17 Oktober 2025

Di Sebalik Kestabilan Kewangan: Cabaran Ekonomi Yang Dihadapi Rakyat Malaysia

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (“BNM”) telah mengeluarkan laporan “Financial Stability Review First Half 2025” bagi tujuan penilaian terhadap kedudukan kewangan negara dalam tempoh separuh Tahun 2025. Tidak dinafikan, ada berberapa kesan positif kepada rakyat apabila sistem kewangan negara kita kekal kukuh dengan nisbah modal dan kecairan yang tinggi, memastikan akses pinjaman stabil walaupun keadaan global tidak menentu. Langkah-langkah bagi memperkukuh dasar keselamatan siber dan anti-penipuan dilihat mampu meningkatkan perlindungan pengguna kewangan itu sendiri.

Walau bagaimanapun, kesan negatif tetap ada kepada rakyat walaupun tidak bersifat menyeluruh. Beberapa dasar dan perkembangan ekonomi ini sebahagiannya berpotensi memberikan tekanan kewangan dan kos sara hidup kepada kumpulan tertentu dalam masyarakat.

Antara faktor utamanya adalah pelaksanaan dasar fiskal baharu yang melibatkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (“SST”) kepada lebih banyak barangan dan perkhidmatan termasuk sewaan, pembinaan, kewangan, kesihatan serta pendidikan swasta. Kerajaan pada hari ini juga turut melaksanakan penstrukturan semula tarif elektrik dan air, serta mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) bagi pekerja asing. Langkah ini dijangka meningkatkan kos operasi perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (“SME”). Kenaikan kos tersebut berkemungkinan besar akan dipindahkan kepada pengguna dalam bentuk harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana dijangka menjadi kumpulan yang paling terkesan kerana mereka mempunyai ruang kewangan yang lebih terhad.

Selain itu, kesan negatif kepada rakyat yang boleh wujud berkemungkinan datang daripada isu peralihan kadar rujukan Kuala Lumpur Interbank Offered Rate (“KLIBOR”) kepada Malaysia Overnight Rate / Malaysia Islamic Overnight Rate (“MYOR/MYOR-i”) menjelang 2029. Walaupun langkah ini diambil bagi memperkukuh ketelusan dan ketahanan sistem kewangan, sebanyak 3.2% daripada jumlah pinjaman sedia ada rakyat dan perniagaan masih terikat pada KLIBOR. Perubahan kepada kadar rujukan baharu ini juga boleh menyebabkan pelarasan pada kadar faedah atau kadar keuntungan pinjaman. Akibatnya, sesetengah peminjam mungkin perlu menanggung bayaran bulanan yang lebih tinggi atau menyemak semula kontrak pinjaman mereka.

Perkara ini boleh memberi kesan langsung kepada aliran tunai isi rumah serta perniagaan kecil yang sensitif terhadap perubahan kadar faedah. Tekanan kos juga memberi kesan ketara kepada SME dan pekerja dalam sektor swasta berskala kecil. Polisi baharu, kenaikan harga input serta peningkatan perbelanjaan operasi menyebabkan sesetengah SME terpaksa menggunakan simpanan tunai untuk mengekalkan operasi harian. Hal ini bukan sahaja meningkatkan risiko kenaikan harga barangan, malah boleh mengakibatkan pengurangan upah, manfaat atau peluang pekerjaan jika SME mengecilkan operasi mereka. Ini sekali gus memberi kesan langsung kepada pekerja sektor ini dan masyarakat yang bergantung kepada barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh perniagaan kecil.

Satu lagi aspek yang membimbangkan ialah peningkatan hutang isi rumah melalui skim ‘Buy Now Pay Later’ (“BNPL”). Jumlah hutang BNPL dilaporkan meningkat kepada RM3.8 bilion dengan 6.5 juta akaun aktif, manakala kadar tunggakan juga meningkat kepada 3.2%. Memandangkan BNPL tidak dikawal selia seketat pinjaman bank tradisional, golongan muda dan berpendapatan rendah mudah terdedah kepada jerat hutang jangka pendek yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan isi rumah jika tidak diuruskan dengan baik. Dalam jangka panjang, ini boleh meningkatkan risiko masalah kredit individu dan memperluaskan jurang kewangan.

Ketidaktentuan luaran seperti tarif perdagangan Amerika Syarikat, ketegangan geopolitik dan dasar monetari global turut membawa risiko tidak langsung kepada ekonomi tempatan. Sektor eksport dan rantaian bekalan boleh terkesan jika keadaan global memburuk, yang berpotensi mengakibatkan tekanan terhadap pekerjaan dalam sektor pembuatan dan eksport. Jika keadaan ini berlarutan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara serta pendapatan rakyat. Apa yang dapat kita simpulkan, walaupun sistem kewangan negara berada dalam keadaan stabil dan berdaya tahan, beberapa dasar dan perubahan struktur ini boleh memberi kesan negatif secara terpilih kepada rakyat, terutamanya golongan B40 dan M40, peminjam sedia ada, serta perniagaan kecil dan sederhana.

Faktor seperti kenaikan kos hidup, pelarasan kadar pinjaman, tekanan kos operasi SME, jerat hutang BNPL dan ketidaktentuan global merupakan cabaran nyata yang perlu dihadapi oleh masyarakat dalam tempoh mendatang.

Tiada ulasan: