17 Oktober 2016

17 Oktober 1977 : Speaker DUN Kelantan Serah Undi Tidak Percaya Pada Pemangku Sultan

Pada hari ini dalam tahun 1977, Speaker DUN Kelantan, Dato' Nik Abdul Rahman Nik Mohamad telah mengemukakan keputusan DUN Kelantan yang telah membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohamad Nasir pada 15 Oktober 1977 kepada Pemangku Raja Kelantan. Keputusan DUN Kelantan terhadap usul ini telah diangkat kepada Tengku Mahkota Kelantan yang juga Pemangku Raja, Tengku Ismail Petra ibni Sultan Yahya Petra untuk membolehkan pihak Istana Negeri mengambil tindakan setelah Menteri Besar Kelantan itu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN. Usul undi tidak percaya ini merupakan kemuncak kepada krisis politik Kelantan yang tercetus sejak 1974.

Konflik dalam kepemimpinan PAS Kelantan yang berpunca dari krisis pentadbiran kerajaan berlaku apabila PAS menamakan Wan Ismail Ibrahim sebagai calon Menteri Besar Kelantan, telah ditolak oleh Pengerusi BN, Tun Abdul Razak Hussein atas percaturan Umno Kelantan selepas Pilihan Raya Umum 1974. Perdana Menteri itu sebaliknya menamakan Dato' Mohamad Nasir, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan (1959-1964) sebagai Menteri Besar yang baru mulai 22 September 1974. Bertolak dari masalah ini, pada 13 Mac 1975, sejumlah ADUN PAS Kelantan telah melahirkan ketidakpuasan hati terhadap Dato' Mohamad Nasir yang dikatakan lebih dekat dengan Umno dan tidak melaksanakan keputusan parti. Pada 8 Mei 1975, Menteri Besar Kelantan itu telah membuat satu kenyataan kepada media yang menimbulkan kemarahan pimpinan PAS berkait isu balak dan pentadbiran negeri, sehingga Dewan Pemuda PAS Kelantan pada 15 Mei 1975 menggesa beliau meletakkan jawatan. Badan Perhubungan PAS Kelantan pada 29 Mei 1975 pula memutuskan bahawa Dato' Mohamad Nasir tidak layak memimpin kerajaan dan beliau perlu digantikan.

Selepas kematian Tun Abdul Razak Hussein pada 14 Januari 1976, Dato' Mohamad Nasir telah memaklumkan secara bertulis kepada Yang Dipertua Agung PAS, Dato' Mohd Asri Haji Muda pada 20 November 1976 bahawa beliau akan meletakkan sebagai Menteri Besar mulai 31 Ogos 1977. Dengan percaturan Umno, beliau gagal berbuat demikian pada tarikh tersebut sehingga memaksa semua ADUN PAS mendesak beliau meletak jawatan sebelum 28 September 1977, sebaliknya Badan Perhubungan PAS Kelantan mahu beliau berundur sebelum 20 September 1977 atau dikenakan tindakan tatatertib. Pada 26 September 1977, Jawatankuasa Kerja Agung PAS memutuskan supaya Menteri Besar Kelantan tidak membuat kenyataan kepada media dan berundur dari jawatan sebelum 29 September 1977.

Ekoran kegagalan Dato' Mohamad Nasir mematuhi keputusan parti, pada 4 Oktober 1977, beliau telah dipecat dari menjadi ahli PAS, dan keputusan ini disahkan semula pada 10 Oktober 1977 selepas keputusan sebelumnya menghadapi masalah teknikal. Ekoran itu, pada 15 Oktober 1977, satu usul undi tidak percaya telah dikemukakan di DUN Kelantan dengan sokongan majoriti.

Kesan daripada keputusan DUN Kelantan ini telah menyebabkan Dato' Mohamad Nasir telah kehilangan sokongan di DUN dan pihak Istana Kelantan perlu melantik menteri besar yang baru. Pada 17 Oktober 1977, Speaker DUN Kelantan telah mengangkat keputusan DUN Kelantan ini kepada Pemangku Raja, walaupun Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn meminta Dato' Mohamad Nasir kekal sebagai Menteri Besar. Sedangkan pada 15 Oktober 1977, selepas dikenakan undi tidak percaya, Dato' Mohamad Nasir telah mengadap Pemangku Raja untuk meminta DUN dibubarkan. Sebaliknya, ia berakhir dengan Kelantan diisytiharkan darurat pada 8 November 1977.

Disusun oleh: Arkib PAS

Tiada ulasan: