20 Oktober 2025

Antara Diplomasi Dan Dominasi : Menilai Implikasi Ekonomi Lawatan Trump Ke ASEAN

Sebahagian daripada masyarakat Malaysia melihat kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 akan membawa manfaat ekonomi kepada Malaysia dan rantau ASEAN. Biarpun ia adalah kerana mandat diplomasi yang diamanahkan kepada negara kita atas tanggungjawab kepengerusian, perkara ini wajar dinilai dengan berhati-hati dan bukan diterima bulat-bulat.

Biarpun Trump merupakan Presiden Amerika Syarikat dan tokoh berpengaruh dunia, rekod dasar dan pendekatannya terhadap perdagangan antarabangsa menunjukkan kecenderungan kepada perlindungan kepentingan ekonomi Amerika terlebih dahulu. Oleh itu, kehadirannya lebih berpotensi membawa risiko ekonomi dan tekanan geopolitik daripada manfaat sebenar kepada Malaysia dan ASEAN.

Kehadiran Trump akan meningkatkan keyakinan pelabur asing tidak semestinya tepat. Pelabur antarabangsa biasanya menilai kestabilan politik dan dasar jangka panjang, bukan hanya lawatan pemimpin. Trump terkenal sebagai pemimpin yang sering mengeluarkan kenyataan keras terhadap negara Islam dan Asia. Lawatannya ke Malaysia, sebuah negara majoriti Islam, sememangnya mencetuskan bantahan besar-besaran dalam kalangan rakyat.

Ketegangan politik dalaman ini boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil. Pelabur global lazimnya mengelak daripada pasaran yang dilihat tidak tenang atau berisiko tinggi.

Dari sudut perdagangan antarabangsa, Trump membawa rekod dasar “America First” yang sangat jelas. Semasa tempoh pemerintahannya terdahulu, beliau menarik Amerika Syarikat daripada Trans-Pacific Partnership (TPP) dan mengenakan tarif tinggi terhadap pelbagai negara. Sebagai Presiden semasa, beliau mempunyai kuasa sebenar untuk mempengaruhi dasar perdagangan.

Sekiranya lawatannya ke Malaysia disertai tekanan untuk menandatangani perjanjian berat sebelah yang menguntungkan Amerika, Malaysia boleh kehilangan kuasa rundingan dan mengalami kerugian ekonomi jangka panjang. Kehadiran Trump boleh berkemungkinan boleh menggugat perpaduan ekonomi ASEAN. Malaysia merupakan anggota aktif ASEAN yang mengutamakan kerjasama serantau melalui perjanjian seperti ASEAN Free Trade Area (AFTA) dan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP). Jika Trump menekan Malaysia atau negara ASEAN lain untuk mengutamakan perjanjian dua hala dengan Amerika, hal ini boleh melemahkan blok serantau tersebut dan mencetuskan persaingan dalaman antara negara anggota.

Lawatan ini juga boleh mencetuskan tekanan geopolitik yang mungkin agak serius. Malaysia selama ini mengekalkan hubungan seimbang antara Amerika Syarikat dan China. Namun, Trump terkenal dengan pendirian keras terhadap China. Sekiranya Malaysia dilihat terlalu akrab dengan Amerika, hubungan perdagangan dengan China (selaku rakan dagang terbesar Malaysia) mungkin boleh terjejas. Ini akan memberi kesan negatif kepada pelaburan, eksport dan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Pendek kata, Trump bukan sekadar simbol. Setiap langkah dan kenyataannya mewakili dasar rasmi Amerika. Maka, risiko yang dibawa kehadirannya jauh lebih besar daripada manfaat jangka pendek seperti pelaburan atau perhatian media. Malaysia perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam permainan geopolitik kuasa besar.

Walaupun kehadiran Trump ke Malaysia boleh memberi sedikit manfaat dari segi pelaburan dan hubungan perdagangan, risikonya jauh lebih besar. Ia boleh mencetuskan ketegangan politik dalaman, menjejaskan perpaduan ekonomi ASEAN, merosakkan hubungan dengan China dan memberi tekanan terhadap kedaulatan ekonomi Malaysia.

Oleh itu, dakwaan bahawa kehadiran Trump semestinya membawa kebaikan ekonomi harus disangkal dengan fakta dan pertimbangan strategik yang matang.

Tiada ulasan: