02 Julai 2016

02 Julai 1967 : Ahli Parlimen PAS Pasir Mas Hulu Mati Dibunuh

Pada hari ini dalam tahun 1967, Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu yang Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji telah diserang dengan kapak kecil selepas selesai Majlis Maulid Nabi yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan. Akibat serangan yang berlaku di tengah malam 2 Julai 1967 ini, Abdul Samad Ghul telah menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 6.30 pagi pada 3 Julai 1967 di Hospital Besar Kota Bharu. Serangan ganas ini masih misteri sehingga hari ini kerana pihak keselamatan gagal menangkap pembunuh tersebut sehingga ia dikatakan sebagai satu pembunuhan politik terhadap tokoh pemidato PAS itu.

Abdul Samad Ghul yang dilahirkan di Bangkok pada 1935 adalah berasal dari sebuah keluarga berdarah campuran Melayu-Pakistan kerana ayahnya adalah seorang tabib mata dari Pakistan, sedangkan ibunya berasal dari Pasir Mas. Pada mula Abdul Samad Ghul menerima pendidikan di Sekolah Melayu Merbau, sebelum belajar di Sekolah MAIK selama tujuh tahun, selain turut mengikuti kelas malam untuk belajar bahasa Inggeris. Beliau mendapat pendidikan politik Islam dan latihan pidato secara langsung dengan Prof Zulkifli Mohamad di Kota Bharu.

Beliau telah berkhidmat sebagai pegawai rendah, sebelum dinaikkan pangkat sebagai operator di Hospital Besar Kota Bharu sehingga 1964. Beliau yang mula terlibat dengan PAS sejak 1955 di bawah Ustaz Amaluddin Darus, telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kota Bharu pada 1958 dan mula mewakili Dewan Pemuda PAS Kota Bharu ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat sejak 1961. Beliau yang menduduki Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat (1961-1964) telah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 1964, merangkap Wakil Ketua (Timbalan Ketua) Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada 23 November 1965, beliau dilantik sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ekoran pengunduran Ustaz Amaluddin Darus yang uzur akibat akibat kemalangan.

Beliau yang turut memegang jawatan sebagai Wakil Ketua Dewan Pemuda PAS untuk sesi 1966-1968 turut dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Agung PAS sejak 1964. Dalam Pilihan Raya Umum 1964, beliau telah terpilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu dan terkenal kerana kelantangannya dalam menyuarakan isu-isu ketuanan bangsa Melayu di Dewan Rakyat. Beliau merupakan salah seorang pemidato PAS yang berpengaruh ketika ini dan pada Majlis Maulid Nabi itu beliau telah menyentuh tentang penyelewengan Tun Abdul Razak Hussein selaku Menteri Dalam Negeri yang menyalahgunakan ISA untuk menahan para ulamak, selain turut menyentuh isu penglibatan tentera Malaysia dalam konflik Asia Barat di Suez.

Selepas ceramah Maulid Nabi pada 2 Julai 1967 di Bangunan Pejabat PAS Kelantan ini, Abdul Samad Ghul bersendirian ke keretanya sebelum diserang oleh seseorang yang tidak dikenali dengan kapak kecil yang menyebabkan kecederaan parah di kepala beliau. Pada pagi 3 Julai 1967, beliau dikejarkan ke Hospital Besar Kota Bharu untuk mendapat rawatan segera, tetapi telah menghembus nafas terakhirnya pada waktu subuh pagi 3 Julai 1967. Kejadian pembunuhan misteri ini menjadi sebahagian siri keganasan politik di negara ini terutama sejak Umno menubuhkan Pemuda Tahan Lasak pada 1965.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: