09 Mac 2016

09 Mac 1952 : PAS Tubuh Cawangan Pertama Di Pulau Pinang

Oleh : Dr. Mohd Fadhli Ghani (Institut Al-Balaghul Mubin)

Pada hari ini dalam tahun 1952, PAS telah menubuhkan Cawangan pertamanya, iaitu PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang berpusat di Bandar Raya Georgetown. Cawangan ini telah ditubuhkan dalam usaha PAS untuk mengembangkan pengaruhnya di seluruh Tanah Melayu. PAS telah memulakan pergerakannya semenjak ia ditubuhkan pada 23 Ogos 1951 dan Jawatankuasa Kerja Agung PAS dibentuk pada 24 November 1951 dengan berpusat di Kepala Batas, Sebarang Perai. Dengan tertubuhnya Cawangan PAS di Pulau Pinang, sayap PAS mulai berkembang keluar.

Usaha memperluaskan pengaruh PAS telah dimulakan semenjak awal 1952, di mana pada 2 Februari 1952, PAS telah mengadakan taklimat tentang tujuan perjuangannya kepada Persatuan Ulamak Kedah (PUK), sehingga ada syor supaya PUK menjadi anggota gabungan PAS. Pada 3 April 1953, Jawatankuasa Kerja Agung PAS telah memutuskan supaya PAS menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh Tanah Melayu bagi merealisasikan tujuan PAS untuk merapatkan hubungan umat Islam di negara ini.

PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang yang ditubuhkan pada 9 Mac 1952 sebagai cawangan yang pertama PAS telah dipimpin oleh ulamak reformis terkenal, Sheikh Haji Ibrahim Mohd Akib atau lebih terkenal dengan gelaran Haji Ibrahim Aqibi sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan. Pimpinan pengasas yang lain ialah Haji Ahmad Mokhtar (Setiausaha), Din Chik (Penolong Setiausaha), S.A Rahman (Bendahari) serta M.Y Merican, Mohd Shariff Mohd Ali, B.D Merican, Kassim Baba, Sheikh Abdul Latif Jalaluddin, Abdullah Mohd Mia Ibrahim, Abdul Hamid Amin, Abdullah Ishak, Mohd Rejab Yunus K.P, Haji Hussein Daik Sawi, Ahmad Zakaria, Jaafar Abdul Samad, Kassim Ali Hashim Ali, Mohd Sulaiman Babachan Khan, Syed Abbas al-Habsyi, Haji Ahmad Din, Anwar Hashim, Dasimah Dasir, Jah Said dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor.

Setelah tertubuhnya PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang ini, cawangan-cawangan PAS mulai berkembang dengan penubuhan Cawangan PAS Bukit Mertajam (20 April 1952), Perak (26 April 1952), Bukit Besar (April 1952), Perlis (8 Mei 1952), Kerian (6 Julai 1952) dan Kuala Lumpur (13 Julai 1952). PAS mula berkembang di Pantai Timur apabila Naib Yang Dipertua PAS, Tuan Guru Haji Hussein Che Dol membuat taklimat tentang PAS di Pasir Puteh, Kelantan pada 9 September 1952. Sehingga Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua pada 26 Ogos 1953, PAS berjaya menubuhkan 13 lagi cawangan menjadi 20 buah. Cawangan tersebut ialah Bayan Lepas, Pokok Sena, Kubang Semang (Pulau Pinang), Titi Serong, Hilir Perak (Perak), Sentul, Sungai Penchala (Selangor), Rembau, Johol (Negeri Sembilan), Bukit Aping, Sungai Korok (Kedah) dan Pasir Mas (Kelantan).

PAS Cawangan Singapura yang juga ditubuhkan dalam tahun 1952 pula gagal mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan Singapura. Di samping itu, PAS turut melantik Wakil Tetap PAS di beberapa bandar untuk mengembangkan PAS iaitu di Machang, Gerik, Ipoh, Kuala Kangsar, Parit, Manong, Tanjung Karang dan Melaka. PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang walau bagaimanapun lumpuh ekoran pergeseran Kaum Muda - Kaum Tua antara pemimpin reformis, Haji Ibrahim Aqibi (Yang Dipertua PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang) dengan Mufti Pulau Pinang dan Seberang Perai, Sheikh Abdullah Fahim (Ketua Dewan Ulamak PAS) pada 1953. Antara tokoh ternama dalam cawangan ini selain Haji Ibrahim Aqibi ialah Haji Ahmad Mokhtar (Pemeriksa Kira-kira PAS) dan Syarifah Rahmah Syed Ahmad al-Mashoor (Ketua Dewan Muslimat PAS).

Tiada ulasan: