Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Dakwah dan jihad merupakan dua mekanisme utama dalam pembentukan daulah Islam sepanjang sejarah. Pendekatan inilah yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam membangunkan daulah Islam pertama di Madinah. Kemudian ia menjadi method dalam pengembangan Islam ke seluruh dunia. Perang bukanlah pendekatan Islam, tetapi ia menjadi reaksi terhadap gerakan dakwah yang disekat. Dalam futuhat (pembukaan) negeri-negeri baru, Islam akan menawarkan kepada para pemerintah supaya mereka beriman dan menjadikan kerajaannya daulah Islam. Jika tawaran ini ditolak, pemerintah akan diminta untuk mengizinkan gerakan dakwah ke atas rakyat supaya mereka dapat menerima Islam. Penolakan atau halangan ke atas dakwah ini akan menyebabkan para pendakwah, mujahid dan umat Islam terpaksa memilih jalan perang.
Dr Burhanuddin al-Helmy dalam kajian kedoktoran falsafahnya yang menganalisis proses dakwah para ulamak di Nusantara telah menjelaskan bahawa Islam berkembang di Nusantara tanpa sebarang pertumpahan darah. Pendekatan dakwah yang digunakan di Nusantara telah membolehkan seluruh Alam Melayu menerima Islam secara damai, sekali gus menukar Nusantara dari sebuah rantau Hindu-Buddha menjadi wilayah Islam terbesar. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui pendekatan dakwah yang paling berkesan dalam meng-Islamkan Nusantara ialah tindakan para ulamak meng-Islamkan raja-raja Melayu, kerana orang Melayu kuat berpegang dengan konsep kesetiaan kepada raja. Islamnya seorang raja Melayu, menyebabkan seluruh rakyat jelata mengikuti agama raja mereka. Berdasarkan catatan-catatan hikayat dan kronik Melayu, ternyata para ulamak telah mendatangi raja-raja Melayu dalam pelbagai maksud, tetapi membawa matlamat meng-Islamkan raja-raja tersebut.
Peng-Islaman Raja-raja: Strategi Dakwah Nusantara
Seorang orientalis Portugis terkenal, Tome Pires yang mengkaji peng-Islaman Nusantara mengatakan peralihan kuasa politik kepada Islam di Nusantara berlaku dalam dua bentuk. Pertama, raja-raja dan bangsawan Melayu memeluk Islam dan kekal berkuasa dengan ulamak, pendakwah dan pedagang Islam mendapat kedududukan istimewa; dan kedua, orang asing yang beragama Islam membuat penempatan dan kubu pertahanan yang akhirnya dapat menguasai kerajaan. Abdul Qadir Djaelani mengatakan pendekatan yang pertama itulah cara terawal dan paling berkesan yang digunakan oleh para ulamak dalam meng-Islamkan Nusantara, seperti mana yang berlaku terhadap kota Tuban di Jawa Timur. Gerakan para ulamak, pendakwah dan pedagang Islam dalam meng-Islamkan raja-raja Melayu boleh dilihat dalam beberapa bentuk, antaranya:
i. Misi dakwah
Kerajaan-kerajaan Islam yang wujud lebih awal di Tanah Arab dan India dicatatkan telah mengirimkan para ulamak untuk menggerakkan misi dakwah ke Nusantara. Hal ini dikatakan berlaku sejak zaman Rasulullah SAW. Pengutusan Sheikh Rukunuddin ke Sumatera pada 628M adalah contoh yang terawal, sebelum Syarif Mekah mengutuskan Sheikh Ismail, Faqir Muhammad dan Sheikh Abdullah Arif ke Samudera Pasai, pengutusan Syed Abdul Aziz dari Jeddah untuk meng-Islamkan Melaka dan Sulu serta pengiriman Syed Hussein Jamadil Kubra dan Syed Thanauddin ke Kelantan dan Champa oleh Sultan Mohamad Tugluq, India. Di kalangan kesultanan Melayu sendiri turut mengirimkan misi dakwah sesama mereka sebagai mana Kesultanan Gowa dan Tallo di Sulawesi meng-Islamkan raja Bima di Nusa Tenggara.
ii. Perdagangan
Disebabkan kedudukan Nusantara sebagai kawasan perdagangan yang penting, dan orang Arab telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Alam Melayu, para ulamak dan pendakwah datang ke Nusantara melalui misi perdagangan, kemudian meluaskan pengaruh Islam di Nusantara. Padre Gainza, Thomas Arnold, de Graaf dan Pigeaud mengatakan bahawa sejak awal lagi, pengaruh Islam dikembangkan oleh para pedagang di hampir semua tempat di Nusantara. Atas sebab itu juga, bandar-bandar pelabuhan dan kerajaan seperti Melaka, Pasai, Kedah, Sunda Kelapa lebih dahulu di-Islamkan berbanding kawasan pedalaman.
iii. Perkahwinan
Para ulamak dalam menguasai istana-istana turut menjadi perkahwinan dengan anak-anak raja sebagai strategi dakwah mereka. Contoh yang baik Syed Hussein Jamadil Kubra yang mengahwini dua puteri Sultan Kelantan dan seorang puteri Champa, lalu menjadikan kedua-dua negeri sebagai pusat pengembangan Islam. Hal yang sama berlaku di Pasai apabila Sheikh Ali Mohamad mengahwini puteri Meurah Shahrun Nawi serta Syarif Ali yang mengahwini anak saudara Raja Alak Awang Betatar di Brunei.
iv. Pengubatan
Sesetengah ulamak mempunyai kemahiran tib dan rukyah dalam menyembuhkan penyakit. Dalam kes peng-Islaman istana Pattani, Raja Pya Tu Nakpa dikatakan mengidap penyakit ganjil dan sembuh setelah diubati oleh Sheikh Safiyuddin (dalam catatan lain menyebut sebagai Sheikh Said) dengan janji untuk memeluk Islam.
v. Penghormatan
Golongan ulamak sangat dihormati di mana-mana dalam dunia Islam, lebih-lebih lagi Islam telah menjadi kuasa besar selepas abad kelapan Masehi. Kedudukan ini digunakan oleh para ulamak untuk memberi penghormatan kepada raja-raja Melayu sehingga raja merasa sangat terhormat lalu memeluk Islam. Di Kalimantan, Islamnya kerajaan Sukadana kerana seorang ulamak, Sheikh Syamsuddin dari Mekah telah menghadiahkan sebuah al-Quran dan sebentuk cincin dari Yaman sebagai penghormatan kepada rajanya.
vi. Tulah derhaka ulamak
Salah satu kepercayaan Hindu dalam masyarakat Melayu adalah adanya “tulah” (bala) apabila menderhakai raja. Konsep ini telah mempengaruhi mereka dalam menghadapi para ulamak yang mempunyai karamah. Mereka tidak menderhakai anak-cucu Rasulullah SAW yang bergelar syed dan syarif lalu menyebabkan pulau-pulau Maluku iaitu Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo mengangkat keturunan Syed Jaafar as-Sadiq menjadi raja kerajaan-kerajaan mereka. Di Nusa Tenggara, kerajaan Hindu Tambora dikatakan mempermainkan seorang pendakwah berbangsa syed dengan memberinya makan babi, lalu Gunung Tembora meletus pada 1815M dan memusnahkan tiga kerajaan Hindu iaitu Tambora, Sanggar dan Pekat, dan selepas itu mereka dikuasai oleh kerajaan Islam Bima.
Gerakan Ulamak di Istana-istana Nusantara
Sebagaimana yang dijelaskan oleh para sarjana, bahawa kejayaan gerakan ulamak meng-Islamkan raja-raja telah membolehkan Islam berkembang dengan aman dan cepat di Nusantara. Gerakan dakwah dan penyebaran Islam berpusat di istana telah mendorong orang Melayu menerima Islam tanpa sebarang tentangan. Hal ini dapat dilihat dalam beberapa aspek, contohnya:
i. Ulamak menjadi raja
Perlantikan para ulamak seperti Tengku Mohammad sebagai Sultan Perlak, Sultan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei, Syarif Kebungsuwan sebagai Sultan Mindanao, anak-cucu Syed Jaafar as-Sadiq sebagai sultan-sultan di Tidore, Bachan, Ternate dan Jailolo serta Sunan Fatahillah sebagai Sultan Demak, adalah contoh pembentukan daulah Islam dengan para ulamak menjadi raja dan sultan.
ii. Ulamak menjadi penasihat raja
Sebahagian besar ulamak telah berperanan sebagai penasihat istana sehingga beberapa perkara seperti penyebaran dakwah, pengajian ilmu Islam, perlaksanaan pentadbiran Islam dan penguatkuasan syariat dapat dibuat sehingga daulah yang dibina berdiri kukuh. Sebagaimana peranan Syed Hussein Jamadil Kubra di Kelantan, Sunan Giri dan Sunan Gunung Jati di Demak, Sheikh Mansor di Tidore dan Sheikh Nuruddin ar-Raniry di Aceh, begitulah berperanan mempengaruhi raja terhadap pemupukan kehidupan beragama.
iii. Mewujudkan institusi dakwah dan pendidikan di bawah tajaan istana
Perkembangan Islam yang pesat di Asia Tenggara sangat berkait dengan peranan institusi dakwah yang diwujudkan oleh para ulamak. Pada peringkat awal, ditubuhkan institusi pendidikan agama. Ketika kebanyakan negeri menjadikan anjung-anjung istana sebagai tempat belajar agama, di Perlak pada pertengahan 864M, telah ditubuhkan Dayah Bukit Ce Breek sebagai institusi pondok yang pertama di Nusantara, sebelum ditubuhkan Dayah Cot Kala pada 888M yang melahirkan begitu ramai ulamak. Di Jawa, Maulana Malik Ibrahim telah mengasaskan Wali Songo, iaitu perkumpulan ulamak Jawa yang berpengaruh dalam dakwan dan politik.
iv. Pentadbiran Islam
Salah satu pembaharuan yang dilakukan oleh para ulamak dalam menjadi Alam Melayu sebagai daulah Islam ialah pemerkasaan pentadbiran agama. Mereka mewujud mahkamah syariah, undang-undang berasaskan agama, menginstitusikan jawatan mufti dan qadhi, menubuhkan baitul mal dan mendirikan pusat pendidikan tinggi Islam. Ulamak yang tradisinya menguasai institusi sheikhul Islam, qadhi dan mufti telah meluaskan pengaruh mereka dengan menjadi wazir, bendahara, perdana menteri, sri maharaja dan seumpamanya, yang merupakan pentadbir utama kerajaan. Di Kelantan, Syed Nurul Alam yang terkenal dengan gelaran Sultan Qanbul adalah Patih Gajah Mada yang sangat berpengaruh, seperti mana Sheikh Nuruddin berpengaruh di Aceh dan Sheikh Fakih Ali berpengaruh di Pattani.
v. Perlaksanaan syariat
Perlaksanaan syariat adalah antara sumbangan terbesar para ulamak di Nusantara. Kerajaan-kerajaan Melayu yang baru menerima Islam telah melaksanakan syariat dan dibuktikan oleh catatan Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303M, juga catatan Marco Polo yang datang ke Pasai pada 1292M dan lawatan Ibnu Batutah ke Pase pada 1345M. Kebanyakkan undang-undang yang dilaksanakan adalah berdasarkan syariat, termasuk yang terawal dalam catatan China tentang hukuman potong kaki kerana merompak dalam kerajaan Ho-ling (dikatakan di Jawa) sejak 674M.
Kerajaan-kerajaan Yang Di-Islamkan
Pada peringkat yang pertama (650-1000M), proses peng-Islaman kerajaan-kerajaan Melayu masih belum berkesan. Walaupun penempatan orang Islam telah wujud selepas 650M, namun usaha menubuhkah daulah Islam belum berjaya. Berdasarkan catatan China, pada 674-675, sebuah kerajaan bernama “Ho-ling” telah melaksanakan syariat di Jawa (Cho’po), yang disebut oleh Hamka sebagai Kalingga pada zaman Ratu Simo. Ia berlaku lebih awal daripada raja Sriwijaya, Sri Indrawarman memeluk Islam pada 718. Namun, berdirinya Kesultanan Perlak pada 840M masih dianggap daulah Islam yang terawal di Nusantara, di samping catatan China tentang pengiriman dua duta Brunei berbangsa Arab ke China bersama dengan rajanya, Abu Ali (P’u Ya-li) pada 977M.
Di sebalik data-data kabur pada peringkat pertama, dalam peringkat kedua (1001-1500M), telah muncul kerajaan-kerajaan Islam yang baru di Nusantara bermula dengan Tidore (1081M), Leran, Jawa (1101M), Kedah (1136M), Kelantan (1181M) dan peng-Islam Prabu Munding Sari, raja Padjajaran pada 1195M. Setelah itu muncul kerajaan Daya di Aceh (1205M), Ternate (1257M) dan Samudera Pasai (1275), selain peng-Islaman Jawaka (1253) dan Champa (1364). Semenjak Islamnya Melaka pada 1414M, muncul pula kerajaan Ceribon (1445M) di Jawa, Pattani (1457M), Demak (1478M) dan Aceh (1496M). Pembentukan kerajaan-kerajaan Islam telah membawa kepada Islamnya orang-orang Melayu selepas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan