Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)
Pada hari ini dalam tahun 2008, Setiausaha PAS Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin yang juga Adun Pasir Panjang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang kesepuluh menggantikan Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali ekoran kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum 2008. Mohamad Nizar, seorang jurutera yang dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampar, Perak merupakan lulusan Aston University of Science and Technology, Birmingham dan pernah berkhidmat dalam pelbagai agensi kerajaan dan swasta. Dalam PAS, Mohamad Nizar merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, selain pernah menjadi Bendahari PAS Perak (2001-2006), sebelum dilantik sebagai Setiausaha PAS Perak sejak 2006.
Kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 telah menimbulkan krisis politik kerana parti-parti pembangkang tidak dapat membentuk kerajaan apabila Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh PAS dan PKR menguasai 13 kerusi (PKR 7, PAS 6), manakala DAP menguasai 18 kerusi, berbanding kerusi Umno sebanyak 28 kerusi. Gabungan ketiga-tiga parti ini sangat sulit untuk membentuk kerajaan kerana Perlembagaan Perak menghendakkan seorang Melayu Islam sebagai Menteri Besar, sedangkan DAP tidak mempunyai Adun Melayu, manakala PKR pula tidak mempunyai tokoh kerana masalah akademik Adun-adunnya. Akhirnya Mohamad Nizar yang menduduki jawatan tertinggi dalam PAS Perak di kalangan Adun PAS dinamakan sebagai calon Menteri Besar.
Setelah ketiga-tiga parti bersetuju menamakan Mohamad Nizar sebagai calon Menteri Besar, beliau dibantah oleh akar umbi DAP yang mendesak supaya Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, seorang Cina beragama Kristian sebagai Menteri Besar, tetapi tidak mendapat perkenan Sultan Azlan Shah, Sultan Perak. Oleh kerana Sultan Perak mahukan seorang Melayu Islam sebagai Menteri Besar, pada 13 Mac 2008, Mohamad Nizar dijadualkan akan mengangkat sumpah, tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengancam bahawa DAP akan memboikot majlis pentauliahan dan angkat sumpah itu atas alasan PAS bukan parti terkuat di kalangan parti pembangkang di Perak, sebaliknya DAP mahukan calon dari PKR dinamakan.
Lanjutan dari itu, Istana Perak telah menangguhkan majlis angkat sumpah sehingga kesemua 31 Adun dari ketiga-tiga parti bermesyuarat dan mengemukakan surat persetujuan yang ditandatangani oleh mereka semua kepada istana. Hasilnya, pada 17 Mac 2008, Mohamad Nizar telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-10 di hadapan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Kesan dari pembentukan Kerajaan Perak ini, parti-parti PAS, PKR dan DAP telah membentuk kerjasama politik yang baru, dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) pada 1 April 2008. Namun begitu, Kerajaan PR Perak telah tumbang pada 5 Februari 2009 kerana beberapa Adun PKR dan DAP melompat parti dan pemimpin Umno, Dato' Seri Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar yang baru. 96 hari kemudian, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Mohamad Nizar kekal sebagai Menteri Besar yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya pada 29 Mei 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan