAW telah mengirimkan Sheikh Rukunuddin ke Sumatera. Diriwayatkan, bahawa terdapat satu hadis tentang Nusantara (belum pasti kesahihannya), seperti berikut:
“…Pada zaman Nabi Muhammad SAW, tatkala lagi hajat hadhrat yang maha mulia itu, maka sabda Dia pada sahabat Baginda di Mekah, demikian sabda Baginda Nabi: Bahwa sepeninggalku ada sebuah negeri di atas angin, Samudera namanya. Apabila ada didengar khabar negeri itu maka kami suruh engkau (menyediakan) sebuah kapal membawa perkakas dan kamu bawa orang dalam negeri (itu) masuk Islam serta mengucapkan dua kalimah syahadat. Syahdan, (lagi) akan dijadikan Allah SWT dalam negeri itu terbanyak daripada segala Wali Allah jadi dalam negeri itu…”
Dalam catatan Sheikh ar-Rabwah, disebutkan pada zaman Khalifah Othman Affan, bahawa satu rombongan pedagang dan pendakwah Islam telah tiba di barat Sumatera pada tahun 31H (651M). Mereka dikatakan membina perkampungan Arab Islam di pesisir pantai barat Sumatera yang dikenali sebagai “Ta Shih” dalam catatan China Dinasti Tang yang bertarikh 674M. Sebagai perbandingan, catatan pada batu nisan Sheikh Mukaiddin di Barus, Tapanuli, Sumatera adalah bertarikh 670M. Dipercayai, pantai barat Sumatera yang disebutkan itu ialah di Barus, pusat pengeluar wangian kapur yang terkenal itu. Dalam catatan Arab pula telah menyebutkan ketika ini telah muncul kerajaan Melayu yang dikunjungi oleh orang Arab yang disebut sebagai Zabaj (dipercayai Sampugita), yang muncul hampir serentak dengan Sribuza (Sriwijaya) pada 671M.

Raja Pertama Memeluk Islam

Setelah ketibaan rombongan pendakwah terawal di barat Sumatera pada zaman Khalifah Othman Affan, hubungan diplomatik telah wujud antara Daulah Umayyah dengan Empayar Sriwijaya yang dibangunkan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada 671M. Kemudian, sejak berdirinya Daulah Umayyah pada 661M, Khalifah Muawiyah Abu Sufyan telah melanjutkan hubungan persahabatan dengan kerajaan Buddha ini. Sri Indrawarman (702-728M) dikatakan meminta Khalifah Umar Abdul Aziz (717-719M) supaya mengirimkan pendakwah untuk baginda mempelajari Islam. Raja Sriwijaya itu memeluk Islam pada 718M sehingga kerajaannya disebut sebagai Sribuza Islam. Namun begitu, raja-raja Sriwijaya yang lain kekal beragama Buddha sehingga lenyap Sriwijaya dari peta dunia.

Raja Sri Indrawarman adalah cucu kepada Dapunta Hyang Sri Jayanasa, pengasas kerajaan Sriwijaya. Baginda memerintah antara 702 hingga 728M. Selepas memeluk Islam pada 718M, telah wujud penempatan-penempatan Islam dalam kerajaan Sriwijaya. Walau bagaimanapun, peng-Islaman baginda telah ditentang oleh Dinasti Tang, yang menganggapnya sebagai ancaman kepada perdagangan rempah. Dinasti Tang dikatakan telah menghantar pengembang agama Buddha Mahayana ke Palembang untuk menguatkan agama Buddha dan menyekat pengaruh Islam. Dengan tekanan Dinasti Tang, Sri Indrawarman dan keluarganya yang Islam telah berundur ke Minangkabau pada 728, dan kerajaannya yang diambil alih oleh Rudra Wikraman (728-775M) kembali beragama Buddha dan disebut sebagai Sriwijaya. Sri Indrawarman wafat pada 730M.

Daulah Islam Yang Pertama

Penempatan Islam di pantai barat Sumatera sejak 650M telah membawa kepada perkembangan Islam di utara Sumatera (Aceh). Di Perlak, ketika ini diperintah oleh Muerah Shahrun Nawi yang berketurunan campuran Parsi. Nakhoda Khalifah telah berjaya meng-Islamlan Meurah Shahrun Nuwi pada dekad awal 800M, kemudian seorang pendakwah, Ali Muhammad as-Sadiq telah mengahwini adik Meurah Shahrun Nuwi, Puteri Makhdum Tanshari. Anak mereka kemudiannya dilantik menjadi raja Perlak bergelar Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz pada 840M, sekali gus mengasaskan Kesultanan Perlak, sebagai daulah Islam yang pertama di Nusantara. Hikayat Aceh mendakwa Perlak di-Islamkan oleh Sheikh Abdullah Arif. Kerajaan Perlak ini bertahan sehingga 1292M, walaupun beberapa kali diserang oleh Sriwijaya pada 986M.

Dalam catatan China Dinasti Tang, menggambarkan “Ta Shih” adalah sebuah pemerintahan Islam di barat Sumatera yang menghantar rombongan pedagang ke China, tetapi tidak dapat dipastikan apakah ia adalah sebuah kerajaan Melayu Islam, atau hanya penempatan orang Arab yang beragama Islam. Tetapi yang lebih jelas, peng-Islaman Meurah Shahrun Nuwi pada dekad awal 800M sebagai permulaan berdirinya kerajaan Islam pertama. Sejak berdirinya Perlak, proses pengembangan Islam mulai meluas, terutama dengan terbinanya kerajaan-kerajaan Islam yang baru dan peng-Islaman kerajaan-kerajaan Melayu sedia ada. Antara kerajaan Islam yang baru muncul ialah Kesultanan Ternete (1257M) dan Kesultanan Samudera-Pasai (1267M). Kerajaan awal yang di-Islamkan pula ialah Kerajaan Kedah (1136M), Kerajaan Kelantan (1181M) dan Kerajaan Jawaka (1253M). Selain dinar emas Kelantan dan Batu Bersurat Terengganu yang merekodkan perlaksanaan syariat Islam, catatan Marco Polo bertarikh 1292M telah menjelaskan bahawa syariat Islam telah berkuatkuasa di Samedera-Pasai, sakali gus membuktikan bahawa telah wujud daulah Islam di Alam Melayu.

3 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Bangsa Melayu Sebelum Zaman Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang besar dan mempunyai tamadun yang tinggi semenjak sebelum Masehi lagi. Bahkan, penemuan Perak Man pada 1991M di Gua Gunung Runtuh, Lenggong yang dikatakan berusia lebih 10,000 tahun membuktikan tradisi kebudayaan tinggi telah wujud dalam bangsa Melayu. Tamadun palaeolithic ini membuktikan telah ada kehidupan manusia di Alam Melayu sejak sekian lama, seperti mana jejak mereka dikesan di Gua Cha, Kelantan dan Gua Niah di Sawarak. Eskavasi yang dibuat di Solo, Jawa pada 1891M pula telah menemui rangka manusia zaman homo erectus, menunjukan kehidupan awal juga wujud di kawasan kepulauan Melayu.

Kemunculan bangsa Melayu dalam tamadun dunia telah menarik perhatian seorang ahli geografi dan astronomi Greek, Claudius Ptolemy memasukkan Semenanjung Tanah Melayu yang dinamakan sebagai Golden Chersonese sebagai salah satu bahagian yang penting di dunia dalam bukunya “Geography” yang diterbitkan pada 150M. Alam Melayu terkenal kerana kekayaan buminya dengan emas dan hasil tanaman terutama rempah ratus, penguasaan maritim yang merupakan laluan pedagangan utama dunia serta kewujudan empayar-empayar maritim yang besar sejak awal Masehi yang menjadikan Alam Melayu tumpuan para pelayar dan pedagang dari seluruh dunia. Prof Hamka mencatatkan bahawa perkataan “kaafura” dalam Surah al-Insan (76: 5) adalah merujukan kepada wangian kapur yang dikeluarkan di Barus, Sumatera. Kapur Barus ini menjadi tanda bahawa orang Arab telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Alam Melayu.

Kehidupan Maritim dan Agraria: Penguasa Perdagangan Antarabangsa

Kehidupan laut di kawasan khatulistiwa telah menjadikan Alam Melayu sebagai kawasan subur dengan hasil pertanian. Selain mengeluarkan buah-buahan tropika dan menghasilkan tanaman makanan seperti beras, Alam Melayu sangat terkenal kepada menjadi pengeluar rempah ratus utama dunia. Rempah ratus adalah eksport utama Alam Melayu ke India dan Arab, bahkan Rom juga. Kerana itu, Alam Melayu mendapat perhatian pengkaji-pengkaji geografi Rom sejak awal Masehi. Faktor rempah juga kemudiannya menjadikan Alam Melayu pusat perebutan kekayaan penjajah barat selepas abad ke-15M, sedangkan British memanfaatkan kesuburan tanah untuk membawa hevea brasiliensis (getah) dari Brazil untuk ditanam di Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi pengeluar utama dunia.

Merangsang kemajuan pertanian, terutama industri rempah ialah kedudukan maritim yang strategik. Pulau-pulau rempah yang menjadi nadi Nusantara di sebelah timur mempunyai perhubungan yang cekap dengan kota-kota pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Jalan laut melalui selat-selat sempit antara pulau-pulau telah memudahkan proses perhubungan, sedangkan kota-kota seperti Langkasuka, Palembang, Perlak, Kataha (Kedah), Panduranga (Phan Rang), Sunda Kelapa (Jakarta) dan Varuna (Brunei), telah mempunyai hubungan perdagangan antarabangsa dengan China, India, Parsi dan Arab sejak sekian lama. Tarikh Fathani mencatatkan kota pelabuhan di Pattani (dahulunya Langkasuka) didatangi oleh pedagang antarabangsa termasuk dari Arab, Parsi dan India, sehingga Alam Melayu menjadi sebuah kawasan politik dan ekonomi yang kuat ketika itu.

The Golden Chersonese: Bumi Yang Kaya

Salah satu kekuatan Alam Melayu ialah kerana kekayaan hasil galian seperti emas, timah dan besi. Sumber galian ini didapati secara meluas terutama di Semenanjung Tanah Melayu. Tanah yang disebut sebagai “Sang Mujung” (kemudian menjadi semenanjung) ini terkenal dalam catatan India dan Rom sebagai pusat pengeluaran emas utama dunia, selain timah dan besi. Berbanding kawasan kepulauan yang kaya dengan rempah, semenanjung Asia Tenggara ini menjadi pengeluar logam berharga sehingga ia disebut sebagai The Golden Chersonese (Semenanjung Emas) oleh sarjana Rom, sedangkan pelayar India menyebutnya sebagai Suvarnabhumi (Tanah Emas) atau Suvarnadvipa (Semenanjung Emas). Beberapa ahli geografi Greek dan Rom seperti Eratosthenes, Dionysius Periegetes dan Pomponius Mela mencatatkan Tanah Melayu sebagai Chryse Insula (Pulau Emas). Martin of Bohemia dalam catatan globnya pada 1492M, menamakan Tanah Melayu sebagai Chryse and Argyre Isle (Pulau Emas dan Perak), sedangkan peta Andreas Walsperger (1448M) menyebutnya Aurea Cersonese (Semenanjung Emas).

Disebabkan oleh masyhurnya Tanah Melayu sebagai pengeluar emas utama dunia, Ptolemy telah mencatatkan beberapa kota pelabuhan dan sungai-sungai utama seperti Takola (dipercayai Trang di Pattani), Konkonagara (dipercayai Ganga Negara di Perak), Sabara atau Sabana (dipercayai Selangor), Tharra (belum dipastikan lokasinya), Palanda (dipercayai Kota Tinggi, Johor), Kalonka (dipercayai di Pahang), Kole Polis (dipercayai Kelantan) dan Primula (dipercayai delta sungai di Terengganu). Tiga sungai juga dicatatkan iaitu Khrysoanas (Sungai Emas – gabungan Sungai Trang di Pattani dan Sungai Perak), Palandas (Sungai Johor) dan Attabas (Sungai Pahang). Lebih menarik lagi, beliau turut mencatatkan perkataan “Maleou-kolon” atau Titik Melayu menggunakan perkataan “Melayu”. Catatan terperinci tentang Tanah Melayu oleh Ptolemy ini memberi gambaran tentang pentingnya kedudukan Alam Melayu terhadap tamadun dunia ketika itu.

Tokoh-tokoh Politik Melayu

Kemunculan empayar Melayu terawal, Empayar Yawadipa pada abad terakhir Sebelum Masehi telah dicatat dalam Vayu Purana, catatan sejarah Kerajaan Gutpa (320-647M) di India. Empayar ini dipimpin oleh Sri Kripawarman (Wan Pa), pemimpin politik Melayu paling berpengaruh ketika itu dengan kerajaannya berpusat di Medan Gana (sekarang Kelantan). Pada tahun 68M, adiknya, Kaundinyawarman telah mengasaskan Empayar Funan, sebuah kerajaan yang berpusat di Indo-China. Pada zaman kemuncaknya, Funan telah menguasai Yawadipa. Memasuki abad kelima Masehi, lahir seorang tokoh besar di Chih-tu (Kelantan), Raja Guatama yang terkenal dalam catatan China itu. Kemunculan Guatama sebagai tokoh politik Melayu adalah hampir serentak dengan Badhravarman I, pemimpin terkenal Empayar Champa pada 380M dan Bhagadatta (m. 515M), pemimpin Langkasuka yang beragama Hindu.

Di daerah kepulauan, telah lahir tokoh-tokoh politik besar di Jawa dan Sumatera sesuai dengan kemunculan empayar-empayar besar di sana. Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang mendirikan kerajaan Srivijaya pada 671M adalah antara tokoh Melayu terpenting abad ketujuh, sebelum cucunya Sri Indrawarman (702-728M) menjadi raja terbesar Sriwijaya dan mempunyai hubungan dengan Daulah Umayyah di Damsyik. Pada abad ke-12 dan 13M, dua tokoh politik Melayu yang besar ialah Maharaja Srimat Thribuwanaraja Mauliwarmadewa yang menguasai Bhumi Melayu (Dharmasraya) yang berpusat di utara Tanah Melayu, dan Maharaja Kartanegara yang menguasai Bhumi Jawa (Singasari). Ken Arok (1222-1227M) yang mengasaskan kerajaan Singasari di Jawa juga merupakan tokoh besar, sebelum munculnya pengasas Majapahit Raden Wijaya (1294-1309M), yang melahirkan tokoh besar seperti Hayam Wuruk (1350-1389M) dan Patih Gajah Mada (m. 1364M), perdana menteri yang terkenal itu.

Di kalangan tokoh-tokoh politik Melayu yang terkenal di Nusantara ini, Sri Indrawarman (702-728M) yang memerintah Sriwijaya dikatakan raja yang pertama memeluk Islam pada zaman Daulah Umayyah, sedangkan keturunan raja Sriwijaya yang lain kekal beragama Buddha sehingga Parameswara, pengasas kerajaan Melaka memeluk Islam pada 1414M. Terdahulu, raja Jawaka di utara Semenanjung, Raja Sakranta (1253-1267M) telah memeluk Islam, sebelum raja Champa yang beragama Buddha, Che Bo Nga telah memeluk Islam pada 1360M. Keturunan raja Langkasuka yang bergilir-gilir beragama Hindu dan Buddha telah beriman dengan Islamnya raja Pya Tu Nakpa pada 1457M, manakala Raden Patah (1455-1508M), anak raja terakhir Majapahit, Brawijaya (m. 1478), telah memeluk Islam pada 1475M dan menukar kerajaannya menjadi kerajaan Mataram. Dengan peng-Islam tokoh-tokoh politik Melayu ini, bumi Nusantara mula menjadi wilayah kekuasaan Islam.

2 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Kerajaan Melayu Pra-Islam

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Sebagaimana yang diungkap oleh Snouck Hurgronje dalam teori The Greater India, semenjak awal abad pertama Masehi, seluruh Alam Melayu dipengaruhi oleh India dari segi pemikiran, kebudayaan, agama dan tamadun. Faktor utamanya adalah kerana hubungan perdagangan yang lama antara kedua-dua kawasan, selain kedudukan India yang lebih terkehadapan dari segi budaya dan ilmu, terutama dengan munculnya tamadun besar di Lembah Indus, iaitu Mohenjo Daro (2600-1500SM) dan Harappa (3000-1900SM). Lembah Indus yang menjadi pusat agama Hindu kemudiannya menyebarkan kebudayaan mereka termasuk bahasa Sanskrit, tulisan Palava, sastera India, corak kerajaan dan agama Hindu itu sendiri kepada orang Melayu.

Satu aspek yang penting dalam perkembangan kebudayaan dan tamadun Melayu ialah kebangkitan yang berteraskan agama. Disebabkan hubungan dan pengaruh India, kerajaan-kerajaan yang berkembang pada peringkat awal adalah mengikut agama orang India. Dalam sejarah India, selepas kemerosotan tamadun Indus, muncul beberapa kerajaan Hindu seperti Weda (1700-600SM), Mahajanapada (600-300SM), Nanda (400-300SM) dan Mauriya (332-185SM). Kemudian, berlaku kebangkitan Buddha apabila kerajaan Maghada dan Kalasoka muncul pada tiga abad terakhir SM, sehingga melahirkan tokoh besarnya, Ashoka (269-232SM). Kerajaan-kerajaan Satawahana (230-199SM), Kushan (30-375M), Gupta (240-550M) dan Pala (750-1174M) adalah antara kerajaan Buddha yang terbesar di India. Dalam pada itu, sekitar abad keempat Masehi, di selatan India bangkit kerajaan Chola (300-1279M) yang beragama Hindu, yang mula menjadi empayar besar pada abad kesembilan, telah mengubah semula India menjadi benua Hindu dan pernah menyerang kawasan Buddha di Nusantara termasuk Tanah Melayu dan Sumatera (Sriwijaya) pada 1025M. Selepas zaman ini, India dikuasai pula oleh Islam dengan kemunculan kerajaan Ghaznawi (962-1186M), Ghori (1186-1287M), Delhi (1290-1526M) dan Mughal (1526-1857M).

Kerajaan-kerajaan Melayu Yang Awal

Ketika bangsa Melayu mulai menjadi kerajaan yang besar, pengaruh Hindu sudah mulai merosot dan agama Buddha sedang berkembang. Kerajaan Melayu terawal yang muncul ialah Funan (100-545M) dan Champa (192-1832M) yang berpusat di Indo-China. Setelah itu muncul beberapa kerajaan seperti Langkasuka (abad 2-14M), Tambralinga (abad 7-14M), Kedah Tua (abad 5-11M), Pan-pan (abad 3-5M), Chih-tu (abad 2-7M), Tan-tan (abad 5-7M) dan Ganga Negara (abad 2-11M) di Tanah Melayu. Dalam tempoh-tempoh tertentu, dikatakan kerajaan-kerajaan ini pernah bergabung membentuk beberapa kerajaan besar seperti Empayar Sampugita, Jawaka dan Malaiyur.

Di kawasan kepulauan, kerajaan terbesar yang pernah muncul ialah Seriwijaya yang beragama Buddha dan Majapahit, sebuah kerajaan Hindu. Antara kerajaan lain yang terkenal termasuklah Salakanagara (abad 2M), Kutai (abad 4M), Tarumanagara (358-669M), Sunda Galuh (669-1579M), Sailendra (abad 8-9M), Kanjuruhan abad 8-9M), Medang (752-1045M), Kadiri (1045-1221M), Singasari (1222-1282), Pajajaran (1482-1579), Dharmasraya (abad 12-14M) dan lain-lain. Kebanyakan kerajaan ini adalah beragama Hindu dan Buddha sepanjang satu alaf (1-1000M), sehinggalah muncul Majapahit pada 1293M yang memacu semula pengaruh Hindu di Nusantara, setelah lebih 500 tahun dikuasai oleh Seriwijaya sejak abad ketujuh Masehi yang mengembangkan agama Buddha.

Kerajaan-kerajaan Utama dan Kebangkitan Islam

Di samping munculnya kerajaan-kerajaan Hindu-Buddha di seluruh Nusantara sepanjang 12 abad pertama Masehi, terdapat beberapa kerajaan utama atau empayar Melayu yang menguasai politik dan ekonomi Nusantara. Antaranya ialah Funan (100-545M). Funan yang terletak di Lembah Mekong (sekarang Vietnam) menguasai kawasan Indo-China hingga utara Tanah Melayu. Serentak dengan Funan, muncul kerajaan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu dan berpusat di Segenting Kra pada abad kedua Masehi yang menguasai Laut China Selatan di sebelah timur dan Selat Melaka di barat. Pada ke-12, ia telah menjadi naungan Seriwijaya. Selepas kejatuhan Funan pula, di Sumatera telah muncul kerajaan Seriwijaya sekitar 670-1183M. Kerajaan Buddha ini menguasai semua laluan perdagangan utama Asia Tenggara kerana kedudukannya di antara Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Selepas jatuhnya Seriwijaya kerana serangan kerajaan Chola pada 1025M, kerajaan Hindu Majapahit muncul di Pulau Jawa dan menguasai hampir seluruh Asia Tenggara sepanjang abad ke-14 dan 15 Masehi.

Memasuki abad ke-11M, Nusantara mulai menerima Islam sebagai kebudayaannya yang baru. Serentak dengan berkembangnya Islam di India pada abad ke-10M, kerajaan-kerajaan baru yang beragama Islam muncul, bahkan di sesetengah tempat, kerajaan Hindu dan Buddha telah bertukar menjadi kerajaan Islam. Kerajaan Islam terawal muncul ialah Perlak pada 840M, Kelantan (1181M), Ternete (1257M), Samudera-Pasai (1267M) dan Champa (1360M) sebelum Melaka menjadi pusat pengembangan agama Islam pada abad ke-15. Sejak munculnya kerajaan Melaka pada 1400M, penguasaan politik Nusantara telah beralih kepada Islam dan Majapahit mulai mengalami kemerosotan dan digantikan oleh kerajaan Demak (1475-1554M) yang beragama Islam. Di utara semenanjung, kerajaan Langkasuka telah digantikan oleh kerajaan Pattani dengan peng-Islaman raja Pya Tu Nakpa pada 1457M. Abad ke-15M menjadi abad peralihan tamadun Nusantara ekoran kebangkitan Islam sebagai cara hidup yang baru bagi orang Melayu.

1 Januari 2019

Islam & Tamadun Melayu : Satu Pengenalan

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Dunia Melayu atau Alam Melayu adalah sebuah rantau politik dan ekonomi yang sangat strategik sejak zaman pra-sejarah lagi. Kedudukan geografi Alam Melayu yang disebut juga sebagai Nusantara yang berada di tengah-tengah kawasan tamadun awal manusia telah menjadikan rantau ini sangat penting. Di sebelah timur, berdirinya tamadun Hwang Ho (kini China) yang mencipta pelbagai kemajuan, sedangkan di sebelah barat muncul Mohenjadoro dan Harappa (India), Mesopotamia dan Babylon (Iraq), Nil (Mesir) dan Athens (Greek), sehingga menjadikan Alam Melayu penghubung utama kedua-dua belah tamadun.

Kedudukan Alam Melayu yang berada di laluan ekonomi yang utama iaitu Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan telah memboleh komunikasi perdagangan antarabangsa yang lebih cekap berlaku, berbanding Laluan Sutera yang merentasi Siberia yang sangat mencabar. Disebabkan kedudukan strategik ini, muncul bandar-bandar pelabuhan sepanjang pesisirnya, yang kemudian membentuk kerajaan-kerajaan kota, sebelum menjadi empayar-empayar yang besar. Kemunculan Kerajaan Melayu Funan (68-628M), Sriwijaya (600-1100M), Majapahit (1293-1498M) dan Melaka (1400-1511M), adalah gambaran bagaimana bangsa Melayu menjadi sebuah bangsa dan tamadun yang mempunya empayar besar yang menguasai laluan ekonomi timur-barat sehingga abad ke-16M.

Seorang oreintalis, Snouck Hurgronje mengemukakan teori The Greater India untuk menggambarkan keseluruhan pemikiran, kebudayaan dan tamadun Melayu adalah sebahagian daripada proses ketamadunan India yang beragama Hindu-Buddha. Namun begitu, bangsa Melayu yang merupakan bangsa maritim yang menguasai ekonomi dan politik laut, telah menjadi sebahagian dari kawasan tamadun Islam mulai abad kesembilan Masehi. Bangsa Melayu telah menjadi bangsa besar yang dicatatkan pencapaian tamadun mereka dalam catatan China, India, Arab dan Greek, selain turut dikunjungi oleh pengembara terkenal seperti Marco Polo (m. 1324M) dan Ibnu Batutah (m. 1377M). Alam Melayu telah bertukar menjadi kawasan Islam sejak berdirinya daulah Islam yang pertama di sebelah Nusantara di Perlak pada 840M (225H).

Konsep Melayu

Perkataan “Melayu” menjadi perbahasan para sarjana tentang asal-usulnya. Secara akademik, pertama kali perkataan Melayu dicatatkan oleh sejawan China pada 644M yang menyebutnya sebagai “Mo-lo-yue.” Ada sarjana yang mendakwa ia berasal dari kata “Himalaya” iaitu tempat bersalji, tetapi lebih ramai yang bersetuju ia berasal dari perkataan Jawa, “Mlayu” yang bermaksud berlari atau mengembara, merujuk kepada pergerakan manusia dari Yunan ke Nusantara ribuan tahun dahulu. Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan ia berasal dari dua perkataan “Mela” (mula) dan “Yu” (negeri) iaitu Mula Negeri. Andaian lain ialah perkataan “Melayur” yang bermaksud bukit atau tanah tinggi dan “Malaya” dalam bahasa Tamil yang bermaksud hujan.

Istilah Melayu diertikan sebagai bangsa Austranesia yang tinggal di Semenanjung Tanah Melayu dan seluruh kepulauan Melayu. Ia merujuk kepada orang Melayu di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina hingga ke Madagaskar. Lebih umum boleh dikatakan merujuk kepada bangsa yang bertutur dengan bahasa Melayu, berbudaya Melayu dan tinggal di Semenanjung dan Kepulauan Melayu. Dalam konteks Malaysia secara yang sempit, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mentakrif orang Melayu ialah orang yang berbahasa Melayu, berbudaya Melayu dan beragama Islam. Dalam pengertian ras, Melayu adalah seluruh penduduk asal Nusantara.

Daerah Alam Melayu

Ketika membahaskan konsep Melayu Raya, Dr Burhanuddin al-Helmy mengatakan seluruh gugusan kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu, Indonesia dan Filipina adalah daerah Melayu. Daerah-daerah ini terpisah hari ini kerana dipecahkan oleh penjajah barat. Takrif ini selari dengan definisi Encyclopedia Britainica Vol. 14 yang menyebutkan “The Malay Archipelago, also known as Malaysian and East Indies contain in the largest group of island in the world consisting of more 3,000 islands of Indonesia dan 7,000 islands and unnamed rocks of Philippines group. The New Guinea island is arbitrary included in the Malay Archipelago.”

Kawasan rumpun Melayu adalah meliputi seluruh negara Indonesia, Filipina, Brunei, Singapura dan Malaysia. Sedang di Thailand, wilayah Melayu adalah seluruh semenanjung hingga Ratchaburi, 100km di selatan Bangkok. Tenasserim (Tanah Seri) di Myanmar juga termasuk kawasan Melayu. Di sebelah utara ia bermula di Kepulauan Nicobar di Lautan Hindi dan Farmosa di Laut China, termasuk Indo-China hingga ke Kepulauan Solomon di Selatan. Dari barat, ia bermula di Madagaskar hingga ke Fiji. Kawasan kepulauan terbesar di dunia di tenggara Asia inilah yang dipanggil rumpun Melayu dan menjadi daerah kehidupan bagi orang Melayu.

Agama Bangsa Melayu

Oleh kerana agama adalah teras kebudayaan, bangsa Melayu telah mempunyai pegangan dengan pelbagai agama, sebelum mereka menerima Islam. Dua agama utama yang dianut oleh orang Melayu ialah Hindu dan Budhha, iaitu agama yang dianut hasil daripada perhubungan politik, budaya dan ekonomi dengan India. Selain itu, orang Melayu juga dicatatkan pernah menganut anamisme dan agama Majusi. Pada peringkat awal, orang Melayu secara umumnya beragama Hindu sehingga Raja Asoka (304-232SM) yang beragama Buddha menguasai India, yang menyebabkan orang Melayu mula menganut agama Buddha. Kebangkitan Hindu pada zaman Empayar Chola (300SM-1279M) yang menyerang Tanah Melayu dan Sumatera pada 1025M, telah menyebabkan orang Melayu kembali menerima agama Hindu. Atas sebab kuatnya pengaruh India terhadap agama orang Melayu, maka sering disebut orang Melayu beragama Hindu-Buddha.

Sheikh Safiyuddin dalam Tarikh Fathani menyebutkan bahawa orang Melayu pernah menerima pengaruh Parsi dan menganut agama Majusi. Namun begitu, sejak 640M, mula wujud pengaruh Arab-Islam di Sumatera, sebelum berdirinya Kesultanan Perlak sebagai kerajaan Islam yang pertama pada 840M. Sejak itu, Islam mulai berkembang dan diterima secara damai sehingga menjelang abad ke-16M, Alam Melayu telah bertukar menjadi wilayah Islam, terutama dengan munculnya kerajaan-kerajaan Islam di pelbagai tempat di Nusantara. Antara kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara ialah Melaka (1400-1511M), Johor-Riau-Lingga (1511-1857M), Demak (1475-1554M), Mataram (1587-1755M) dan Aceh (1496-1903M). Kerana tumbuhnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah, kerajaan Melayu dipanggil “Daulah Islamiyah Melayuwiyah” seperti yang tercatat dalam Itqanul Muluk bi Takdil as-Suluk.