Artikel asal oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Bangsa Melayu adalah sebuah bangsa yang besar dan mempunyai tamadun yang tinggi semenjak sebelum Masehi lagi. Bahkan, penemuan Perak Man pada 1991M di Gua Gunung Runtuh, Lenggong yang dikatakan berusia lebih 10,000 tahun membuktikan tradisi kebudayaan tinggi telah wujud dalam bangsa Melayu. Tamadun palaeolithic ini membuktikan telah ada kehidupan manusia di Alam Melayu sejak sekian lama, seperti mana jejak mereka dikesan di Gua Cha, Kelantan dan Gua Niah di Sawarak. Eskavasi yang dibuat di Solo, Jawa pada 1891M pula telah menemui rangka manusia zaman homo erectus, menunjukan kehidupan awal juga wujud di kawasan kepulauan Melayu.
Kemunculan bangsa Melayu dalam tamadun dunia telah menarik perhatian seorang ahli geografi dan astronomi Greek, Claudius Ptolemy memasukkan Semenanjung Tanah Melayu yang dinamakan sebagai Golden Chersonese sebagai salah satu bahagian yang penting di dunia dalam bukunya “Geography” yang diterbitkan pada 150M. Alam Melayu terkenal kerana kekayaan buminya dengan emas dan hasil tanaman terutama rempah ratus, penguasaan maritim yang merupakan laluan pedagangan utama dunia serta kewujudan empayar-empayar maritim yang besar sejak awal Masehi yang menjadikan Alam Melayu tumpuan para pelayar dan pedagang dari seluruh dunia. Prof Hamka mencatatkan bahawa perkataan “kaafura” dalam Surah al-Insan (76: 5) adalah merujukan kepada wangian kapur yang dikeluarkan di Barus, Sumatera. Kapur Barus ini menjadi tanda bahawa orang Arab telah lama mempunyai hubungan perdagangan dengan Alam Melayu.
Kehidupan Maritim dan Agraria: Penguasa Perdagangan Antarabangsa
Kehidupan laut di kawasan khatulistiwa telah menjadikan Alam Melayu sebagai kawasan subur dengan hasil pertanian. Selain mengeluarkan buah-buahan tropika dan menghasilkan tanaman makanan seperti beras, Alam Melayu sangat terkenal kepada menjadi pengeluar rempah ratus utama dunia. Rempah ratus adalah eksport utama Alam Melayu ke India dan Arab, bahkan Rom juga. Kerana itu, Alam Melayu mendapat perhatian pengkaji-pengkaji geografi Rom sejak awal Masehi. Faktor rempah juga kemudiannya menjadikan Alam Melayu pusat perebutan kekayaan penjajah barat selepas abad ke-15M, sedangkan British memanfaatkan kesuburan tanah untuk membawa hevea brasiliensis (getah) dari Brazil untuk ditanam di Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi pengeluar utama dunia.
Merangsang kemajuan pertanian, terutama industri rempah ialah kedudukan maritim yang strategik. Pulau-pulau rempah yang menjadi nadi Nusantara di sebelah timur mempunyai perhubungan yang cekap dengan kota-kota pelabuhan di sepanjang Selat Melaka, Selat Sunda dan Laut China Selatan. Jalan laut melalui selat-selat sempit antara pulau-pulau telah memudahkan proses perhubungan, sedangkan kota-kota seperti Langkasuka, Palembang, Perlak, Kataha (Kedah), Panduranga (Phan Rang), Sunda Kelapa (Jakarta) dan Varuna (Brunei), telah mempunyai hubungan perdagangan antarabangsa dengan China, India, Parsi dan Arab sejak sekian lama. Tarikh Fathani mencatatkan kota pelabuhan di Pattani (dahulunya Langkasuka) didatangi oleh pedagang antarabangsa termasuk dari Arab, Parsi dan India, sehingga Alam Melayu menjadi sebuah kawasan politik dan ekonomi yang kuat ketika itu.
The Golden Chersonese: Bumi Yang Kaya
Salah satu kekuatan Alam Melayu ialah kerana kekayaan hasil galian seperti emas, timah dan besi. Sumber galian ini didapati secara meluas terutama di Semenanjung Tanah Melayu. Tanah yang disebut sebagai “Sang Mujung” (kemudian menjadi semenanjung) ini terkenal dalam catatan India dan Rom sebagai pusat pengeluaran emas utama dunia, selain timah dan besi. Berbanding kawasan kepulauan yang kaya dengan rempah, semenanjung Asia Tenggara ini menjadi pengeluar logam berharga sehingga ia disebut sebagai The Golden Chersonese (Semenanjung Emas) oleh sarjana Rom, sedangkan pelayar India menyebutnya sebagai Suvarnabhumi (Tanah Emas) atau Suvarnadvipa (Semenanjung Emas). Beberapa ahli geografi Greek dan Rom seperti Eratosthenes, Dionysius Periegetes dan Pomponius Mela mencatatkan Tanah Melayu sebagai Chryse Insula (Pulau Emas). Martin of Bohemia dalam catatan globnya pada 1492M, menamakan Tanah Melayu sebagai Chryse and Argyre Isle (Pulau Emas dan Perak), sedangkan peta Andreas Walsperger (1448M) menyebutnya Aurea Cersonese (Semenanjung Emas).
Disebabkan oleh masyhurnya Tanah Melayu sebagai pengeluar emas utama dunia, Ptolemy telah mencatatkan beberapa kota pelabuhan dan sungai-sungai utama seperti Takola (dipercayai Trang di Pattani), Konkonagara (dipercayai Ganga Negara di Perak), Sabara atau Sabana (dipercayai Selangor), Tharra (belum dipastikan lokasinya), Palanda (dipercayai Kota Tinggi, Johor), Kalonka (dipercayai di Pahang), Kole Polis (dipercayai Kelantan) dan Primula (dipercayai delta sungai di Terengganu). Tiga sungai juga dicatatkan iaitu Khrysoanas (Sungai Emas – gabungan Sungai Trang di Pattani dan Sungai Perak), Palandas (Sungai Johor) dan Attabas (Sungai Pahang). Lebih menarik lagi, beliau turut mencatatkan perkataan “Maleou-kolon” atau Titik Melayu menggunakan perkataan “Melayu”. Catatan terperinci tentang Tanah Melayu oleh Ptolemy ini memberi gambaran tentang pentingnya kedudukan Alam Melayu terhadap tamadun dunia ketika itu.
Tokoh-tokoh Politik Melayu
Kemunculan empayar Melayu terawal, Empayar Yawadipa pada abad terakhir Sebelum Masehi telah dicatat dalam Vayu Purana, catatan sejarah Kerajaan Gutpa (320-647M) di India. Empayar ini dipimpin oleh Sri Kripawarman (Wan Pa), pemimpin politik Melayu paling berpengaruh ketika itu dengan kerajaannya berpusat di Medan Gana (sekarang Kelantan). Pada tahun 68M, adiknya, Kaundinyawarman telah mengasaskan Empayar Funan, sebuah kerajaan yang berpusat di Indo-China. Pada zaman kemuncaknya, Funan telah menguasai Yawadipa. Memasuki abad kelima Masehi, lahir seorang tokoh besar di Chih-tu (Kelantan), Raja Guatama yang terkenal dalam catatan China itu. Kemunculan Guatama sebagai tokoh politik Melayu adalah hampir serentak dengan Badhravarman I, pemimpin terkenal Empayar Champa pada 380M dan Bhagadatta (m. 515M), pemimpin Langkasuka yang beragama Hindu.
Di daerah kepulauan, telah lahir tokoh-tokoh politik besar di Jawa dan Sumatera sesuai dengan kemunculan empayar-empayar besar di sana. Dapunta Hyang Sri Jayanasa yang mendirikan kerajaan Srivijaya pada 671M adalah antara tokoh Melayu terpenting abad ketujuh, sebelum cucunya Sri Indrawarman (702-728M) menjadi raja terbesar Sriwijaya dan mempunyai hubungan dengan Daulah Umayyah di Damsyik. Pada abad ke-12 dan 13M, dua tokoh politik Melayu yang besar ialah Maharaja Srimat Thribuwanaraja Mauliwarmadewa yang menguasai Bhumi Melayu (Dharmasraya) yang berpusat di utara Tanah Melayu, dan Maharaja Kartanegara yang menguasai Bhumi Jawa (Singasari). Ken Arok (1222-1227M) yang mengasaskan kerajaan Singasari di Jawa juga merupakan tokoh besar, sebelum munculnya pengasas Majapahit Raden Wijaya (1294-1309M), yang melahirkan tokoh besar seperti Hayam Wuruk (1350-1389M) dan Patih Gajah Mada (m. 1364M), perdana menteri yang terkenal itu.
Di kalangan tokoh-tokoh politik Melayu yang terkenal di Nusantara ini, Sri Indrawarman (702-728M) yang memerintah Sriwijaya dikatakan raja yang pertama memeluk Islam pada zaman Daulah Umayyah, sedangkan keturunan raja Sriwijaya yang lain kekal beragama Buddha sehingga Parameswara, pengasas kerajaan Melaka memeluk Islam pada 1414M. Terdahulu, raja Jawaka di utara Semenanjung, Raja Sakranta (1253-1267M) telah memeluk Islam, sebelum raja Champa yang beragama Buddha, Che Bo Nga telah memeluk Islam pada 1360M. Keturunan raja Langkasuka yang bergilir-gilir beragama Hindu dan Buddha telah beriman dengan Islamnya raja Pya Tu Nakpa pada 1457M, manakala Raden Patah (1455-1508M), anak raja terakhir Majapahit, Brawijaya (m. 1478), telah memeluk Islam pada 1475M dan menukar kerajaannya menjadi kerajaan Mataram. Dengan peng-Islam tokoh-tokoh politik Melayu ini, bumi Nusantara mula menjadi wilayah kekuasaan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan